Monday, October 31, 2016

Disayangi Masyarakat, Digeruni Perasuah - SPRM Dekati Masyarakat Orang Asli


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu sentiasa bertegas dan tidak bertolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawabnya termasuklah mendampingi masyarakat Orang Asli bagi mendidik mereka berkaitan pencegahan rasuah .

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, SPRM akan terus memburu perasuah di samping mendampingi masyarakat bagi memberi pendidikan secara konsisten dengan sokongan semua masyarakat sama ada di bandar atau di desa termasuk masyarakat orang Asli.

" SPRM sentiasa mendampingi semua lapisan masyarakat tanpa meninggalkan mana-mana golongan minoriti atau yang majoriti.

“Program Merakyatkan SPRM kali ini khas diadakan bagi mendekati masyarakat Orang Asli di seluruh negara bagi mendidik mereka bagaimana menyampaikan aduan yang berkualiti dan diharapkan dimanafaatkan oleh masyarakat setempat khasnya pengetahuan untuk bertindak membuat laporan yang tepat kepada agensi-agensi yang terlibat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Merakyatkan SPRM Bersama C4 dan Pemimpin-Pemimpin Orang Asli di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama sehari ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, YB Tuan Mat Yusof Abdul Ghani.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA), Suhaimi Mahmud; Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM) Dato' Dr.  Jamalludin Harun; Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Mohd Rodhi Chu Abdullah; Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel; Pengarah SPRM Kelantan, Dato' Moh Samsuddin Yusof; Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Hj. Abdul Samat Kasah dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, KPKPj Ismajuri Ismail.

Friday, October 14, 2016

“KEBERSAMAAN MEMERANGI RASUAH”


Khutbah Jumaat 14 Oktober 2016 / 13 Muharram 1438

“KEBERSAMAAN MEMERANGI RASUAH”

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai berbekalkan sumber rezeki yang halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Bersempena dengan sambutan Ulangtahun BPR / Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ke-49, mimbar pada hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "KEBERSAMAAN MEMERANGI RASUAH”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab dan kebersamaan umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan). Dalam hal ini kita berperanan untuk menyeru, mengajak atau memanggil manusia agar beriman dan mentaati segala perintah Allah SWT dalam memastikan lima perkara asas (al-Kuliyaat as-Syar’iah al-Khams) iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara dengan sebaik mungkin.
Yang perlu kita pastikan ialah pelaksanaan tanggungjawab ini hendaklah dilakukan dengan penuh amanah. Jika tidak, maka segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan akan berleluasa serta kebenaran tidak dapat ditegakkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 27:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH,

Masalah rasuah yang dibincangkan oleh masyarakat ini adalah sebahagian daripada perkara mungkar malah merupakan satu jenayah yang membimbangkan semua pihak. Apatahlagi, ia telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat persis penyakit barah yang sedang merebak dalam tubuh negara. Andaikan perkara ini berlanjutan, sudah pasti ia semakin membesar, memakan dan mereput tonggak-tonggak utama negara sekaligus menggugat keimanan dan menggoncang ketetapan hati sehingga mengakibatkan bencana yang besar kepada negara.

Cetusnya kegelisahan ini adalah kerana rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni, dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, akan lahir anggota masyarakat yang berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya. 

Berdasarkan laporan, lazimnya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam adalah meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalahguna kedudukan jawatan untuk tujuan suapan.

Barangkali kita terlupa bahawa Allah SWT telah menegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Kenyataan ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tabrani:

Mafhumnya: “Daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (HR at-Tabrani)

SIDANG JUMAAT YANG DI RAHMATI ALLAH ,

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah ini berlaku?. Ya, berdasarkan laporan antara lain ia berpunca daripada kegagalan individu dalam mengawal nafsu yang besar, bersifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sememangnya ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin ’Iyadh RA:

Mafhumnya: ”Daripada Ka’ab bin ’Iyadh RA belia mendengar Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya setiap umat ditimpa fitnah (ujian); dan fitnah bagi umatku ialah harta”.

