Thursday, May 24, 2018

KENYATAAN MEDIA PASUKAN PETUGAS KHAS 1MDB: ‘PERTEMUAN BERSAMA FBI DAN DOJ’



Pada 24 Mei 2018 jam 11.00 pagi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri,  Ahli Pasukan Petugas Khas 1MDB telah mengadakan pertemuan dua hala dengan pegawai-pegawai dari Federal Bereau of Investigation (FBI) dan Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.

Perbincangan yang dipengerusikan bersama oleh YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail; YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed; YBhg. Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull dan YBhg. Dato’ Abdul Hamid Bador telah membincangkan tentang hala tuju dan fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah ‘Mutual Legal Assistance’ (MLA) dan juga proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di Amerika Syarikat.

Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang telah menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada YBhg. Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

Pihak DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Sri Apandi Ali pada 22 September 2017. Walau bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini.

Pihak DOJ dan FBI telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama pihak Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia yang baharu setelah tiada apa-apa tindakan berkaitan 1MDB semasa kerajaan sebelum ini.

Hasil daripada mesyuarat ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan. Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa.

PASUKAN PETUGAS KHAS 1MDB
1. TAN SRI ABDUL GANI PATAIL
2. TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED
3. DATO’ SRI SHUKRI ABDULL
4. DATO’ HAMID BADOR

24 MEI 2018

PUTRAJAYA



Tuesday, May 22, 2018

Mohd. Shukri Abdull paling sesuai terajui SPRM - Tun M

PUTRAJAYA 23 Mei - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berpendapat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull merupakan individu yang paling bersesuaian untuk tanggungjawab itu.

Menurut beliau, Mohd. Shukri juga mempunyai pengalaman luas dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tetapi dia dihentikan kerana pihak kerajaan masa itu tidak suka kepada kerja-kerja dilakukan Shukri. Kita tahu perkara ini sebab itu kita pendapat dia adalah orang amat sesuai jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau masih belum mendapat penerangan penuh mengenai kewujudan sebuah organisasi perisikan di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam pentadbiran dahulu.

“Saya belum diberi taklimat tetapi ini tidak baik untuk kerajaan. Kita tidak mahu mereka mengintip orang. Pada masa saya, saya tidak ingat ada agensi seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai serbuan polis terhadap premis kediaman seorang pegawai wanita yang dipercayai mengetuai sebuah organisasi perisikan di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam pentadbiran terdahulu. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mohd-shukri-abdull-paling-sesuai-terajui-sprm-tun-m-1.678021#ixzz5GJ1JGI2C 

Pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Skandal penyiasatan kes SRC International Sdn. Bhd.


SKANDAL penyiasatan kes SRC International Sdn. Bhd.(anak syarikat 1MDB) dan derma RM2.6 bilion dari Putera Raja Arab Saudi telah menarik perhatian seluruh rakyat negara ini. Polemik mengenainya bermula apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan isu tersebut dengan meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab beberapa persoalan mengenai pelaburannya.

Pelbagai peristiwa menyelubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut sehingga menyebabkan beberapa pegawai tertingginya ditukarkan.


Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang sebelum ini telah bersara pilihan mendedahkan kepada pihak media mengenai perkara yang berlaku terhadapnya sebelum ini.



Tawaran menerajui SPRM

Beliau memaklumkan mene­rima tawaran sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu selepas mengadakan perjumpaan dengan Dr. Mahathir pada 14 Mei lepas.

Menurut Mohd. Shukri, beliau tidak mampu berkata tidak apabia berhadapan Dr. Mahathir yang menawarkan jawatan itu tetapi meletakkan satu syarat sebelum menerimanya iaitu mahu menyelesaikan tugasnya yang masih belum selesai.

“Saya hendak tolak pun susah sebab saya lebih muda daripada Tun yang umurnya jauh lebih tua dan masih bekerja.

“Sedangkan saya sudah gembira selepas bersara kerana boleh berehat di rumah dan menjaga seorang cucu perempuan,” katanya.



