Wednesday, August 29, 2018

SPRM PERJELAS ISU SIASATAN KES RASUAH DI MELAKA

KENYATAAN MEDIA SPRM



MERUJUK kepada laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara bagi pendakwaan kes melibatkan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, SPRM ingin menjelaskan bahawa kenyataan yang dimaklumkan oleh Pengarah SPRM Negeri Melaka, Abu Talib Othman seperti yang dilaporkan dalam akhbar tersebut tidak merujuk kepada kes berkenaan. Sebaliknya, kenyataan itu merujuk kes berlainan iaitu siasatan terhadap dua kes rasuah melibatkan dua kakitangan awam serta seorang kakitangan sektor swasta. SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkaitan penerimaan wang rasuah bernilai RM2.6 juta melibatkan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Melaka itu masih di peringkat siasatan dan kertas siasatan masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Sehubungan itu, SPRM memohon semua pihak terlibat khususnya pihak media agar tidak memutarbelitkan kenyataan itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan sekali gus menjejaskan reputasi dan kredibiliti SPRM dalam menjalankan siasatan. SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA 29 OGOS 2018

Monday, August 27, 2018

Bekas pengetua cemerlang tak mengaku salah guna kuasa

BEKAS pengetua cemerlang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Tawau, terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan pejabat dan alatan untuk keceriaan sekolah bernilai RM12,556.90.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka di Tawau, Zahba Selamat, 64, didakwa mengikut Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih syarikat Warisan Ledang Enterprise milik anaknya, untuk membekalkan alatan untuk keceriaan sekolah berjumlah RM2,702.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah berkenaan pada 24 Februari 2012.

Tertuduh turut didakwa membuat keputusan memilih syarikat sama untuk membekalkan alatan pejabat di SMK Abaka melalui lima pesanan sekolah bertarikh 27 Februari 2012 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM7,116.10.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan syarikat milik anaknya itu untuk membekalkan alatan pejabat melalui tiga pesanan sekolah bernilai RM2,738.80 pada 1 Oktober 2012.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen (Rasuah) Tawau, Abu Bakar Manat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/371889/bekas-pengetua-cemerlang-tak-mengaku-salah-guna-kuasa

Saturday, August 18, 2018

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: NAFI DAKWAAN AKAN DIROMBAK LIBATKAN PEGAWAI KANAN



SUSULAN dakwaan sebuah akhbar tempatan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dirombak melibatkan beberapa pegawai kanan di bahagian siasatan dan perisikan ke agensi lain, SPRM ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Laporan berkenaan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana tiada punca yang sahih serta dipercayai hanya berdasarkan maklumat yang ditularkan dan sekadar untuk mensensasikan berita.

Laporan ini boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai-pegawai SPRM serta berkemungkinan diputar belit sekali gus mencemarkan imej SPRM dan menimbulkan keraguan masyarakat.

Sehubungan itu, SPRM memohon agar  pihak media mendapatkan maklumat sahih terlebih dahalu daripada SPRM sebelum melaporkan berita kepada umum.

Tindakan melaporkan berita yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan agensi-agensi terlibat.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

18 OGOS 2018

Monday, August 13, 2018

KRISIS KEJUJURAN PENJAWAT AWAM

RAKYAT negara ini dikejutkan minggu lalu oleh laporan media mengenai tangkapan 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mencuri wang tunai RM3.5 juta dikatakan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk membiayai perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. Wang yang dicuri itu khabar­nya tidak disimpan dalam peti ­keselamatan.
Mengikut laporan, kumpulan pencuri terdiri daripada seorang ketua pegawai keselamatan gred 52 serta 16 orang lagi pengawal keselamatan lain gred rendah. Mereka melakukan jenayah itu pada pukul 3 pagi 10 Mei selepas mengetahui Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU tersebut.

Kesemua suspek kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan. Mereka ditahan setelah hadir pada petang Selasa 7 Ogos untuk dirakam percakapan mereka di Ibu Pejabat SPRM. Sehari selepas itu, mereka dibawa ke mahkamah di Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya.

