Tuesday, April 25, 2017

Usaha agresif SPRM dihargai


Usaha agresif dan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah amat dihargai kerana ia selari dengan hasrat orang ramai dan negara untuk melihat pembasmian rasuah dalam pelbagai bentuk.

Naib Pengerusi Ka­nan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, oleh itu, saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad supaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa diisytihar sebagai musuh nombor satu negara perlu disokong oleh semua pihak.

“Kesungguhan SPRM ini perlu mendapat sokongan penuh kerajaan terutama agensi-agensi pe­nguat kuasa bagi memastikan usaha memerangi rasuah lebih efektif dan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, keyakinan masya­rakat terhadap kerajaan hanya akan dapat ditingkatkan jika pegawai dan kakitangan agensi-agensi dan jabatannya bebas daripada mengamalkan rasuah.

“Laporan media mengenai tangkapan yang di­buat oleh SPRM jelas menunjukkan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah serius dan memerlukan tindakan tegas daripada agensi penguat kuasa.

“Namun, kita harus sedar bahawa rasuah juga wujud di sektor swasta dan ia perlu diatasi dalam usaha kita memerangi ra­suah secara habis-habisan,” katanya.

Jelasnya, usaha berterusan SPRM untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah seharusnya dihargai dan agensi tersebut perlu diberikan kebebasan untuk bertindak tanpa rasa takut atau mempunyai sebarang kepenti­ngan serta bebas daripada gangguan oleh mana-mana pihak.

“Undang-undang berkaitan rasuah juga perlu dikaji semula agar SPRM dapat diberikan kuasa untuk bertindak dengan lebih berkesan kerana rasuah amat berleluasa dan menjangkau setiap aspek kehidupan.

“Orang ramai juga perlu mengambil tindakan proaktif dengan membuat laporan kepada SPRM jika mereka mempunyai maklumat dan bukti mengenai rasuah dan penyalahgunaan ku­asa,” ujarnya.

Beliau turut memuji laporan media terutama Utusan Malaysia yang tampil ke hadapan mendedahkan perlakuan-perlakuan ra­suah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, ketirisan dan bolos yang berlaku di negara ini.


“Peranan media sangat penting untuk mendedahkan perlakuan musuh nombor satu negara ini,” katanya.

Sunday, April 23, 2017

Terima Kasih SPRM...Sayangi SPRM...Musuhi Rasuah!


Begitu ramai orang yang memberi respon susulan pendakwaan salah laku rasuah melibatkan Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Datuk Adam Rosly.


Reaksi dibuat menunjukkan ramai ‘sayang’ dan menaruh harapan tinggi terhadap SPRM dan mahu memerangi isu rasuah.

SPRM meletakkan pendekatan ‘Mesra Rakyat Digeruni Perasuah’  sebagai strategi memenuhi harapan rakyat tersebut. Tindakan SPRM yang seakan-akan tiada pengakhirannya membuatkan perasuah tidak senang duduk memikirkan nasib yang akan menimpa mereka.

Pegawai-pegawai SPRM jelas makin aktif menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ramai lagi penerima rasuah dibawa ke muka pengadilan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad juga telah mencipta sejarah apabila buat kali pertama memperkenalkan  Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

IBR yang diperkenalkan memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.

Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan dan warganya dalam menandatangani IBR ini juga, turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata, tetapi sebaliknya ia merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan, bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Ini satu permulaan yang baik. Usaha SPRM mahu menjadikan para kepimpinan organisasi sebagai ikon membanteras rasuah di mata masyarakat.

Malah perkembangan ini juga menandakan bahawa budaya integriti sudah mula diterima oleh pelbagai pihak. Ini petanda-petanda positif. Pemimpin, EXCO kerajaan negeri dan Wakil rakyat menjadi contoh kepada yang lain - masyarakat, pengundi mereka.

Jika amalan ini berterusan, usaha mencegah rasuah dan memperbaiki persepsi negatif rakyat dalam jangka panjang.

Terbaru, Datuk Dzulkifli telah menyarankan Ahli Dewan Negara diminta menggesa kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

Saranan itu dibuat kerana setiap kejadian di negara ini berkait rapat dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menjatuhkan martabat negara di mata dunia.

Isu berkaitan dadah, kebolosan warga asing, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, persempadanan, keganasan, jenayah kewangan, perjudian dan pelacuran makin berleluasa kerana wujudnya amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasa dan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

Cetusan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini adalah tepat kerana salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah guna kuasa terus wujud adalah kerana agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Apabila mereka yang diberikan kepercayaan gagal melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan sehingga menyusahkan rakyat, ia akan menghakis kepercayaan terhadap kerajaan.