Dalam nada yang sama, Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa antara perkara yang menjadi penghalang bagi umat Islam ialah terjadinya fitnah syubhat (kekeliruan) dan fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu). Secara tuntas, mereka yang terlibat dengan jenayah ini membawa implikasi buruk terhadap sistem pembahagian kekayaan negara yang tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasanya kezaliman dalam masyarakat.

Lebih malang lagi, ia merugikan golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dengan adanya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mimbar yakin lebih banyak manfaat akan dapat diraih oleh masyarakat dan negara. Namun, perjuangan ini tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan dari pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras.

Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat.

Ingatlah! isu rasuah adalah isu rakyat. Untuk itu, setiap rakyat perlu benar-benar merasai kehadiran SPRM seolah-olah ia kepunyaan kita bersama. Di samping itu, SPRM juga akan mengekalkan nilai integriti dan sentiasa menjalin kemesraan dengan rakyat di sebalik ketegasannya dalam membela rakyat memerangi perasuah secara habis-habisan. Mimbar berharap keseriusan kita memerangi jenayah rasuah ini secara bersama dapat melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta sebagaimana yang dituntut oleh syarak dan menepati hasrat kerajaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2,

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama:   
Nilai integriti dan sifat amanah dapat menjadi benteng kepada sebarang perilaku negatif termasuk gejala rasuah.

Kedua:      
Menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran akan menambahkan kemakmuran bumi Allah SWT dengan benih-benih kebaikan.

Ketiga:      
Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti hendaklah diserapkan ke dalam ketetapan minda (mind set) masyarakat agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri di samping meningkatkan tahap motivasi, kecekapan dan mutu kerja.

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

“ KHUTBAH KEDUA”


Ya Allah Ya Tuhan Kami. Kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Friday, October 7, 2016

Barang kemas dirampas seberat 19.3kg, bernilai RM3.64j


Barang kemas yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah bernilai RM3.64 juta.

Menurut sumber rapat dengan pasukan pegawai penyiasat dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, SPRM telah mendapatkan khidmat seorang pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat.

"Berat barang kemas bagi suspek berjawatan pengarah adalah 14.5kg yang bernilai RM2.74 juta manakala nilai barang kemas seberat 4.8kg bagi suspek berjawatan timbalan pengarah dianggarkan dalam RM900,000," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, proses menilai barang kemas itu bermula kira-kira 10.30 pagi ini dan selesai kira-kira 12.15 tengah hari.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.   

Sehingga kini, nilai rampasan melebihi RM114.5 juta diperoleh daripada suspek dan keluarga mereka, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan itu.

Dalam sidang akhbar pada Rabu lepas (5 Oktober), Azam mendedahkan rampasan wang tunai dan sejumlah barang kemas serta sembilan kereta mewah.

Pengarah dan timbalan pengarah itu ditahan reman bersama dua lagi individu awam sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Membanteras rasuah bukan tugas eksklusif SPRM


Pencegahan dan pembanterasan rasuah bukan tugas eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semata-mata, sebaliknya menuntut penglibatan rakyat keseluruhan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata penglibatan dan sokongan rakyat dalam usaha pencegahan rasuah berupaya memberi impak yang amat besar kepada suruhanjaya itu dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata kesepaduan, kerjasama dan kebersamaan antara SPRM dan anggota masyarakat amat penting dalam memastikan usaha-usaha ke arah pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Justeru, saya harap anggota SPRM dapat menterjemahkan suatu perubahan yang lebih bermakna agar dapat terus bersama rakyat, berganding bahu dan saling melengkapi dalam mewujudkan masyarakat yang bebas rasuah," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran, tazkirah dan solat hajat di Masjid Putra di sini hari ini.

Majlis bersempena sambutan ulang tahun ke-49 penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil serta jemaah di kalangan penduduk setempat.

