Thursday, December 13, 2018

SPRM DAPAT IZIN MENDAKWA MOHD ISA

Image may contain: text


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) dan bekas Pengarah FIC, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah esok.
Beliau akan dituduh pada jam 9.00 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh FIC.
Mohd Isa, hari ini hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10.48 pagi bagi menandatangani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
13 DISEMBER 2018

Arul Kanda minta dibicarakan



Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Arul Kanda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Tertuduh didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu perdana menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.
Ia adalah bagi perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).
Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan pasport diserahkan.
Mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula.

Najib Razak mengaku tidak bersalah guna kedudukan pinda laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)


Image may contain: 5 people, people standing and suit


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapat perlindungan daripada tindakannya berhubung pindaan laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi perbuatan itu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi dikenakan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib.
Manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari depan.


Sebar luas mesej antirasuah guna pengangkutan awam

Image may contain: 4 people
Rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan ini bukan lagi isu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Membasmi rasuah tidak terhad kepada menangkap pesalah rasuah sahaja. Akar umbinya perlu dicabut sehingga tiada peluang baginya untuk tumbuh semula. Penyebaran dan penerapan mesej antirasuah adalah penting bagi mendidik dan membudayakan integriti dalam setiap individu.

Seiring dengan usaha ini, hari ini, projek julung kali kerjasama di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad dan SPRM, wajah baharu koc Tren Komuter Sektor Utara iaitu dari Butterworth - Padang Besar - Butterworth akan dilancarkan.
Dengan mesej bertemakan ‘Masyarakat Malaysia: Laporkan rasuah dan salah guna kuasa”, ini merupakan satu usaha menyebarluas mesej antirasuah dan membasmi rasuah kepada masyarakat umumnya menggunakan pengangkutan awam.

Wajah baharu koc ini memaparkan mesej antirasuah di dalam dan di luar tren. Luarannya dibalut dengan slogan baharu SPRM iaitu Rasuah Dihina, Maruah Dibina dan di dalam tren turut dilengkapi dengan paparan mesej-mesej berpelekat mengenai kesedaran bahaya rasuah dan keperluan melaporkan jenayah rasuah.
Purata pengguna Tren Komuter Sektor Utara dari Butterworth ke Padang Besar ke Butterworth ini boleh mencapai purata sehingga 15,000 orang sehari sepanjang tahun 2017. Ini bermakna dianggarkan seramai 450,000 penumpang dalam sebulan akan membaca dan menerima kempen SPRM ini sewaktu menaiki tren menuju ke destinasi masing-masing.
SPRM yakin inisiatif ini adalah cara paling cepat, efektif dan mudah untuk menyebarkan mesej tolak rasuah kepada rakyat dari pelbagai latar belakang.
Ini kerana, bukan semua orang mudah menerima nasihat. Dari sudut psikologi, apabila kita selalu melihat atau membaca satu-satu paparan, stigma mesej itu akan melekat di minda.
Inilah yang kita harapkan. Dapat melakukan perubahan, walau sedikit, kita tidak boleh berhenti menyebar dan mendidik rakyat bencikan rasuah kerana pendidikan adalah berterusan.
Image may contain: 1 person, train and indoor

YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri Abdull
Ketua Pesuruhjaya SPRM
11 Disember 2018
Butterworth, Pulau Pinang

SPRM DAPAT IZIN MENDAKWA MOHD. NAJIB DAN ARUL KANDA



Image may contain: text


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Razak serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di mahkamah esok.
Kedua-dua mereka bakal menghadapi pertuduhan bersama berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. Namun begitu, bacaan pertuduhan tersebut akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018, jam 8.00 pagi.
SPRM sebelum itu telah menahan Mohd. Najib pada Isnin lalu, 10 Disember 2018 bagi melengkapkan proses akhir siasatan. Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.
Manakala Arul Kanda pula ditahan pada jam 10.32 pagi hari ini ketika 
hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi tujuan sama.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
11 DISEMBER 2018

13 Ahli Parlimen PH belum isytihar harta - SPRM



Seramai 13 Ahli Parlimen dan 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik didapati masih belum mengisytiharkan harta.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil, berkata ia adalah jumlah terkini yang boleh disemak menerusi portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, sehingga hari ini seramai 115 ahli parlimen dan 63 anggota pentadbiran kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka.
“Ada yang bertanya kepada kita, apa tindakan atau langkah seterusnya yang boleh SPRM ambil terhadap mereka, tetapi sebenarnya kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Bagi kita, itu adalah janji mereka, maka mereka haruslah menunaikan janji mereka untuk melaksanakannya (isytihar harta).
“Mereka perlu buat pengisytiharan kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri akan menghantar salinan kepada kita, maka isunya sama ada mereka mahu buat atau tidak terpulang pada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018, hari ini.

