Sunday, February 28, 2016

IDEAS,C4 bentang cadangan memperkasakan SPRM

INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersama Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) telah membentangkan beberapa cadangan bagi memperkasakan sistem dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mengendalikan kes rasuah di negara ini, di Ipoh baru-baru ini.

Perkara tersebut dikemukakan oleh Eksekutif Kanan IDEAS, Shaza Onn bersama Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel ketika menjadi panel dalam forum bertajuk "Catching Monkey: Fighting Corruption in Malaysia" yang dihadiri oleh kira-kira 30 wakil pelbagai organisasi.

Turut bertindak sebagai panel forum tersebut ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Sri Zakaria Jaffar.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) di bawah peruntukan perlembagaan yang mana organisasi itu akan bertindak sebagai badan bebas yang diketuai oleh Pesuruhjaya.

Struktur ini akan memisahkan SBPR dengan SPRM mengikut undang-undang yang telah ditubuhkan dan SPRM akan dinamakan semula sebagai Badan Bebas Pencegahan Rasuah (BBPR).

Selain itu, IDEAS dan C4 turut mencadangkan pindaan Akta SPRM 2009 dengan memperluaskan definasi 'penerimaan rasuah" dan kuasa untuk menyiasat pegawai awam yang hidup di luar kemampuan mereka.

Turut disentuh ialah mengenai pindaan akta-akta berkaitan khususnya Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan dokumen berkaitan pendedahan rasuah diterbitkan untuk tatapan umum, memperkemaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Shaza turut mengemukakan cadangan mengenai pemisahan bidang kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengkaji semula tatacara pendakwaan.

Jelas beliau, perkara ini akan memastikan percanggahan kepentingan antara kedua-dua bidang kuasa tersebut dapat dielakkan.

Sementara itu, Dato' Sri Zakaria berkata, mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan sekiranya perkara itu dikatakan sebagai menyekat kebebasan serta faktor kurang keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

Dato' Sri Zakaria menjelaskan, berdasarkan pengalaman beliau selama 33 tahun bersama SPRM, badan tunggal penguat kuasa pencegahan rasuah itu tetap berpegang kepada 
undang-undang berkenaan yang bertujuan melindungi serta mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.

"Jika boleh semua perkara kita mahu kongsikan, tetapi SPRM berpegang kepada Seksyen 29(4) ini yang mana aduan hanya boleh didedahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat sahaja," ujarnya.

Justeru itu, beliau berkata, masyarakat perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM yang mempunyai kuasa menyiasat serta mempertingkatkan sokongan terhadap agensi berkenaan.

"Kuasa menyiasat itu hanya ada pada SPRM, jadi masyarakat perlu meningkatkan keyakinan dan memberi sokongan seperti mana rakyat Indonesia menyokong 
Komisi Pemberantasan Korupsi," katanya.


Monday, February 22, 2016

'Follow the money'

Mantan TKP P&P SPRM,  Dato' Sri Zakaria Jaffar  berkongsi pengalaman beliau mengendalikan skandal Perwaja.

SATU persoalan yang seringkali ditimbulkan oleh banyak pihak, dan tidak ketinggalan juga ahli-ahli politik adalah, mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa yang lama untuk menyiasat satu-satu kes.

Siasatan kes rasuah bukan mudah. Bukan seperti kes-kes jenayah yang lain. Ada kes rasuah boleh disiasat dengan cepat. Ada kalanya ia akan mengambil masa yang lama. Kemungkinan bertahun-tahun.

Bagaimanapun hasil program transformasi SPRM, kebelakangan ini kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan segera. Bermakna dalam tempoh 12 bulan. Laporan Tahunan 2014 SPRM menunjukkan 85 peratus berjaya disiapkan dalam tahun semasa iaitu dalam tempoh 12 bulan. Ada juga kes yang mengambil masa yang lama, bergantung pada kerumitan.

Minggu ini saya akan berkongsi pengalaman saya mengendalikan skandal Perwaja.

Skandal Perwaja pernah menjadi isu besar satu masa dahulu. Ia bermula apabila syarikat berkaitan kerajaan itu mengalami kerugian berbilion ringgit, dipercayai akibat penyelewengan dan salah urus syarikat. Siasatan dibuat secara bersepadu antara BPR (sebelum SPRM dibentuk pada tahun 2009) dan Polis Diraja Malaysia. Ia juga mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara.

Saya sendiri terlibat dalam siasatan kes ini yang menyaksikan pengarah urusannya, mendiang Tan Sri Eric Chia didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta. Pertuduhan dibuat pada 9 Februari 2004 setelah lebih lapan tahun siasatan dibuat bagi mencari bukti dan keterangan.

Saya tidak berhasrat mengulas panjang kes ini kerana ini telah diputuskan oleh mahkamah. Pada 26 Jun 2007, Tan Sri Eric Chia dibebaskan kerana isu teknikal. Beliau meninggal dunia ketika rayuan sedang dibuat ke atas keputusan mahkamah.

Apa yang ingin saya kongsi adalah pengalaman menarik menjalankan siasatan berprofil tinggi yang amat rumit dan merentas sempadan. Ini merupakan kes terawal yang mana kaedah 'money trail' dibuat. Pada masa itu, siasatan sebegini dikenali sebagai 'follow the money'.

Pergerakan wang yang diperoleh daripada kesalahan dikesan dan dituruti ke mana ia pergi. Terlalu banyak transaksi, dokumen dan saksi terlibat. Siasatan perlu mengumpulkan bukti melibatkan transaksi bank yang rumit di negara Jepun, Switzerland, Hong Kong dan China. Saksi-saksi di luar negara perlu dikesan dan dirakam percakapan menggunakan bantuan daripada agensi penguat kuasa negara lain. Seperti yang saya sebutkan tadi, selama lebih lapan tahun BPR bekerja keras menjalankan siasatan.