Dzulkifli turut menarik perhatian bahawa dalam SPRM perlu dilihat bersama, membela dan mesra rakyat tetapi dengan perasuah perlu berubah karakter dengan memerangi secara habis-habisan.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul setiap anggota dan pegawai SPRM merupakan satu amanah yang akan dipersoal rakyat tetapi lebih utama persoalan yang perlu dijawab di akhirat kelak.

Majlis itu turut diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Pencegahan Rasuah #BermulaDaripadaAnda' oleh pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

SPRM bantu golongan gelandangan


Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan satu program untuk membantu golongan gelandangan pagi tadi di ibu kota.


Program ini juga merupakan program kebajikan SPRM dalam mendekatkan diri bersama masyarakat dan diketuai sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.


“Selain itu, program ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW juga di mana hari Jumaat adalah hari di mana nilai atau pahala sedekah akan berlipat ganda.”

Thursday, October 6, 2016

RM750,000 lagi wang tunai dirampas SPRM


Sebanyak RM750,000 lagi wang tunai ditemui selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga peti simpanan bank milik isteri seorang daripada suspek yang ditahan dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri Sabah, hari ini.

Ia disahkan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, sebentar tadi.

Selain wang tunai, sejumlah barangan kemas turut ditemui dalam peti terbabit di dua bank di Kota Kinabalu, namun nilainya belum dapat ditaksirkan.


Sebelum ini, SPRM merampas RM2.5 juta wang tunai dalam sebuah peti besi milik timbalan pengarah.

Ubah wang haram, Pengarah JKR Melaka didakwa lagi


Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hKuala Lumpur bagi berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM4.1 juta.

Sebelum ini pada 29 September, Khalid, 56, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, atas 16 pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM1.28 juta.

Hari ini, Khalid, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu selepas ianya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memiliki wang berjumlah RM1,984,798.08 di akaun Amanah Saham Wawasan 2020 dan RM2,135,634.13 di akaun Amanah Saham Didik miliknya yang mana kedua-duanya merupakan hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Amanah Saham Nasional Berhad, Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB), 201-A, Jalan Tun Razak, di sini, antara September 2015 hingga Julai tahun ini. Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah menggunakan jaminan sama yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Melaka iaitu RM250,000 dengan seorang penjamin, sebelum ini.

Beliau turut memohon menggunakan syarat tambahan sama yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Melaka iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka pada setiap hujung bulan.

Ahmad Akram juga mencadangkan kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka untuk dibicarakan bersama-sama dengan 16 lagi pertuduhan itu. Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Khalid tidak membantah terhadap permohonan itu.


Mahkamah menetapkan 4 November untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Melaka.

Sabah beri kerjasama penuh kepada SPRM - Musa


Kerajaan negeri Sabah akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan dua pegawai kanan yang ditahan semalam kerana didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur di negeri ini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri akan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka secara adil.

"Kerajaan negeri juga akan mengkaji sistem dan prosedur dalam proses tender dan pemberian projek dalam semua jabatan untuk mengenal pasti kelemahan atau jalan keluar yang memberi peluang kepada rasuah dan salah guna kuasa," katanya dalam kenyataan di sini, Hari ini.

Musa juga mengingatkan penjawat awam untuk terus berpegang kepada konsep integriti ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di jabatan masing-masing.

Hari ini, SPRM merampas RM14.5 juta daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RNM3.3 bilion di Sabah.

SPRM Tahan 4 Individu Termasuk Dua Penjawat Awam Terlibat Rasuah, Rampas Wang Tunai RM 53 Juta







Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu kegiatan rasuah melibatkan penjawat awam dengan rampasan wang tunai terbesar di negara ini sejak penubuhan agensi pencegahan rasuah itu 49 tahun lalu.

Semalam, SPRM telah menahan dua penjawat awam yang memegang jawatan Pengarah (J54) dan Timbalan Pengarah (J52) sebuah agensi kerajaan kira-kira pukul 9.15 pagi di pejabat masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah.

