Thursday, September 22, 2016

SPRM Beri Tempoh Seminggu Serah Kenderaan Pendaftaran Palsu



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh seminggu kepada semua pemilik 46 buah kenderaan yang disyaki dibeli daripada sindiket kereta klon untuk diserahkan kepada SPRM.

Kenderaan-kenderaan mewah tersebut dikenal pasti oleh SPRM ekoran penahanan empat suspek yang mendalangi sindiket pemalsuan pendaftaran kenderaan yang diseludup dari negara jiran menerusi Op Piang yang dijalankan oleh SPRM Kedah dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM Ibu Pejabat Putrajaya.

Satu notis akan dikeluarkan kepada setiap pemilik berkenaan mengikut Seksyen 48 (e) Akta SPRM 2009 dan jika ingkar,  pihak SPRM akan bertindak mencari dan menyita kenderaan tersebut.

Pemilik boleh didakwa mengikut Seksyen 69 Akta yang sama yang mana jika disabitkan kesalahan membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Kesemua 46 kenderaaan tersebut merupakan antara 67 kenderaan mewah pelbagai model yang dikesan SPRM, daripada jumlah itu SPRM telah menyita 17 buah kenderaan bernilai RM1.7 juta, manakala status empat lagi kenderaan sedang dalam siasatan.

Nilai pasaran kesemua 67 buah kenderaan tersebut dianggarkan kira-kira RM6.7 juta.

Semalam, SPRM telah menahan empat individu termasuk seorang kakitangan sebuah agensi penguatkuasaan di Kedah.

Dua suspek utama iaitu sepasang suami isteri telah ditahan secara berasingan di Kulim dan Alor Setar, manakala dua individu lain ditahan di Kuantan, Pahang dan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Majistret Dalilah Ismail membenarkan SPRM untuk mereman kesemua suspek selama tujuh (7) hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dengan sindiket yang menggunakan modus operandi baharu iaitu tidak mengklonkan identiti kereta lupus dari negara jiran tersebut sebaliknya menggunakan dokumen kerajaan palsu untuk pendaftaran kenderaan.


Sementara itu, pemilik kenderaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan tersebut, diminta menghubungi Penguasa Kanan Azaha Lias di talian 04-700 1884 atau 012 – 490 5986.

Wednesday, September 21, 2016

Op Piang SPRM: Empat termasuk kerani JPJ direman tujuh hari

Empat individu termasuk seorang kerani wanita bahagian pendaftaran kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan sindiket kereta klon dari Singapura.

Majistret Dalilah Ismail membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30an ditahan reman bermula hari ini sehingga 27 September ini.

Pasangan suami isteri itu dibawa ke mahkamah pada pukul 10.05 pagi manakala dua suspek lagi tiba kira-kira 40 minit kemudian.

Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi semalam.

Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari Singa­pura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim.

Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.

Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan peniaga dalam talian di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang ini.


Suspek keempat yang berusia 32 tahun itu berperanan sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan kenderaan kepada pasangan suami isteri terbabit ditahan pada pukul 11.50 malam di Kuala Lumpur.

Tuesday, September 13, 2016

SPRM, DBKL tubuh pasukan khas


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi meneliti secara khusus isu kelemahan sistem dan prosedur bagi tujuan penambahbaikan dalam usaha memantapkan proses kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek-projek di DBKL dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya.

Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki itu turut dianggotai pegawai-pegawai daripada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.

"Pembentukan pasukan tersebut merupakan satu usahasama yang diambil selepas beberapa pegawai kerajaan disiasat baru-baru ini atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Sebagai permulaan, pasukan ini telah mengenal pasti lima isu berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di DBKL," jelas kenyataan itu.

Baru-baru ini, seorang kakitangan DBKL bergelar 'Datuk Seri' disiasat SPRM bagi kesalahan rasuah manakala lebih 30 pegawai dan kakitangan DBKL disyaki terlibat dalam salah guna kuasa melibatkan pembelian kondominium dan pangsapuri di ibu negara.

Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan penswastaan, garis panduan pembelian hartanah oleh pegawai dan kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta pemantauan pembangunan tanah di ibu negara.

Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan bertanggungjawab merangka beberapa cadangan kepada pihak DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi tersebut.

SPRM berharap kerjasama antara dua pihak itu akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam sektor awam.

