Sunday, June 24, 2018

SPRM NAFI DAKWAAN BERI KENYATAAN ISU PENYELEWENGAN DAN RASUAH PAS KELANTAN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan YBhg Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu penyelewengan dan rasuah dalam PAS Kelantan.

SPRM mendapati ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM dan suruhanjaya ini untuk menular kenyataan tersebut baru-baru ini dan tindakan tersebut dilihat sebagai perbuatan yang ingin mencemarkan reputasi SPRM.

Ingin ditegaskan bahawa SPRM komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menular berita yang tidak sahih menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM atau suruhanjaya ini kerana tindakan tersebut akan menjejaskan imej SPRM.



DATO’ SRI AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA 

22 JUN 2018


Monday, June 11, 2018

SPRM KESAN EMPAT INDIVIDU BANTU SIASATAN KES 1MDB




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan empat individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM meminta individu-individu terbabit agar tampil atau menghubungi SPRM dengan segera bagi membantu siasatan kes berkaitan.

SPRM juga meminta mana-mana pihak yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu-individu berkenaan agar menghubungi Penguasa Nur Aida Arifin di talian 03 – 8870 0000 (Sambungan : 0323) atau emel kepada aida_arifin@sprm.gov.my atau menghubungi Penguasa Nahar Haris  di talian 03 – 8870 0000 (Sambungan: 0388) atau emel kepada nahar.haris@sprm.gov.my atau menghubungi mana-mana pejabat SPRM yang berhampiran.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) 
PUTRAJAYA

11 JUN 2018




Sunday, June 10, 2018

PROJEK PANEL SOLAR: SPRM NAFI DAKWAAN TIDAK AMBIL TINDAKAN

SUSULAN dakwaan sebuah akhbar tempatan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil sebarang tindakan terhadap projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak melibatkan kos sebanyak RM1.25 bilion, SPRM ingin menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Ingin dimaklumkan bahawa SPRM telah mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan siasatan awal terhadap isu tersebut pada awal April 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 setelah menerima maklumat daripada orang awam.

Pada masa yang sama, SPRM juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan dari Kementerian Pendidikan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan mengikut Akta SPRM 2009.

Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dokumen-dokumen yang telah diambil berkenaan sama ada ia berunsur rasuah dan orang ramai diminta agar bersabar sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan terhadap isu tersebut.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

11 JUN 2018


2 pegawai kanan FELDA pecah amanah, bersubahat

KUALA LUMPUR: Dua bekas pegawai kanan FELDA masing-masing dihukum penjara lima tahun dan dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah wang agensi itu berjumlah RM47.6 juta dan bersubahat, empat tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik, Muhammad Sufi Mahbub, 54, dan bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pecah amanah pertama dan kedua, Muhammad Sufi dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, namun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Begitu juga bagi pertuduhan bersubahat pertama dan kedua yang dihadapi Faizoull, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing dua tahun, namun kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang diamanahkan penguasaan ke atas dana FELDA, melakukan pecah amanah dengan melupus dan meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Kelulusan itu dibuat menerusi perjanjian 'Technology Transfer and Supply Agreement' dan 'Design-Build Contract Agreement' dengan I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd melalui FELDA Caviartive Sdn Bhd.

Pertuduhan terhadap bapa empat anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Faizoull pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan itu dan pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/06/435475/2-pegawai-kanan-felda-pecah-amanah-bersubahat

Penguatkuasaan SPRM bebas dan tidak di bawah GIACC

PUTRAJAYA 8 Jun - Kerajaan memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi badan bebas yang tidak tertakluk di bawah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Perdana Menteri,  Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata,  GIACC akan membentuk polisi dalam pencegahan rasuah di negara  namun penguat kuasaan adalah bebas dilakukan oleh SPRM.


"Kita akan menggunakan panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam strategi mengurangkan rasuah.Pakatan Harapan serius dalam perkara inj," katanua dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah timbalannya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara ( GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/penguatkuasaan-sprm-bebas-dan-tidak-di-bawah-giacc-1.687842#ixzz5I4P4b3We 

Thursday, June 7, 2018

Kerajaan komited perangi gejala rasuah

PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk memerangi rasuah sehingga peringkat akar umbi sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas dalam manifesto PH bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

"Sebelum PRU-14, (Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakan pimpinan PH telah menjelajah seluruh pelosok negara, bandar, pinggiran bandar, luar bandar dan Felda untuk menyatakan tentang perkara ini (perangi rasuah).

"Rakyat tahu dan sedar bahawa rasuah ini merupakan satu isu besar. Jika rasuah tidak dibanteras, maka rakyat yang akan menanggung derita. Kos pengurusan negara menjadi mahal (tetapi) bebanannya rakyat yang tanggung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, barisan pegawai tertinggi dan warga kerja KDN serta agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.