Majistret Siti Nabilah Abd. Rashid kemudian membenarkan permohonan reman oleh SPRM ke atas semua mereka selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009. Wang tunai berjumlah RM840,700 dan sembilan motosikal bernilai RM90,000 disita daripada mereka.

Kes kecurian melibatkan pe­ngawal keselamatan JPM di Putrajaya ini mengingatkan saya kepada satu kes yang lebih besar lagi, berlaku setahun lalu, melibatkan beberapa pegawai kanan di suatu kementerian.

Dalam kes itu, pegawai SPRM telah menjalankan siasatan selama satu tahun menjejaki identiti pegawai yang menyalahgunakan kuasa berhubung satu projek kerajaan yang matlamat asalnya adalah membantu rakyat, ter­utama rakyat miskin.

Disebabkan kejujuran telah dikalahkan oleh kecurangan, pegawai tinggi kementerian yang terlibat ini telah bersubahat dengan 10 syarikat untuk menyeleweng dana kerajaan bernilai jutaan ringgit. Malang bagi penjawat awam berkenaan, aktiviti jenayah mereka ini dikesan oleh pihak berkuasa di bawah satu sistem pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM), dipanggil BNM Suspicious Transaction Report alert system, yang mampu mengesan dan menjejaki segala transaksi kewangan dalam jumlah besar.

Modus operandi penipuan yang dilakukan penjawat awam yang curang ini adalah mengisytiharkan suatu projek itu ­telah selesai disempurnakan oleh syarikat berkenaan (dan oleh itu syarikat berhak mendapatkan bayaran dari kerajaan), walaupun hakikatnya projek berkenaan belum dimulakan. Mengikut SPRM, kes penipuan ini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Setahun sebelum itu, sekitar Mac 2016, seorang pegawai kanan sebuah kementerian bersama lima individu lain ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat dalam satu sindiket penipuan tender kerajaan bernilai lebih RM100 juta. Lima individu berkenaan ialah kontraktor beberapa syarikat yang didapati terbabit dalam penipuan itu. Kesemua suspek berkenaan telah ditahan reman untuk proses siasatan.

Menurut laporan media, pegawai kanan kementerian berjawatan Setiausaha Bahagian itu dipercayai menerima wang suapan antara RM50,000 hingga RM1 juta daripada syarikat kontraktor berkenaan sebagai balasan memperoleh projek pembekalan melibatkan program kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Projek berkenaan sebenarnya tidak dilaksanakan tetapi syarikat kontraktor berkenaan menerima bayaran. Siasatan awal menunjukkan penjawat awam yang curang itu telah menerima habuan hampir RM20 juta dari syarikat-syarikat berkenaan.

Dalam kes terbaharu pada 5 Julai lalu, bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar dijatuhi hukuman penjara 22 tahun 6 bulan dan denda RM36 juta oleh Mahkamah Sesyen Melaka setelah didapati bersalah menerima suapan dan melakukan pengubahan wang haram bernilai RM5.4 juta dua tahun lalu. Beliau disabitkan 13 pertuduhan menerima suapan mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan dan 5 pertuduhan di bawah seksyen 4(1)(b) AMLA.

Kekerapan kes kecurangan dan salah laku penjawat awam kebelakangan ini amat membimbangkan, apatah lagi bila kita lihat Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index) 2017 yang menunjukkan Malaysia kini berada di tangga 62 dalam senarai 180 negara. Kedudukan ini lebih buruk daripada kedudukan kita pada 2016, iaitu di tangga 55 dalam senarai 176 negara.

Dari sudut kaca mata Islam, kejujuran dipanggil “amanah” (bererti “boleh dipercayai”), iaitu salah satu dari empat sifat murni Rasulullah SAW. Malangnya masih ada penjawat awam kita yang tidak mampu (atau sengaja enggan) mencontohi sifat ama­nah Rasulullah ini.

Beruntunglah penjawat awam kita yang sentiasa mengambil inga­tan dan pengajaran dari Ayat 27 Surah al-Anfal, yang mana 
Allah berfirman yang maksudnya “... dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahui.”