Thursday, September 8, 2016

SPRM, teruskan usaha


Pembaca Utusan Malaysia, Haji Ahmad berpendapat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengotakan janji untuk memerangi rasuah khususnya dalam kalangan pejawat awam.

Beliau berkata, atas amanah dan tanggungjawab DKP SPRM, beberapa VIP termasuk bergelar Tan Sri, telah didakwa kerana kesalahan rasuah.

Penulis juga percaya DKP SPRM mampu melaksankan tanggungjawab dan memperhebatkan lagi buruan terhadap individu yang mengamalkan rasuah.


Beliau juga mengharapkan SPRM dapat meneruskan siasatan rasuah terhadap isu gas petroleum cecair (LPG) yang didakwa didalangi oleh orang dalam.

Wednesday, September 7, 2016

Pengerusi dan Pengarah Urusan Bank Didakwa Pecah Amanah

Pengerusi dan Pengarah Urusan Bank Rakyat masing-masing didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dan pecah amanah (CBT) melibatkan harta bernilai lebih RM14 juta di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini.

Bagi pendakwaan terhadap Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, tertuduh didakwa bersubahat melakukan pecah amanah berkaitan suatu harta iaitu Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaraan bernilai RM14,991,283.20.

Manakala Datuk Mustafha Abd Razak pula didakwa melakukan pecah amanah berkaitan harta dan jumlah sama sebagai seorang ejen iaitu Pengarah Urusan Bank Rakyat yang diamanahkan dengan penguasaan harta berkenaan.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Menara Berkembar Bank Rakyat, No 33 Jalan Travers, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2016.

Abdul Aziz dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Mustafha pula dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Abdul Aziz dan Mustafha masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan dana RM15 juta.

Hakim Madihah Harullah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan tarikh 10 Oktober 2016 untuk sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama.


Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Pendakwaan SPRM, Mohd Masri Daud dan Timbalan Pendakwaraya, Anas Mahadzir.

Monday, September 5, 2016

SPRM: ‘Pendrive’ FAM tiada unsur rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah selesai menyiasat ‘pendrive’ kontroversi berkaitan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mendapati tiada sebarang unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada FAM mengenai siasatan tersebut dalam masa terdekat.

“SPRM mengesahkan telah selesai meneliti isi kandungan ‘pendrive’ tersebut dan hasil penelitian mendapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

“Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyerahkan kandungan ‘pendrive’ itu kepada SPRM untuk siasatan selepas didakwa ia mengandungi bukti penyelewengan FAM.

Dalam pada itu, SPRM menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan ‘pendrive’ itu kepada Khairy untuk tindakan lanjut pada 26 Ogos lalu.


Semalam, Tunku Ismail memberi amaran kepada mana-mana individu yang disebut dalam ‘pendrive’ itu agar mengundur diri dengan cara baik jika tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum.

Friday, September 2, 2016

Khairy bayang kandungan pendrive bakal didedahkan


Isi kandungan pemacu pena kontroversi yang didakwa mengandungi laporan penyelewengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin akan menjadi bahan tatapan umum.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah memohon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan kandungan laporan itu sama ada terdapat penyelewengan atau sebaliknya selepas siasatan oleh suruhanjaya tersebut selesai.

"Oleh kerana ini merupakan kes kepentingan umum dan disebabkan pelbagai andaian telah dibuat mengenai kandungannya, saya mencadangkan kepada SPRM untuk menjadikannya sebagai bahan tatapan umum.

"SPRM meminta saya memberikan mereka sedikit masa untuk meneliti kandungan tersebut secara terperinci dan menyelesaikan siasatan terlebih dahulu sebelum membenarkan kandungan pendrive disebarkan," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy menyerahkan pemacu pena beserta senaskah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Khairy berkata, pendrive serta naskah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Beliau berkata, tiada sebarang pengesahan dibuat olehnya kepada SPRM sama ada kandungan pemacu pena itu mempunyai kaitan dengan individu tertentu di dalam FAM atau wujudnya penyelewengan seperti andaian ramai.

"Hari ini saya tidak sahkan apa-apa mengenai perkara tersebut dan pemacu pena itu kini telah menjadi bahan bukti dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM selaku pihak bertanggungjawab mengenai rasuah untuk menjalankan siasatan sama ada wujud unsur seperti yang didakwa," katanya dan menambah tiada tempoh masa diberikan SPRM bila siasatan mereka akan berakhir.

