Wednesday, April 25, 2018

Pegawai tadbir agama didakwa minta rasuah RM6,000

IPOH: Seorang pegawai tadbir agama di Bagan Serai, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan RM6,000 bagi tujuan meluluskan perbekalan makanan dan minuman untuk dua program, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tarmizi Sahari, 55, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Agama Bagan Serai pada 8 Oktober 2014 bagi dua program diadakan pada 6 dan 9 Oktober tahun sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan RM6,000 bagi tujuan perbekalan makanan dan minuman program Pemantapan Akidah dan Kursus Belia-Belia Masjid.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal di depan Hakim S Indra Nehru, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Kumuthambal mencadangkan wang jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius dilakukannya, namun pembelaan memohon mahkamah memberikan jaminan rendah kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih belajar, selain menghidap asma serta batuk.

Indra Nehru menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan sebutan semula kes pada 17 Mei ini.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/417165/pegawai-tadbir-agama-didakwa-minta-rasuah-rm6000

Monday, April 16, 2018

SPRM BERI AMARAN, BERHENTI UGUT PEGAWAI SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan amaran tegas kepada individu yang cuba mengugut pegawai-pegawai kanan SPRM dengan menghantar peluru hidup serta nota berbaur ugutan ke rumah mereka. Saya mahu mereka yang terbabit menghentikan perbuatan itu kerana tindakan pengecut sedemikian tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami. Malahan, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah dan salah guna kuasa di negara ini. Dua pegawai yang menerima bungkusan mengandungi peluru hidup dan nota berbaur ugutan itu telah membuat laporan polis dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan itu. SPRM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut dan mengenalpasti mereka yang terlibat dalam perbuatan itu. TAN SRI DZULKIFLI AHMAD KETUA PESURUHJAYA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA 17 APRIL 2018



SPRM MEMANDANG SERIUS PERBUATAN UGUTAN TERHADAP PEGAWAI, LAPORAN POLIS DIBUAT

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius perbuatan individu yang cuba mengugut seorang pegawai kanan SPRM dengan meletakkan peluru hidup serta satu nota amaran berbaur ugutan di dalam peti surat rumahnya, semalam.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan SPRM menggesa pihak polis untuk menyiasat kes tersebut serta mengenalpasti individu yang berbuat demikian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut lunas undang-undang.

SPRM percaya perbuatan itu adalah berikutan beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM sejak kebelakangan ini.

Ingin ditegaskan, warga SPRM tidak akan sama sekali tunduk kepada ugutan sedemikian dan akan terus melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa rasa gentar.


DATUK SERI AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

16 APRIL 2018



Wednesday, April 11, 2018

Dua anggota polis didakwa kes rasuah

BUTTERWORTH 12 April - Dua anggota polis yang bertugas di Balai Polis Seberang Jaya hari ini didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan tahun lalu.

Lans Koperal Ahmad Ammar Hassan dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mereka didakwa meminta rasuah sebanyak RM1,000 daripada Mohd. Syauki Mohd. Samki dan Syamin Jamal yang ditahan atas kesalahan memandu dengan lesen tamat tempoh.

Kedua-dua mereka juga didakwa menerima suapan sebanyak RM500 daripada Mohd. Syauki dan Syamin pada 20 Mei tahun lalu.

Pendakwaan di bawah Seksyen 16 a (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim Sitarun Nisa kemudiannya menetapkan 15 Mei ini untuk pengurusan kes dan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-anggota-polis-didakwa-kes-rasuah-1.647331#ixzz5CQeBrsCo 

Tuesday, April 10, 2018

Anggota polis dituduh rasuah

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

Zainuddin Sulaiman, 54, dan Mat Zahari Jusoh, 57, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, Zainuddin didakwa dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM1,500 daripada Zaliha Dollah, sebagai dorongan untuk tidak menuduh wanita itu dan anaknya, Azrida Suryati Abdul Aziz, di mahkamah, bagi kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 Februari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Mat Zahari pula didakwa secara rasuah meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM800 daripada Zaliha, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap wanita itu dan anaknya, di mahkamah, bagi kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) akta SPRM dan Seksyen 17(a) akta sama itu kira-kira jam 11.20 pagi pada 28 Februari lalu di perkarangan Mahkamah Majistret Besut.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.

Mohamad Haldar kemudian membenarkan Zainuddin diikat jamin RM7,000, manakala Mat Zahari RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/410259/anggota-polis-dituduh-rasuah

Monday, April 9, 2018

Bilik gerakan SPRM di seluruh negara

PUTRAJAYA 9 April - Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Bilik Gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa oleh calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan ketelusan dalam proses pilihan raya.

“Bilik Gerakan PRU terletak di Aras Tiga, Blok B, Ibu pejabat SPRM. Maklumat dan aduan juga boleh disalurkan di pejabat SPRM negeri,” katanya pada sidang media sempena pelancaran bilik ge­rakan itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.

Dzulkifli berkata, aduan juga boleh disalurkan melalui e-mel kepada pru14@sprm.gov.my atau menghubungi talian 03-88700675 atau 03-88700668, faks kepada 03-88700956.

Beliau berkata, SPRM mempunyai bidang kuasa memantau dan menyiasat kes-kes rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya mengikut Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Antara kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah seksyen itu adalah melakukan penyamaran, penyogokan, penjamuan dan menggunakan pengaruh tidak wajar sepanjang tempoh PRU-14,” katanya.