Dan beruntunglah juga mereka yang mengamalkan perilaku sesuai dengan hadis Rasulullah seperti diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’ud yang mana Baginda bersabda: “Hendaklah kamu berlaku jujur kerana kejujuran membawamu pada kebenaran, dan kebenaran membawamu ke surga. Dan hendaklah seorang itu berlaku jujur dan selalu jujur sehingga dia tercatat di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur” (Hadis riwayat Muslim)


DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.



http://www.utusan.com.my/rencana/utama/krisis-kejujuran-penjawat-awam-1.727934#ixzz5O2q5GtKh 

Wednesday, August 8, 2018

Isytihar harta 3 bulan selepas angkat sumpah

SEMUA Menteri Kabinet, anggota pentadbiran kerajaan dan ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajib mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata penambahbaikan ke atas pengisytiharan harta itu dibuat melalui persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

“JKKMAR mengadakan mesyuarat setiap bulan dan ada beberapa perkara sudah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

“Satu daripadanya JKKMAR bersetuju supaya pengisytiharan harta anggota Kabinet, pegawai pentadbiran dan semua Ahli Parlimen PH dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas mereka mengangkat sumpah.

“Dulu, ia hanya dibuat di peringkat Pusat dan (salinan pengisytiharan harta) hanya diserahkan kepada Perdana Menteri, manakala di peringkat negeri diserahkan kepada Menteri Besar, tetapi dengan persetujuan sekarang semua pengisytiharan harta yang dibuat anggota pentadbiran kerajaan baik negeri atau Pusat akan diserahkan salinannya kepada SPRM, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi ADUN dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri di Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Majlis lafaz IBR itu diketuai Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Shamsun Baharin berkata, kerajaan juga bersetuju pengisytiharan harta itu juga akan dimuat naik melalui laman portal SPRM.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan anti rasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah Nasional yang akan digubal kelak.

Shamsun Baharin berkata, SPRM juga sudah mengemukakan syor kepada JKKMAR mengenai pengisytiharan penerimaan hadiah oleh anggota pentadbiran PH bagi menggalakkan penerapan tadbir urus yang telus, berintegriti dan profesional di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berkata, Perak adalah negeri kedua selepas Melaka melaksanakan IBR.

Katanya, pujian harus diberikan kepada barisan kepemimpinan pentadbiran kerajaan negeri kerana mengorak langkah menyahut seruan dan usaha pencegahan rasuah kerajaan Pusat kerana menyatakan komitmen mereka dalam memperkasakan tadbir urus negeri dan memupuk budaya integriti.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, IBR dalam kalangan ADUN dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Kerajaan Negeri itu adalah satu titik permulaan kepada kerajaan Perak dalam menunaikan janji dan PH mewujudkan kerajaan yang lebih telus.

Beliau berkata, selepas melaksanakan IBR, kerajaan negeri juga akan mewajibkan semua ADUN dan pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

“Setakat ini pengisytiharan harta oleh Ahli EXCO kerajaan negeri sudah pun dilaksanakan dan ia sudah diserahkan kepada saya.

“Maklumat berkenaan juga akan dipanjangkan untuk dilaksanakan kepada semua pentadbiran syarikat milik kerajaan atau berkaitan kerajaan dan ia juga sudah saya arahkan untuk dilaksanakan serta merta,” katanya.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/365783/isytihar-harta-3-bulan-selepas-angkat-sumpah

SPRM TIDAK HUBUNGI, DAPATKAN BUTIR PERIBADI MENERUSI TELEFON

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi panggilan telefon, emel atau apa-apa medium media sosial untuk mendapatkan butiran peribadi dan sulit bagi tujuan menjalankan siasatan.
Ini berikutan SPRM telah menerima banyak aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan panggilan dan permohonan palsu tersebut sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang menerima panggilan meragukan ini, dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian 1-800-88-6000 dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my.
SPRM juga berharap agar orang ramai lebih peka serta berkongsi maklumat ini bersama masyarakat sekeliling.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
9 OKTOBER 2018

Semua kes Najib dibicara serentak

MAHKAMAH Tinggi hari ini, tetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan perintah larangan bagi menghalang media daripada melaporkan berhubung merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihaknya sudah mengemukakan permohonan bertulis semalam.