Skandal Perwaja merupakan kes pertama di Malaysia yang menggunakan peruntukan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 atau MACMA 2002. Kesan daripada kes ini, beberapa pindaan telah dibuat dalam Akta Keterangan 1950 bagi membolehkan keterangan saksi yang direkod di luar negara dapat diterima di mahkamah Malaysia.

Proses itu juga melibatkan Mutual Legal Assistance (MLA) di mana SPRM perlu memperoleh kebenaran atau 'consent' Peguam Negara jika ingin mendapatkan keterangan saksi di luar negara. Ini cabaran kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

Saya berharap orang ramai akan memahami keperluan perundangan ini apabila menilai keberkesanan fungsi dan amanah yang diletakkan ke atas SPRM.

Ketegasan Sarawak perangi rasuah perlu dicontohi

Mustafar (tengah) pada Majlis Penerangan SPRM Sarawak Bersama ‘Key Communicator’ Pemimpin Politik Parlimen Sibuti, Ketua Agensi Kerajaan Berisiko Tinggi dan Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bahagian Miri semalam.


KETEGASAN Sarawak memerangi amalan rasuah, salah guna kuasa selain kegiatan pembalakan haram perlu dicontohi dalam mewujudkan urus tadbir yang telus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata tahun lalu Sarawak merupakan negeri pertama menandatangni Ikrar Integriti melibatkan 26 anggota kabinet negeri dan 19 setiausaha politik.

Mustafar berkata, inisiatif menandatangani ikrar itu menampakkan keberkesanan khususnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian kepada rakyat selain usul-usul pencegahan rasuah berjaya dilaksanakan dengan baik.

Inisiatif dilaksanakan itu yang pertama seumpamanya dilakukan oleh seorang Ketua Menteri dan kerajaan negeri di Malaysia, diyakini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap jentera pentadbiran kerajaan negeri di semua peringkat.

“Sebagai contoh, usul pencegahan rasuah dalam industri pembalakan membolehkan kerajaan negeri dan SPRM melakukan tindakan bersepadu dalam menguatkan undang-undang sekali gus membanteras pembalakan haram.

“Kejayaan ini termasuk tangkapan, sitaan terhadap pihak melakukan pembalakan haram termasuk jentera dan kilang serta pembekuan aset selain pendakwaan terhadap mereka di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan SPRM Sarawak bersama ‘Key Communicator’ Pemimpin Politik Parlimen Sibuti, Ketua Agensi Kerajaan Berisiko Tinggi dan Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Mustafar menambah, ini adalah isyarat jelas bahawa kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat komited dan serius dalam usaha memerangi salah laku dan rasuah di semua peringkat.

“Ketua Menteri amat tegas dalam perkara ini dan tidak boleh disifatkan sebagai ‘main wayang’ atau gimik. Kita ambil tindakan tegas jika cukup bukti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Datuk Badrul Shah Norman berkata bermula 1 Januari hingga 22 Februari (semalam) pihaknya menahan 24 orang bersabit pelbagai kes.

“Bagaimanapun, kes itu tiada melibatkan pembalakan, hanya beberapa kes seperti lesen memandu dan setakat ini masih dalam siasatan,” katanya.

Lebih 70 pemimpin politik, ketua pemuda, ketua cawangan dan ketua bahagian Parlimen Sibuti, ketua-ketua agensi penguatkuasaan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri program sehari itu.

Ini merupakan julung kali diadakan di Parlimen Sibuti. Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis dan Ketua Publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Yusuf Sani Wahab.

Tuesday, February 16, 2016

Drama Ops SPRM

SPRM Dakwa Bekas Pengarah Urusan Tanjung Offshore, Kesalahan Pengubahan Wang Haram RM13 juta


BEKAS Pengarah Urusan Tanjung Offshore Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan yang berkaitan dengan transaksi jual beli ekuiti saham sebuah syarikat bernilai lebih RM34 juta tiga tahun lalu.

Dato’ Harzani Azmi, 49, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan, masing-masing satu di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Di bawah Seksyen 366 (1)(a) Akta Syarikat 1965, Harzani didakwa mengemukakan kepada Lembaga Pengarah Tanjung Offshore Berhad satu kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of Remaining Shares In Gas Generators (M) Sdn Bhd mengenai pembelian 49% saham Gas Generators (M) Sdn Bhd, yang dimiliki Appolusa Sdn Bhd pada harga RM34.3 juta, walhal nilai saham tersebut adalah tidak benar kerana melebihi nilai sebenar yang mana bertujuan mendorong ahli Lembaga Pengarah Tanjung Offshore Berhad memasuki “Share Sale Agreement Between Appolusa Sdn Bhd dan Tanjung Offshore Berhad” bertarikh 21 Oktober 2013 untuk pembelian 49% saham Gas Generator (M) Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 pagi, 21 Oktober 2013 di Bilik Mesyuarat Pejabat Tanjung Offshore Berhad, Wisma UOA, Damansara, Kuala Lumpur.


Pertuduhan ini dikenakan di bawah Seksyen 366 (1)(a) Akta Syarikat 1965. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Harzani didakwa mengarahkan firma guaman Mathews Hun Lachimanan memindahkan wang berjumlah RM13.3 juta dari Clients Account di Standard Chartered Berhad milik Mathews Hun Lachimanan kepada Client Trust Account milik Kenanga Investment Bank Berhad di Standard Chartered Berhad.

Harzani didakwa melakukan kesalahan itu di 10-3, Batu 3, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, antara 14 November 2013 dan 27 November 2013.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dato’ Umar Saifudin Jaafar dan Husmarudin Husim.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport beliau kepada mahkamah.


Mahkamah menetapkan  23 Mac 2016 untuk sebutan semula kes.

Tiga Anggota Polis Ditahan SPRM Negeri Sembilan


Tiga anggota polis cawangan Risikan Jenayah (D4) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berhubung kes penjualan semula kenderaan klon.

