Tuesday, March 13, 2018

Tiga lelaki dipenjara dan didenda suap ejen kerajaan

KUALA TERENGGANU - Tiga lelaki masing-masing dihukum penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, tahun lalu.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga mereka, iaitu tauke balak, Wong Kam Choy, 53; pengurus kilang kayu, Tan Ya Loon, 36; dan peniaga, Bakri Hassan mengaku bersalah.

Kam Choy, dituduh memberi suapan RM1,000 kepada Penolong Pegawai Hutan, Ilias Awang, supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu memiliki kayu balak yang tidak mempunyai tanda pengelasan dan tidak bercukai.

Kam Choy didapati melakukan kesalahan itu pada 1.30 tengah hari, dalam Mukim Kijal, Kemaman, 8 Jun 2017.

Ya Loon, juga mengaku bersalah memberi wang tunai RM500 kepada Wahab Omar, Pengawas Hutan Pejabat Hutan Daerah, Terengganu Barat, pada Ogos tahun lalu. - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/tiga-lelaki-dipenjara-dan-didenda-suap-ejen-kerajaan-1.626492

Monday, March 12, 2018

Slot anti rasuah akan diperkenalkan di tabika KEMAS

PUTRAJAYA –  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bakal memasukkan slot nilai-nilai murni dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menguasai kemahiran 4M, kanak-kanak akan dididik dengan budaya murni untuk menolak salah laku rasuah secara pendekatan mudah.

“Budaya menolak rasuah ini mesti bermula dari peringkat awal lagi, oleh kerana KEMAS berada di bawah kementerian saya (KKLW).

“Kita ada satu program di bawah nilai-nilai murni di bawah KEMAS ini, kita akan masukkan secara tidak berat tentang apa itu rasuah dan sebagainya.

“Anak-anak kita ini baru empat hingga enam tahun, jadi tak terlalu berat, mungkin ada cara tertentu kita akan terangkan kepada mereka tentang unsur-unsur berkaitan dengan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Ikrar Bebas Rasuah di ibu pejabat KKLW hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, selain tabika KEMAS, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah kementeriannya juga tidak terkecuali dengan program anti rasuah menerusi Rakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bukan saja MARA, tapi di bawah Risda, Felcra, dan program-program latihan kita jangka pendek jangka panjang, kita boleh masukkan slot menolak rasuah.

“Begitu juga institusi pengajian di bawah MARA termasuk UniKL, kita minta SPRM memperbanyakkan ceramah berkaitan rasuah kepada pelajar-pelajar kita.

“Apabila pelajar-pelajar ini masuk ke alam pekerjaan, jika tidak dididik dari awal, peluang untuk terlibat dengan perkara negatif akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/03/12/slot-anti-rasuah-akan-diperkenalkan-di-tabika-kemas/

Teruskan kerjasama banteras rasuah

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaran semua agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan kerajaan (NGO) supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat serta aduan  bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, usaha membendung jenayah rasuah alam sekitar tidak akan berhasil tanpa penglibatan kerjasama dan sokongan padu semua pihak termasuk Jabatan Penguatkuasaan Alam Sekitar, NGO dan SPRM.

“SPRM mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Environmental Protection Against Corruption Caucus (EPACC) tahun lepas untuk menjalin rangkaian kerjasama strategik dengan semua pihak dalam usaha perkongsian maklumat bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah melibatkan isu alam sekitar.

“Pada 2017, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM melaksanakan pemeriksaan berhubung sistem dan tata cara pengurusan ladang hutan di Semenanjung Malaysia bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan bengkel Pengurusan Ladang Hutan: Isu, Cabaran & Penyelesaian yang dihadiri agensi-agensi  pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Semenanjung Malaysia dan NGO alam sekitar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Roslan Ariffin, Presiden  Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (PERUN) Datuk Md Yusoff Md Zain dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharuddin.

Bengkel dua hari itu, yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, disertai  hampir 100 peserta yang mewakili Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri, Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Persatuan Pelindung Khazanah.

Bengkel julung kali itu diadakan untuk membincangkan dan mengenal pasti isu serta permasalahan berkaitan pengurusan ladang hutan di Malaysia selain memberi gambaran sebenar terhadap isu pengurusan ladang hutan kepada NGO berkaitan alam sekitar. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/teruskan-kerjasama-banteras-rasuah-1.808402

Bekas pengarah, bekas pembantu Petronas Carigali didakwa

KUALA LUMPUR 12 Mac - Seorang bekas pengarah syarikat cari gali minyak dan bekas pembantu teknikal di Petronas Carigali Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu.