Perhimpunan tersebut merupakan kali pertama dihadiri Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri selepas kerajaan PH memenangi PRU-14.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan pimpinan tertinggi dan warga kerja KDN dan agensi-agensi di bawahnya agar bekerjasama sebagai satu pasukan.

"KDN antara kementerian yang berada di barisan hadapan. Kita (KDN) menguruskan soal-soal penting dalam negara, antaranya soal keselamatan, kawalan pintu masuk sempadan Malaysia, isu pengambilan pekerja-pekerja asing dan juga isu berkaitan dengan kawalan-kawalan jenayah.

"Kesemua isu berkenaan mempunyai kesan yang cukup besar kepada negara. Kita juga adalah rakyat dan kita tahu ini adalah perkara utama yang tidak boleh diabaikan. Bila mana rakyat tahu bahawa pengabaian berlaku atau situasi tidak aman berlaku dalam kalangan kita, rakyat akan marah," ujarnya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengingatkan soal integriti harus menjadi keutamaan warga kerja KDN dan setiap agensi di bawah kementerian itu.

"Integriti adalah satu perkara yang disebutkan oleh pihak kerajaan sejak sekian lama (termasuklah) dari segi pentadbiran, pengurusan, pelaksanaan tugas dan sikap serta amalan kita.

"Yang penting, imej dan wibawa ini tidak tercemar hanya disebabkan segelintir dalam kalangan kita yang melakukan sesuatu yg tidak berintegriti.

"Majoriti mungkin buat perkara yg baik tetapi segelintir yang kecil. (Jangan disebabkan) setitik nila, rosak susu sebelanga.

"Saya yakin dan percaya, pentadbiran peringkat tertinggi melihat soal integriti dan etika ini sentiasa ditekankan. Saya harap ini tidak terlepas pandang dan diberi perhatian berat oleh kita semua," katanya. - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/kerajaan-komited-perangi-gejala-rasuah-1.687185

Tauke balak didakwa rasuah pegawai Jabatan Perhutanan

KUALA TERENGGANU - Seorang tauke balak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu pada dua bulan lalu.

Tertuduh, Tan Teo Liong, 56, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Teo Liong didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah operasi Jabatan Perhutanan Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pada pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Pemberian suapan tersebut didakwa sebagai dorongan agar pegawai itu tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempunyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Ketiadaan cop tanda tukul tersebut pada kayu bulat terbabit merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Teo Liong didakwa mengikut Seksyen  17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi. - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/tauke-balak-didakwa-rasuah-pegawai-jabatan-perhutanan-1.687181

Wednesday, June 6, 2018

KES SRC INTERNATIONAL: DUA INDIVIDU PENTING DIMINTA HUBUNGI SPRM BANTU SIASATAN




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta dua individu agar tampil menghubungi SPRM dengan segera bagi membantu siasatan kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dua individu terbabit ialah Pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil, 47, dan ahli perniagaan, Low Taek Jho, 37, yang turut dikenali sebagai ‘Jho Low’.

Nik Faisal Ariff Kamil yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 mempunyai alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.

Low Taek Jho pula yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sehubungan itu juga, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu berkenaan agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-88700529 atau 010-3187757, emel kepada roslihusain@sprm.gov.my atau mana-mana Pejabat SPRM terdekat.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

7 JUN 2018

Tuesday, June 5, 2018

SPRM KESAN DUA INDIVIDU BANTU SIASATAN



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan dua individu yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara bagi membantu siasatan kes SPRM.

Individu tersebut, Mohamed Redzuan Adamshah, 43, yang memegang kad pengenalan 750204-07-5323 mempunyai alamat terakhir di No 1E, Cresent Court Apartment, Tingkat 1, Lengkok Tun Sambanthan, Brickfields, 50470, Kuala Lumpur.

Manakala, seorang lagi, Toh Lean Seng, 45, yang memegang kad pengenalan 730904-07-5131 mempunyai alamat terakhir di 15-1, 231 TR Service Apartment 231, Jalan Tun Razak, 50490, Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, SPRM meminta sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai dua individu tersebut menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Rosli Husain di talian 03-8870 0529 atau 010-3187757 atau email kepada roslihusain@sprm.gov.my.



SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

6 JUN 2018



Monday, June 4, 2018

WASPADA PANGGILAN PALSU



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon meragukan mendakwa daripada SPRM yang meminta beberapa maklumat peribadi termasuk butiran-butiran sulit kerana dikhuatiri ia panggilan palsu.

Ini susulan banyak aduan diterima SPRM daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu berkenaan kebelakangan ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang menerima panggilan meragukan ini, dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my.

SPRM juga akan membuat laporan polis serta berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat panggilan palsu ini yang telah menjejaskan nama dan reputasi SPRM.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA 

4 JUN 2018