Jika ada maklumat yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM sepanjang PRU-14, beliau berkata ia akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti SPR dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Mohd. Hashim berkata, sekiranya berlaku kegiatan dan salah laku rasuah, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 5 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“Malah, ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon dan pilihan raya kecil perlu diadakan,” katanya sambil memberitahu bahawa mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan tersebut. – BERNAMA


http://www.utusan.com.my/berita/politik/bilik-gerakan-sprm-di-seluruh-negara-1.645504#ixzz5CDj93Xyb 

Calon PRU-14 diberi amaran elak rasuah, salah guna kuasa

PUTRAJAYA 9 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada semua calon-calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini supaya mengelak daripada terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen tujuh hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Antara kesalahan yang boleh disabitkan di bawah seksyen tersebut ialah dengan melakukan penyamaran, penyogokan, mengadakan jamuan dan menggunakan pengaruh tidak wajar sepanjang tempoh PRU-14 ini.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan bukti boleh menyalurkannya di mana-mana bilik gerakan SPRM di setiap negeri yang telah ditubuhkan berkuat kuasa hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah selepas majlis pelancaran Bilik Gerakan SPRM PRU-14 di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, setiap maklumat yang diperoleh akan disiasat dengan teliti dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Sementara itu, Mohd. Hashim berkata, sekiranya berlaku aktiviti dan salah laku rasuah mereka boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara dan hukuman denda termasuk boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon tersebut.-UTUSAN ONLINE.


http://www.utusan.com.my/berita/politik/calon-pru-14-diberi-amaran-elak-rasuah-salah-guna-kuasa-1.645141#ixzz5C9uHAlZX 

Thursday, April 5, 2018

Dewan Negara lulus RUU SPRM (Pindaan) 2018

KUALA LUMPUR 5 April – Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 yang meliputi peruntukan baharu seksyen 17A bertujuan mengalakkan perniagaan dan aktiviti komersial dijalankan dalam keadaan bebas rasuah diluluskan dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Kelulusan dicapai menerusi suara majoriti selepas rang undang-undang itu dibacakan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Terdahulu, rang undang-undang tersebut dibahaskan oleh tiga Ahli Dewan Negara di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad.

Menurut Razali, peruntukan seksyen 17A bukan sesuatu perkara baharu malah inisiatif untuk mengadakan peruntukan itu telah dimulakan sejak 2012.

“Sebagaimana dijelaskan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, rata-rata rakyat melihat ‘grand corruption’ sebagai satu isu mendesak yang sangat perlu disegerakan penyelesaiannya.

“Justeru, keutamaan untuk memasukkan seksyen baharu 17A dalam Akta SPRM 2009 ini sememangnya sesuatu yang dijangka dan dinantikan oleh rakyat,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut.

Mengulas lanjut, Razali berkata, peruntukan itu memberi keadilan kepada masyarakat dengan mempertanggungjawabkan kedua-dua pihak organisasi komersial dan juga orang-orang yang bersekutu dengan sesuatu organisasi komersial itu bersama-sama melaksanakan tindakan untuk mencegah dan menolak amalan rasuah.

Justeru, kata beliau, pihak berkepentingan tidak perlu berasa gusar dengan peruntukan baharu mengenai kesalahan oleh organisasi komersial kerana seksyen 17A mengadakan peruntukan pembelaan kepada pihak organisasi komersial.

“Organisasi komersial boleh membela diri dengan membuktikan bahawa ia telah mempunyai tatacara yang mencukupi untuk menghalang mana-mana orang bersekutu dengannya daripada melakukan sesuatu perbuatan rasuah yang dinyatakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dewan-negara-lulus-ruu-sprm-pindaan-2018-1.642347#ixzz5BmhN3tCH 

Wednesday, April 4, 2018

Rasuah: Warga emas dipenjara sehari, denda RM10,000

KUANTAN 4 April - Seorang pemilik syarikat pembinaan dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah berhubung kes rasuah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Tang Chee Koan@Tang Chee Soon, 68, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dalam di hadapan hakim Dazuki Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 18 September 2015 kira-kira pukul 7.30 petang di Hong Ming Engineering Work Container, Jalan Besar Ringlet, Cameron Highland dekat ini telah secara rasuah memberi suapan sebanyak RM1,000 kepada seorang penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan, Mohd. Farouk Abdul Wahab.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan berhubung kesalahan menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran sebanyak 3,000 liter di premis perniagaannya.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenanakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rasuah-warga-emas-dipenjara-sehari-denda-rm10-000-1.641505#ixzz5BgyJbezo 

Monday, April 2, 2018

Pegawai kanan Perbadanan Putrajaya didakwa minta, peroleh rasuah

KUALA LUMPUR 2 April - Seorang pegawai kanan di Perbadanan Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah RM17,000 daripada tiga buah syarikat bagi meluluskan sebut harga yang ditawarkan perbadanan itu, tiga tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Korporat, Mohamad Rohaizat Kasman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan tersebut selesai dibacakan di hadapan Ha-kim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Rohaizat didakwa meminta rasuah berupa wang tunai RM17,000 da-ripada Nor Alfidah Mohamed Zakri sebagai upah untuk mendapatkan dan meluluskan sebut harga yang ditawarkan Perbadanan Putrajaya untuk syarikat Teras Reka, Shogi Bena Sdn. Bhd. dan Fidah Supply & Services.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Restoran Nasi Kandar Darulsalam, Unit 13, Jalan 4W, Galeria PJH, Presint 3, Putrajaya pada pukul 4 petang, 16 Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat pula, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM2,000 menerusi dua transaksi daripada Noor Alfidah, wang tunai RM1,000 dan sekeping cek berjumlah RM12,000 daripada Ahmad Fairuz Abdul Rahim sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan yang sama antara 17 Disember 2015 dan 16 Mei 2016.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih ting-gi. - UTUSAN ONLINE



http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pegawai-kanan-perbadanan-putrajaya-didakwa-minta-peroleh-rasuah-1.639961#ixzz5BVLD0uNv