Yong Mee Lan, 54, dan Ahmad Ashraf Kamarul Zaman, 29, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka dengan niat bersama didakwa telah memberikan Ketua Projek di Petronas Carigali Sdn. Bhd., Saiful Adli Ismail melalui sistem SAP dua dokumen iaitu tuntutan ‘request order’ berjumlah RM14 juta yang mengandungi butiran palsu iaitu tuntutan bagi ‘Operation Day Rate’ bagi tempoh kerja antara 23 Januari 2015 dan 21 Februari 2015 bertujuan untuk mengelirukan Saiful Adli.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dan telah mengemukakan tuntutan itu melalui empat request order berjumlah RM6 juta antara 23 Januari 2015 dan 23 Mac tahun sama bagi tujuan mengelirukan Saiful Adli.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Petronas Carigali, di sini antara 24 Mac 2015 dan 20 April 2015.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Heikal Ismail.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah selain 16 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-pengarah-bekas-pembantu-petronas-carigali-didakwa-1.625838#ixzz59a1JF38I 

Penganggur didakwa tipu percepatkan permohonan rumah mampu milik

BUTTERWORTH 12 Mac - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu enam mangsa bagi mempercepatkan permohonan mendapatkan rumah mampu milik melibatkan kerugian RM6,500, dua tahun lalu.

Ramlee Daud, 38, didakwa melakukan perbuatan itu di empat tempat berasingan di sini antara 10 September 2016 dan 10 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menipu Lim Chai Eng dan Noor Syuhada Ahmad di Restoran Pelita di Pasaraya Giant Bayan Lepas kira-kira pukul 6 petang, masing-masing pada 10 dan 15 September 2016.

Kedua-dua mangsa didakwa diperdayakan untuk mempercayai bahawa dia boleh mempercepatkan permohonan rumah mampu milik di bawah kerajaan negeri secara memotong giliran selepas mereka membayar RM1,000 setiap seorang.

Ramlee juga didakwa menipu Maryani Ahmad di Restoran Bangkok Tomyam, Bayan Lepas kira-kira pukul 8 malam, 9 November 2016 serta Muniroh Mohd. Zulkefli di Restoran Pelita di Pasaraya Giant Bayan Lepas pada pukul 6 petang, 10 Oktober 2016, bagi tujuan yang sama.

Akibat penipuan itu, kedua-dua mangsa didakwa mengalami kerugian sebanyak RM1,100 dan RM1,000.

Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa menipu Fatin Sabariah Abdul Rahim bagi menyerahkan wang RM1,000 dan Aziron Ariffin sebanyak RM1,400 bagi tujuan sama, masing-masing di Restoran Pelita, Pasaraya Giant Bayan Lepas kira-kira pukul 6 petang, 10 Oktober 2016 serta di restoran McDonald’s, Bayan Lepas sekitar pukul 8.30 malam, 13 November 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Imran Hamid mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda.

Hakim Noor Aini Yusof kemudian membenarkan Ramlee diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta 12 April ini sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam selain serahan dokumen.



http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/penganggur-didakwa-tipu-percepatkan-permohonan-rumah-mampu-milik-1.626039#ixzz59a0ku0sb 

Wednesday, March 7, 2018

Jururawat, adik ipar didakwa terlibat pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR - Seorang ketua jururawat dan adik iparnya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM500,000 dua tahun lalu. 

Huziana Othman, 49, dan Noorashikin Azmi, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Allaudeen Ismail.   Mengikut pertuduhan, Huziana yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan cara memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) miliknya ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad miliknya, hasil daripada aktiviti haram. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Koperasi Amanah Pelaburan Berhad, Tingkat 10, Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, No 33 Jalan Rakyat di sini, pada 13 Jun 2016. 

Noorashikin pula didakwa atas pertuduhan yang sama dengan memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank  Rakyat Malaysia miliknya ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad miliknya di tempat yang sama pada 19 April 2016. 

