Wednesday, July 27, 2016

Abu Kassim akan teruskan agenda cegah rasuah


Tan Sri Abu Kassim Mohamed bertekad untuk meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos depan.

Katanya, tempoh perkhidmatan selama enam tahun tujuh bulan sudah cukup lama dan dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai dan kakitangannya kerana sepanjang tempoh itu mereka berjaya menjadikan SPRM kini sebagai antara agensi pencegahan rasuah yang disegani di dunia.

"Terima kasih kepada seorang tokoh yang amat penting dengan menukarkan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.. terlalu banyak peristiwa yang hendak diceritakan tentang komitmen beliau kepada BPR dan SPRM sehingga menjadi satu agensi yang dihormati dalam negara serta disegani seluruh dunia.

"Terima kasih juga kepada pihak yang 'berperang' di Parlimen untuk memastikan Akta SPRM 2009 menjadi nyata dan mempertahankannya satu persatu," katanya ketika berucap pada pada Majlis Penghargaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Yang turut hadir, Abdullah dan isteri, Tun Jane Abdullah; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz;  Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Hadir sama, bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Abu Kassim berkata, selepas ini beliau akan meneruskan perjuangannya membanteras rasuah dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang itu sebagai pakar jemputan di Akademi Anti-Korupsi Antarabangsa di Vienna, Austria selain sebagai perunding di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Abu Kassim juga akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. Beliau yang memulakan tugas sebagai pegawai penyiasat BPR pada 1984, dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010. Dalam pada itu, Abu Zahar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dalam ucapannya berharap pengganti Abu Kassim akan dilantik daripada kalangan 'orang dalam' SPRM sendiri.

"Kalau boleh pengganti Ketua Pesuruhjaya adalah dari orang dalam SPRM sendiri, bukannya orang luar. Ini untuk lebih mudah menjalankan tugas kerana sudah tahu selok belok cara kerja SPRM.


"Jika ambil ambil orang luar, ini sedikit sebanyak akan menurunkan moral kepada orang kanan dan bawahan kerana perlu ikut arahan daripada mereka yang tiada pengalaman," katanya.

Monday, July 25, 2016

Usaha Cegah Rasuah Semakin Meningkat Dengan Pelbagai Program Kesedaran Oleh SPRM


Keyakinan dan sokongan masyarakat di negara ini terhadap usaha pencegahan rasuah dilihat semakin meningkat selaras dengan penganjuran pelbagai program kesedaran dan kefahaman yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata langkah proaktif menerusi inisiatif turun padang turut berjaya menarik lebih ramai untuk tampil membuat laporan berhubung isu rasuah di sekeliling mereka.

"Kita juga memberi penekanan kepada konsep 5K iaitu Kefahaman, Kesedaran, Keinsafan, Keikhlasan dan Keberhasilan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang undang-undang, peraturan dan prosedur kerja terhadap isu pencegahan rasuah.

Friday, July 22, 2016

55% peratus tangkapan rasuah babitkan belia – SPRM


Sebanyak 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2013 terdiri daripada golongan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Pengarah Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata jumlah berkenaan menunjukkan penglibatan rasuah dalam kalangan belia agak tinggi dan ia perlu ditangani dengan efektif agar tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

“Kita memandang serius tentang penglibatan belia dalam isu rasuah kerana mereka merupakan tonggak negara yang akan meneraju pembangunan dan masa hadapan negara.

“Justeru kita telah merangka pelbagai program di peringkat negeri dan ibu pejabat dengan sekolah, institusi pengajuan tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi pendedahan kepada belia berhubung isu rasuah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Merakyatkan SPRM bersama Agensi Awam, Swasta dan Komuniti Setempat di sini yang turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias.

Mengulas lanjut, Shamshun Baharin berkata kajian persepsi rasuah dalam kalangan pelajar di negara ini yang menyatakan kesanggupan mereka menerima rasuah apabila bekerja mencatatkan penurunan daripada 30.5 peratus pada tahun 2002 berbanding 10.7 peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata penurunan berkenaan ekoran langkah efektif SPRM melaksanakan pelbagai program di semua peringkat masyarakat di negara ini termasuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sejak 2007 dan peringkat sekolah melalui program ‘Wira Antirasuah’.

