Thursday, November 29, 2018

SPRM KESAN AHMAD RAZINI BANTU LENGKAPKAN SIASATAN

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu melengkapkan siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Ahmad Razini Md. Rais, 39, mempunyai alamat terakhir di 26, Jalan Jelita, Taman Suliana, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Penguasa Nordinansah Kasim di talian 019-589 5919 atau e-mel kepada nordinansah@sprm.gov.my.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

30 NOVEMBER 2018

Wednesday, November 21, 2018

Jadikan Malaysia dikenali kerana integriti, bukan kerana rasuah


Dasar 'Pandang ke Timur' yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1982 bertujuan mendidik rakyat Malaysia khususnya penjawat awam agar mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun dan Korea. 

Bangsa Jepun ketika itu telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan integritinya.

Sejak itu, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi. 

Namun entah di mana silapnya, selepas lebih tiga dekad, apa yang ingin dicapai seolah-olah tidak membuahkan hasil.

Lebih malang, disebabkan terpalit dengan isu 'grand corruption' sejak 2015, Malaysia mula disebut sebagai sebuah negara kleptokrasi, bukan negara integriti.

Faktanya, indeks persepsi rasuah (CPI) menunjukkan tren penurunan. Pada 2014 CPI negara mencatatkan 52 markah sahaja dan turun sehingga 47 pada tahun lalu. 

Namun begitu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucaptamanya sempena Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor baru-baru ini berkata, Malaysia baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 menuntut rakyat untuk berpegang kepada prinsip integriti dan tata kelola dalam pembangunan bangsa dan negara.

Jelas beliau, dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan prinsip ini sebagai tonggak utama dasar pembangunan ekonomi kerana ini merupakan asas kepada penyelesaian gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh sebab itu, kerajaan baharu memulakan agenda antirasuah nasional bermatlamatkan 'negara dikenali kerana integritI dan bukan kerana rasuah'.

Walaupun agenda tersebut ialah antara puluhan inisiatif yang dinyatakan oleh kerajaan, namun sudah pasti perkara tersebut dianggap tunjang kerana isu integriti merupakan faktor asas wujudnya pelbagai jenayah.

Inilah masa dan peluang bagi rakyat untuk kembali memperbetulkan keadaan dan yang paling penting ialah keterlibatan dalam usaha tersebut.

Agenda seumpama ini tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi tunggal pencegahan rasuah atau mana-mana agensi lain berkaitan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sahaja.

Rakyat harus ingat, di Jepun sekali pun, mereka juga pernah melalui detik 'hitam' berperang dengan persepsi masyarakat dunia.

Misalnya,Jepun yang terkenal dengan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi itu diuji dengan insiden keterlibatan ahli gusti Sumo dalam match fixing oleh sindiket perjudian antarabangsa.

Insiden ini amat memalukan kerajaan Jepun. Walau bagaimanapun, satu iktibar yang boleh dicontohi daripada insiden ini ialah apabila Presiden Japan Sumo Association (JSA) ketika itu memanggil semua ahli gusti atau yokozuna yang terlibat dalam skandal itu.

Mereka akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Jepun dan dunia kerana telah melakukan kesilapan mencemarkan nilai murni masyarakat yang diamalkan oleh masyarakat Jepun bertahun lamanya.

Kesemua ahli gusti itu telah membuat permohonan maaf terbuka dan menamatkan karier sebagai ahli gusti Sumo termasuk Presiden JSA itu sendiri, biarpun beliau tidak tahu-menahu akan penglibatan anak buahnya itu dalam sindiket perjudian antarabangsa berkenaan.

Inilah satu contoh akauntabiliti tinggi oleh seorang pemimpin yang berintegriti. Nilai akauntabiliti inilah yang sedang dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program pengukuhan integriti.

Berbekalkan iltizam yang kuat dan melalui sokongan serta dokongan kuat di pihak kerajaan, maka tidak mustahil masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan baik akhlaknya.