Selain itu, Noorashikin juga didakwa atas pertuduhan membabitkan diri dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu menerima wang berjumlah RM28,324.50 dari akaun Public Islamic Bank Berhad milik syarikat Techies Two Sdn Bhd ke akaun simpanan Affin Islamic Bank Berhad miliknya. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Islamic Bank Berhad, Menara Affin, 80 Jalan Raja Chulan di sini antara 28 Oktober 2016 dan 28 Mac 2017.   Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan kedua-dua wanita itu berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Alor Setar serta menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes di sana.   Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail manakala Peguam Rahmat Mohamed Hazlan mewakili kedua-dua tertuduh.
http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/jururawat-adik-ipar-didakwa-terlibat-pengubahan-wang-haram-1.806242

Dua beranak didakwa ubah wang haram RM1.24 juta

MELAKA 7 Mac - Bekas Setiausaha di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) dan anak lelakinya sebentar tadi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai RM1.245 juta.

Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Noordin.

Mengikut pertuduhan satu hingga kelima, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah memindahkan wang dan menerima faedah berjumlah RM1.225 juta iaitu hasil daripada aktiviti haram milik syarikat Misdec Resources Sdn. Bhd. (MRSB) ke dua syarikat Digicity (M) Sdn. Bhd. dan I & R Precision Engineering Sdn. Bhd. bagi tujuan peribadi.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di CIMB Bank Berhad, Nombor 30 dan 32, Jalan Mutiara Melaka 2, Batu Berendam di sini antara 9 Oktober 2014 hingga 3 Ogos 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama  Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Hazizul yang berkhidmat sebagai Pegawai Khas di Unit Pentadbiran Misdec turut berdepan dengan pertuduhan sama memindahkan wang berjumlah RM20,000 dari akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke akaun Maybank milik Misdec di alamat sama pada 14 April 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala dua beranak itu diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mohd. Nasir membenarkan kedua-kedua tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang dan menetapkan 9 April depan untuk serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE



http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/dua-beranak-didakwa-ubah-wang-haram-rm1-24-juta-1.622517#ixzz596lCZtxT

Sunday, March 4, 2018

SPRM ANJUR H2R SEBAR LUAS MESEJ ANTIRASUAH DALAM KALANGAN PEMINAT MOTOSIKAL

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Program Himpunan Dua Roda (H2R) bagi menyebar luas mesej antirasuah dalam kalangan peminat-peminat motosikal di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, hari ini.

Program yang julung-julung kali diadakan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran golongan peminat-peminat motosikal mengenai gejala rasuah di negara ini di samping mendekati golongan tersebut agar mereka bekerjasama dengan SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Program yang bermula jam 9 pagi itu dimulakan dengan acara Moto Show dan disertai persembahan muzik oleh Chubby Busker dan Salam Busker.

Turut diadakan ialah gerai pameran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Darah Negara.

Pada program yang sama, turut diadakan ialah Majlis Pelancaran Kempen Revolusi 3J dan Street Warriors Against Corruption (SWAC).

Kedua-dua program yang merupakan cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad tersebut bertujuan untuk memupuk dan mewujudkan gerakan masyarakat khususnya dalam kalangan peminat motosikal supaya mereka membenci serta menolak gejala rasuah dan salah guna kuasa bersama SPRM.

Sementara itu, bagi menzahirkan komitmen menentang rasuah bersama SPRM, seramai 10,000 peminat sukan permotoran telah melafaz Ikrar Bebas Rasuah pada program yang sama dan majlis itu disaksikan oleh Dzulkifli.

Sebelum mengakhiri program tersebut, para pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis yang terdiri daripada Siti Nordiana, Projector Band, Janna Nick dan Haqiem Rusli.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

3 MAC 2018

Lihat keberkesanan SPRM tangani rasuah

Selaku anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah (JKMR), saya turut terkilan apabila mendengar pengumuman dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017, yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) pada Februari lalu. Saya berpandangan sudah sampai masanya Malaysia tidak perlu tertekan dengan dapatan tahunan CPI.

Ia sememangnya tidak mencerminkan tindakan dan pendekatan proaktif yang diambil Kerajaan Pusat dalam menangani isu-isu berkaitan dengan rasuah. Pendek kata kita boleh merumuskan bahawa indeks tersebut tidak memberi gambaran sebenar.

Ini seperti persekitaran hidup kita sama ada hendak hidup atas persepsi orang lain atau berpegang kepada pendirian melakukan yang terbaik dan menjadi seorang yang baik sepanjang hidup kita.

