Wednesday, June 29, 2016

Setiap kementerian disaran laksana kaedah CRM


Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) peringkat kebangsaan yang bersidang di sini hari ini menggesa setiap kementerian melaksanakan pendekatan kaedah Penilaian dan Pengurusan Risiko Rasuah atau CRM.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersempena mesyuarat itu, CRM adalah pendekatan terbaik dalam usaha memerangi rasuah serta mempertingkatkan tadbir urus dan integriti badan-badan kerajaan. 

"CRM adalah satu alat pengurusan yang boleh membantu mewujudkan sebuah  sistem pengurusan bercirikan anti-rasuah dan mendukung nilai integriti.

"CRM dilaksanakan dengan mengambil kira rasuah sebagai risiko asas dalam sesebuah pengurusan dengan menggunakan pendekatan Penilaian dan Pengurusan Risiko, maka satu bentuk sistem  pengurusan yang baik dan berintegriti dapat dilahirkan melalui Pelan Pengurusan Risiko Rasuah," kata SPRM.

Menurut kenyataan itu, setakat ini sebanyak 22 kementerian dan agensi berisiko tinggi telah  dilatih SPRM mengenai CRM.

Mesyuarat Jitu hari ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tadbir Urus dan Integriti) Datuk Paul Low Seng Kuan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali yang juga Penyelaras Pasukan Khas Perunding Jitu; ketua-ketua setiausaha kementerian, setiausaha kerajaan negeri dan ketua-ketua unit integriti kementerian.

Antara kertas kerja atau kertas cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat tersebut ialah pemeriksaan terhadap Amalan, Sistem dan Tatacara Kerja dalam Pengurusan; Pengendalian dan Pengesanan bagi Pengambilan Ekspatriat di Jabatan Imigresen oleh SPRM, cadangan Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997–Kuasa dan Tanggungjawab oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan  Malaysia (PPSM).

Turut dibentangkan ialah mengenai Usaha-Usaha Memerangi Rasuah serta Mempertingkat  Tadbir Urus dan Integriti Dengan Menggunakan Pendekatan CRM oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Kes tipu: SPRM KL tahan 'Syed Faizal'


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan terancang yang melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit di kalangan tertuduh kes rasuah dan orang awam dengan tertangkapnya perancang utama iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun.

Lelaki berusia 48 tahun itu merupakan bekas anggota penguatkuasa yang dibuang kerja atas kesalahan jenayah merupakan ketua sindiket dan tiga orang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi khas yang dijalankan malam tadi.

Menurut Pengarah SPRM KL, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, pasukan khas yang ditubuhkan untuk menjejaki dan menahan suspek bermula sejak dua bulan lepas bila mana maklumat diterima mengatakan lelaki terbabit yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya bernama "Syed Faizal" telah menuntut bayaran rasuah sebanyak RM50,000 bagi menyelesaikan kes rasuah yang melibatkan seorang tertuduh.

"Sindiket ini telah menggunakan beberapa akaun bank dan kad ATM yang diperolehi daripada ketiga-tiga wanita terbabit.

"Kesemua wang hasil penipuan akan dimasukkan ke dalam akaun-akaun tersebut dan digunakan oleh sindiket.

"Gerakan mengesan beberapa anggota sindiket masih berjalan. Butir peribadi mereka telah kami perolehi dan gerakan mengesan sedang giat dijalankan," katanya.

Tambah Ahmad Khusairi, modus operandi sindiket ialah menghubungi mangsa setelah memperolehi maklumat menerusi laporan media berhubung kesalahan yang dihadapi mangsa (tertuduh kes rasuah).

"Mereka akan memeras ugut mangsa dan meminta jumlah suapan rasuah tertentu bagi tujuan menarik balik pendakwaan atau mengurangkan hukuman tertuduh.

"Suspek telah meminta mangsa untuk memasukkan wang rasuah tersebut ke dalam dua akaun berasingan dan enggan mengadakan apa-apa pertemuan.

"Hasil siasatan juga mendapati, sindiket ini turut menyamar sebagai pegawai kastam dan menawarkan penjualan kereta atau barang-barang rampasan kastam dengan harga yang murah.

"Setakat ini tiga individu telah dikesan ditipu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM20,000," katanya lagi.

Tambah beliau, sindiket ini bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur dan Sabah. SPRM Sabah mempunyai kertas suasatan aktif ke atas saspek yang cuba dikesan sejak setahun yang lalu.

SPRM KL memohon orang awam yang pernah ditipu oleh sindiket ini untuk tampil melaporkan aduan mereka dengan menghubungi Penolong Penguasa Tan Ying Hui di talian 0195725222.

Perintah tahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah akan dibuat dan kedua-dua saspek akan disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.