SPRM dalam kenyataannya berkata ketiga-tiga mereka masing-masing berumur 36, 54 dan 27, bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Negeri Sembilan ditahan pada pukul 2.30 petang tadi di sebuah restoran dekat sini.

"Mereka ditahan bersama barang kes RM1,500. Kes melibatkan penjualan kereta yang dirampas tanpa membuat laporan polis dan ia dijual semula kepada seorang lelaki Cina," kata kenyataan itu.

Menurut SPRM, ada kenderaan klon yang telah pun dijual manakala suspek telah dibawa untuk membolehkan pihaknya merampas kereta klon yang masih dalam simpanan.

Ketiga-tiga suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban di sini esok untuk tujuan reman.

Ketua Polis Negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama bagaimana pun tidak dapat mengesahkan tangkapan itu.

OSA bukan untuk tutup rasuah, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) perlu dipinda untuk menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil dan perlu dilihat secara positif.

Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) wujud untuk menghalang pendedahan maklumat yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan, dan bukan untuk menutup sebarang salah laku, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal integriti dan tadbir urus negara yang baik berkata, OSA diperlukan untuk melindungi maklumat yang berkaitan dengan keselamatan, perkara yang masih dalam siasatan atau rundingan, dan data peribadi rakyat.

"OSA bukan untuk menutup rasuah, penyalahgunaan atau penipuan," kata Low dalam satu temu bual radio dengan MACC.fm.

Tambahnya, OSA perlu dipinda untuk menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat tampil dan perlu dilihat secara positif.

Low berkata, beliau percaya, ada pihak yang membocorkan maklumat melalui saluran tidak sah kerana undang-undang semasa tidak menyediakan perlindungan penuh untuk mereka.

"Seperti yang saya baca, dasar pemberi maklumat hanya terpakai kepada sektor swasta tetapi tidak sektor kerajaan," katanya.

"Oleh itu, kita perlu melihat kepada satu bentuk pelarasan (undang-undang) untuk turut merangkumi perkhidmatan awam supaya pemberi maklumat dapat dilindungi," kata Low.

Katanya, Putrajaya perlu memberi fokus kepada usaha untuk menjadi lebih telus, kerana ia akan meningkatkan akauntabiliti kerajaan.

Maklumat seperti syarat-syarat perjanjian konsesi atau projek penswastaan sepatutnya boleh didedahkan kepada umum, katanya.

Apandi dilaporkan akhbar berbahasa Cina berkata, beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.


Katanya, pejabatnya sedang memikirkan untuk memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.

Panel SPRM jumpa peguam negara Khamis ini


Panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadual bertemu dengan Peguam Negara (AG) Tan Sri Apandi Ali pada Khamis ini.

Seorang anggota panel itu mengesahkan perkara ini kepada Malaysiakini.

Terdapat spekulasi bahawa pertemuan itu bagi memujuk Apandi mengubah pendiriannya pada 26 Januari yang membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku.

Anggota panel yang enggan namanya disebut itu bagaimanapun berkata masih tidak jelas sama ada AG mahu membincangkan perkara berkaitan perdana menteri.

Seorang lagi sumber dalaman SPRM mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mesyuarat itu akan diadakan di Pejabat Peguam Negara pada jam 3 petang.

Sebelum ini dilaporkan bahawa panel semakan operasi SPRM dan panel khas mahu badan itu bertemu dengan Apandi bagi membantu menjelaskan kenapa beliau tidak membuat pendakwa pada Najib.


http://www.malaysiakini.com/news/330613

Monday, February 15, 2016

2015 tahun paling mencabar bagi komunikasi SPRM




PETALING JAYA: Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BKS SPRM) mengakui menghadapi cabaran paling besar pada tahun lalu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaacob, berkata pada tahun lalu bahagian terbabit terpaksa mengendalikan isu yang baginya merupakan isu-isu yang pelbagai.

“Orang kata isu panas tapi pada saya pelbagai isu sahaja. SRC International, RM2.6 bilion, pasal Ketua Pesuruhjaya kita, pertukaran pegawai kanan kita, isu penganjuran Persidangan Anti Rasuah (IACC), isu lombong, isu Cameron Highlands dan pelbagai lagi.

“Saya rasakan dalam tahun 2016 ini, kita telah berjaya menangani keseluruhan isu tersebut semaksima dan sebaik yang kita boleh buat,” katanya dalam satu temubual bersama stesen radio organisasi terbabit, hari ini.

Rohaizad berkata, sebagai sebuah bahagian yang disifatkannya antara yang termuda dalam organisasi itu, telah melakukan tugas dengan baik.

“Bahkan pada tempoh 2015, kita dah sediakan 167 news letter yang melibatkan 56 hubungan pelbagai pihak bagi menjelaskan pelbagai aktiviti dan isu dalaman dalam SPRM,” katanya.

SPRM tercabar bila ada perkara yang tidak boleh didedah



PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi cabaran berat apabila berdepan dengan halangan untuk tidak mendedahkan perkara tertentu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaacob berkata, ekoran sekatan itu, orang ramai pula menyifatkan bahawa organisasi itu menyorokkan sesuatu perkara daripada pengetahuan umum.

“Ini yang jadi masalah. Kita bukan sorok apa-apa, cuma undang-undang tidak membenarkan kami mendedahkan sesuatu pada masa tertentu.

“Tapi sebaik seseorang itu didakwa di mahkamah dan segalanya didedahkan, kami tidak lagi menyorokkan apa-apa. Namun orang ramai berpersepsi bahawa kami terlambat kerana mereka sudah tahu mengenainya,” katanya dalam satu temubual bersama stesen radio organisasi terbabit hari ini.


Rohaizad dalam masa yang sama turut mempersoal tentang kehendak sebenar orang ramai.

“Apakah kita nak menghukum orang tersebut sebelum dia didapati bersalah atau kita nak cari kebenaran?