Usaha mencegah rasuah memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak tidak kira kedudukan dan pangkat. Rasuah merupakan musuh semua, musuh nombor satu negara.

Kita tidak boleh lagi menganggap barah rasuah sebagai lumrah hidup seperti sebelum ini maka sudah tiba masanya masyarakat turut bangun dan berperang bersama SPRM untuk membanteras 'penyakit' ini di semua peringkat.

Jika rasuah tidak dibanteras, ia akan mengancam pertumbuhan ekonomi, kehilangan pelabur asing dan meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga hingga mengakibatkan ketidakstabilan politik. Yang terseksa akhirnya adalah rakyat jelata.


Tiba masanya semua pihak untuk bersama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama. Kita perlu anggap ‘rasuah musuh nombor satu negara’, bukannya menjadikan SPRM sebagai musuh atau menyerang SPRM.

Friday, April 21, 2017

Adam Rosly didakwa


Seorang ahli perniagaan, Dato' Adam Rosly Abdullah, 30, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen serta memberi keterangan palsu kepada pegawai SPRM.

Adam Rosly yang juga merupakan ahli politik didakwa dengan enam pertuduhan iaitu dua mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) manakala empat lagi mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Alludeen Ismail.

Mengikut dua pertuduhan Seksyen 32(8) (c) AMLATFPUAA 2001, Adam Rosly didakwa memberi keterangan palsu kepada pegawai SPRM pada 10 Februari dan 22 Februari di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sementara itu, berdasarkan empat pertuduhan mengikut Seksyen 89 AMLATFPUAA 2001 pula, dia didakwa telah menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan dan dua lagi baucer tunai dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM ketika memberi keterangan pada 22 Februari 2017 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Adam Rosly telah dipanggil oleh SPRM pada dua tarikh tersebut bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, dia boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Alludeen telah membenarkan Adam Rosly diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 29 Mei 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan olah Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib.

Wednesday, April 19, 2017

Abd. Latif gagal bayar wang jaminan RM2 juta


Exco kerajaan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi, 51, gagal membayar wang jaminan RM2 juta dan akan dihantar ke Penjara Reman Koreksional Ulu Choh, Pontian.

Seorang lagi tertuduh, Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, yang merupakan perunding hartanah membayar wang jaminan tersebut.

Terdahulu pada sebelah pagi, Abd. Latif dan Amir Shariffuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta.

Abd. Latif dan Amir Shariffuddin, masing-masing yang menghadapi 33 pertuduhan rasuah bagaimanapun tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif untuk melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu, dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.


Kesemua perbuatan itu dilakukan di Maybank Islamic Bhd, cawangan Larkin Perdana di sini antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu.

SPRM beri amaran akan terus agresif


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu perbuatan rasuah dalam sukan tempatan ketika ini masih terkawal dan tidak terlalu serius.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki menegaskan keadaan itu bukan faktor untuk pihaknya memandang remeh isu tersebut, sebaliknya memberi amaran akan terus bertindak agresif memerangi rasuah melibatkan semua pihak, bukan sahaja dalam industri bola sepak negara tetapi juga sukan lain.

“Saya sudah arahkan pegawai-pegawai, sekiranya maklumat atau aduan yang diterima itu ada menunjukkan prima facie yang (menyebabkan) boleh diambil tindakan, (maka) tindakan keras akan diambil.


“Kalau melibatkan organisasi sukan, (rasuah) tidaklah begitu serius, masih lagi terkawal.

“Tetapi dengan usaha kita menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, ada usaha untuk kita mencegah sebelum berlaku dengan lebih teruk. Kita mesti memastikan kecemerlangan sukan di negara ini tercapai,” katanya.

Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sejak kebelakangan ini, isu rasuah hangat diperkatakan dalam sukan bola sepak apabila beberapa pemain dan bookie ditahan untuk membantu siasatan dalam kes mengatur perlawanan Liga Perdana.

Tambah beliau tahap keseriusan kes rasuah pemain bola sepak jika dibandingkan dengan ketirisan pegawai pengurusan dalam organisasi sukan yang sering berlaku sukar dibuat perbandingan.

“Rasuah yang berlaku dalam persatuan bola sepak melibatkan pemain-pemain mungkin kerana mereka ramai. Sebab itu sukan yang popular ini menjadi tumpuan.


“Tetapi isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pengurusan dalam organisasi sukan di negara ini tidak boleh dipandang ringan. Jadi, jangan buat spekulasi untuk dibandingkan,” jelasnya.