Sunday, June 26, 2016

Paul Low Jamin Ketua Baru SPRM Seorang Berintegriti


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low berkata kerajaan akan membina legasi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan memberi jaminan bahawa penggantinya akan merupakan seseorang yang berintegriti.

Katanya, kerajaan akan bergantung dan membina legasi Abu Kassim, memberi pertimbangan yang teliti bahawa penggantinya hendaklah seorang yang berintegriti peribadi yang tertinggi, dengan pengetahuan yang mendalam dan pengalaman yang luas dalam kerja yang rumit dan kaedah memerangi rasuah.

Dalam satu kenyataan, Low menambah bahawa pengganti Abu Kassim adalah terbaik dipilih dari dalam barisan SPRM.

Sebaik-baiknya, kata beliau, ketua pesuruhjaya baru perlu diambil dari kalangan pegawai kanan yang sedia ada cekap, pegawai-pegawai kanan SPRM yang telah bekerja dengan seorang pemimpin yang disegani seperti Abu Kassim.

KP SPRM Rai Anak Yatim, Ibu Tunggal

SPRM bersama SEGi Universiti meraikan seramai 80 penghuni rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah melalui majlis berbuka puasa di MACA.

Dalam majlis tersebut KP SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi SEGi International Bhd., TS Megat Najmuddin Megat Khas turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Sumbangan tersebut merupakan derma dan kutipan drpd warga SPRM, CeIO, SEGi Universiti dan Puspanita SPRM.

Turut hadir Pengerusi Puspanita SPRM, Puan Sri Bibi Rasheedah Zachariah Merican.

Friday, June 24, 2016

SPRM Lancar Kempen Antirasuah di 24 Lokasi R&R Seluruh Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan kempen antirasuah di 24 hentian rawat dan rehat (R&R) di lebuh raya seluruh negara, hari ini.

Majlis perasmian kempen #BermulaDaripadaAnda berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Mustafar Ali.

Objektif kempen ini ialah untuk menyebar luas mesej antirasuah kepada segenap lapisan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mereka bahawa tanggungjawab tersebut bermula daripada diri sendiri.

Pemilihan R&R dilakukan kerana lokasi tersebut merupakan platform yang efektif untuk mendampingi pelbagai lapisan masyarakat bagi menyalurkan mesej anti rasuah dengan pantas.

Ini kerana berdasarkan statistik tahun 2015, sebanyak kira-kira 203.5 juta kenderaan dianggarkan mengunjungi R&R dalam tempoh setahun.

Selain itu, kempen yang merupakan kerjasama strategik bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia ini juga berperanan untuk membina serta mengukuhkan imej SPRM sebagai agensi yang komited dalam memerangi rasuah.

Pelaksanaan kempen kesedaran pencegahan rasuah ini akan disampaikan menerusi tiga medium iaitu pelekat meja makan, poster di galeri R&R dan paparan iklan elektronik.

Menerusi kempen ini juga, SPRM akan memberi ceramah kepada 1,000 kakitangan LLM dan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia sebagai salah satu aspek jalinan kerjasama bagi meningkatkan tahap integriti di kalangan mereka.

Kempen ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di R&R Sungai Buloh seterusnya di R&R zon Utara, Selatan dan Timur.

Thursday, June 23, 2016

Abu Kassim, Personaliti Pencegah Rasuah Yang Disegani


Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos ini, merupakan seorang personaliti yang disegani di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Menerajui kepimpinan SPRM pada 1 Jan 2010, Abu Kassim telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.

Abu Kassim, 55, memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009.

Wednesday, June 22, 2016

SPRM & PDRM Tandatangani Nota Kerjasama, Berkongsi Kepakaran Banteras Rasuah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dengan menandatangani Nota Kerjasama bagi menjalinkan persefahaman serta berkongsi kepakaran dalam usaha membanteras rasuah.

Majlis menandatangani Nota Kerjasama tersebut berlangsung di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Ia disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM  Dato’ Sri Mustafar Ali mewakili SPRM manakala PDRM diwakili oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan.

Kerjasama yang dijalinkan oleh kedua-dua agensi berkenaan bertujuan memastikan usaha pengukuhan integriti dan pembanterasan jenayah rasuah dapat dilaksanakan dengan cekap serta berkesan.

Antara perkara utama yang dipersetujui menerusi kerjasama ini ialah:

1.    Mewujudkan persefahaman dan perkongsian kepakaran serta maklumat dalam aspek operasi, pencegahan dan latihan.

2.    Melaksanakan program meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan dalam membanteras rasuah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

Di samping itu, bagi tujuan pelaksanaan dan keanggotaan kerjasama ini, dua buah jawatankuasa kerja telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Jawatankuasa Kerja dipengerusikan bersama oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM.


Turut serta menandatangani Nota Kerjasama bersama PDRM pada majlis sama ialah Integriti Malaysia dan Arkib Negara Malaysia.