Jika diimbas tahun 2008, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil langkah berani dengan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas dan telus. Pendekatan itu yang memenuhi kehendak rakyat sebenarnya merupakan satu langkah berani. Antara lain penubuhan SPRM menunjukkan bahawa sebuah suruhanjaya bebas dan telus diwujudkan.

Ia juga membawa kepada peningkatan sabitan kes-kes rasuah. Lima tahun sebelum itu beliau mengorak langkah menubuhkan Institut Integriti Malaysia, sebuah agensi yang diberi tanggungjawab untuk melahirkan masyarakat dan negara yang berintegriti tinggi, berdaya tahan selain rakyat memiliki nilai-nilai murni sejagat.

Pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggantikan Abdullah pada tahun 2009 meneruskan usaha mewujudkan persekitaran yang bebas dan telus menerusi program transformasi. Usaha-usaha ke arah itu diteruskan dengan inisiatif-inisiatif seperti penubuhan Unit Integriti di setiap agensi, dan yang terbaharu adalah pembentukan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITN).

Najib juga memperkenalkan makmal khas NKRA Anti Rasuah sebaik-baik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri sembilan tahun yang lalu. Mana-mana pihak yang rasional akan merumuskan bahawa skor CPI mengenai Malaysia yang dikeluarkan oleh TI tidak menggambarkan situasi sebenar – tindakan agresif SPRM dalam membanteras rasuah habis-habisan di negara ini terutama sejak dua tahun kebelakangan ini. Justeru, sebagaimana dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ramai yang turut terkejut dengan dapatan CPI sedangkan SPRM telah memperlihatkan keberkesanan dalam menahan dan menangkap mereka yang terlibat dalam rasuah.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa mengatakan siasatan membabitkan kes-kes besar membawa kepada kemerosotan skor dan ranking CPI juga tidak masuk akal dan tidak boleh diterima sama sekali.

SPRM secara konsisten membuat tangkapan dan pendakwaan setiap minggu dan tindakan lebih agresif dilakukan sepanjang 2017.

“Kalau kita lihat setiap minggu akan ada tindakan yang kami ambil dan kami juga telah membuat beberapa siri tangkapan yang berterusan pada 2017. Itu agak ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

"Tahun 2017 telah menunjukkan tindakan agresif yang telah kita ambil terhadap perasuah-perasuah di dalam negara ini. Apabila indeks ini dikeluarkan, kita melihat ia tidak menggambarkan tindakan yang telah kita lakukan,” kata Dzulkifli.

Landasan betul

Berdasarkan CPI TI, kedudukan Malaysia dalam bagi tahun 2017 jatuh daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara dengan penurunan dua mata, daripada 49 kepada 47. Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei. Malaysia melepasi skor purata di peringkat global iaitu 43 mata serta skor purata di peringkat Asia Pasifik iaitu 44 mata.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata penurunan skor itu disebabkan oleh beberapa kes berprofil tinggi yang masih dalam siasatan.Sementara itu, di peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, Malaysia menduduki tangga kelima. Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului senarai negara Islam dengan menduduki tangga ke-22 dunia, diikuti Qatar (29), Brunei (32) dan Arab Saudi (57).

Maka, saya dengan tegas meminta pihak kerajaan termasuk SPRM tidak perlu atau usah pedulikan dapatan CPI, sebaliknya terus meningkatkan usaha – apa juga tindakan – bagi menangani isu dan masalah rasuah. Langkah itu lebih penting berbanding kecewa atau lemah semangat disebabkan laporan CPI.

SPRM wajar dan perlu meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Saya pasti rakyat akan faham yang pihak berkuasa terus melakukan yang terbaik bagi membanteras rasuah dan sebagainya. Sabitan kes-kes rasuah pada satu hari kelak akan membuktikan kita berada di landasan betul dalam memerangi kes-kes rasuah dan dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dan murni dalam kalangan rakyat.

Lipatan sejarah akan membuktikan kepimpinan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan. Kita harus menyokong usaha SPRM yang mahu memperkenalkan Indeks Rasuah Malaysia. Sekurang-kurangnya ia akan memberi gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini.

Dapatan indeks harus didedahkan kepada umum sebagai satu bentuk panduan dan teladan. Kita perlu bersikap terbuka dalam bab ini. Sebagaimana disebutkan oleh SPRM kita tidak mahu indeks ini diukur dengan persepsi semata-mata tetapi berdasarkan fakta dan bukti.