Bertemakan ‘Bersama Memerangi Rasuah’, program adalah usahasama antara SPRM bersama Transparency Internationa Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research And Investigation Group.
Program itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, dan turut dihadiri pengarah-pengarah bahagian, pegawai dan kakitangan SPRM.
Mengulas lanjut, Shamsun Bahrin berkata, pihaknya akan terus menunggu pengisytiharan harta oleh mereka yang masih belum berbuat demikian.
“Kita tiada undang-undang mewajibkan mereka mengisytiharkan harta, apa yang dilakukan sekarang adalah mengikut kod etika yang sedia ada.
“Bagaimanapun, kami sedia membantu mana-mana Ahli Parlimen yang masih belum buat, kita akan hubungi setiausaha sulit atau pegawai mereka untuk meminta ia dilakukan secepat mungkin.
“Kita juga berharap pada tahun depan apabila dibentangkan peraturan baru berkaitan pengisytiharan harta untuk semua Ahli Parlimen, semua pihak akan menyambutnya dengan baik.

SPRM ANJUR WALK-ABOUT DI SELURUH NEGARA SEMPENA SAMBUTAN HARA 2018


Image may contain: 1 person, smiling, car and outdoor


Image may contain: 9 people, people smiling

Bersempena dengan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang berlangsung pada 9 Disember setiap tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan Walk-About Perdana HARA 2018 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, hari ini.
Di peringkat ibu pejabat, majlis pelepasan Flag Off disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Mohd. Shukri Abdull dan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah bahagian dan pegawai serta kakitangan SPRM.
Bertemakan 'United Against Corruption' di peringkat antarabangsa dan 'Bersama Memerangi Rasuah' di peringkat nasional, program ini merupakan usahasama antara SPRM bersama Transparency International Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research and Investigations Group.

Selain mempromosikan HARA dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat, program yang melibatkan kira-kira 1,500 peserta tersebut bertujuan untuk menanam sifat tanggungjawab orang ramai bahawa membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama.
Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar memerangi rasuah besama SPRM dengan memaklumkan segala aktiviti atau kesalahan rasuah kepada suruhanjaya ini.

Manifestasi Perangi Rasuah

Pembinaan Arca Sheikh Tamim Hamad Al Thani berbentuk telapak tangan terbuka setinggi 12 meter di pekarangan Masjid Putra merupakan satu manifestasi penghargaan Qatar terhadap solidariti rakyat Malaysia dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Apa yang menarik, Malaysia merupakan negara pertama di luar benua Eropah yang mempunyai arca seumpama itu selepas Vienna, Austria dan Gevena, Switzerland.
Malah monumen itu merupakan tertinggi setakat ini berbanding kedua-dua arca sebelum ini yang masing-masing mempunyai ketinggian hanya tiga dan enam meter.
Arca rekaan pengukir terkenal Iraq, Ahmed Al Bahrani itu merupakan hadiah Kerajaan Qatar kepada Malaysia bersempena penganjuran Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamin di Putrajaya hari ini.
Majlis perasmian arca itu disempurnakan oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Image may contain: 1 person, tree, sky and outdoorImage may contain: 11 people, people smiling, people standingImage may contain: one or more people, sky and outdoor

SPRM teliti unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dikemukan dalam LAN 2017