Tuesday, June 21, 2016

Pegawai jabatan agama ditahan



Tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi semalam.

Sumber SPRM memberitahu, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam sindiket menguruskan pernikahan individu yang hendak berpoligami tanpa prosedur sah.

Di negeri ini, seorang suami yang mahu berpoligami perlu mendapat kebenaran isteri pertama selain melalui proses di mahkamah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pernikahan tersebut berlangsung di negara jiran, Thailand manakala surat pengesahan penikahan dan kad akuan nikah yang tidak sah akan dise­rahkan kepada mereka di negeri ini oleh sindiket berkenaan selepas segala urusan selesai.

Wednesday, June 1, 2016

Belia Jadi ‘Mata Dan Telinga’ SPRM



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus berusaha merealisasikan komitmen untuk mendekati golongan belia sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dalam usaha memerangi rasuah.

Terbaharu, SPRM Pahang mengadakan Majlis Penerangan & Wacana SPRM Pahang bersama Majlis Belia Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang serta Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Pahang, hari ini.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 400 belia di negeri Pahang tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob.

Antara pengisian dalam program selama sehari ini ialah majlis penerangan dan wacana bertajuk "Pencegahan Rasuah Bermula Daripada Rebung" yang disertai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Haji Abdul Samat Kasah; Timbalan Presiden YARM, Haji Jais Karim dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman sebagai ahli panel manakala Pengerusi YARM Pahang, Wan Emril Wan Embong pula bertindak sebagai moderator.

Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah lafaz ikrar integriti oleh belia-belia yang diketuai oleh Khairul Amin sambil disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan.

Sementara itu, Adnan ketika berucap pada majlis tersebut berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang bebas rasuah, ia bukanlah terletak di bahu SPRM semata-mata tetapi memerlukan sokongan dan komitmen daripada semua pihak.

“Oleh itu, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak kerana usaha memantapkan integriti perlu dilakukan sejak dari kecil lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Negeri Pahang, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah, berkata, antara tujuan program seumpama ini dilakukan ialah untuk merapatkan hubungan SPRM bersama belia yang boleh dijadikan sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dalam membanteras rasuah.

Jelasnya, golongan tersebut boleh dijadikan sebagai sumber SPRM untuk memperolehi maklumat berkaitan rasuah pada bila-bila masa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, YB. Dato' Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Johari Haji Hussin serta Pengarah Jabatan Belia Negeri Pahang, Dato’ Haji Kamarulzaman Hassan Mansor.

Tiada laporan Orang Asli terlibat rasuah – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai Orang Asli terlibat dalam rasuah atau laporan daripada masyarakat itu mengenai kes rasuah, kata Timbalan Pengarah SPRM Perak Mohamad Hassan.

Beliau berkata keadaan itu mungkin disebabkan masyarakat pribumi tersebut sememangnya tidak terlibat dengan rasuah atau terdapat kalangan mereka yang tahu mengenai jenayah kolar putih itu tetapi tidak mengetahui saluran betul untuk membuat laporan.

“Memang tidak ada sebarang aduan dilaporkan oleh masyarakat Orang Asli atas sebarang isu (rasuah). Saya percaya mereka tahu ada amalan rasuah berlaku di sekitar mereka, tetapi tidak tahu bagaimana untuk melaporkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sembang santai ‘Hatimu Hatiku Jua’ bersama masyarakat Orang Asli sempena program merakyatkan SPRM bersama Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) di Kampung Orang Asli Desa Permai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini, semalam.




Program sehari itu anjuran bersama SPRM, C4, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Biro Pengaduan Awam dan disertai lebih 100 orang terdiri daripada ketua dan pemimpin Orang Asli dari seluruh negara.

Mohamad menggesa masyarakat Orang Asli yang mempunyai maklumat mengenai kes rasuah supaya tampil membuat laporan di pejabat SPRM Ipoh atau cawangan berdekatan iaitu di Taiping dan Teluk Intan.

Beliau berkata pemberi maklumat tidak perlu risau untuk membuat laporan mengenai kes rasuah kerana identiti dan aduan yang dibuat, dirahsiakan selain SPRM tidak sesekali bersubahat bagi menggagalkan siasatan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata SPRM mengambil inisiatif dengan memberi pendedahan tentang cara pencegahan rasuah kepada masyarakat Orang Asli menerusi program merakyatkan SPRM yang julung kali diadakan itu.

“Pada program ini SPRM membuka kaunter untuk mengajar bagaimana cara-cara membuat aduan rasuah, selain mendengar masalah yang ingin dikemukakan kepada SPRM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jakoa Suhaimi Mahmud, berkata mengikut rekod pihaknya, masyarakat Orang Asli tidak terlibat dengan memberi atau menerima rasuah.


“Cuma ada segelintir daripada mereka yang tidak mematuhi garis panduan dan sebagainya dan kami siasat perkara itu,” katanya.