Sambil mengulangi kenyataannya bahawa kandungan laporan itu hanya berkaitan soal teknikal bola sepak negara, Khairy berkata beliau sedia memberi keterangan sekiranya diperlukan selain memaklumkan daripada siapa dan bila pemacu pena itu diterimanya.

Ditanya sama ada Tunku Ismail bersetuju dengan tindakannya menyerahkan pemacu pena itu kepada SPRM, Khairy berkata, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menyerahkan sepenuhnya kepada beliau untuk melakukan sebarang tindakan.

"TMJ sangat berminat untuk menyerahkannya kepada saya. Baginda mahu saya membacanya dan buat apa yang perlu. Selepas baca dengan teliti setiap muka suratnya, saya putuskan untuk membuat laporan kepada SPRM atas kepentingan umum kerana masyarakat mula membuat andaian wujudnya penyelewengan dalam laporan itu," katanya.

Thursday, September 1, 2016

Kuasa Belia, Jenayah dan Rasuah

Kuasa Belia
“Beri aku 10 pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia.”

Petikan di atas merupakan antara ucapan popular pemimpin tersohor Indonesia, Ir. Soekarno. Pengasas dan Presiden pertama Republik Indonesia itu memang terkenal dengan pidatonya yang berkobar-kobar, mampu menaikkan semangat nasionalisme kepada negara. Melalui ucapan tersebut, amat jelas bahawa Soekarno memandang tinggi kuasa golongan belia.

Siapakah golongan belia?
Terdapat beberapa definisi belia yang berbeza di seluruh dunia.

Di Malaysia, Dasar Belia Negara mendefinisikan belia sebagai golongan muda sama ada lelaki atau wanita, berumur daripada 15 hingga 40 tahun. Belia sinonim dengan golongan yang sering melontarkan idea-idea baharu, mempunyai pemikiran yang idealis, mahir dengan teknologi semasa, bertenaga dan agresif dalam memperjuangkan sesuatu perkara atau isu. Golongan ini menjadi penggerak utama dalam politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Belia mampu mencorakkan pembangunan sesebuah negara. Namun, sekiranya tidak dipimpin dengan baik, ditambah pula dengan kerapuhan sifat integriti, golongan ini juga mampu mengancam dan menyebabkan keadaan huru-hara kepada negara.

Jenayah Belia Yang Menggemparkan
Ahli perniagaan terkenal Amerika Syarikat, Warren Buffett pernah berkongsi rahsia kejayaan beliau. Salah satunya adalah melalui pengambilan pekerja yang betul. Buffett dipetik berkata, “Saya akan memilih pekerja yang memiliki tiga kriteria. Pertama, adalah integriti diri; kedua, kebijaksanaan; dan ketiga, bertenaga. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kriteria pertama (integriti), dua lagi kriteria (kebijaksanaan dan tenaga) akan menghancurkan kamu.”


Berikut adalah dua kisah anak muda yang mempunyai kebijaksanaan dan tenaga yang hebat, tetapi tiada integriti. Akibatnya, bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri mereka, malah mampu meruntuhkan sesebuah organisasi besar. Ikuti dua kisah belia yang pernah menggemparkan dunia.

Kisah 1: Nick Leeson dan bank tertua Britain
Gara-gara tindakan seorang anak muda berumur 28 tahun, bank tertua Britain bankrap sekitar tahun 1995. Bank Barings yang ditubuhkan pada tahun 1762 pernah membiayai Perang Napoleon (18 Mei 1803 hingga 20 November 1815) dan pembelian daerah Louisiana oleh Amerika Syarikat daripada kerajaan Perancis pada tahun 1803. Lebih membanggakan, Ratu Elizabeth juga memilih bank itu untuk membuka akaun peribadinya.

Pemuda yang bertanggungjawab meruntuhkan bank berusia 233 tahun itu adalah Nick Leeson. Beliau dilahirkan pada 25 Februari 1967 di Watford, England. Di awal 1980-an, Leeson memulakan kerja sebagai kerani di beberapa buah bank sebelum mendapat tempat di Bank Barings. Kerjayanya mula berkembang setelah dinaikkan pangkat dan betugas di pejabat yang menguruskan urus niaga pasaran.