Kedua-duanya yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu dipercayai telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai lebih kurang RM53 juta daripada kedua-dua suspek tersebut.

Ia melibatkan wang berjumlah RM45 juta daripada pengarah terbabit manakala RM 7.2 juta daripada timbalan pengarah tersebut.

Kesemua rampasan itu dibuat di pejabat dan rumah masing-masing.

Susulan penahanan tersebut, SPRM turut menahan dua lagi individu termasuk adik kepada timbalan pengarah terbabit yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun.

Seorang lagi suspek merupakan akauntan yang bekerja di syarikat Datuk tersebut iaitu lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan membantu untuk menyelenggara duit yang diperoleh secara rasuah.

Selain wang tunai itu, SPRM juga telah menyita beberapa akaun milik Pengarah, Timbalan Pengarah dan Datuk tersebut yang dianggarkan lebih kurang RM62 juta.

SPRM juga mempercayai mereka memiliki wang di beberapa buah bank di luar negara.

Selain itu, SPRM turut membuka satu daripada enam peti simpanan milik timbalan pengarah tersebut di beberapa bank yang mengandungi wang tunai RM2.5 juta. Selebihnya akan dibuka dengan bantuan bank dalam masa terdekat.

SPRM juga telah mengenalpasti beberapa orang lagi individu yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.

Tindakan proaktif ini adalah selaras dengan amaran Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu semua yang terlibat dalam rasuah terutamanya penjawat awam supaya menghentikan aktiviti-aktiviti haram mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah.

Dalam pada itu, SPRM turut merampas 127 geran tanah, sembilan buah kenderaan mewah iaitu Range Rover, Audi, BMW, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda, BMW, Lexus, Volvo, jam tangan berjenama, barang-barang kemas serta 94 beg tangan berjenama mewah milik isteri-isteri suspek.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari.

Wednesday, October 5, 2016

SPRM berkas pengarah, timbalan di Sabah

Memiliki aset dan wang tunai bernilai lebih RM100 juta! Mungkin ia perkara biasa bagi mereka yang berjaya dalam perniagaan, tetapi bagaimana jika ia kepunyaan pegawai kanan kerajaan yang hanya berjawatan pengarah atau timbalan pengarah?

Walaupun ia nampak mustahil tetapi itulah yang diberjaya dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Sabah, hari ini.

Lebih mengejutkan, dalam operasi khas di sebelah pagi, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM15 juta di pejabat dan kediaman kedua-dua mereka. Bagaimanapun difahamkan jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas lebih besar hasil beberapa lagi serbuan selepas itu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 51 dan 54 tahun dan ditahan pada pukul 9.15 pagi itu dipercayai hidup mewah dengan memonopoli dan memberi projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2010 kepada ahli keluarga mereka.

“Kita juga sedang menyiasat aset-aset lain yang mungkin dimiliki atau mempunyai kaitan dengan suspek antaranya tanah, rumah dan bangunan,” katanya.

Jelasnya, SPRM kini sedang memburu beberapa kontraktor yang dipercayai saudara mara kedua-dua suspek bagi membantu siasatan dan melakukan serbuan di beberapa tempat termasuk agensi terbabit dan syarikat kontraktor terlibat.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi menutup periuk nasi puluhan kontraktor lain yang langsung tidak diberikan peluang untuk memasuki tender agensi terbabit.


Mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Tuesday, October 4, 2016

SPRM Lantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Baharu



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan perlantikan Pengarah Bahagian Siasatan, YBhg. Dato' Azam bin Baki, 53, sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri bin Abdull, 56, yang bersara wajib secara rasmi pada 3 Oktober 2016.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, YBhg. Dato' Shamshun Baharin bin Mohd Jamil, 55, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM berkuatkuasa pada 4 Oktober 2016 bagi menggantikan YBhg. Dato' Sri Hj. Mustafar bin Hj. Ali yang ditempatkan di Jabatan Imigresen Malaysia.