“Dalam pencegahan rasuah ini kita punya kerja senang, kita nak mencegah rasuah, bukan nak cari salah orang. Kita cuma nak cegah rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya.

Katanya, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM akan menyampaikan segala maklumat semampu yang boleh kepada orang ramai supaya mereka memahami bahawa organisasi itu menjalankan tugasnya mengikut lunas undang-undang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/02/15/sprm-tercabar-bila-ada-perkara-yang-tidak-boleh-didedah/

APMM-SPRM meterai komitmen perangi rasuah



KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menandatangani Kenyataan Komitmen bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantapkan strategi memerangi rasuah dan meningkatkan integriti tadbir urus.
Langkah itu juga menjadikan APMM agensi penguat kuasa pertama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan ke-29 menandatanganinya bagi menjayakan usaha pencegahan rasuah.

Majlis menandatangani Kenyataan Komitmen berkenaan disempurnakan pada ulang tahun ke 11 APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah dekat sini sebentar tadi.
Pada majlis berkenaan, APMM diwakili Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar manakala SPRM oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Mustafar Ali, yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kenyataan Komitmen yang akan berkuat kuasa selama lima tahun dan berasaskan kepada lapan terma rujukan antaranya mewujudkan kerjasama bagi mengesan serta membanteras jenayah rasuah, operasi bersama serta perkongsian maklumat risikan dan melaporkan jenayah rasuah warga APMM kepada SPRM untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Shahidan dalam ucapannya memuji inisiatif APMM dalam mencegah rasuah di kalangan warganya dan wajar diberikan sokongan padu demi keutuhan APMM sebagai agensi berkredibiliti tinggi.

Ini juga adalah sebagai satu mesej jelas kepada pihak luar supaya lebih berwaspada dan berhati-hati terhadap bahaya rasuah," katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, pihaknya menyambut baik langkah APMM menandatangani Kenyataan Komitmen berkenaan dan berharap ia mampu meningkatkan keberkesanan pencegahan rasuah untuk jangka panjang.

Sarjana MACS benteng perangi rasuah


Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) sekali gus membuktikan kerajaan serius dalam memerangi jenayah itu.

Inisiatif meningkatkan usaha membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah di negara ini mendapat suntikan semangat lebih kental, kekuatan serta dorongan apabila 30 penuntut dari 17 negara, terdiri daripada anggota agensi penguat kuasa, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta anggota pentadbiran kerajaan mengikuti pengajian Sarjana Pengajian Pencegahan Rasuah (MACS) yang ditawarkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur tahun ini.

Setiap seorang daripada penuntut melaksanakan strategi usaha pencegahan rasuah secara efektif dalam tesis pembelajaran di samping mendalami pelbagai sudut jenayah itu.

Ringkasnya kuliah, kajian, analisis dan hasil pengajian di MACA membantu pegawai anti rasuah ini lebih kritikal ke arah meningkatkan profesionalisme dalam bidang tugas membentuk perundangan dan tadbir urus membanteras rasuah.

Salah seorang penuntut, Supritendan Ashwani Kumar Chand dari Polis India berkata, jenayah rasuah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia merupakan ancaman terbesar negara dan memerlukan kerjasama teknikal bersama.

“Usaha membanteras jenayah rasuah rentas sempadan perlu sentiasa dipertingkatkan. Justeru bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ini saya bertekad untuk menimba ilmu dalam kesarjanaan pencegahan rasuah di IACA,”katanya.

Bagi Penyelidik Kanan Biro Pencegahan dan Perlindungan Anti Rasuah Tanzania, Adam Kilongozi pula berkata, dia amat tertarik untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana MACS yang dikelolakan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa yang berpusat di Vienna, Austria itu dalam memperlengkapkan satu daripada tujuh modul latihannya di peringkat Sarjana dalam Pengajian Anti Rasuah di MACA Kuala Lumpur.

“Untuk menjadi seorang pegawai yang berkelayakan dan berwibawa saya perlu menamatkan salah satu model di MACA. Di Malaysia penyelidikan saya memberi tumpuan terhadap siasatan menjaga keselamatan, operasi siasatan dan tugas-tugas di mahkamah,” katanya.

Penyiasat Kanan Doktrin Pencegahan Rasuah Azerbaijan, Elnur Musayev berkata, pengajian di MACA dapat meningkatkan kepakaran penyelidikan dalam aspek jenayah rasuah.

“Program Sarjana Pengajian Pencegahan Rasuah ini adalah yang pertama kali diwujudkan di dunia. Dengan kesarjanaan ini ia dapat meningkat ilmu dan pengetahuan saya berhubung pendedahan mengenai penyelewengan, salah laku, amalan-amalan yang bertentangan daripada segi peraturan dan undang-undang dalam sesebuah organisasi dan negara,” katanya.

Sementara itu, bagi Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sierra Leone, Kargbo Alhassan berkata, program MACS itu bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan program yang ditawarkan di MACA, malah ia melambangkan komitmen SPRM dan Malaysia memerangi gejala rasuah.

“Kita yakin dengan kepakaran tenaga pengajar di MACA ini yang bukan sahaja menekankan pengajaran yang kritis, bermoral berkomunikasi dalam menjalankan siasatan selain mendidik masyarakat agar bebas daripada amalan rasuah,” ujar beliau.

- Sumber: http://m.utusan.com.my/pendidikan/kampus/sarjana-macs-benteng-perangi-rasuah-1.190794#sthash.VixaUg3Z.dpuf



Saturday, February 13, 2016

Kempen WAR SPRM dapat perhatian

Kesedaran tentang keburukan salah laku rasuah serta pentingnya sifat amanah dan berintegriti dalam diri generasi muda menjadi faktor utama Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pihak pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 2 menjemput Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM mengadakan Kempen Wira Anti Rasuah (WAR) di sekolah.


