Friday, April 29, 2016

SPRM Kelantan tahan warga Bangladesh disyaki sogok polis


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas cuba menyogok seorang pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Jumaat lepas.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu menawarkan sejumlah RM400 kepada pegawai polis berkenaan bagi membebaskan dua rakannya yang ditahan pasukan keselamatan pada hari sama.

"Berikutan itu, pegawai polis berkenaan kemudiannya menangkap lelaki warga asing tersebut sebelum menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

"Suspek akan didakwa di mahkamah selepas SPRM menyiapkan kertas pertuduhan terhadapnya," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, Moh Shamsudin turut memuji tindakan pegawai polis berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh semua kakitangan kerajaan.

"Moga tindakan murni ini menjadi pengajaran kepada kita semua bagi memastikan tiada gejala rasuah dalam kalangan kita semua," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dua kontraktor yang ditahan SPRM baru-baru ini yang dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berjumlah antara RM170,000 hingga RM380,000, dibebaskan dengan jaminan agensi itu, Khamis lalu.

Katanya SPRM sedang melengkapkan siasatan dengan beberapa lagi saksi mungkin akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Selasa lepas, Moh Shamsudin berkata agensi itu menahan dua lelaki berumur lingkungan 30-an kerana disyaki mengemukakan laporan tawaran kerja palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan.

*Sumber - Bernama

Tuesday, April 12, 2016

Agensi kerajaan mesti perkukuh integriti, kawalan dalaman


Ruangan rencana BH Ahad menemuramah Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dan Dekan Pengajian Akaun UUM, Prof Kamil Md. Idris bagi mengulas mengenai isu integriti dan sifat amanah penjawat awam ekoran pendedahan SPRM mengenai kes seleweng RM107 juta di KBS.

Prof Kamil berkata, beliau menyokong cadangan CUEPACS agar bahagian dalaman jabatan kerajaan bertanggungjawab terus kepada Ketua Audit Negara tanpa campur tangan ketua jabatan.

Beliau juga menyokong tindakan kerajaan yang mengumumkan 50 pegawai kementerian yang memegang jawatan sensitive akan ditukar secara dalaman atau kementerian lain.

Sementera itu, Datuk Azih pula berkata, dalam menangani isu ini, kerajaan perlu menekankan soal integriti khususnya instrumen dalaman.

Katanya, dalam soal pencegahan ini, tidak boleh bergantung kepada SPRM semata-mata.


Wednesday, April 6, 2016

SPRM tahan pensyarah wanita terima rasuah RM8,000


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pensyarah wanita sebuah institut pendidikan guru di sini, petang semalam.

Pensyarah berumur lingkungan 50-an itu ditahan di sebuah restoran di Sikamat dekat sini. Menurut sumber SPRM, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek dipercayai meminta dan menerima suapan hampir RM8,000 sebagai balasan memberikan kerja membekal dan menyediakan makanan bagi Program Transformasi Minda.

SPRM akan memohon reman terhadap wanita terbabit di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. 

Isu banglo: Siasatan siap hujung April, SPRM akan panggil Guan Eng minggu depan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melengkapkan kertas siasatan kes terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa terlibat dalam kontroversi pembelian banglo pada harga luar biasa murah, dalam tempoh tiga minggu lagi.

Sumber memberitahu, SPRM akan memanggil Guan Eng untuk merekodkan keterangan pada minggu depan di Pulau Pinang selepas kesemua dokumen termasuk transaksi melibatkan pembelian itu dikumpul serta diteliti sedalam-dalamnya.

Ditanya mengenai kelewatan SPRM untuk merekod keterangan Guam Eng, sumber memberitahu: “SPRM tidak mahu memanggil Guan Eng berulang kali, biar SPRM dapat semua dokumen secara hitam putih dan keterangan akan direkodkan berdasarkan bukti serta keterangan saksi-saksi yang dipanggil sebelum ini.”

Difahamkan, meskipun penjualan banglo di bawah harga pasaran itu dilakukan atas dasar ‘suka sama suka’ antara pembeli dan penjual, sekiranya SPRM mengesan kewujudan sebarang transaksi rasmi lain melibatkan kedua-dua pihak, SPRM boleh menahan kedua-dua mereka.