Sebelum ini, Dato’ Azam dan Dato’ Shamshun Baharin masing-masing telah memangku jawatan tersebut.

Saturday, October 1, 2016

1 Oktober 2016, Hari Ulang Tahun Penubuhan BPR/SPRM Ke-49

1 Oktober 2016, Hari Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah/ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia BPR/SPRM Kali Ke-49.



“Isu rasuah adalah isu rakyat. SPRM perlu dirasai bersama. SPRM mesti mesra dengan rakyat tetapi perlu juga digeruni. Dengan rakyat kita mesra, kita bersama rakyat membela rakyat, tetapi dengan perasuah kita peranginya habis habisan.”

Isu Rasuah adalah isu rakyat


Setelah 49 tahun penubuhan agensi pencegahan rasuah serta melalui transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 2009, ia telah menampakkan perubahan ketara dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas dalam melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang, SPRM terus komited untuk membasmi jenayah rasuah di negara ini.

Terbaharu,  Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan untuk memberi tumpuan khusus pencegahan rasuah dalam kalangan penjawat awam bagi membendung isu ketirisan hasil kerajaan serta memastikan keadilan sentiasa ditegakkan.

Tumpuan telah diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Kejayaan pelbagai operasi SPRM dalam tempoh dua bulan ini membuktikan  SPRM  tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

Golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Selain itu, SPRM juga telah mempertingkatkan peranan pegawai integriti agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat ditambahbaik.

Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Penguat kuasa undang-undang seperti SPRM selalunya dilihat hanya berani menangkap 'ikan bilis' dan bukannya 'jerung'.

Di sinilah peranan SPRM dalam menangkis persepsi umum ini, masyarakat haruslah mengerti di sini bahawa, isu ikan bilis mahupun jerung hanyalah berkaitan persepsi.

SPRM pernah menyiasat banyak kes berprofil tinggi sebelum ini. Kebanyakan kes profil tinggi juga dibawa ke muka pengadilan dan hukuman dikenakan terhadap individu yang berprofil tinggi.

Dalam pada itu, 49 tahun penubuhan BPR/SPRM, semenjak dari dahulu lagi usaha memerangi rasuah menjadi satu perkara yang sering dipolitikkan. Segala tindakan yang diambil oleh SPRM dalam membendung gejala rasuah dalam negara sering menjadi isu dan polemik politik.

Inilah cabaran utama yang sering dihadapi oleh SPRM. Namun percayalah, cabaran seumpama ini mampu diatasi oleh SPRM apabila ia terus bertindak dengan adil, amanah dan tegas serta melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang.

Justeru, kini tugas dan peranan SPRM bukan hanya tertumpu kepada meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan kepada kes-kes berkepentingan rakyat.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa SPRM akan meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan. Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan.

Dalam masa yang sama, perancangan yang teliti akan diteruskan bagi mempertingkatkan keupayaan pegawai-pegawai SPRM selain dapat menangkis segala persepsi buruk.

Di samping itu, usaha SPRM menggiatkan lagi kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang lain adalah usaha memerangi rasuah dapat dijalankan secara holistik sehingga membuahkan hasil yang berkesan.

Tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara punitif dan preventif akan dilihat dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Tetapi perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM.

Seperti yang telah dinyatakan Datuk Dzulkifli Ahmad, “SPRM perlu dirasai bersama. SPRM mesti mesra dengan rakyat tetapi perlu juga digeruni perasuah”.

Di peringkat negeri, SPRM Negeri Sembilan sentiasa peka dan memberi bekerjasama sebagai satu pasukan dengan matlamat dan hasrat yang sama iaitu melihat negara ini bebas rasuah.

Justeru rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM juga harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

*Datuk Rohaizad Yaakob, Pengarah SPRM Negeri Sembilan