Pada 1992, Leeson dilantik sebagai pengurus besar Barings Securities di Singapura, berurusan dengan pasaran hadapan Singapore International Monetary Exchange (SIMEX). Leeson bertanggungjawab dalam semua perkara berkaitan urus niaga pasaran (trading) dan ‘back office’. Istilah ‘back office’ merujuk kepada tugas pentadbiran pejabat, pemprosesan dokumen urus niaga pasaran dan perakaunan.

Penguasaan beliau ke atas aktiviti urus niaga pasaran dan ‘back office’ tanpa penyeliaan membuka ruang kepada penyelewengan, manipulasi dokumen serta salah guna.

Pada tahun pertama, Leeson menunjukkan kecemerlangannya apabila berjaya membawa keuntungan £10 juta kepada Bank Barings. Keuntungan itu diperolehi melalui aktiviti spekulasi nilai pasaran yang tidak sah (unauthorised speculative trades).

Leeson mendakwa bahawa semua pelaburan yang dibuatnya adalah atas kehendak pelanggan. Oleh sebab itu, Bank Barings tidak perlu khuatir terhadap kemungkinan berlakunya kerugian kepada bank.

Dengan prestasi yang ditunjukkan itu, Leeson memiliki segala kemewahan, menerima gaji £50,000 sebulan dan bonus £150,000 pada tahun 1993. Beliau dan isteri, Lisa bercuti di tempat eksklusif dan selalu mengadakan parti di kediaman mewah mereka.

Apa yang pihak pengurusan Bank Barings tidak tahu adalah kewujudan satu akaun rahsia di atas nama ‘88888’, yang digunakan untuk menyembunyikan segala kerugian yang dilakukan oleh Leeson.

Pada awalnya, akaun yang dikenali sebagai ‘error accounts’ itu bertujuan membetulkan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh kakitangannya (traders), untuk menyembunyikan kerugian yang tidak melebih £20,000.

Selepas itu, akaun ‘88888’ digunakan oleh Leeson sendiri untuk menyembunyikan kerugian beliau. Apabila kerugian bertambah, Leeson memohon untuk pertambahan dana daripada ibu pejabat Bank Barings. Dengan dana tersebut, Leeson melakukan lebih banyak urus niaga, dengan harapan keuntungan dapat menutup kerugian sedia ada. Dalam tempoh tiga bulan, Leeson membeli lebih 20,000 kontrak hadapan bernilai $180,000 setiap satu.

Malah, Leeson sanggup memanipulasi dokumen urus niaga untuk memperlihatkan keuntungan palsu sebanyak £28.55 juta. Keadaan itu berjaya mengekalkan reputasi beliau dan melayakkan beliau menerima faedah gaji dan bonus yang lumayan.

Hakikatnya, nasib Leeson semakin buruk. Urus niaga beliau mengalami kerugian demi kerugian. Akhirnya, pada 23 Februari 1995, beliau melarikan diri selepas meninggalkan satu nota ringkas tertulis “I’m sorry“. Jumlah keseluruhan kerugian yang berpunca daripada urus niaga Leeson mencecah £827 juta (US$1.4 bilion). Akibatnya, Bank Barings diisytiharkan bankrap pada 26 Februari 1995.

Leeson ditahan di Frankfurt, Germany dan diektradisi ke Singapura pada 20 November 1995 untuk dibicarakan. Pada Disember 1995, Leeson dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun enam bulan.

Semasa di Penjara Changi-Singapura, Leeson disahkan mengalami kanser usus besar. Tambah menyedihkan, beliau bercerai dengan Lisa. Pada 1999, Leeson dibebaskan daripada penjara. Tanpa rumah dan pekerjaan.

Kisah 2: Aman Shah, si pencuri 1 sen
Aman Shah berumur 24 tahun, bekerja sebagai eksekutif di Bank Hock Hua, Kuala Lumpur, dan mempunyai gaji RM1,800 sebulan. Aman digambarkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang peramah, suka berjenaka dan banyak membantu mereka yang dalam kesusahan.

Daripada eksekutif biasa, nasib Aman berubah apabila beliau dihantar mengikuti satu kursus komputer, di mana beliau mempelajari kemahiran yang membantu beliau menjadi kaya dalam sekelip mata.

Ilmu dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat digunakan sepenuhnya apabila beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan SPEED, yang bertanggungjawab kepada sistem pemindahan elektronik untuk dana dan sekuriti. Bagaimanapun, untuk tujuan yang salah. Setiap hari, Aman memindahkan 1 sen daripada akaun pelanggan-pelanggan Bank Hock Hua ke akaun proxinya di bank lain.