Menurutnya, kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen dan sedia untuk berhujah berhubung perkara itu Jumaat ini.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memaklumkan tarikh perbicaraan akan ditetapkan selepas itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan perintah larangan sementara yang dikemukakan oleh Najib menerusi Muhammad Shafee.

Terdahulu, mahkamah dalam keputusannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tiga pertuduhan baru dibacakan hari ini dibicarakan bersama dengan pertuduhan sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan Najib mengguna pakai ikat jamin RM1 juta kes sebelum ini.

Di dalam prosiding yang sama, pertuduhan pindaan terhadap tiga kesalahan pecah amanah jenayah dan satu salah guna kuasa dibacakan semula.

Najib bagaimanapun mengekalkan pengakuan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu.


https://www.hmetro.com.my/utama/2018/08/365992/update-semua-kes-najib-dibicara-serentak-metrotv

Tuesday, August 7, 2018

NAJIB DIPANGGIL RAKAM KENYATAAN DAN AKAN DIDAKWA BAWAH AMLATFPUAA ESOK

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak bagi membantu siasatan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, petang ini.

Beliau hadir kira-kira pukul 5 petang dan dirakam percakapan selama 45 minit.

Mohd. Najib juga akan dituduh pada 8 Ogos 2018 di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pertuduhan adalah berkaitan kes SRC International.

Pertuduhan tersebut dibuat selepas mendapat keizinan daripada Peguam Negara.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

7 OGOS 2018

Monday, August 6, 2018

Bekas pengarah Petronas Carigali didakwa terima wang haram RM1.7 juta

Seorang bekas pengarah syarikat cari gali dan bekas pembantu teknikal Petronas Carigali Sdn Bhd yang sebelum ini dituduh membuat tuntutan palsu, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM1.7 juta.
Yong Mee Lan, 54 dan Ahmad Asyraaf Kamarul Zaman, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Yong didakwa telah menerima wang berjumlah RM226,000 melalui lima keping cek Public Bank Berhad milik Syarikat AceTimur Drilling Sdn Bhd ke dalam akaun Public Bank miliknya, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram di Public Bank Berhad, cawangan Taman Connaught, 80-84, Jalan Cerdas, Taman Connaught, Cheras, di Kuala Lumpur pada 26 Mac dan 27 Julai 2015.

Ahmad Asyraaf pula didakwa atas empat pertuduhan sama, menerima wang keseluruhan berjumlah RM1,502,919.02, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram, di Maybank Berhad, GF, Bangunan AHP, 2 Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur dan di CIMB Bank Berhad, GF, C04-C05 Concourse Level Petronas Tower 3, Suria KLCC, Jalan Ampang, di Kuala Lumpur antara 12 Feb dan 21 April 2016.

Hakim Rozina membenarkan Ahmad Asyraaf yang diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali mengguna pakai jaminan terdahulu yang berbentuk geran rumah dengan dua penjamin berserta jaminan tambahan wang RM50,000 manakala Yong yang diwakili peguam Mohd Fozi Md Zin diberikan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran kediaman masing-masing setiap dua bulan sekali.

Pada 12 Mac lepas, Yong dan Ahmad Asyraaf mengaku tidak bersalah secara bersama membuat tuntutan mengandungi butiran palsu berhubung kerja-kerja cari gali melibatkan nilai hampir RM20 juta, tiga tahun lalu.

Pengubahan wang haram

Di Mahkamah Sesyen berasingan, di hadapan Hakim Azura Alwi, Yong dan seorang lelaki lain, Jamsari Abdul Rahim, 41, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan dengan niat bersama melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM13,000,000 melalui sekeping cek milik Syarikat AceTimur Drilling Sdn Bhd, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram di Public Bank Berhad, cawangan sama pada 10 Julai 2015.

Di mahkamah sama, Jamsari yang merupakan pemandu Grab mengaku tidak bersalah atas 10 lagi pertuduhan menerima dan memindahkan wang termasuk melibatkan enam keping cek berjumlah keseluruhan RM12,122,216.60 di Maybank Berhad, cawangan TTDI antara 25 Mei 2015 dan 16 Nov 2016.

