Wednesday, May 11, 2016

Gagal lapor diri: Timbalan pengarah jabatan, isteri ditahan SPRM





Seorang timbalan penolong pengarah sebuah jabatan di negeri ini dan isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas gagal melaporkan diri kepada agensi itu sejak tiga bulan lalu, berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan pegawai berkenaan.

Pegawai terbabit yang berusia 57 tahun dan isterinya yang berumur 41 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa SPRM negeri ketika menginap di sebuah resort di Pengkalan Balak, Alor Gajah pada pukul 4 petang ini.

Menurut jurucakap SPRM, pasangan itu pernah ditahan agensi itu pada dua tahun lalu kerana disyaki meminta suapan sebanyak RM2,600 daripada seorang individu sebagai dorongan mengeluarkan permit yang sah tanpa perlu berurusan di kaunter.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil dan mereka perlu melapor diri setiap bulan kepada SPRM.

“Namun, pasangan itu tidak berbuat demikian sejak tiga bulan lalu dan mereka akhirnya ditahan hari ini kerana gagal melapor diri,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, pegawai kanan tersebut dan isterinya kini ditahan di pejabat SPRM negeri untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, katanya.

Tuesday, May 10, 2016

TLDM Perintis Sijil Ikrar Integriti Korporat Banteras Gejala Rasuah


Dalam memantapkan strategi memerangi rasuah dan meningkatkan urus tadbirnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi perintis dalam melaksanakan Sijil Ikrar Integriti Korporat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata perkara itu akan memberi fokus kepada ketelusan dalam pengurusan perolehan barangan dan perkhidmatan.

"Inisiatif sijil ikrar itu yang dilaksana bersama SPRM adalah untuk memperkasakan pengurusan perolehan dan akan diterapkan kepada syarikat korporat yang berurusan dengan TLDM dalam usaha meningkatkan aspek integriti dan ketelusan dalam semua aspek pengurusan TLDM.

"Setakat ini, sebanyak 25 syarikat telah secara sukarela menyahut seruan TLDM untuk menandatangani sijil ikrar berkenaan dan respons ini secara tidak langsung mempamerkan sokongan padu syarikat terlibat dalam membanteras gejala rasuah dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi TLDM 2016 di Auditorum Wisma Pertahanan, di sini, Selasa.

Ahmad Kamarulzaman berkata komitmen ini juga akan menentukan urusan yang telus dalam penyediaan perkhidmatan yang cekap dan profesional.

"Inisiatif ini juga merupakan satu lagi inovasi pengurusan TLDM dalam membudayakan integriti dan pengurusan yang cekap serta bersih dalam warga TLDM dan syarikat terlibat.

"Selain itu, ia juga akan merealisasikan agenda TLDM yang menginginkan sebuah organisasi yang dipercayai dan diyakini serta mendukung segala agenda nasional kerajaan," katanya.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Panglima TUDM Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman menegaskan Program Transformasi '15 to 5' yang dilaksanakan oleh TLDM tidak akan mengganggu sebarang operasi dan latihan di mana-mana perairan negara ini.


"Ia dilakukan secara berperingkat dan TLDM akan lucut tauliah kapal lama yang sering mengalami kerosakan. Apa yang penting, TLDM tidak perlu berbelanja dengan kerap dan dengan peruntukan yang ada TLDM dapat membeli kapal baharu serta lain-lain aset," katanya.

Saturday, May 7, 2016

SPRM Tahan Dua Sarjan Dipercayai Terlibat Rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan telah menahan dua anggota Polis Diraja Malaysia di Kota Bahru kira-kira jam 11.55 malam, semalam.

Kedua-dua anggota polis berpangkat Sarjan dan berusia lingkungan 20an itu ditahan kerana dipercayai menerima suapan bernilai RM200 bagi melepaskan orang awam yang tidak memiliki kad pengenalan.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Hakim Majisteret Mohd Firdaus Zainal Abidin membenarkan kedua-dua anggota polis tersebut direman selama enam hari bermula hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua anggota terbabit kini ditahan di lokap Ibu Pejabat SPRM Kelantan dekat Lundang di sini untuk siasatan lanjut.

SPRM Sambung Rakam Keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng untuk kali kedua bagi melengkapkan siasatan berhubung pembelian banglo beralamat No. 25 Jalan Pinhorn Pulau Pinang oleh beliau.

Lim Guan Eng hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 10.00 pagi ini dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 8 malam ini.

Semalam, SPRM telah mengambil keterangan Guan Eng selama tujuh jam di Ibu Pejabat  SPRM Pulau Pinang.

Sehingga kini seramai 65 saksi telah dipanggil dan dijangkakan beberapa orang saksi lagi akan dipanggil pada minggu depan untuk memberi keterangan berhubung isu ini.


SPRM yakin siasatan kes berkenaan kini telah memasuki fasa terakhir dan memberi jaminan bahawa akan menyiasat secara bebas, telus dan profesional.