Bagaimana beliau melakukannya? Aman mengemukakan arahan palsu kepada Bank Negara Malaysia untuk memindahkan wang pelanggan di Bank Hock Hua ke akaun syarikat Bistro di Bank Bumiputra Malaysia Berhad. Melalui kegiatan tersebut, dalam tempoh yang singkat, Aman berjaya mengumpul wang mencecah RM4 juta.



Sejak zaman sekolah lagi, Aman begitu obses dengan kereta mewah. Dengan wang yang ada, Aman membeli enam buah kereta mewah, iaitu Lamborghini Countach yang bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502,000),  Mercedes Benz 300E (RM192,000), Porsche Carerra 928 S4 (RM638,000) dan BMW 329i (RM68,000). Semuanya dibeli secara tunai.

Tidak cukup dengan kemampuan membeli, Aman dilihat suka menunjuk-nunjuk. Sekitar bulan Jun 1990, Aman menempatkan tiga buah kereta mewahnya di pameran kereta eksotik di Plaza Bukit Bintang. Beliau juga sering dilihat bersiar-siar dengan dengan kereta mewahya di waktu petang.

Lebih mengagumkan apabila beliau muncul di rancangan Sekapur Sirih TV3 yang disiarkan pada 3 Jun 1990. Dengan bangganya, Aman yang ketika itu sudah berhenti daripada Bank Hock Hua, bercerita mengenai keistimewaan setiap kereta mewahnya.

Bekas pengurus kepada Aman di Bank Hock Hua yang kebetulan menonton rancangan itu, berasa syak terhadap kekayaan Aman. Beliau terus meminta setiap transaksi yang melibatkan Aman disemak dan diaudit semula. Dengan bukti penyelewengan yang ditemui, bekas pengurusnya membuat aduan polis pada 8 Jun 1990. Seterusnya, Aman ditangkap di kondominium mewahnya di Bangsar.

Pada 25 Jun 1990, Aman dituduh di mahkamah atas empat tuduhan menipu kira-kira RM4 juta. Aman didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Belia dan rasuah
Tiada siapa yang mengimpikan untuk terjebak dengan jenayah seperti menipu, merogol, merompak atau membunuh. Malah, tiada manusia yang berhasrat untuk menyara kehidupan mereka dengan aktiviti jenayah.

Walaupun begitu, sesiapa sahaja berisiko untuk terjebak dengan jenayah rasuah. Jenayah ini tidak mengenal warna kulit, ideologi politik, anutan agama dan kedudukan. Selagi ada peluang dan sifat tamak, tidak mustahil untuk berlaku perbuatan rasuah.

Golongan belia mempunyai risiko yang tinggi untuk terlibat dengan jenayah keji ini. Kajian Persepsi Rasuah oleh UKM pada tahun 2002 menunjukkan 30.5% responden daripada golongan pelajar mengatakan mereka akan melakukan rasuah sekiranya mempunyai kuasa dan peluang untuk berbuat demikian.

Kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 April 2016 membuktikan dapatan kajian di atas. Menurut SPRM, dalam tempoh tiga tahun (2013-2015), 55% atau 1,045 daripada 1,902 individu yang terlibat dalam kegiatan rasuah merupakan mereka yang berusia di bawah 40 tahun (Utusan Malaysia, 2016).

Rasuah Penjawat Awam, Rakyat Sengsara

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi baru-baru ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat.

Tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM untuk berfungsi lebih cemerlang. Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan.

Bermula awal tahun ini, masyarakat didedahkan dengan kes seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 juta.

Beberapa minggu lalu, tiga pegawai kanan termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan SPRM. Agensi itu bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam tersebut.

Terkini, seorang Pengarah Urusan bank milik kerajaan bergelar Datuk pula ditahan kerana dipercayai terlibat penyelewengan dana berjumlah RM15 juta dan akaun bank berjumlah RM8.1 juta telah dibekukan.

Kemewahan yang dimiliki oleh pegawai-pegawai ini merupakan suatu perkara yang luar biasa. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.

Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Jika tidak dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan mengambil langkah-langkah lebih efektif.

Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengawasi dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.

Selain itu, penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.

Kita juga harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh setara dengan jenayah biasa. Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah.