“Kita telah menubuhkan sebanyak 103 Sekretariat Pencegahan Rasuah di negara ini termasuk di institusi pengajian swasta dan kita lihat kesedaran golongan masyarakat terutama golongan belia di negara ini, semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata pendidikan pencegahan rasuah juga turut melibatkan sektor awam menerusi unit integriti yang diwujudkan bagi memberi penerangan dan pendidikan berhubung isu dan cara menangani rasuah.

Katanya, antara aspek yang ditekankan isu pencegahan rasuah dalam kalangan belia termasuk sistem keadilan jenayah supaya mereka memahami fungsi dan tugas SPRM serta membantu SPRM dalam usaha mencegah segala bentuk ativiti jenayah.

Sementara itu, Azmi berkata SPRM Melaka menahan seramai 29 individu terdiri daripada 18 penjawat awam dan 11 orang awam berkaitan isu rasuah di negeri itu antara tempoh Januari lepas hingga hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lima individu dituduh di mahkamah dan kebanyakannya merupakan golongan belia yang didapati menerima dan memberi rasuah, terlibat dalam penggubalan wang haram dan membuat tuntutan yang tidak wujud.

“Pada masa sama, kita telah mengemukakan Laporan Pencegahan Rasuah Malaysia kepada majikan penjawat awam yang terlibat dalam perbuatan rasuah agar diambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan Pegawai-pegawai Awam 1993.


“Tindakan itu dilakukan kerana kita tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka di mahkamah dan kes berkenaan dirujuk pada majikan mereka untuk tindakan lanjut sama ada dibuang kerja atau merit mereka dipotong,” katanya.

Thursday, July 21, 2016

FBI puji keberanian SPRM siasat 1MDB


Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memuji keberanian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap 1MDB.

Sebuah rencana dipaparkan pada laman sesawang agensi penguatkuasaan AS itu memetik Ketua Unit Rasuah Antarabangsa FBI Darryl Wegner sebagai berkata, SPRM menunjukkan "keberanian yang besar" ketika meneruskan siasatan, yang diketuai skuad rasuah awam antarabangsa FBI di New York.

"Tindakan hari ini menghantar mesej kepada pegawai asing yang korup. FBI bersama rakan antarabangsa kami akan mengesan individu yang terlibat dan membongkar rasuah mereka.

"Kami bekerja bersungguh-sungguh memastikan AS tidak menjadi syurga kepada jenayah begini," katanya.

FBI yang bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS semalam mengemukakan saman sivil untuk menyita lebih AS$1 bilion aset didakwa diperoleh melalui dana daripada 1MDB.

Keterangan dipetik DOJ kelihatan sama dengan penemuan SPRM dalam siasatan mereka terhadap 1MDB.

Antara bukti disertakan ialah pada Mac 2013 sejumlah AS$681 juta (RM2.76 bilion) dana 1MDB dimasukkan ke akaun seorang penjawat awam berkedudukan tinggi, dikenali sebagai "Malaysian Official 1".

Pada Januari lalu Peguam Negara Tan Seri Mohamed Apandi Ali mengakui wang itu dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2013.

Kata Apandi, Najib memulangkan AS$620 juta (RM2.51 bilion) daripada dana itu yang didakwa diberikan melalui derma peribadi seorang anggota keluarga bangsawan Arab Saudi.

Menteru Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir kemudian mengesahkan derma itu dibuat kepada perdana menteri Malaysia.

Apandi juga merumuskan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dan mengarahkan SPRM tidak melanjutkan siasatan mereka.

Pengkritik berkata siasatan SPRM tergendala oleh keengganan Apandi memberikan kebenaran kepada agensi berkenaan mendapatkan bantuan undang-undang dari negara lain dalam usaha mereka mencari bukti terhadap 1MDB.


Kerajaan pula menafikan wujud sebarang elemen bagi menutup siasatan itu, manakala Najib dan penyokong beliau menuduh dakwaan berkenaan adalah konspirasi bagi menjatuhkannya.

Sunday, July 17, 2016

PBT dan GLC Negeri Johor Tekad Membudayakan Integriti, Banteras Rasuah


Selaras dengan komitmen untuk membudayakan integriti sekali gus membanteras rasuah, sebanyak 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Johor menandatangani ikrar integriti korporat (CIP) dalam satu majlis yang berlangsung Johor Bahru hari ini.

Majlis tersebut itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor,  Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed.