“Apa-apapun segala persoalan akan terjawab selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun sumber tersebut enggan mendedahkan perjalanan siasatan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Siasatan terhadap Guan Eng itu dipercayai dilakukan oleh pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya yang kini berada di Pulau Pinang dan dipantau terus oleh pegawai tertinggi SPRM.

Turut difahamkan, Guan Eng telah menyerahkan beberapa dokumen yang dikatakan ada kaitan dengan pembelian aset tersebut kepada SPRM.

Banglo itu yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong, Pulau Pinang, dibeli Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tahun lalu pada harga hanya RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasa hartanah sedemikian di kawasan tersebut boleh mencecah sehingga RM5 juta.

Lebih menimbulkan kontroversi apabila pemilik banglo itu turut dikaitkan dengan individu di dalam sebuah syarikat yang berjaya membeli tan­ah di Taman Manggis, Pulau Pinang.

Tanah di Taman Manggis itu sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi dirancang pemaju untuk dibina hospital swasta dan hotel.

Transaksi pembelian tanah itu juga dipersoalkan banyak pihak selepas kerajaan negeri menjualnya kepada pemaju hanya pada harga RM11 juta sedangkan terdapat tawaran lain yang menetapkan harga kira-kira RM20 juta.

Guru memandu mengaku terima rasuah

Guru sekolah memandu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM250 daripada calon memandu, tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Goh Tee Soon, 61, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah menerima RM250 daripada calon memandu berusia 28 tahun sebagai dorongan untuk membantunya lulus dalam Ujian Pelesenan Pemandu Vokasional (GDL lori).

Bagi perbuatan yang dilakukan di pusat latihan memandu di Jalan Persisiran Perling 1, Taman Perling di sini, kira-kira 11 pagi, 1 Oktober 2015 itu, dia didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Syarina Raizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siasatan SPRM kes seleweng wang bantuan banjir selesai

SPRM kunjungi pejabat KM Pulai Pinang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melawat pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk mendapatkan dokumen dan menyemak komputernya pada Selasa lepas, kata Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, bagaimanapun pihak kerajaan negeri masih menunggu SPRM untuk mendapatkan keterangan Guan Eng berhubung isu penjualan tanah di Taman Manggis dan pembelian banglonya pada harga RM2.8 juta yang didakwa lebih rendah daripada harga pasaran.

"Pegawai SPRM ada mengadakan perbualan ketika lawatan itu namun secara rasminya keterangan Ketua Menteri masih belum diambil ... masih menunggu maklum balas SPRM untuk mencatatkan keterangan Ketua Menteri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn di sini oleh Guan Eng dengan harga RM2.8 juta  mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Sementara itu, Guan Eng berkata beliau ingin meminta Shabudin yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang untuk memberi penjelasan berhubung penjualan tanah awam milik Perda pada harga di bawah pasaran.

Katanya, proses penjualan tanah itu di Seberang Perai Selatan dilakukan pada tahun lepas dengan tarikh penukaran hak milik pada 28 Jun 2015 dengan nilai lebih RM1.4 juta.

"Mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri, nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar yang mempunyai 18 plot itu adalah RM16.6 juta. Saya ingin  menjemput Shabudin untuk bersemuka memberikan penjelasan pada 11 pagi, Ahad ini bertempat di Bilik Mutiara, Komtar," katanya.

Guan Eng turut menafikan bahawa beliau cuba mengalihkan isu dan berkata Shabudin harus memberikan penjelasan berhubung isu itu kerana ia melibatkan tanah dan wang awam.

Inspektor polis tidak mengaku terima rasuah

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan rasuah yang membabitkan wang berjumlah RM1,200 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Amrin Paiman, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa menerima wang suapan sebanyak RM500 daripada Amir Hakim Amel Rosmadi sebagai dorongan untuk tidak menuduh lelaki tersebut dibawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau didenda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Amrin turut didakwa menerima wang suapan daripada individu yang sama sebanyak RM1,700.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan Amrin diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Kes disebut semula pada 8 April depan.