Siasat SRC International, derma RM2.6 bilion

Siasatan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed minta beliau jalankan siasatan kes SRC International pada bulan Julai 2015. Ia melibatkan kes RM42 bilion didepositkan dalam akaun Najib Tun Razak.

Sepanjang siasatan, beliau menghadapi tekanan yang cukup hebat seperti saksi-saksi dilarikan, malah ada saksi-saksi yang telah diambil keterangan dilarikan oleh pihak autoriti lain dan ditanya apa maklumat yang mereka telah beri kepada SPRM.

Beliau sendiri diugut untuk dipecat, diminta bersara awal dan diminta bercuti serta diugut untuk bekukan saya di bahagian latihan.

Bagaimanapun, Tan Sri Abu Kassim menyokongnya dari awal dan di akhir-akhir siasatan, beliau jumpa dengan Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum beliau dipecat sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015.

“Kami berjumpa pada 26 Julai di pejabat Tan Sri pukul 6 petang. Beliau bertanya dengan saya, adakah kamu bersedia? Saya jawab balik, bersedia.

“Saya dah bersedia dengan orang-orang saya. Tetapi pada hari Rabu semasa sedang bermesyuarat di Kuala Lumpur, saya terima laporan bahawa Tan Sri Abdul Gani diberhentikan,” katanya.

Selepas itu, beliau terima maklumat daripada bahagian perisikan yang dia akan dilokap atas tuduhan berkonspirasi hendak menjatuhkan kerajaan.



Melarikan diri ke Washington

Pada 31 Julai 2015, Mohd. Shukri berlepas ke Washington dan pada masa sama membuat berita tular yang kononnya akan ke Arab Saudi bagi mengelirukan mana-mana pihak yang mencarinya.

“Apabila sampai di Washington pun ada orang ikut saya. Saya berasa tidak selesa, maka saya me­larikan diri ke New York dengan menaiki kereta api.

“Di New York, saya pergi NYPD berjumpa seorang rakan yang sama-sama pernah bertugas di Singapura. Di sana saya dapat perlindungan lebih kurang seminggu daripada NYPD dan dibekalkan tiga orang pengawal,” katanya.

Kemudian setelah keadaan selamat, beliau kembali ke Washing­ton dan terima berita pegawai-pegawainya ditangkap dan dua orang pegawai kanan ditukar ke JPM iaitu Datuk Bahari (Mohamad Zin) dan Datuk Rohaizad.

Katanya, Bahari telah kembali semula ke SPRM ke jawatan asal iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas atas permintaan Dr. Mahathir.



Hubungi dua menteri

“Saya WhatApps dua orang menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Paul (Low Seng Kuan) minta mereka kembalikan semula dua pegawai ke SPRM, jika tidak, saya kembali ke Malaysia dan buat porak-perandakan, saya tulis macam-macam pada mereka.”

“Alhamdulillah, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, brother, awak jangan buat apa-apa biar saya uruskan, saya berjanji akan hantar balik pegawai itu, Datuk Paul Low turut bercakap benda sama,” katanya.



Jumpa menteri dan Majlis Raja-raja Melayu

Katanya, walaupun satu persatu ugutan diterima tetapi tidak pernah putus asa dengan berjumpa dengan beberapa menteri bagi yakinkan mereka yang kes SRC dan RM2.6 bilion adakah kes benar dan bukannya rekaan semata-mata.

“Dalam ramai-ramai menteri yang kami jumpa, hanya tiga orang menteri yang berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah,” katanya.

Katanya, bekas menteri-menteri lain takut hendak ambil tindakan dan sekarang ramai menelefonnya sambil menyatakan menyesal tidak mengikut nasihatnya yang seterusnya menyebabkan Barisan Nasional tewas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Memandangkan usaha tidak berjaya, kami berjumpa pula Majlis Raja-raja, dua kali kami jumpa Majlis Raja-raja, saya bercakap tolong tuanku, kalau kita sama-sama perbetulkan tidak jadi masalah. Tetapi kami hampa,” tambahnya.