Latif Bandi didakwa


Exco kerajaan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan seorang perunding hartanah, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan rasuah melibatkan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru sebentar tadi.

Abd. Latif, 51, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif bagi melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam, iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Larkin Perdana, di sini antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Masri Mohd. Daud dan Amir Nasruddin.

Abd. Latif diwakili oleh barisan lapan peguam bela diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Amir Shariffuddin oleh Azrul Z. Stork.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2 juta seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.


Hakim menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Thursday, April 6, 2017

Tan Sri, lima lagi direman kes tuntutan palsu


Enam lelaki termasuk seorang bergelar Tan Sri dan anak lelakinya direman enam hari bagi membantu siasatan tuntutan palsu RM13 juta berhubung pembekalan geotube bagi kerja pemulihan Sungai Melaka.

Tiga suspek ialah pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur manakala seorang bekas pegawai jabatan itu.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 9.30 pagi tadi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho memerintahkan mereka direman selama enam hari bermula hari ini sehingga Selasa ini peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi, jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan.

Penahanan suspek berusia antara 33 dan 63 tahun itu dilakukan SPRM dalam operasi yang dilancarkan serentak di beberapa lokasi di Johor, Melaka dan Seremban, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.


Kes adalah berhubung tuntutan palsu membabitkan pembekalan geotube bagi kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian (dredging and excavation).

Tuesday, April 4, 2017

SPRM wujud EPACC tangani pencabulan alam sekitar


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan Environmental Protection and Anti-Corruption Caucus (EPACC) bagi menangani salah laku rasuah berkaitan pencabulan alam sekitar seperti pembalakan haram dan pencemaran sungai.

EPACC diwujudkan SPRM hasil perbincangan meja bulat dengan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Rimba Research, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga - Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Pusat Sains dan Alam Sekitar (KIAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Perbincangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, itu bersetuju untuk menjalinkan satu rangkaian kerjasama strategik yang lebih erat dalam usaha membendung dan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam isu-isu membabitkan alam sekitar di negara ini.

Jurucakap SPRM berkata, kerjasama ini juga adalah satu inisiatif untuk menggalakkan kerjasama semua pihak dalam mendidik dan memupuk kesedaran rasuah dan salah guna kuasa berkaitan isu terbabit. "Pendekatan kerjasama bersepadu dan berterusan ini dipercayai mampu membanteras aktiviti pembalakan haram, pencemaran sungai dan ekosistem, penerokaan tanah secara haram.

"Ia juga bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti tragedi banjir dan hakisan tanah daripada terus berulang," katanya.


Tambah SPRM, EPACC juga dibentuk sebagai satu perhatian yang lebih serius diberikan terhadap isu ini sekali gus memastikan tindakan yang segera diambil oleh pihak SPRM terhadap mereka yang terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan alam sekitar. 

Monday, April 3, 2017

Tan Sri Direman 5 Hari Kes Cuba Rasuah Sultan Johor


Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 4 April itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Lelaki berusia 54 tahun tersebut ditahan SPRM selepas dia menyerah diri di ibu pejabat suruhanjaya itu semalam.

Dia berbuat demikian susulan amaran oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki yang mahu individu itu tampil menyerah diri sebelum 12 tengah malam semalam atau nama serta gambarnya didedahkan kepada umum.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain sebagai dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua perkara atau transaksi yang berkaitan kesalahan.

Suspek yang berbaju lokap berwarna jingga tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini pada 9.30 pagi dengan diiringi tiga pegawai SPRM.

Dia diwakili tiga peguam iaitu Datuk K. Kumaraendran, Datuk Joshua Kevin dan JR Tey.


Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

TLDM & SPRM Kerjasama Bendung Rasuah


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan anggota dan syarikat yang berurusan dengannya.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata menerusi MoU itu yang akan dimeterai, TLDM akan diberi khidmat rundingan dengan meneliti amalan, sistem dan tatacara kerja bagi menutup ruang dan peluang perlakuan rasuah dalam pasukan itu.

“Ia juga bertujuan mewujudkan kerjasama berterusan dari aspek pengesanan dan penyiasatan kes jenayah rasuah, penyelewengan dan operasi bersama,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Royal Malaysian Navy Town Hall Meeting, di sini hari ini.


Pada program berkenaan, seramai 780 wakil syarikat dan pembekal yang berurusan dengan TLDM membaca Ikrar Integriti Korporat bagi memastikan perkhidmatan dan pembekalan mereka kepada TLDM berada dalam tahap terbaik.