Friday, May 6, 2016

Guan Eng, isteri beri keterangan kepada SPRM

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini, sebentar tadi, untuk memberi keterangan berhubung kontroversi pembelian banglonya di Jalan Pinhorn dan isu penjualan tanah di Taman Manggis.

 Guan Eng yang diiringi isterinya, Betty Chew Gek Cheng, tiba jam 9.35 pagi. Turut kelihatan, Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri, Gobind Singh Deo dan Ram Karpal Singh.

Mengiringi Guan Eng ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, RSN Rayer.

Isu tanah Taman Manggis bermula pada tahun 2012 apabila kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) fasa kedua di tapak seluas 0.45 hektar di situ, dan menjual tanah terbabit kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC), dipercayai pada tahun 2011.

Thursday, May 5, 2016

SPRM Kelantan Minta Kerjasama Ketua Jabatan Elak Ketirisan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan meminta semua ketua jabatan dan agensi kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri memberi kerjasama padu dalam usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil.

Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata kesepakatan itu perlu bagi memastikan kutipan hasil negeri meningkat.

"Berdasarkan pemerhatian, terdapat senario kes tuntutan palsu membabitkan kontraktor atau pihak ketua jabatan dalam memberi perakuan bagi membolehkan kerajaan memberi bayaran...ini saya anggap ketirisan dan kemungkinan ada juga unsur-unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah 'Senario Rasuah Dari Perspektif SPRM' di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir sama Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Datuk Seri Zakaria Jaafar, yang menyampaikan ceramah 'Cegah Rasuah dan Ketirisan-Tingkatkan Hasil'.

SPRM Kelantan hari ini mengadakan dua sesi taklimat khas dan dialog berasingan bersama-sama ketua jabatan yang mewakili 120 agensi kerajaan Persekutuan dan 58 agensi di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Moh Samsudin berkata apa yang lebih malang, bayaran itu diberikan kepada individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pegawai berkenaan.

"Ini sesuatu yang amat serius dan tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agensi kerajaan. Saya tidak menolak perkara ini akan berlaku lagi kerana kecuaian dan ketidaksungguhan pegawai yang sepatutnya memikul tanggungjawab mengingatkan pegawai bawahannya," katanya.

Tanpa menyatakan jumlah kes yang disiasat, beliau sebaliknya meminta ketua jabatan menyediakan satu segmen khusus berhubung kempen cegah rasuh setiap kali masyuarat bulanan diadakan.

Beliau turut menasihatkan orang awam tanpa mengira pangkat dan latar belakang politik supaya tidak memberi keterangan atau aduan palsu berhubung sesuatu kes kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Wednesday, May 4, 2016

55 peratus belia terlibat rasuah

Sebanyak 55 peratus atau 1,045 daripada 1,902 individu yang terlibat dalam kegiatan rasuah merupakan mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jumlah yang direkodkan sejak tiga tahun lalu itu menunjukkan situasi membimbangkan berhubung gejala tersebut yang melibatkan golongan belia.

“Jumlah yang direkodkan ini sangat membimbangkan kerana golongan ini berfikiran bahawa memberi rasuah adalah jalan mudah untuk tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Pemikiran sedemikian perlu diperbetulkan kerana golongan ini merupakan pelapis negara. Oleh itu, kefahaman tentang kegiatan dan kesalahan rasuah perlu diterapkan sejak dari bangku sekolah lagi demi masa depan mereka,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan kepada masyarakat berhubung kegiatan rasuah merupakan elemen terpenting yang perlu diperluaskan bagi membolehkan mereka memahami tentang rasuah dan langkah-langkah pencegahan.

“Daripada aspek pencegahan, kita bukan sahaja mahu mengurangkan atau meminimakan kegiatan rasuah malah kalau boleh kita mahu menghapuskan terus semua ruang dan peluang perlakuan tersebut.

“Oleh itu, antara tindakan yang kita gunakan adalah melalui medium turun padang dan program Wira Anti Rasuah bagi membolehkan murid sekolah rendah hingga ke peringkat belia memahami apa itu rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan penduduk di daerah ini tentang perlakuan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Op Gading di kawasan tanah tinggi itu, beliau berkata, laporan mengenai perkara itu perlu dilakukan kepada SPRM bagi membolehkan tindakan diambil.

Katanya, penduduk tempatan tidak perlu bimbang untuk melaporkan sebarang aduan kerana terdapat akta khusus perlindungan kepada pemberi maklumat iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Untuk memastikan kegiatan pencegahan rasuah yang berkesan, masyarakat perlu datang dan laporkan kepada SPRM. Mereka tidak boleh hanya pergi kepada media dan pihak tertentu sahaja. Ini menyebabkan, kita tidak dapat membanteras gejala rasuah kerana tidak ada maklumat yang tepat.

“Kita perlukan maklumat untuk menjalankan penguatkuasaan, tidak perlu mereka menghantar surat layang atau mengadu sana, mengadu sini. Mereka hanya perlu datang kepada kita dan laporkan sahaja,” katanya.