Ditawarkan habuan

Dalam proses itu, Mohd. Shukri beliau berkata, ada Ahli Parlimen dari utara berjumpa dengannya bertujuan memintanya menghentikan siasatan.

Ia dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen dari utara yang terkenal sebagai ‘King of cash’ yang menjanjikan pelbagai habuan untuk saya.

“Semua cerita saya simpan. Laporan polis pun tidak buat, saya tahu kalau buat pun nanti (hasil siasatan) tular.

“Saya simpan dan janji akan cerita pada satu hari, rupa-rupanya Allah beri peluang pada hari ini untuk bercerita, mungkin tuan-tuan bertanya kenapa saya se­nyapkan?

“Kenapa tidak bangun bersuara seperti orang lain. Datuk Bahari pernah cakap kepada saya, Datuk Seri tolong bangun bersuara, kita masuk lokap pun tidak apa, kena OSA pun tidak apa.

“Saya jawab balik, kita tidak berjaya dengan cara itu. Kita akan berjaya pada hari pertama ditangkap, tetapi selepas itu orang Malaysia mudah lupa, sekarang kita kena buat cara yang lebih strategi,” katanya.

Dalam masa satu tahun enam bulan, beliau kemudiannya sampaikan maklumat kepada rakyat dalam kelompok kecil melalui group (kumpulan) WhatsApp de­ngan hantar beribu mesej.

“Memang beribu-ribu orang dapat, ramai berjumpa saya beri maklum balas baik, saya rasa cara itu lebih berkesan daripada cakap cara terbuka dan akhirnya ditangkap,” katanya.



http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pendedahan-ketua-pesuruhjaya-sprm-1.677874#ixzz5GHCShGnc 

Monday, May 21, 2018

Polis, pesara polis disabit rasuah terlepas wang pencen

SHAH ALAM: Dua anggota polis serta seorang pesara polis hilang wang pencen selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5,000, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh mendapati tertuduh, Sarjan Azahar Adon, 57; Koperal Rosli, 56, dan pesara polis Yusoff Ali, 61, bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Setelah meneliti eksibit dan hujahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), peguam bela, saya berpuas hati dengan pendakwaan.

"Malah, anggapan (dakwaan) kes di bawah Seksyen 51 Akta SPRM terpakai dan gagal disangkal. Semua tertuduh bersalah dan disabitkan kesalahan," katanya.

Ketiga-tiga mereka dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula hari ini serta denda RM25,000 setiap seorang. Sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Bagaimanapun, peguam bela, Y Sheelan Samuagam memohon hukuman penjara ditangguhkan berikutan mahu memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Ketika membacakan keputusan, Rozilah turut mengingatkan semua tertuduh supaya bertaubat dan bermuhasabah terhadap kesalahan dilakukan.

Katanya, disebabkan tindakan itu, perkhidmatan sebagai anggota polis tamat begitu sahaja selain nama yang buruk.

"Rasuah ini sesuatu yang berat dan serius. Sebagai anggota polis, kita mengharapkan anggota menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Semua tertuduh yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ketika kejadian, dituduh memperoleh suapan RM5,000 daripada Mohd Rizal Jantan melalui Mariani Ismon supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang disyaki memiliki dan mengedar dadah.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan pekarangan sebuah stesen minyak di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) Subang Jaya, kira-kira jam 5 petang, 22 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/05/428408/polis-pesara-polis-disabit-rasuah-terlepas-wang-pencen

Sunday, May 20, 2018

Agong perkenan Mohd. Shukri sebagai KP SPRM

KUALA LUMPUR 21 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenan pelantikan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi tersebut yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam satu kenyataan berkata, tempoh pelantikan Mohd. Shukri adalah untuk tempoh dua tahun mulai 18 Mei 2018.

"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu untuk tempoh dua tahun mulai 18 Mei 2018.

"Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta 694, Kebawah Duli Tuanku turut memperkenankan penamatan tempoh pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SRPM berkuatkuasa pada 14 Mei 2018 tanpa perlu memberi notis 30 hari seperti dalam surat cara pelantikannya," katanya.



http://www.utusan.com.my/berita/nasional/agong-perkenan-mohd-shukri-sebagai-kp-sprm-1.676636#ixzz5G76rUjds 

Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu lapor diri




PUTRAJAYA 21 Mei - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull melapor diri di pejabatnya di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini selepas dilantik bagi mengantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang melepaskan jawatan tersebut, Selasa lalu.

Beliau yang tiba pada pukul 10.25 pagi disambut oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; pegawai kanan dan kakitangan SPRM lain di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri ketika ditemui pemberita berkata, satu taklimat khas akan diadakan untuk media esok.

“Esok akan ada taklimat untuk media, saya akan berkongsi cerita-cerita menarik untuk dikongsi dengan media mengenai pengalaman saya,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menamakan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menggantikan Dzulkifli.

Difahamkan, Mohd. Shukri telah menerima perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerusi satu surat yang diserah kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pagi ini.-UTUSAN ONLINE



http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-ketua-pesuruhjaya-sprm-baharu-lapor-diri-1.676579#ixzz5G76ZTOAL

DATO' SRI NAJIB DIARAH HADIR KE PEJABAT SPRM BANTU SIASATAN SRC INTERNATIONAL





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyerahkan notis kepada bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM pada hari Selasa (22 Mei 2018).

Dato' Sri Najib dikehendaki hadir bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International.

Saya menolak kenyataan peguam Dato' Sri Najib, Datuk Harpal Singh Grewal bahawa pegawai SPRM akan hadir ke rumah beliau untuk merakam percakapannya.

Dalam notis yang diserahkan kepada Dato' Sri Najib semalam telah dinyatakan dengan jelasnya bahawa beliau perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya.


DATUK SERI AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA 

19 MEI 2018

DATO’ SRI MOHD. SHUKRI DILANTIK SEBAGAI KETUA PESURUHJAYA SPRM BAHARU




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah  kepada Dato' Sri Mohd. Shukri Abdull atas perlantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Dato' Sri Mohd. Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum beliau bersara awal pada 31 Julai 2016.

Jawatan terakhir yang dipegang beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Seluruh warga SPRM mengalu-alukan perlantikan Dato' Sri Mohd. Shukri bagi menerajui SPRM.

SPRM berharap beliau dapat menyempurnakan amanah, tanggungjawab dan harapan rakyat bagi memastikan negara ini bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
PUTRAJAYA 

18 MEI 2018

Tuesday, May 15, 2018

Kerani pusat zakat didakwa pecah amanah

KERANI Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pecah amanah babitkan wang tunai RM2,592 di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Tertuduh, Mohd Nazrol Shaari, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan RM1,650 wang bagi tujuan pembayaran saman kenderaan ZPP ke akaun peribadi miliknya, pada 22 April hingga 4 Mei 2015.

Dia didakwa melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan curangnya memasukkan RM942 iaitu wang pembelian tangga ZPP ke akaun peribadi miliknya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula pada 26 Jun depan.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/05/339752/kerani-pusat-zakat-didakwa-pecah-amanah

Monday, May 14, 2018

PENAMATAN KONTRAK KETUA PESURUHJAYA SPRM

Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memaklumkan bahawa saya telah menyerahkan surat penamatan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.

Penamatan kontrak itu berkuat kuasa mulai hari ini dan saya akan melaporkan diri kembali ke Pejabat Peguam Negara esok.

Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga SPRM yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan saya mulai 1 Ogos 2016.

Saya berharap seluruh warga SPRM akan terus memikul amanah dan tanggungjawab dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini bersama kepimpinan baharu.

Selain itu,  saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-7 selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei yang lalu.


TAN SRI DZULKIFLI AHMAD
KETUA PESURUHJAYA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

14 MEI 2018