SJKC Serdang Baru 2 menjadi sekolah pertama melancarkan Kempen WAR bagi tahun 2016 serta sekolah pertama yang menjemput SPRM mengadakan kempen itu. Sebelum ini permohonan mengadakan WAR dilakukan oleh pihak SPRM kepada pihak sekolah.

Kempen WAR yang dimulakan pada 2014 merupakan usaha SPRM untuk mendekati pelajar sekolah rendah khususnya pelajar-pelajar berbangsa cina bertujuan memberi pengetahuan serta pendedahan kepada para pelajar tentang apa itu rasuah , keburukan rasuah serta peranan dan bidang kuasa SPRM.

Menerusi ucapan perasmian, Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PPj Maznah Che Muda berkata, SPRM terus berusaha menyebarluas mesej anti rasuah di peringkat generasi muda bagi melahirkan generasi celik rasuah iaitu generasi muda yang tahu tentang apa itu salah laku rasuah dan dibimbing agar menjauhi perbuatan keji itu.

Beliau turut memuji pihak PIBG dan pengurusan sekolah yang menjemput SPRM mengadakan Kempen WAR, membuktikan bahawa kesedaran tentang pentingnya pendidikan anti rasuah kepada generasi muda telah meningkat.

Antara pengisian Kempen WAR ini adalah sesi ceramah, pertandingan teka silang kata, pidato anti rasuah, serta pertandingan mencipta slogan. Para pelajar juga turut dibekalkan dengan Komik Old Master Q yang telah diolah dialognya dengan mesej-mesej anti rasuah.

Hasil Rasuah Umpama menyuap Bangkai Biawak ke mulut keluarga


Semangat SPRM melayang, perlukan sokongan rakyat

 

Rakyat Malaysia perlu berdiri di belakang SPRM supaya rasuah diperangi dan integriti ditingkatkan di negara ini.

akhbar-satar_ti_sprm_600
KUALA LUMPUR: Moral kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa terjejas selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali mengarahkan kes siasatan wang sumbangan RM2.6 bilion dan kes SRC International ditutup.
Sehubungan itu, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Sattar merayu rakyat Malaysia supaya memberi sokongan sepenuhnya kepada SPRM.
Katanya, kakitangan dan pegawai SPRM bertungkus-lumus sepanjang masa demi menyiapkan kertas siasatan wang sumbangan RM2.6 bilion dan kes SRC International.
“Apabila kertas siasatan yang siap itu diserahkan, Peguam Negara yang menelitinya kemudian mendapati tiada kes dan mengarahkan kes ditutup.
“Saya diberitahu (kakitangan) SPRM memang kecewa dengan arahan Peguam Negara, namun tak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika wawancara eksklusif bersama FMT di sini, semalam.
Katanya, kekecewaan kakitangan badan anti rasuah itu ditambah dengan khabar angin yang mendakwa ‘ada tangan’ cuba mempermainkan SPRM berhubung siasatan terbabit.
Akhbar berkata, SPRM sangat memerlukan sokongan dan rakyat Malaysia perlu berdiri di belakang mereka supaya rasuah dapat diperangi dan integriti ditingkatkan di negara ini.
Bulan lalu, Mohamad Apandi mengarahkan SPRM menutup siasatan mengenai sumbangan politik RM2.6 bilion terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan SRC International.
Mohamad Apandi juga mengesahkan tiada pendakwaan dibuat ke atas Perdana Menteri kerana tiada kesalahan jenayah dilakukan berhubung wang sumbangan terbabit yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.
SUMBER: http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2016/02/13/semangat-sprm-melayang-perlukan-sokongan-rakyat-transparency/

Thursday, February 11, 2016

SPRM serbu lombong 
pasir haram di Putrajaya

Kawasan perlombongan pasir haram berkeluasan 21 hektar di Putrajaya

Kawasan perlombongan pasir haram berkeluasan 21 hektar di Putrajaya yang diserbu SPRM dan PTG Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 11 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Putrajaya melakukan serbuan ke atas kawasan perlombongan pasir haram seluas 21 hektar di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, serbuan dilakukan setelah pihaknya menerima maklumat orang ramai sejak minggu lalu yang mendakwa terdapat aktiviti perlombongan pasir haram di Putrajaya.

Menurutnya, selain menjalankan kegiatan perlombongan pasir secara haram, pengusaha didakwa membayar wang rasuah kepada pihak penguat kuasa bagi melin­dungi kegiatan tersebut.

“Semasa serbuan dijalankan, dua individu masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 50-an bertindak memberi rasuah bernilai kira-kira RM2,500 kepada pegawai SPRM.

“Wang suapan itu bertujuan bagi meminta pihak berkuasa untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kegiatan haram mereka termasuk melepaskan lori yang membawa keluar pasir dari kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azam, ekoran serbuan itu, PTG Putrajaya telah menyita empat buah jentera digunakan untuk mengorek pasir di kawasan perlombongan haram berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5 yang dikatakan telah beroperasi sejak 2013.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan haram itu dilindungi oleh kumpulan samseng upahan bagi mengugut penguat kuasa terutamanya pegawai dan anggota PTG yang cuba untuk mengambil tindakan ke atas mereka.

“Kedua-dua individu tersebut yang ditahan SPRM hari ini disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada penjawat awam,” katanya.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-serbu-lombong-8232-pasir-haram-di-putrajaya-1.189307#sthash.dl2bPt7q.dpuf

TLDM, SPRM tubuh jawatan kuasa perangi rasuah

Panglima  TLDM,  Laksamana  Datuk   Seri  Ahmad  Kamarulzaman  Ahmad  Badaruddin (lima kanan)  bersalaman  bersama  Timbalan Ketua  Pesuruhjaya  (Pencegahan)  SPRM,  Datuk Mustafar Ali (empat kiri)  mengadakan  sesi  khas  perbincangan  di  Wisma  Pertahanan

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) me­nubuhkan jawatankuasa bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi me­rangka strategi dan inisiatif dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tadbir urusnya.
Kedua-dua agensi itu melalui kenyataan bersama berkata, kerjasama strategik tersebut terjalin selepas Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali mengadakan sesi khas perbincangan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

“Tindakan proaktif tersebut penting dalam memantapkan pe­ngurusan perolehan dan kewa­ngan serta meningkatkan aspek integriti di TLDM.