Harus diingatkan, pelaku rasuah bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada diri sendiri malah ada yang kehilangan keluarga dan kawan karib.

Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini kerana mereka juga boleh didakwa. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu. Beri sokongan, kerjasama sepenuhnya dan lapor kepada SPRM jika ada permintaan rasuah.

Dalam pada itu, susulan tangkapan ini, diharapkan SPRM akan terus mengenalpasti semua penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah, penggubahan wang haram, salah guna kuasa dan hidup di luar kemampuan dengan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.

Semua wang yang diambil secara tidak sah daripada masyarakat perlu dirampas semula dan dipulangkan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan mereka.

Adalah tidak wajar membiarkan rakyat sengsara tatkala segilintir penjawat awam yang tidak bertanggungjawab hidup mewah di luar kemampuan mereka.

Malah misi SPRM membersihkan penjawat awam ini juga perlu diperluaskan ke sektor swasta juga kepada ahli-ahli politik korup yang juga menjadi harapan rakyat. Kajian Malaysia Corruption Barometer 2014 menunjukan bahawa parti politik paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.


Bagaimanapun, bagi mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah serta mendapat kepercayaan rakyat, usaha perlu dilakukan secara berterusan, ikhlas dan menyeluruh tanpa pilih bulu.

Wang RM100,000 milik Tan Sri dirampas


Punca wang diperoleh masih disiasat

Sejumlah wang tunai ber­nilai lebih RM100,000 ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat dan rumah pengerusi sebuah bank syarikat milik kerajaan bergelar Tan Sri yang ditahan semalam untuk membantu siasatan kes salah guna kuasa melibatkan penerbitan biografi seorang pe­mimpin negara.

Menurut sumber, wang terbabit ditemukan di dalam laci pejabat dan rumah milik suspek selepas siasatan dijalankan terhadapnya.

Ujarnya, siasatan masih dija­lan­kan bagi mengenal pasti punca wang itu diperoleh.

“Selain wang tunai, beberapa jam tangan mewah turut dirampas,” katanya.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan SPRM memburu seorang Tan Sri yang menerajui sebuah bank selepas didapati terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah bernilai RM15 juta.

Sebelum itu, lapan individu termasuk seorang pengarah urusan bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes sama.

Ditanya perkembangan kese­mua individu terbabit, sumber itu memberitahu, tiga daripada mereka telah dibebaskan.

“Namun tiga individu itu ditahan semula semalam bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA),” ujarnya.

Pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.

Pengerusi bank bergelar Tan Sri direman 7 hari


Pengerusi sebuah bank  bergelar Tan Sri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung penyelewengan dana penerbitan buku biografi tokoh pemimpin negara direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sumber berkata, lelaki berusia 60 an itu tiba di perkarangan mahkamah jam 9.10 pagi ditemani pegawai SPRM.

"Kes akan di siasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,"katanya.

Lelaki itu ditahan semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan berhubung kes itu.

Wang hampir RM1juta di dalam akaun bank Tan Sri itu dibekukan SPRM.

Tan Sri merupakan orang ketiga dari bank beriatan kerajaan itu ditahan bagi kes yang sama.

Seorang pengarah urusan bergelar 'Datuk' ditahan pada 25 Ogos, dan seorang lagi pegawai sehari selepas itu.

Tan Sri terajui bank dicari SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti seorang Tan Sri menerajui sebuah bank yang dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan penyelewengan projek penerbitan buku bernilai RM15 juta.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, suspek menggunakan akaun dua buah firma guaman bagi menyimpan wang yang diperoleh hasil kegiatan tersebut.

Ujarnya, individu terbabit telah bersekongkol dengan peguam membuka dua firma guaman bagi mendapatkan tender melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

“Sebaik sahaja wang diperoleh, wang terbabit akan dima­sukkan ke dalam dua akaun firma guaman yang terlibat sebelum wang itu dipindahkan ke beberapa akaun yang lain.

“Difahamkan, ketika firma guaman itu ditubuhkan, di dalam akaun firma terbabit hanya mempunyai wang bernilai RM2,000. Namun semakan terkini mendapati akaun terbabit mempunyai wang berjumlah ratusan ribu ringgit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, lapan individu termasuk seorang Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan ra­suah melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemim­pin negara.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara sejak kelmarin.

Turut dirampas iaitu enam buah jam tangan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Datuk terbabit.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai institusi awam.

Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.