Tuesday, April 5, 2016

Saman Peguam Terhadap SPRM, Kerajaan Selesai

Dua tuntutan saman berjumlah RM97 juta yang difailkan peguam Rosli Dahlan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan berhubung pendakwaan dan penahanannya secara salah selesai, selepas peguam itu menarik balik samannya hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membatalkan saman berkenaan tanpa kebebasan untuk Rosli, selaku plaintif memfailkan semula saman tersebut.

Rosli menarik balik kedua-dua saman berkenaan selepas pegawai penyiasat SPRM, SAC Saiful Ezral Ariffin, mewakili kesemua defendan membacakan pernyataan secara terbuka di mahkamah hari ini bagi menyatakan kekesalan mereka berhubung kejadian yang berlaku.

Dalam pernyataan itu, SPRM memutuskan kes itu tidak perlu dipanjangkan dan tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara untuk dipertahankan berikutan kematian Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais dan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada 2015.

"Maka, SPRM dan kesemua defendan dengan ini menyatakan penyesalan kami atas kejadian yang menimpa Rosli.

"Kedua-dua plaintif dan defendan bersetuju bekerjasama dan berakujanji menegakkan keluhuran undang-undang dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia," katanya.

Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan 14 saksi plaintif dan enam saksi defendan dan hari ini kes itu ditetapkan untuk sambung bicara.

Pada 16 Sept 2009, Rosli memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap 17 defendan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Pengarah Penyiasatan dan Pendakwaan Datuk Anthony Kevin Morais serta beberapa pegawai kanan jabatan itu berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya kerana gagal menyatakan maklumat mengenai asetnya.

Satu lagi saman fitnah RM47 juta difailkan pada 22 Nov 2013 terhadap 13 defendan termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Abu Kassim dan SPRM atas dakwaan, mendakwanya secara salah.

Dalam kedua-dua saman itu, Rosli antara lain mendakwa defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM (dahulunya Badan Pencegah Rasuah - BPR) serta mendakwa SPRM memutuskan untuk mendakwanya meskipun beliau menawarkan untuk memberi butiran yang diperlukan secara bersumpah.

Beliau mendakwa tindakan defendan telah menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.

Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Dis 2010.

Peguam Chetan Jethwani mewakili Rosli manakala peguam Rishwant Singh mewakili SPRM dan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan bertindak bagi pihak kerajaan.


Rosli ketika ditemui pemberita memuji tindakan SPRM yang menunjukkan keberanian dari segi moral dan integriti untuk membetulkan keadaan dengan memberi kenyataan di mahkamah.

Monday, April 4, 2016

NRE-SPRM jalin kerjasama tingkat budaya integriti


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan kerjasama bagi memperkukuh usaha meningkatkan budaya berintegriti dan menangani isu rasuah secara menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mencadangkan supaya SPRM dijemput ke program yang diusahakan oleh NRE bagi membantu kementerian itu mempertingkatkan budaya integriti dalam tatacara kerja.

"Ia juga penting kerana NRE ingin mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap kementerian selain mendidik masyarakat berhubung undang-undang dan prosedur NRE," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan perbincangan antara kedua-dua pihak, di sini hari ini.

Turut terlibat dalam perbincangan itu ialah Timbalan Menterinya, Datuk Hamim Samuri, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sri Mustafar Ali, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Datuk Yusoff Akope serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Dalam perbincangan itu, NRE turut menunjukkan sokongan terhadap Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan akan mengambil langkah untuk menandatangani CIP dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mustafar menyambut baik usaha NRE dalam mengukuhkan kerjasama dengan SPRM serta hasrat kementerian itu untuk menandatangani CIP sebagai usaha menyemai budaya integriti dalam kalangan pegawainya.

Beliau berharap dengan wujudnya jalinan itu, SPRM dan NRE dapat bekerjasama dalam menangani masalah berkaitan alam sekitar dengan lebih proaktif.

NRE merupakan antara kementerian yang mewujudkan unit integriti diketuai pegawai dari SPRM.