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuka kertas siasatan jika terdapat bukti kukuh terdapat unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam projek menaik taraf Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNBJ) untuk persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Bagaimanapun, sumber berkata SPRM memerlukan sedikit masa bagi meneliti semula Laporan Audit Negara (LAN) 2017 Siri 2 dan teguran punitif yang dibuat Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad terhadap beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan, sebelum ini.
Antara masalah utama dibangkitkan dalam LAN 2017 termasuk mengenai 2,365 kecacatan kerja dilaporkan pada KSNBJ bermula November 2017 sehingga Mac tahun ini, sejak kompleks itu dinaik taraf untuk menganjurkan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.
Malah, daripada jumlah berkenaan sebanyak 98.4 peratus (2,328) daripada kecacatan itu belum diambil tindakan walaupun melebihi 90 hari selepas projek itu dilaksanakan di bawah kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) secara pertukaran tanah.
"Kita tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana SPRM perlu meneliti dan mengkaji secara mendalam LAN 2017 diumumkan Isnin lalu bagi mengenal pasti sebarang unsur salah laku, salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam kerja-kerja penambahbaikan KSNBJ terbabit.
"Bagaimanapun, jika terdapat bukti kukuh maka SPRM bersedia membuka kertas siasatan kerana projek berkenaan membabitkan keselamatan dan kepentingan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung pelbagai isu dan teguran mengenai kepincangan dalam pelaksanaan projek kerajaan dikemukakan menerusi LAN 2017 diumumkan di Parlimen, Isnin lalu.
Sebelum ini media melaporkan KBS dan Kementerian Pengangkutan adalah antara kementerian yang mendapat teguran secara punitif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri Kedua.
Madinah dalam kenyataannya dipetik sebagai berkata teguran punitif itu bagaimanapun bukan bermaksud kesalahan dilakukan kementerian terbabit sudah dibuktikan.
Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan terbaharu hari ini mengesahkan semua stadium dan prasarana fizikal di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) sudah memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang bermaksud ia siap dengan sempurna dan selamat untuk digunakan.
Menurut KBS, perkara itu terbukti dengan kejayaan venue KLSC dalam menganjurkan acara utama termasuklah bertaraf antarabangsa seperti Temasya Kuala Lumpur 2017 dan The Kuala Lumpur Major 2018.
Katanya, terbaru Stadium Nasional Bukit Jalil juga dipilih sebagai venue perlawanan membabitkan pasukan Malaysia di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.

Dr Abdul Aziz Bari akan dipanggil dalam masa terdekat - SPRM

Exco kerajaan negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam isu menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, Abdul Aziz akan dipanggil untuk memberi keterangan kerana dikatakan mendapat tawaran jawatan dan sebagainya.
"Ya, pihak kami telah mendapat laporan daripada orang ramai.
"Setakat saya dimaklumkan SPRM Perak, kertas siasatan telah dibuka dan SPRM akan menjalankan siasatan.
"Kita kena dapatkan keterangan saksi-saksi dan tadi pegawai penyiasat memaklumkan dia akan panggil YB Abdul Aziz Bari secepat mungkin untuk mendapat penjelasan daripada beliau," katanya lagi.

Dr Abdul Aziz Bari akan dipanggil dalam masa terdekat - SPRM

Dakwaan pinda laporan: Bekas KP SPRM dipanggil

BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, antara individu bakal dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung siasatan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, turut akan dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.



https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/12/400616/dakwaan-pinda-laporan-bekas-kp-sprm-dipanggil?fbclid=IwAR3E204VUuGiHPhPpDYYnjNUE3yHyoEwMIHcWaOfnjK_v4IZjJAdhEyimJY

SPRM MULA SIASAT KES RASUAH KERUSI CAMERON HIGHLANDS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlakunya rasuah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu membabitkan kawasan Parlimen Cameron Highlands.
Perkara ini disahkan Timbalan Ketua Pengarah Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki.
“Saya mengesahkan bahawa satu kertas siasatan dibuka mengenai dakwaan berlaku salah laku memberi rasuah ketika berlangsungnya PRU-14 lalu."



Thursday, November 29, 2018

SPRM KESAN AHMAD RAZINI BANTU LENGKAPKAN SIASATAN

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu melengkapkan siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Ahmad Razini Md. Rais, 39, mempunyai alamat terakhir di 26, Jalan Jelita, Taman Suliana, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Penguasa Nordinansah Kasim di talian 019-589 5919 atau e-mel kepada nordinansah@sprm.gov.my.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

30 NOVEMBER 2018

Wednesday, November 21, 2018

Jadikan Malaysia dikenali kerana integriti, bukan kerana rasuah


Dasar 'Pandang ke Timur' yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1982 bertujuan mendidik rakyat Malaysia khususnya penjawat awam agar mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun dan Korea. 

Bangsa Jepun ketika itu telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan integritinya.

Sejak itu, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi. 

Namun entah di mana silapnya, selepas lebih tiga dekad, apa yang ingin dicapai seolah-olah tidak membuahkan hasil.

Lebih malang, disebabkan terpalit dengan isu 'grand corruption' sejak 2015, Malaysia mula disebut sebagai sebuah negara kleptokrasi, bukan negara integriti.

Faktanya, indeks persepsi rasuah (CPI) menunjukkan tren penurunan. Pada 2014 CPI negara mencatatkan 52 markah sahaja dan turun sehingga 47 pada tahun lalu. 