“Usaha ini juga dapat memastikan ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses kerja, peraturan serta tatacara selain proses perancangan, penyeliaan perolehan, tender serta kontrak dalam perkhidmatan TLDM,” kata kenya­taan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik berkenaan juga dilihat mampu mewujudkan jaringan komunikasi yang lebih berkesan sama ada di peringkat tertinggi mahu pun di peringkat operasi selaras dengan hala tuju 2016 Kementerian Pertahanan.

Dalam sesi pertemuan itu, Ahmad Kamarulzaman telah memaklumkan empat inisiatif bagi mengekang isu ketidakpatuhan dan penyelewengan sekali gus membantu kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Antara inisiatif itu ialah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat Jawatankuasa Penganugerahan Pembelian Terus Bersidang serta tempat yang terdapat aktiviti perolehan agar aspek ketelusan dapat dipastikan.

- Sumber berita: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tldm-sprm-tubuh-jawatan-kuasa-perangi-rasuah-1.189463#sthash.vx6cLDpN.dpuf

Tuesday, February 9, 2016

Kes rasuah: Peranan empat pihak penting


Maka, saya mahu menyentuh sedikit mengenai mekanisme pencegahan rasuah. Ini kerana masih ramai tidak faham pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencegahan rasuah. Kesemuanya ada empat kumpulan atau golongan utama. Oleh itu, perlu ditekankan bahawa setiap daripada pihak ini ada peranan masing-masing.
Empat kumpulan atau golongan utama ialah masyarakat umum itu sendiri, SPRM sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung dalam menyiasat kes dan mencegah rasuah; Peguam Negara, selaku Pendakwa Raya, yang akan menentukan sama ada terdapat kes atau tidak, dan akhirnya, mahkamah yang akan mengadili sesuatu kes jika ada pertuduhan.
Masyarakat atau rakyat jelata ada tiga peranan. Kalau terlibat dengan rasuah, menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat aduan, menjadi saksi dan kalau ada maklumat, perlu menyalurkan maklumat kepada SPRM.
SPRM pula ada dua tanggungjawab besar di bawah Akta SPRM 2009. Menjalankan siasatan ke atas aduan dan maklumat yang diterima - yang berkaitan dengan perlakuan rasuah. Kedua, menyediakan laporan berkaitan kes yang disiasat dalam tempoh tidak lebih daripada 12 bulan. SPRM menyiasat dan menyediakan laporan kertas siasatan untuk pertimbangan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya.
Dalam pada itu, Pendakwa Raya pula ada dua tugas besar. Pendakwa Raya akan mengkaji laporan kertas siasatan yang disediakan oleh SPRM. Kalau berpuas hati dengan syor-syor yang dikemukakan oleh SPRM, Pendakwa Raya akan mengenakan pertuduhan ke atas individu terbabit. Kalau fakta tidak cukup, Pendakwa Raya boleh mengembalikan kepada SPRM untuk meneruskan siasatan atau mendapatkan lebih banyak fakta dan maklumat. Kalau laporan yang disediakan tidak ada bukit yang mencukupi atau tiada asas untuk dibawa pertuduhan, Pendakwa Raya akan mengarahkan tidak ada tindakan susulan atau dikelaskan sebagai NFA.
Mahkamah pula, apabila Pendakwa Raya mengemukakan pertuduhan di mahkamah, hakim akan mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan. Berdasarkan kepada hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah akan mmebuat keputusan. Jika cukup maklumat dan saksi, hukuman dan sabitan akan ditentukan mengikut lunas undang-undang. Bermakna pihak pendakwaan hendaklah membuktikan kes di luar keraguan munasabah, dan peranan peguam bela menimbulkan keraguan. Peranan mahkamah untuk memutuskan sama ada sabit kesalahan ataupun sebaliknya.
Di Malaysia, keseluruhan sistem kehakiman melihatkan tiga peringkat mahkamah. Proses ini masyarakat tidak faham atau kurang jelas. Maka, apabila tidak faham atau penerangan tidak cukup, akan ada beberapa akibat yang akan menyusul. Akibat yang pertama, kemungkinan publik tidak mahu memberi kerjasama. Kedua, mereka akan menganggap agensi penguat kuasa seperti SPRM lemah. Ketiga, publik tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, dan membuat andaian negatif atau serong ke atas sistem perundangan negara.
Undang-undang tidak ditentukan atau digubal oleh SPRM. Sebaliknya, ia diputuskan oleh Parlimen. Ia satu aspek yang lain.
Pada pandangan saya, masyarakat dan semua pihak perlu faham perkara ini. Kalau ada yang tidak berpuas hati, undang-undang sedia ada perlu dipinda. Undang-undang yang dibuat oleh manusia, berbeza antara satu negara dengan negara lain.
Maka, adalah tidak adil untuk mengatakan SPRM dipengaruhi atau dibayangi oleh mana-mana pihak. SPRM juga tidak harus dipersalahkan jika kes tidak dituduh di mahkamah atau mahkamah memutuskan tertuduh tidak bersalah dan sebaliknya.
Sumber: http://malaysiagazette.com/ms/man-ana/kes-rasuah-peranan-empat-pihak-penting