Mahkamah membenarkan Jamsari yang diwakili peguam Rodzim Zaimy diikat jamin RM270,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, di hadapan Hakim Azman Ahmad, suami Yong, Ng Soon Ling, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM3,852,712.20 dan RM2,377,400.20 ke dalam akaun miliknya sendiri masing-masing dalam Bank CIMB dan Standard Chartered.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bank CIMB Bhd Jalan Mutiara Timur Satu, Cheras di sini pada 4 Februari 2016 dan di Bank Standard Chartered Bhd Jalan Prima Saujana, Kajang dekat Kuala Lumpur pada 5 Febi 2016.

Ikat jamin RM400 k

Mahkamah membenarkan Ng diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes dan kesemua kes dipindahkan di hadapan Hakim Rozina untuk dibicarakan bersama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal.

- Bernama

Thursday, August 2, 2018

Bekas komander UPP dituduh rasuah

ALOR SETAR 2 Ogos – Bekas Komander Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM4,500 daripada seorang penyeludup minyak ke negara jiran, empat tahun lalu.
Tertuduh, Shahidan Ladin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, Shahidan ketika menjadi Komander UPP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Kayu Hitam didakwa secara rasuah menerima RM1,500 daripada Salleh @ Md. Zamri Md. Saman pada kira-kira pukul 1.52 petang, 24 September 2014 di sebuah tapak gudang haram di Kampung Remia Manis, Durian Burung, Kuala Nerang.

Pesara itu didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang berikutan aktiviti haram penjualan dan penyeludupan minyak petrol serta diesel dari sempadan Malaysia ke Thailand oleh Salleh @ Md. Zamri.

Bagi pertuduhan kedua, datuk kepada tujuh cucu itu didakwa menerima suapan sebanyak RM1,500 daripada Salleh @ Md. Zamri bagi tujuan sama di lokasi sama pada kira-kira pukul 11.52 pagi, 23 Oktober 2014.

Mengikut pertuduhan ketiga, pada kira-kira pukul 1.05 petang, 28 November di pekarangan tempat letak kereta Hospital Kuala Nerang, Kuala Nerang didakwa menerima suapan RM1,500 daripada penyeludup berkenaan bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula.-UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-komander-upp-dituduh-rasuah-1.721168#ixzz5N4CSaL7b 

Wednesday, August 1, 2018

Kakitangan mahkamah didakwa gubah wang haram RM363,668

SHAH ALAM: Seorang kakitangan Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM363,668, antara April 2015 sehingga Januari 2016.
Tertuduh Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi tuduhan pertama, pada 15 April 2015, lelaki itu didakwa melibatkan diri dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram iaitu pemindahan wang berjumlah RM10,000 dari akaun Maybank milik individu bernama Tan Yi Zin ke akaun milik syarikat pemaju, Triple Equity Sdn Bhd.

Ia adalah bagi tujuan pembelian sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini, yang mana wang berkenaan merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Shahnaz Khan didakwa memindahkan wang berjumlah RM35,500 dengan menggunakan cek ke akaun milik Triple Equity pada 6 Mei 2015 dan didakwa memindahkan wang berjumlah RM272,708.80 dari akaun miliknya ke akaun milik Triple Equity pada 29 Jun 2015, kedua-duanya bagi tujuan yang sama.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM22,729.20 ke dalam akaun milik Triple Equity sementara bagi tuduhan kelima, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM22,730 dari akaun milik seorang individu bernama Mincly Maat ke akaun milik Triple Equity, kedua-dua juga bagi tujuan yang sama.

Shahnaz Khan didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di Public Bank cawangan Taman Sri Muda di sini, serta dituduh mengikut Seksyen 4 (1)(b) dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Abu Hanipah mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin.

Peguam P. G Cyril yang mewakili Shahnaz Khan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana anak guamnya telah membayar wang ikat jamin RM35,000 bagi 18 pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

"Tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selepas digantung tugas sejak 2015 dan terpaksa menanggung dua anak serta isterinya," katanya.

Mohd Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - BERNAMA