Antara PBT yang menandatangani CIP tersebut ialah Majlis Bandaraya  Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang manakala syarikat GLC Negeri Johor pula antaranya ialah Permodalan Darul Ta’zim, Majlis Agama Islam Johor, Insist Amilat Sdn Bhd dan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, menandatangani CIP ini amat penting bagi setiap organisasi untuk memastikan setiap pihak faham dengan jelas mengenai integriti serta melihat kemudaratan sekiranya amalan integriti tidak dilaksanakan dari peringkat akar umbi.

“Kita mahu melihat rakyat kita melakukan perkara betul dengan amanah yang diberikan kerana itu akan menghasilkan bangsa terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Abu Kassim dalam ucapannya menyatakan SPRM mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha membanteras rasuah.

“Pencegahan rasuah dapat dijayakan sekiranya semua pihak berganding bahu dan komited.  dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi adalah dari dalam organisasi itu sendiri iaitu pegawai dalaman yang perlu mempunyai integriti yang tinggi,” katanya.

Abu Kassim turut menjelaskan kepentingan untuk mewujudkan peruntukan korporat liabiliti yang dapat memastikan syarikat swasta juga dipertanggungjawabkan dalam usaha membasmi rasuah.

“Banyak negara telah memasukkan peruntukan korporat liabiliti dalam negara mereka dan yang terbaru ialah Negara Brazil. Korporat liabiliti ini dilaksanakan bagi memastikan pihak swasta turut bertanggungjawab dalam memerangi rasuah kerana mereka adalah juga sebahagian dari pendokong ekonomi negara,” tegas beliau.

Kesemua penandatangan ikrar integriti menandatangani CIP di hadapan Ketua Setiausaha Negeri Johor, Dato’ Ismail Karim sebelum diserahkan kepada Pengarah SPRM Johor, Dato Simi Abd Ghani dan disaksikan oleh Menteri Besar bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Lafaz ikrar integriti diketuai oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Rahim Nin.

Kira-kira 500 hadir dalam majlis ini dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Johor,  pegawai dan kakitangan PBT dan GLC Negeri Johor.

Friday, July 15, 2016

Didik pelajar perangi rasuah


PENAMATAN awal kontrak TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 bagaikan satu rahmat apabila beliau kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek pengajaran dan perkongsian pengalamannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ikuti wawancara eksklusif bersama Abu Kassim untuk mengulas lebih lanjut hala tuju beliau selepas bersara awal daripada badan bebas itu dan mencurahkan baktinya kepada institut pengajian tinggi.

Tan Sri dikhabarkan dilantik sebagai perunding undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Boleh jelaskan apa peranan Tan Sri dalam IPT  berkenaan?
Saya hanya terima satu tawaran sahaja, iaitu saya akan dipinjamkan kepada UiTM sebagai perunding. Selain itu mungkin akan memberi ceramah atau mengajar dalam subjek-subjek tertentu.

Saya akan berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang ada selama 32 tahun dalam usaha menjalankan pencegahan rasuah dengan pihak universiti.

Saya juga adalah ahli lembaga universiti di Vienna, Austria. Sebagai ahli lembaga di sana, kita selalu berpegang kepada konsep teori bertemu dengan amalan.

Di mana pentingnya ilmiah bertemu dengan pengamal (penguat kuasa) untuk menjadikan ilmu itu mantap, berguna dan dapat digunakan. Mesti ada pertemuan antara teori dan praktikal.
Dalam konteks ini, mungkin saya dapat memberikan sumbangan kepada UiTM, iaitu menemukan perkara-perkara yang sebenarnya berlaku dan konsep serta falsafah tertentu yang diajar secara ilmiah.

Jadi ia akan mematangkan dan menjadikan UiTM sebagai universiti yang menggabungkan antara kedua-dua dunia ini.

Adakah Tan Sri akan membawa subjek atau kursus yang menjurus kepada membasmi rasuah?
Setakat ini, saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak UiTM untuk menjadikan ia sebagai pusat pengajian tinggi yang akan menerajui subjek berkaitan dengan isu-isu integriti, etika, rasuah dan tadbir urus.

Dalam konteks ini, saya akan cuba membantu UiTM dalam membina kapasiti tersebut.

Adakah ia akan diperkenalkan sekadar subjek atau sebagai fakulti?
Ia masih dalam proses perbincangan dari segi cara, struktur, macam mana nak buat dan sebagainya.