Tuesday, February 2, 2016

Jatuh bangun SPRM, perjuangan diteruskan

Selepas sebelum ini pernah dikatakan hanya mampu mendakwa "ikan kecil", Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini mendapat pujian selepas berjaya memerangkap "ikan besar", mungkin juga yang terbesar berbanding kes sebelum ini.
Terpalit dengan kematian 2 saksi di pejabat mereka, agensi anti rasuah itu juga berjuang menentang cemuhan orang ramai kerana gagal menghukum pegawai bertanggungjawab terhadap kematian itu.
Imej agensi itu bagaimanapun, semakin pulih sejak pertengahan tahun lalu, apabila beberapa penyiasatnya mendapat perhatian umum berhubung skandal kewangan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Salah seorang pengkritik utama SPRM, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada Ogos lalu menyatakan solidariti dengan badan anti rasuah itu apabila pegawainya disoal siasat, 2 daripada mereka dipindahkan secara mengejut dan pejabat agensi itu diserbu polis kerana mendedahkan kebocoran maklumat mengenai siasatan berkaitan firma pelaburan milik negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Lim sejak sekian lama mengkritik SPRM susulan kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock pada 2009.
SPRM masih bergelut dengan persepsi yang agensi itu tidak mempunyai kebebasan, memandangkan ia tidak mempunyai kuasa pendakwaan dan ia melaporkan terus kepada Jabatan Perdana Menteri.
Ini menimbulkan masalah dalam usahanya merungkai skandal kewangan yang didakwa melibatkan 1MDB – ketika mereka merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang akhirnya dibubarkan tahun lepas – dan syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International serta derma politik RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.
Penemuan yang dikemukakan agensi itu kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai derma Najib itu dan SRC International, bukan sahaja dianggap sebagai bukti yang tidak mencukupi tetapi kertas siasatan turut diarahkan ditutup.
Orang ramai memberi tekanan kepada SPRM supaya mengumumkan penemuan dan cadangan mereka, manakala panel pemantaunya menasihatkan mereka supaya terus berjumpa dengan peguam negara.
Apa yang dilakukan SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull juga boleh menentukan sama ada mereka benar-benar mampu membaiki imejnya.
The Malaysian Insider menjejaki perjalanan SPRM dari jatuh ke tempat memalukan hingga berjaya bangkit sehingga mampu mendapat pujian, baru-baru ini.
Era kejatuhan
SPRM menerima kecaman pelbagai pihak berhubung gerak kerja mereka sejak kematian Teoh, seorang setiausaha politik DAP, di pejabat agensi itu di Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Sejak itu, SPRM sering dianggap sebagai penjahat dalam beberapa laporan sehingga badan anti-rasuah itu akhirnya mengakui kecuaian menyebabkan kematian Teoh dan bersetuju membayar RM600,000 kepada keluarganya sebagai ganti rugi serta RM60,000 sebagai kos guaman pada Mei tahun lalu.
Sementara itu, pada 6 April 2011, seorang pegawai Kastam, Ahmad Sarbaini Mohamed turut ditemui mati, kali ini di pejabat SPRM di Kuala Lumpur.
Keluarganya menyaman agensi itu dan kerajaan persekutuan sebanyak RM8 juta atas kematian beliau.
Satu lagi perkara yang mencemarkan imej SPRM adalah ketidakupayaan membawa pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersabit kes rasuah dan salah guna kuasa di negeri itu, terutamanya berhubung dakwaan beliau mengeksploitasi sumber asli Bumi Kenyalang untuk kepentingan peribadi.
Kematian pendakwa raya Datuk Kevin Anthony Morais, yang berkhidmat dengan agensi itu selama 10 tahun sehingga Julai 2014, juga satu titik hitam bagi SPRM terutama apabila timbul cakap-cakap mengaitkan pembunuhan beliau dengan kertas pertuduhan yang disediakannya terhadap "seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi".
Enam lelaki didakwa dalam kes Morais, manakala ahli patologi Dr R Kunasegaran didakwa bersubahat.
Semasa berkhidmat dengan SPRM, Morais pernah melakukan pendakwaan kes yang melibatkan Kunasegaran, seorang doktor tentera yang bertugas di makmal patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, yang didakwa atas kesalahan undang-undang perdagangan pada Disember 2013.
Kejayaan
Imej SPRM di mata umum, bagaimanapun, semakin baik pada Ogos tahun lepas apabila ia menjadi sasaran polis berhubung dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan ke atas 1MDB dan sejumlah wang dipindahkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Beberapa pegawai SPRM disoal siasat pihak polis berhubung kebocoran itu, susulan "penyiasat Malaysia" dipetik dalam laporan The Wall Street Journal pada 2 Julai tahun lepas mengenai wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Polis turut menyerbu pejabat seorang timbalan pendakwa raya SPRM dan bahagian operasi khas agensi itu.
Agensi berkenaan kemudiannya bertindak balas, mengeluarkan kenyataan yang menyaksikan 2 pegawainya ditukarkan secara mengejut.
Tindakan itu kemudiannya dibatalkan selepas bantahan daripada orang ramai.
Agensi itu juga mengisytiharkan sumbangan wang RM2.6 bilion itu datang daripada seorang penderma di Timur Tengah dan bukan daripada 1MDB.
Agensi itu melaksanakan janjinya meneruskan siasatan ke atas kes itu dengan menyoal siasat perdana menteri pada 5 Disember bagi merekodkan keterangan beliau berhubung SRC International dan derma RM2.6 bilion.
Manakala pada 31 Disember lepas, SPRM menyerahkan kertas siasatan berhubung kedua-dua siasatan itu kepada peguam negara, yang kemudiannya meminta maklumat lanjut.
Agensi anti rasuah itu mengemukakan semula kertas siasatan pada 18 Januari, tetapi ia kemudiannya dikembalikan dan kes diisytiharkan tutup oleh Apandi yang berkata tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Najib. – 3 Februari, 2016. 


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jatuh-bangun-sprm-perjuangan-diteruskan#sthash.K2E5zOHx.j3DELuAP.dpuf

Drama Pasca 26 Januari: Skrip hancur



Kalau skripnya baik,  jalan cerita bagus,  sebab musabab boleh dipercayai dan watak-watak yang dibina  menyakinkan, kalau dikatakan bulan  berwarna biru pun orang boleh percaya.  Sebab itu di Barat diadakan sesi membedah skrip (lakon layar)  sebelum difilemkan. Supaya mana-mana bahagian yang menimbulkan persoalan dijawab terlebih dulu dalam skrip.