Kita yakin kedua-dua, SPRM dan Institut Integriti Malaysia akan terus melaksana dan mengadakan usaha-usaha yang difikirkan perlu untuk mewujud komuniti berintegriti di Malaysia, pada masa sama memerangi rasuah habis-habisan.

Dapatan CPI tidak wajar dipolitik. Sebaliknya semua pihak termasuk pembangkang wajar memberi sokongan kepada SPRM, Institut Integriti Malaysia dan semua agensi terbabit agar isu rasuah dan integriti dapat ditangani dengan berkesan. Setiap anggota masyarakat termasuk ahli politik semua parti mempunyai peranan. Jangan salahkan Kerajaan Pusat semata-mata.

* Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR)



http://www.utusan.com.my/rencana/utama/lihat-keberkesanan-sprm-tangani-rasuah-1.620311#ixzz58pHX9I2K 

Thursday, March 1, 2018

G-WAR JADIKAN WANITA PENGGERAK BUDAYA BENCI RASUAH

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan Gerakan Wanita Antirasuah (G-WAR), hari ini.

Perasmian G-WAR disempurnakan oleh Menteri KPWKM, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Dewan Nur KPWKM, Putrajaya.

G-WAR yang merupakan cetusan idea Tan Sri Dzulkifli menyasarkan semua golongan wanita yang terdiri daripada wanita korporat, usahawan, ahli akademik, NGO, ahli sukan, artis dan suri rumah sebagai kumpulan sasaran pembentukan wanita membenci rasuah ini.

Program seumpama ini merupakan julung kali diadakan sejak 50 tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) /SPRM dengan berkonsepkan golongan wanita sebagai penggerak utama kepada budaya membenci rasuah yang bermula dari rumah hingga kepada setiap lapisan masyarakat.

Penubuhan G-WAR ini juga selaras dengan seruan KPWKM yang telah mengumumkan tahun 2018 adalah tahun memperkasakan wanita dengan mengikut lima kluster iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media). 

Dalam pada itu, G-War juga akan dilancarkan di seluruh negara menerusi SPRM negeri dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) KPWKM dan Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga kerajaan negeri.

SPRM juga berharap budaya membenci, menolak dan memerangi rasuah dapat dihidupkan dalam diri setiap individu melalui peranan yang dimainkan oleh wanita.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

1 MAC 2018

CPI BAHAN KEMPEN PRU

SEKALI pandang kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 pada tangga 62 dari 180 negara adalah agak merisaukan kerana tahun sebelumnya menyaksikan negara ini berada pada kedudukan ke-55.

Kesimpulan mudah yang dapat dibuat dengan kemerosoton ini adalah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan segala usaha dan dasar membanteras gejala rasuah terutama sekali yang di­terajui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

CPI yang dikeluarkan oleh pertubuhan Transparency Inter­national (TI) setiap tahun ber­mula 1995 bertujuan untuk me­ng­ukur tahap persepsi rasuah dalam kalangan kerajaan dan juga penjawat awam. TI juga se­ring memberi penekanan bahawa CPI hanya bersandarkan persepsi dan tidak semestinya menggambarkan senario sebenar keadaan rasuah sesebuah negara kerana bimbang akan timbul salah faham ketika membuat kesimpulan mengenai CPI sesebuah negara.

Tetapi paling kritikal TI juga menegaskan indeks tersebut di­peroleh bukan dari tinjauan pen­­dapat yang mereka lakukan tetapi diperoleh dari hasil tinjauan organisasi lain. CPI 2017 menyaksikan TI mengguna pakai tinjauan yang dilaksanakan oleh 13 orga­nisasi berlainan dan setiap 180 negara mempunyai gabungan data yang berlainan.

Bagi Malaysia umpamanya data dari organisasi seperti Global Insights, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan juga Bertelsmann Stiftung yang berpangkalan di Gutersloh, Jerman telah digunakan.

Perlu ditekankan juga tinjauan yang dilakukan oleh organisasi tersebut kebanyakannya tidak berkait secara langsung dengan ungkapan rasuah tetapi lebih menjurus kepada faktor tadbir urus sebuah kerajaan.