Oleh itu, sejajar dengan perubahan politik tanah air, rakyat mesti berani dan yakin berada dalam realiti baharu. Tidak boleh lagi berasa rendah diri dan mengalami kekalahan psikologi yang berpanjangan. Mesti bersiap-siaga sepanjang masa.

Hanya perubahan minda dan budaya yang radikal sahaja membolehkan rakyat berubah agar kelak apa yang diimpikan menjadi realiti.



SPRM KESAN LELAKI BANTU LENGKAPKAN SIASATAN

KENYATAAN MEDIA SPRM




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu melengkapkan siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Kamarul Ramizu Idris, 51, mempunyai alamat terakhir di No. 75, Lorong 7, Taman Suria, 34000 Taiping, Perak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Penguasa Md. Muiz Md. Ali di talian 012-4166937 atau Penolong Penguasa Muhammad Faiz Murad di talian 019-4480625.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

22 NOVEMBER 2018

Wednesday, November 14, 2018

SPRM DAPAT IZIN DAKWA EMPAT INDIVIDU

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rizal Mansor di mahkamah esok.

Kedua-duanya akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada 15 November 2018, jam 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Rosmah juga telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.00 tengah hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM telah menahan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

14 NOVEMBER 2018

Friday, November 9, 2018

KES MUSA AMAN: KERTAS SIASATAN DISERAHKAN KE PEJABAT PEGUAM NEGARA PADA 2012

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyatakan berkaitan laporan berita yang memetik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta SPRM menjelaskan sebab bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak dituduh sebelum ini.

SPRM telah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

Walaubagaimanapun, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik.

Bagaimanapun, SPRM telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula. Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau telah dituduh pada 5 November lalu.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA

9 NOVEMBER 2018

Thursday, November 8, 2018

Bekas pengurus mengaku tidak bersalah terima suapan RM270,000


SHAH ALAM: Bekas pengurus sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM270,000 bagi kerja-kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), enam tahun lalu.

Tertuduh, Affendi Bahrom, 44, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd didakwa menerima suapan berjumlah RM270,000 melalui empat transaksi menerusi cek daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad, Kelana Jaya dan Maybank Berhad, TTDI Jaya, di sini, secara berperingkat-peringkat pada bulan Mei, Jun, Ogos dan Oktober 2012 lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 Akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman yang memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain pasport ditahan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam A.G. Kalidas yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

“Saya turut memohon agar pasport anak guam saya tidak ditahan kerana dia sering kali ke luar negara atas urusan perniagaan namun tidak pernah mengabaikan kes ini dan memberikan kerjasama setiap kali diminta hadir untuk memberi keterangan,” katanya.

Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 6 Disember ini.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh ditahan namun ia boleh dipohon semula sekiranya tertuduh memerlukannya bagi urusan kerja di luar negara.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/495772/bekas-pengurus-mengaku-tidak-bersalah-terima-suapan-rm270000#cxrecs_s

Tuesday, November 6, 2018

Musa mengaku tidak salah 35 pertuduhan terima rasuah RM263 juta

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 35 pertuduhan memperoleh rasuah konsesi balak membabitkan jumlah AS$ 63.3 juta (RM263 juta) 13 tahun lalu.
Musa, 67, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 35 Musa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah didakwa telah secara rasuah memperoleh AS$63.3 juta (RM263 juta) untuk dirinya daripada lapan individu yang merupakan pemilik konsesi iaitu Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Hen, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon melalui pelbagai akaun sebagai dorongan untuk memberi kontrak konsesi balak terhadap 16 buah syarikat.