Contohnya macam skrip drama Pasca 26 Januari.  Skrip teruk sangat.  Jalan cerita entah apa-apa, boleh pening dibuatnya. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam  drama yang sedang dimainkan oleh Najib Razak, Apandi  Ali dan Zahid Hamidi.  Drama boleh ditamatkan dengan pelbagai cara.  Cuma penamat yang tergantung dan watak antagonis terlepas  hukuman yang kurang disukai.  Kalau di India,  panggung yang tayang filem tidak ditamatkan dengan memuaskan atau crook terlepas dari hukuman,  panggung itu akan dibakar.  Kalau pelakon crook ada  di situ mereka akan bakar bersama-sama panggung.

Sekarang ini  hendak kata macammana sekalipun orang sudah tidak percaya kepada ketiga-tiga pelakon utama itu,  diikuti oleh pelakon-pelakon pembantu yang membuatkan skrip menjadi kacau bilau.  Dialog watak-watak tak konsisten dan inilah yang memburaikan semua yang cuba diselindungkan daripada penonton.

Kononnya drama ini hendak dijadikan suspen thriller,  derma RM2.6 bilion pada awalnya dikatakan hanya tohmah puak pembangkang.  Tetapi apabila The Wall Street Journal membuat pendedahan, tohmah bertukar jadi pengakuan. Ditambah pula dialog oleh puak-puak pemakan dedak yang tiba-tiba mengaku derma itu untuk parti mereka.

Plot begini sangat susah untuk ditamatkan cerita.  Lepas itu dikatakan pula untuk belanja PRU 13.  Ini sekali lagi tak ikut skrip yang sepatutnya.  Skrip asal kata,  belanja  kempen pilihan raya umum ada hadnya.  Kalau lebih had,  keputusan boleh jadi tidak sah.  Maka diciptakan dialog baharu,  "bukan semua diambilnya derma itu,  hanya sedikit sahaja. Selebihnya dipulangkan kepada pemberi."

Penonton drama  bukan semuanya dalam kalangan pemakan dedak.  Malah mereka juga bukan berfikir lurus macam sesetengah wartawan yang menerima tanpa berfikir  dialog-dialog yang dimuntahkan oleh ketiga-tiga watak penting ini.  Penonton  drama pasca 26 Januari mempunyai pemikiran yang sangat kritis, sebab itu mereka sudah  menyampah dengan plot  drama ini.  

Mereka sudah menjangka dialog ini (memulangkan  baki derma)  sengaja ditulis untuk selarikan jumlah belanja kempen pilihan raya yang dibenarkan oleh SPR.  Tetapi kalau drama ini mendapat sentuhan pengarah yang hebat,  sudah tentu dia akan membuat syot close up  penyata bank yang membuktikan baki derma itu dipulangkan. Tetapi maaf cakaplah, pengarah drama ini pun ling long.  Kalau diberi kepada TV3 pun awal-awal lagi ditolak.

Sekarang ini watak Zahid  senyap seketika, mungkin sedang menulis dialog baharu untuk selarikan dengan perkembangan semasa.  Dulu watak Zahid sepatah haram tidak sebut  sebahagian derma itu dipulangkan,  dia cuma kata sudah berjumpa dengan pemberi derma. 

Tetapi dialog yang dituturkan oleh Zahid sebenarnya tersalah tulis.  Pemberi derma seperti yang dilaporkan oleh BBC London, adalah Raja Abdullah.  Kalau diteliti  berita  Zahid membaca dialog dia berjumpa dengan pemberi derma (tidak disebut Raja Abdullah) pada Ogos 2015. Raja Abdullah telah meninggal dunia pada Januari 2015.  Alih alih watak Zahid pun bertuturlah bahawa isu derma sudah selesai. Ini betul-betul wayang.

Akhirnya penamat belum ada tetapi penonton sudah membuat penamat sendiri iaitu  watak Apandi berjasa kepada Najib kerana telah "membersihkan"  Najib dan tidak ada mahkamah yang boleh mencabar keputusan Apandi.  Inilah yang dikatakan oleh orang yang arif undang-undang.  Penonton pun segera berfikir,  drama ini menjadi berbeza kalau watak Apandi ditukar kepada Gani.

Penonton pun cuba ingat-ingat semula tragedi  Najib memecat (bahasa lembut ialah menamatkan) Gani,  Peguam Negara itu hanya ada tiga bulan sahaja lagi kontraknya.  Tetapi tiga bulan boleh jadi macam-macam.  Cuba ingatkan balik apa yang dilakukan dalam masa tiga bulan itu?   Takkan sudah lupa pegawai kanan SPRM  yang  siasat 1MDB kena tukar ke JPM,  penonton bising memprotes,  dua tiga hari di JPM ditukarkan balik ke SPRM.  Ini boleh jadi drama komedi yang kelakar gila.

Drama ini telah memaksa penonton  menerima plot yang caca marba  akibat skrip yang hancur.  Apabila watak Apandi berkata, "tidak ada kes"  penonton pun bertepuk tangan sambil berkata, "kalau benar tak ada kes bawalah ke mahkamah."

Kesimpulannya, pada zaman penonton kita sudah bijak,  mereka membaca banyak sumber untuk mendapat maklumat, pemikiran pun sudah luas dan susah hendak dikelentong.  Kalau ada pihak yang masih menganggap penonton kita masih dungu, bahlol, bingai,  bangang dan macam lembu dicucuk hidung, mereka adalah dalam kalangan  orang-orang  yang membuat kesilapan besar.


sumber: http://kayangdailypost.blogspot.my/2016/01/drama-pasca-26-januari-skrip-hancur.html