Adakah ia perkara baharu dan pertama di negara ini?
Daripada konsep pengajian di peringkat sarjana (master) telah pun dibuat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu master dalam pengajian pencegahan rasuah.

Tetapi di UiTM saya bercadang ke arah itu. Terpulang kepada UiTM untuk memulakannya di peringkat ijazah. Bagi saya di peringkat ijazah cukup penting kerana ia menjadi teras kepada peringkat yang tinggi lagi.

Selain itu, saya juga bercadang untuk memperkenalkan beberapa kursus kepada graduan profesional yang akan keluar dari UiTM.

Saya melihat inisiatif oleh bekas Timbalan Pesuruhjaya Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC), Daniel Li Ming Chak, yang membentuk satu kurikulum di Universiti Hong Kong yang menggabungkan antara praktikal dan konsep, di mana dia mengajar pelajar tahun akhir di universiti itu.

Adakah Malaysia tidak pernah ada kurikulum sebegitu?
Saya tak berani nak kata atau sebaliknya, tetapi bagi saya di sini pertemuan pengamal (penguat kuasa) dengan ahli akademik.

Saya sendiri merupakan graduan yang pernah melalui proses sama. Semasa saya membuat master, saya berjumpa dengan satu sistem di mana kebanyakan pengajar pada masa itu adalah bekas pengamal (industri) seperti bekas-bekas ketua polis mengajar saya. Ada juga ahli akademik, apabila dua jenis tenaga pengajar ini bertemu, saya dapati bahawa pengajarannya cukup berkesan kerana dia mengajar perkara yang benar-benar berlaku secara realiti serta menggunakan konsep dan prinsip yang diajar secara ilmiah itu dan ditunjukkan bagaimana ia terjadi dalam realiti hidup.

Adakah subjek ini merupakan perkara pertama diperkenalkan di UiTM?
Ya, ia melibatkan tajuk-tajuk mengenai antirasuah dan isu-isu integriti. Mungkin mereka ada aspek dari segi aspek etika, dan sebagainya.

Adakah UiTM minta Tan Sri jadi penasihat?
Saya sebenarnya memohon kepada UiTM untuk memberikan sumbangan kepada universiti ini.

Kenapa Tan Sri memilih UiTM untuk memberikan sumbangan itu?
Saya rasa UiTM merupakan universiti yang terbesar dalam negara kita yang mempunyai cawangan yang begitu banyak di seluruh negara. Saya yakin kebanyakan mereka ini terlibat dalam sektor cukup besar. Saya nak membantu mereka sebab saya percaya kepada universiti ini boleh memberi impak yang besar.

Berapa lama sumbangan ini akan diberikan kepada UiTM?
Ia terpulang kepada UiTM. Kalau kehadiran saya di UiTM ini boleh menambah baik dan membantu mereka, bukan sahaja dari segi pengajaran, bahkan khidmat rundingan kepada pihak universiti.

Mungkin akan menjadikan universiti sebagi pusat untuk memberi khidmat rundingan sama kepada institusi-institusi lain.

Adakah ia akan menjadi perintis untuk memberi gambaran baharu kepada dimensi antirasuah di negara ini? Adakah Tan Sri menjangka ia akan terjadi?
Saya fikir usaha saya ini melengkapi proses antirasuah di negara ini. Kita telah melalui reformasi dari segi struktur SPRM.

Kerajaan juga telah melancarkan transformasi yang mana memasukkan daripada enam agenda besar, salah satu daripadanya ialah elemen rasuah, di mana terdapat reformasi dari segi sistem, prosedur kerajaan, ketelusan ditingkatkan, mahkamah khas diwujudkan, undang-undang (rasuah) dilihat semula serta prosedur tender dikaji semula.

Dalam konteks ini, kita tertinggal dalam satu perkara yang agak penting, iaitu satu pusat yang mengkaji secara lebih mendalam dan ilmiah, menjadi menyedia input kepada keseluruhan perubahan tersebut.

Sebagai contoh, universiti selalu akan membuat kajian, kadang-kala ia melibatkan penilaian. UiTM mungkin boleh membuat penilaian sejauh mana transformasi yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan isu-isu integriti ini telah berjaya.

Jadi mereka membuat penilaian secara bebas. Hasilnya ia boleh disalurkan kepada kerajaan untuk menambah baik langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan perubahan itu berterusan dan mencapai matlamatnya.