Syarikat-syarikat itu ialah Syarikat Bountiful Returns Sdn. Bhd., Syarikat Segar Tepat Sdn., JV Lestari Sdn. Bhd., Tamabina Sdn. Bhd., Sabapiorneer Sdn. Bhd., Danagaya Sdn. Bhd., LR Enterprise Sdn. Bhd., Lembah Mayang Sdn. Bhd., Fast Progress Sdn. Bhd., Maju Sinar Network Sdn. Bhd., Syarikat Eden Region Sdn. Bhd., Gasing Selatan Sdn. Bhd., Tetap Simfoni Sdn. Bhd., Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di pelbagai bank di Hong Kong dan Singapura antaranya
HSBC Claymore Plaza Singapura, UBS AG Bank, Central Hong Kong, Credit Suisse, Singapura dan Fortis Private Banking Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Pertuduhan dikemukakan dibawah subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mama yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya bekas Hakim Mahkamah Perseketuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala pembelaan diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Amer Hamzah Arshad.

Dalam prosiding itu, Gopal mencadangkan jumlah jaminan RM5 juta terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Amer memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan sebab Musa telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Selepas tiba di Kuala Lumpur dari London kerana pada pada Ogos lalu, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik terhadap SPRM," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta dengan RM1 juta dibayar pada hari ini manakala bakinya di bayar pada Rabu dengan syarat tertuduh mesti berada di Semenanjung Malaysia sehingga selesai pembayaran.

Terdahulu, Musa tiba di Kompleks Mahkamah pukul 1.25 petang selepas ditahan pegawai SPRM berhubung siasatan rasuah termasuk suapan untuk meluluskan konsesi balak.

Musa merupakan ketua menteri dari 2003 sehingga pilihan raya umum, 9 Mei lalu selepas kerajaan Barisan Nasional kalah di tangan parti Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 disember ini untuk sebutan semula kes - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/musa-mengaku-tidak-salah-35-pertuduhan-terima-rasuah-rm263-juta-1.781832

SPRM, KPK Indonesia jalin kerjasama banteras rasuah, jenayah rentas sempadan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia sebagai usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa rentas sempadan di Jakarta, Indonesia, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, kerjasama antara SPRM dan KPK selaras dengan Artikel 62, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) iaitu komitmen kerjasama dari sudut perkongsian maklumat serta penyiasatan mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa dihadapi kedua-dua negara.

“Inisiatif ini juga meliputi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, penyaluran maklumat, khidmat rundingan, pendidikan dan latihan dalam usaha meningkatkan integriti pegawai SPRM dan KPK dalam membanteras jenayah rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Pengerusi KPK, Agus Rahardjo mengenai kes rasuah serta langkah pencegahan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia bagi memastikan masalah yang boleh menjejaskan kemajuan ekonomi dan sosial kedua-dua negara itu dapat ditangani secara menyeluruh.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Bahagian Dasar Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Nor Azmi Karim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Datuk Junipah Wandi.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/495185/sprm-kpk-indonesia-jalin-kerjasama-banteras-rasuah-jenayah-rentas

Monday, November 5, 2018

SPRM KESAN DUA SAKSI BANTU SIASATAN

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua saksi bagi membantu siasatan kes SPRM.

Lelaki pertama yang dikesan ialah Md. Fuad Yasin, 53, yang mempunyai alamat di 61, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur dan 41, Suasana Permai, Jalan Darulaman Golf, 06000 Jitra, Kedah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Md. Fuad diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Rekhraj Singh di talian 019-555 8661 atau 03-8870 0446.

Manakala individu kedua yang dikesan ialah Yusoff Sulaiman, 63, yang mempunyai alamat di 48, Jalan 38/10 Taman Koperasi Polis, Fasa 2 Batu Caves, 68100, Batu Caves, Selangor.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Yusoff diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Rosni Mohd. Mokhtar di talian 016-773 4561 atau 03-8870 0451.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

5 NOVEMBER 2018

MUSA DITAHAN UNTUK PENDAKWAAN

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung siasatan kes rasuah setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Penahanan itu dibuat pada jam 10.05 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Susulan itu, Musa akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Musa akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 November 2018, jam 2.00 petang ini untuk pertuduhan tersebut.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

5 NOVEMBER 2018