Tuesday, May 3, 2016

Program 'Walkabout' Sebar Mesej Anti Rasuah di Teluk Cempedak


SPRM terus pergiat usaha menyebarluas mesej anti rasuah kepada masyarakat dalam rangka memberi kesedaran bahaya dan kesan rasuah kepada masyarakat.

Kesinambungan Program Walkabout diteruskan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan hari ini menyaksikan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan para pengunjung.

Program Walk About kali ini adalah bersempena Program Merakyatkan SPRM Bersama Masyarakat Bersama Majlis Perbandaran Kuantan merupakan salah satu usaha mengajak masyarakat untuk bersama-sama menentang jenayah rasuah selain memelihara sokongan baik masyarakat terhadap SPRM.

Perasmian Program Walk About disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesurujaya Pencegahan SPRM, Dato' Sri Hj. Mustaffar Ali diikuti gimik pelancaran oleh kelab motosikal berkuasa tinggi, Pahang Bikers.

Risalah-risalah serta poster-poster yang mengandungi mesej anti rasuah kemudiannya diedarkan kepada para pengunjung di sekitar Pantai Teluk Cempedak termasuk penerangan dan penjelasan isu-isu berkaitan rasuah secara bersemuka oleh pegawai-pegawai daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) serta Unit Penmas negeri.

Selain itu Kelab Predator Kuantan dan Cryton Kuantan (kelab motosikal bawah 250cc) yang kebetulan berada di Pantai Teluk Cempedak juga turut menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha membanteras rasuah.

Turut hadir pada program ini ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, YB. Dato' Haji Fadzilla Haji Salleh, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil, dan Pengarah SPRM Pahang, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah.

Sahutan Wira Anti Rasuah di Cameron Highlands


Laungan "Kami Wira Anti Rasuah" mengakhiri Kempen Wira Anti Rasuah (WAR) di empat buah sekolah disini, hari ini.

Program WAR yang bermula semalam diadakan di empat sekolah sekitar Tanah Rata dan Brinchang membabitkan seramai 600 orang pelajar.

Seramai 300 pelajar telah menyertai program WAR di Tanah Rata pada hari pertama membabitkan dua sekolah iaitu SJKT Tanah Rata dan SMK Sultan Ahmad Shah.

Manakala hari kedua, program WAR diadakan di dua sekolah di sekitar Brinchang iaitu SJKC Brinchang  dan SK Convent yang turut membabitkan 300 pelajar.

WAR merupakan satu program khusus yang dirangka bagi mendidik dan menerapkan nilai integriti dan anti rasuah di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Program yang telah bermula sejak  tahun 2014 ini merupakan satu inisiatif khusus Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) untuk menyebarluas mesej anti rasuah di kalangan generasi muda hari ini.

Ketua  Seksyen Pendidikan PENMAS, Than Chew Keok berkata, program WAR ini adalah pertama kali di adakan di Daerah Cameron Highlands.

"Program hari ini berjaya diadakan rentetan kerjasama yang baik dan jitu dari Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak berkuasa tempatan.

"Menariknya kali ini juga kita berjaya adakan program  di semua peringkat sekolah iaitu Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, SJKC dan SJKT," katanya.

Gerak Mesra SPRM, PBT

Program Gerak Mesra iaitu gotong royong pihak berkuasa tempatan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah diadakan disini.

Gotong- royong bertujuan membersihkan persekitaran kawasan Dataran Tanah Rata yang tumpuan utama pelajar dan penduduk sekitar.

Seramai 100 pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah turut terbabit dalam program yang turut disertai oleh Alam Flora, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Daerah Cameron Highlands ini.

Selain meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan kawasan sekitar yang bersih dan selamat program ini juga bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama diantara agensi tempatan dan SPRM.

Pengusaha Teksi Didenda RM10,000 Selepas Mengaku Salah Terima Suapan


Seorang pengusaha syarikat teksi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, Johor Baharu, selepas mengaku bersalah menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada seorang pemandu teksi bagi menyelesaikan satu kes, Julai tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Radzali Attan, 55, menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Radzali didakwa menerima wang itu daripada Mohd Yunos Wahab sebagai dorongan dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas penjawat awam iaitu pegawai daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menyelesaikan kes yang dihadapinya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Mohd Yunos melakukan kesalahan itu ketika memandu teksi bernombor HJA 1000 pada 7 Jun 2015.

Radzali yang juga bekas Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Muar dituduh menerima suapan terbabit di rumahnya di Lorong Hajah Salamah, Off Jalan Bakar Batu, Muar pada 1.15 tengah hari, 13 Julai 2015.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, dituduh mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya.

Radzali yang tidak diwakili peguam dan sudah tidak bekerja dalam rayuannya, memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan tiga daripada 11 anaknya masih bersekolah, seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) manakala dia sendiri sedang menjalani rawatan hospital akibat sakit tulang belakang.

Radzali kemudian membayar denda berkenaan.