Adakah Tan Sri melihat universiti sebagai tempat yang paling tepat untuk membasmi rasuah sebab mereka ini generasi pelapis pemimpin masa depan?
Ada dua faktor, satu generasi universiti yang akan keluar, kedua peranan universiti dalam mengkaji isu tersebut secara mendalam, berstruktur dan fokus kepada tajuk-tajuk berkaitan.

Kedua-dua faktor ini memainkan peranan penting, satu generasi pemimpin akan datang, itu penting kerana apabila graduan dilahirkan khususnya dalam bidang profesional, undang-undang, perakaunan, kejuruteraan, reka bentuk dan sebagainya.

Golongan ini akan berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran yang menyentuh isu integriti serta etika mereka.

Isu yang saya tengok dari negara-negara yang berjaya ialah bagaimana kita menyediakan mereka untuk berhadapan dengan perkara sebenar. Nampak mudah, namun sebenarnya sukar.
Contohnya kenapa orang merokok? Ini kerana orang kurang keupayaan untuk mengatakan ‘tidak’ sedangkan untuk mengatakan tidak itu mudah dan ia merupakan satu kemahiran.

Ia adalah satu pembinaan karakter asertif, di mana walaupun persekitaran seseorang itu berlainan, dia boleh berdiri tegak dan mengatakan ‘minta maaf, saya tidak mahu terlibat’ dalam hal ini.

Kebanyakan situasi yang berlaku ialah apabila seseorang itu berada dalam satu kumpulan dan dia akan terikut kerana tidak mahu menjadi tersisih daripada kumpulan sekiranya tidak mengikut budaya mereka.

Kalau kita dapat membina manusia yang mempunyai karakter asertif yang tinggi dan berupaya mengatakan ‘tidak’, maka dia boleh melakukannya dengan penuh diplomasi dan masih dalam kumpulan tersebut.

Sebab itu kita perlu generasi universiti ini perlu tahu apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan situasi ini.

Kalau orang yang mempunyai karakter asertif yang kental, mereka ini dapat membina maruah bangsa terutamanya UiTM dalam mewujudkan sahsiah pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan politik yang berupaya untuk kekal dan meningkatkan integriti.

Adakah penubuhan SPRM serta unit-unit integriti di semua sektor tidak berkesan tanpa pendidikan?
Ia bukan tidak berkesan, isunya sekarang kita melengkapi untuk menambah baik proses pencegahan rasuah sedia ada. Mengikut kajian UKM mendapati, ramai orang tahu rasuah itu salah, tapi tak ramai yakin sehingga ke tahap untuk bertindak. Tahap yang kita ingin capai dengan mewujudkan generasi yang bukan sahaja tahu, faham, yakin dan mampu bertindak.

Adakah usaha pencegahan rasuah di negara melalui pendidikan tidak berjaya?
Kalau kita tengok kepada konvensyen antirasuah yang diputuskan dan disokong oleh ahli-ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua kajian pakar pencegahan rasuah, tiada satu kaedah yang boleh menyelesaikan semua masalah secara sempurna. Pendidikan salah satu cara pencegahan dan bukan dengan semudah itu masalah sosial boleh diselesaikan.

Orang yang tidak hirau kepada undang-undang mesti dihukum kerana itu salah satu cara untuk menghentikan jenayah tersebut.

Tindakan tegas undang-undang kena ada. Selain itu, kita jangan benarkan perkara itu mudah berlaku. Kerajaan perlu tutup peluang rasuah yang ada, dengan menguatkuasakan undang-undang serta menutup peluang rasuah. Kemudian kita memberi kesedaran, tidak melakukan rasuah serta beri kesedaran tentang kepentingan bertindak.

Adakah budaya rasuah semakin kronik di negara ini?
Menurut kajian yang dilakukan oleh Global Baro Meter, kedudukan Malaysia dari segi lakar rasuah, setiap 100 orang, kurang 10 orang dalam setahun yang menyatakan bahawa mereka terlibat dalam proses pemberian rasuah. Dalam konteks 10 hingga 15 peratus, kita masih menyatakan bahawa Malaysia belum sampai tahap budaya.

Budaya ini apabila ia melampaui jumlah 50 peratus. Pada pandangan saya, setiap 10 orang yang ditemu bual, mungkin enam atau tujuh orang mengatakan kalau tiada rasuah dalam masa setahun dalam kehidupannya, tujuh orang mengaku dia berdepan dengan pemberian rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan. Kalau itu berlaku, baru kita rasa wajar dikatakan sebagai ‘budaya’.