Umpamanya data Bertelsmann Stiftung yang digunakan oleh TI berkait dengan proses transformasi yang berlaku dalam sebuah negara dan dikaitkan dengan tadbir urus kerajaan dan ­proses demokrasi negara tersebut. Dalam hal ini, hanya dua soalan sahaja yang berkait secara langsung dengan ungkapan rasuah. Malaysia berada di tangga 48 dari sejumlah 129 negara yang ditinjau organisasi ini dan perlu ditekankan tinjauan ini hanya melibatkan negara membangun dan yang sedang membangun.

TI pula mengguna pakai data WEF yang membuat tinjauan terhadap seramai 12,775 eksekutif perniagaan dari 133 negara me­ngenai pengalaman mereka semasa berurusan dengan kerajaan dan penjawat awam dalam urusan perniagaan. Dari 150 soalan yang dikemukakan, hanya satu soalan sahaja yang berkait secara langsung dengan faktor rasuah.

Sebab itu, apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ah­mad meluahkan rasa terkejut yang menjurus kepada kekeliruan terhadap kedudukan Malaysia dalam CPI 2017, ia menggambarkan bahawa indeks tersebut tidak menggambarkan senario sebenar gejala rasuah yang berlaku di Malaysia walaupun TI berkali-kali memberi penekanan bahawa CPI hanyalah persepsi semata-mata.

Masalahnya adalah walaupun dalam akronim CPI itu terkan­dung ungkapan persepsi tetapi ia juga mengandungi ungkapan rasuah. Dari 13 tinjauan organi­sasi berlainan yang telah digunakan oleh TI untuk membentuk CPI 2017, tidak keterlaluan jika diandaikan hanya 10 peratus dari soalan yang diutarakan berkait secara langsung dengan unsur rasuah.

Sebab itu juga negara Eropah terutama sekali di barat dan utara dan begitu juga Amerika Utara iaitu negara mempunyai status maju akan sentiasa berada dalam kedudukan yang terbaik dalam setiap CPI kerana bentuk soalan yang digunakan memberi kelebihan kepada mereka berbanding dengan negara membangun dan sedang membangun seperti di benua Afrika atau timur Eropah.

Tidak menghairankan kelompok atas CPI dikuasai oleh negara seperti Denmark, Finland, Norway dan Switzerland. Sementara itu Iraq, Venezuela, Syria, Korea Utara dan Sudan berada dalam negara kelompok bawah kerana keadaan negara tersebut yang sedang bergolak.

Ini bukan membawa makna kita tidak mempedulikan ke­dudukan Malaysia dalam CPI ke­rana mahu tidak mahu indeks ini sedikit sebanyak digunakan oleh pelabur asing umpamanya dalam membuat keputusan pelaburan. Ji­ka hanya CPI digunakan sebagai panduan, maka sudah pasti kedudukan Malaysia di arena antarabangsa adalah tidak baik walaupun gambaran sebenar ada­lah jauh berbeza dengan apa yang cuba ditonjolkan oleh angka dalam CPI tersebut.

Untuk mengharapkan TI me­ngubah atau memperbaiki cara mereka membangunkan CPI adalah sukar kerana itu di luar bidang kuasa pihak yang berkaitan di Malaysia. Walaupun kaedah yang digunakan oleh TI diakui mempunyai banyak kelemahan tetapi hakikatnya adalah pengaruh dan persepsi yang terbit dari CPI adalah begitu menonjol sekali.

Sebab itu dihujahkan juga bahawa sudah agak pasti isu kedudukan Malaysia dalam CPI 2017 akan digunakan sebagai bahan kempen pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi. Begitu agak mudah jika hendak dimanipulasi tahap senario gejala rasuah di Malaysia jika dikaitkan dengan CPI kerana asasnya TI adalah sebuah organisasi yang dihormati masyarakat antarabangsa.

Walaupun Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017 sebanyak 5.9 peratus namun bagi mereka yang ingin meraih manfaat politik menjelang PRU nanti, data CPI agak mudah boleh dimanipulasi dengan mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan asas ekonomi Malaysia.

Agak pasti juga kumpulan ini akan menggunakan contoh Cuba yang memperoleh markah CPI yang sama dengan Malaysia de­ngan pertumbuhan KDNK 2017 hanyalah sekitar 2.0 peratus sahaja. Rakyat Malaysia perlu bersedia awal dalam menghadapi kempen persepsi terutama sekali apabila statistik dan data dari organisasi antarabangsa digunakan.



http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cpi-bahan-kempen-pru-1.618481#ixzz58UHLpere