Tetapi ia belum boleh dinyatakan ianya satu budaya, hanya kerana beberapa insiden seperti kes rasuah di Kementerian Belia dan Sukan. Kehilangan lebih RM100 juta itu bukan berlaku setiap tahun. Akibat tindakan SPRM yang sistematik, kita yang bongkarkan perkara tersebut.

Budaya itu ada indikatornya, apabila orang tidak bercakap lagi sebagai rasuah, dan perkataan akan keluar dari mulut orang ramai sebagai ‘perkara biasa’.

Namun di Malaysia, masih ramai orang bercakap tentang rasuah. Suara-suara yang menentang rasuah itu masih tinggi. Kalau rasuah jadi budaya, suara menentang tidak tinggi lagi.

Mungkin dalam bidang atau sektor tertentu di mana rasuah ini mungkin menjadi budaya. Daripada kajian yang dibuat oleh pihak luar iaitu Transparency International, saya mentafsirkan ianya belum sampai ke tahap pembudayaan masyarakat di Malaysia.

Kajian badan ini mendapati kedudukan Malaysia dari segi rasuah hanya sekitar 10 hingga 15 peratus. Namun saya meletakkannya di bawah 10 peratus daripada 100 orang yang ditemu bual.


Kita boleh kata dengan yakin kadar rasuah di Malaysia di bawah 10 peratus dan ia masih boleh diterima. Lakar rasuah ini mempunyai tujuh peringkat, kita pernah mencapai peringkat satu iaitu di bawah lima peratus. Ia menyamai kedudukan rasuah seperti di Singapura dan Jepun. Sekiranya semua perkhidmatan kerajaan kita kena bayar duit rasuah baru boleh dikatakan ia menjadi budaya.

Thursday, July 14, 2016

SPRM Kelantan guna pendekatan agama cegah rasuah


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bakal menggunakan pendekatan agama dalam usaha mencegah rasuah dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata usaha menangani rasuah perlu ada 'kekuatan hati' bagi setiap orang yang membuat laporan atau menjadi saksi penting dalam mana-mana kes rasuah.

"Sekiranya tiada kekuatan dalaman, maka usaha menghapuskan kegiatan rasuah tidak akan berjaya sepenuhnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Moh Shamsudin berkata untuk menjayakan usaha tersebut, pihaknya akan mendapatkan pelan tindakan daripada golongan pendakwah seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan mufti untuk sebarang rujukan.

"Kita dapati pelbagai pihak bersetuju untuk adakan bengkel lebih serius melalui pendekatan agama dan kita yakin usaha ini akan berjaya," katanya.

Beliau berkata bengkel berkenaan yang akan diadakan dalam tempoh terdekat akan melibatkan penyertaan beberapa tokoh ilmuan Islam.

Katanya, bengkel yang melibatkan program jangka pendek dan jangka panjang akan diadakan di surau atau masjid kerana pihaknya yakin golongan pendakwah agama lebih diyakini sekiranya memperjelaskan sesuatu isu termasuk rasuah.

"Untuk memberi penerangan lebih meluas, kita akan gunakan tokoh agama supaya orang ramai lebih sedar mengenai isu rasuah dan seterusnya membuat laporan sekiranya mengetahui berlakunya rasuah.

Dalam perkembangan lain, Moh Shamsudin berkata sejak Januari hingga Jun lepas, SPRM Kelantan membuat tangkapan ke atas 11 individu berkaitan kes rasuah.
Katanya dalam tempoh sama juga sebanyak 114 laporan kes rasuah diterima sama ada melalui pegawai yang bertugas atau melalui surat.

 "Daripada jumlah itu, 22 kertas siasatan dibuka, 30 kes dirujuk kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan dalaman dan selebihnya masih dalam tindakan kerana kekurangan bukti," katanya.


Tuesday, July 12, 2016

Ambil Kira Pandangan Masyarakat Berhubung Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM



Pendapat dan pandangan orang ramai perlu diperoleh berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan beliau mendapat sokongan meluas dalam usaha memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata sekiranya pandangan dan pertimbangan meluas orang ramai tidak dapat diperoleh ketika ini, pihak berkenaan perlu merujuk kepada jawatankuasa khas mengenai pencegahan rasuah Parlimen bagi mendapatkan kelulusannya.

"Jawatankuasa khas ini mempunyai tiga Anggota Parlimen daripada kerajaan, tiga lagi Anggota Parlimen pembangkang dan ia dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara.

"Oleh itu, kewibawaannya amat tinggi dan ia perlu dirujuk sepenuhnya selain memberi pandangannya secara terbuka tentang pemilihan yang dibuat supaya rakyat lebih yakin terhadap ketua pesuruhjaya baharu SPRM," katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan mengundurkan diri pada 1 Ogos manakala timbalan beliau Datuk Seri Mohd Shukri Abdull akan bersara pada 3 Oktober ini.

Navaratnam juga mengesyorkan beberapa kriteria yang perlu dipertimbang kerajaan untuk memilih ketua pesuruhjaya baharu SPRM termasuk individu berkenaan perlulah dilantik daripada kalangan warga SPRM sendiri dan bukannya dari luar.

Menurutnya orang dalam SPRM itu mestilah memiliki pengalaman luas, kecekapan, pengetahuan tentang operasi di peringkat lapangan dan mempunyai dedikasi tinggi setelah sekian lama terlibat dengan tugas memerangi rasuah.

Beliau berkata individu itu perlu memiliki kejujuran dan integriti yang tinggi kerana tiada gunanya memilih seorang ketua pesuruhjaya baharu tetapi mempunyai rekod perkhidmatan tercemar atau diragui integritinya.

"Ketua pesuruhjaya baharu perlulah memiliki jati diri, keperibadian dan komitmen yang tinggi untuk menunaikan tugas memerangi rasuah secara habis-habisan sebelum ia merebak dalam sistem kita seperti barah.

"Beliau perlulah mampu untuk berdiri teguh dan tegas terhadap sebarang campur tangan poitik dan komersil daripada mana-mana pihak, sama ada yang tinggi atau rendah kedudukannya,"kata Navaratnam.

Menurutnya ketua pesuruhjaya baharu itu juga perlulah merupakan ketua yang mampu memberi inspirasi untuk membawa seluruh warga SPRM ke tahap baharu dalam perjuangan menentang rasuah.


Monday, July 11, 2016

Mustafar Ali paling sesuai teruskan kesinambungan transformasi SPRM


 

Setelah melalui proses transformasi yang ketara di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diterajui oleh individu dari dalam badan itu sendiri.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata, ini akan memastikan agenda semasa dan kesinambungan kerja dalam SPRM diteruskan.

Dalam hal ini, beliau berpendapat individu paling layak menggantikan Abu Kassim yang menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos depan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali.

"Oleh kerana orang nombor satu dan nombor dua SPRM akan bersara, maka calon dalaman yang paling sesuai ialah Datuk Mustafar Ali yang merupakan pegawai ketiga tertinggi sekarang.

"Saya rasa jika mana-mana pegawai tinggi SPRM sekarang mengambil alih sekalipun, peluang berlakunya kesinambungan transformasi SPRM pasti lebih tinggi berbanding jika orang luar 'dipayungterjunkan' ke dalam organisasi itu," kata Wan Saiful dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Abu Kassim mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos depan manakala timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull akan bersara wajib pada 3 Oktober.

"Sekarang ini heboh dikatakan bahawa Datuk Dzulkifli Ahmad dari Jabatan Peguam Negara atau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim daripada Polis Diraja Malaysia akan mengambil alih jawatan itu.

"Kedua-dua mereka memang berpengalaman tetapi dengan suasana politik sekarang, pelantikan orang luar hanya akan menjejaskan reputasi SPRM itu sendiri," katanya.


Kekalkan integriti SPRM dengan lantik calon dalaman




Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mahu pengganti bagi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Kassim Mohamed dilantik daripada calon dalaman supaya integriti suruhanjaya itu tidak terjejas.

Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan berkata beliau bimbang jika orang luar dilantik, budaya kerjanya mungkin berbeza dengan budaya SPRM yang telah dibentuk sejak sekian lama.

"Saya berharap agar pengganti Abu Kassim ialah seorang yang datang daripada keluarga SPRM itu sendiri.

“Ini penting kerana SPRM telah menjalani satu proses transformasi yang agak ketara di bawah kepimpinan Abu Kassim,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau juga memetik contoh daripada beberapa kes berprofil tinggi yang telah dibawa ke mahkamah dan hubungan baik suruhanjaya itu dengan pelbagai badan bukan kerajaan serta sikap mesra rakyat hasil usaha mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat

“Semua ini membantu mempertingkatkan tahap kepercayaan kepada SPRM itu sendiri.

“Agenda ini mesti diteruskan dan cara terbaik untuk memastikan kesinambungan kerja ialah dengan cara melantik individu yang datang dari dalam acuan SPRM sendiri sebagai ketua pesuruhjaya baru," katanya.

Menurut Wan Saiful jika orang luar dilantik, bukan sahaja budaya kerjanya mungkin berbeza tetapi tindakan itu boleh membantutkan proses transformasi SPRM yang sedang berjalan.

Katanya, spekulasi bertiup kencang bahawa Datuk Dzulkifli Ahmad daripada Jabatan Peguam Negara atau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim daripada PDRM bakala menjadi ketua SPRM yang baru.

“Kedua-dua mereka memang berpengalaman tetapi dengan suasana politik sekarang, perlantikan orang luar hanya akan menjejaskan reputasi SPRM itu sendiri.

“Kita perlu berfikir jangka panjang dan kita tak mahu usaha gigih kerajaan dalam memerangi rasuah dicalarkan dengan satu perlantikan yang menyebabkan integriti SPRM dipertikaikan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, calon yang paling sesuai adalah Datuk Seri Mustafar Ali yang juga adalah timbalan ketua pesuruhjaya (pencegahan) kerana beliau kini adalah pegawai ketiga paling kanan dalam suruhanjaya itu.


Kedua-dua Abu Kassim serta timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah mengumumkan bahawa mereka akan bersara pada bulan Ogos dan bulan ini.

Friday, July 1, 2016

Guan Eng hadapi dua tuduhan rasuah


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terpalit dengan kontroversi berhubung isu pembelian bang­lo di Jalan Pinhorn, Georgetown sejak berbulan-bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Georgetown atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Guan Eng, 56, yang memakai kot hitam, berbaju putih dan bertali leher merah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta berserta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan tidak perlu menyerahkan pasportnya tetapi dengan syarat beliau dikehendaki memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara dua hari sebelum ke luar negara.

Sepanjang prosiding, Guan Eng tidak menunjukkan sebarang reaksi. Isteri beliau, Betty Chew Gek Cheng yang hadir menemani­nya turut kelihatan tenang dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan penyokong mereka serta pihak media.

Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatan itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon, 44, pula mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat dengan ketua menteri itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama.

Mahkamah memerintahkan Li Koon diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 22 September ini pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapatkan dokumen berkenaan.

Guan Eng dan Li Koon membayar jaminan masing-masing.

Terdahulu pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid di Mahkamah Sesyen sebelum mahkamah berkenaan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tampil buat pertama kali mengendalikan kes pendakwaan di mahkamah sejak dilantik memegang jawatan itu pada Julai tahun lalu mengetuai pasukan pendakwaan yang turut dianggotai enam timbalan pendakwa raya.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya terlibat ialah Masri Mohd. Daud, Mohd. Dusuki Mokhtar, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, Mohd. Zain Ibrahim dan Muhammad Fadzlan Mohd. Noor.

Peguam Gobind Singh Deo mengetuai pasukan peguam mewakili Guan Eng bersama-sama Ramkarpal Singh, RSN Rayer, M. Manoharan, P. Subramaniam, dan M. Kulasegaran manakala Li Koon diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, K. Dave Kumaraendran, Raj Shankar dan Cheetan Jethawani.

Dalam pada itu kira-kira 100 penyokong DAP berhimpun di tepi jalan berhadapan mahkamah sejak pukul 7 pagi tanpa menghiraukan keadaan basah akibat hujan.

Mereka juga melaungkan “Bebas Guan Eng" sebaik sahaja kenderaan khas yang membawa Ke­tua Menteri itu dan Li Koon tiba di mahkamah pada pukul 10 pagi.

Laluan masuk ke kompleks mahkamah juga terpaksa dikawal oleh anggota polis bagi mengelakkan orang awam menyerbu ma­suk ke kawasan itu.

Turut kelihatan beberapa pemimpin pembangkang seperti Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Mansor Othman.

Petang semalam, Guan Eng dan Li Koon ditahan di dua lokasi berbeza oleh SPRM dan dipercayai bermalam di lokap SPRM di Jalan Sultan Ahmad di sini sebelum dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi ini.