Namun begitu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucaptamanya sempena Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Negeri Johor baru-baru ini berkata, Malaysia baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 menuntut rakyat untuk berpegang kepada prinsip integriti dan tata kelola dalam pembangunan bangsa dan negara.

Jelas beliau, dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan prinsip ini sebagai tonggak utama dasar pembangunan ekonomi kerana ini merupakan asas kepada penyelesaian gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh sebab itu, kerajaan baharu memulakan agenda antirasuah nasional bermatlamatkan 'negara dikenali kerana integritI dan bukan kerana rasuah'.

Walaupun agenda tersebut ialah antara puluhan inisiatif yang dinyatakan oleh kerajaan, namun sudah pasti perkara tersebut dianggap tunjang kerana isu integriti merupakan faktor asas wujudnya pelbagai jenayah.

Inilah masa dan peluang bagi rakyat untuk kembali memperbetulkan keadaan dan yang paling penting ialah keterlibatan dalam usaha tersebut.

Agenda seumpama ini tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi tunggal pencegahan rasuah atau mana-mana agensi lain berkaitan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sahaja.

Rakyat harus ingat, di Jepun sekali pun, mereka juga pernah melalui detik 'hitam' berperang dengan persepsi masyarakat dunia.

Misalnya,Jepun yang terkenal dengan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi itu diuji dengan insiden keterlibatan ahli gusti Sumo dalam match fixing oleh sindiket perjudian antarabangsa.

Insiden ini amat memalukan kerajaan Jepun. Walau bagaimanapun, satu iktibar yang boleh dicontohi daripada insiden ini ialah apabila Presiden Japan Sumo Association (JSA) ketika itu memanggil semua ahli gusti atau yokozuna yang terlibat dalam skandal itu.

Mereka akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Jepun dan dunia kerana telah melakukan kesilapan mencemarkan nilai murni masyarakat yang diamalkan oleh masyarakat Jepun bertahun lamanya.

Kesemua ahli gusti itu telah membuat permohonan maaf terbuka dan menamatkan karier sebagai ahli gusti Sumo termasuk Presiden JSA itu sendiri, biarpun beliau tidak tahu-menahu akan penglibatan anak buahnya itu dalam sindiket perjudian antarabangsa berkenaan.

Inilah satu contoh akauntabiliti tinggi oleh seorang pemimpin yang berintegriti. Nilai akauntabiliti inilah yang sedang dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program pengukuhan integriti.

Berbekalkan iltizam yang kuat dan melalui sokongan serta dokongan kuat di pihak kerajaan, maka tidak mustahil masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan baik akhlaknya.

Oleh itu, sejajar dengan perubahan politik tanah air, rakyat mesti berani dan yakin berada dalam realiti baharu. Tidak boleh lagi berasa rendah diri dan mengalami kekalahan psikologi yang berpanjangan. Mesti bersiap-siaga sepanjang masa.

Hanya perubahan minda dan budaya yang radikal sahaja membolehkan rakyat berubah agar kelak apa yang diimpikan menjadi realiti.



SPRM KESAN LELAKI BANTU LENGKAPKAN SIASATAN

KENYATAAN MEDIA SPRM




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu melengkapkan siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Kamarul Ramizu Idris, 51, mempunyai alamat terakhir di No. 75, Lorong 7, Taman Suria, 34000 Taiping, Perak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Penguasa Md. Muiz Md. Ali di talian 012-4166937 atau Penolong Penguasa Muhammad Faiz Murad di talian 019-4480625.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

22 NOVEMBER 2018

Wednesday, November 14, 2018

SPRM DAPAT IZIN DAKWA EMPAT INDIVIDU

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rizal Mansor di mahkamah esok.

Kedua-duanya akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak pada 15 November 2018, jam 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Rosmah juga telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.00 tengah hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM telah menahan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

14 NOVEMBER 2018

Friday, November 9, 2018

KES MUSA AMAN: KERTAS SIASATAN DISERAHKAN KE PEJABAT PEGUAM NEGARA PADA 2012

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyatakan berkaitan laporan berita yang memetik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta SPRM menjelaskan sebab bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak dituduh sebelum ini.

SPRM telah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

Walaubagaimanapun, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik.

Bagaimanapun, SPRM telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula. Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau telah dituduh pada 5 November lalu.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA

9 NOVEMBER 2018

Thursday, November 8, 2018

Bekas pengurus mengaku tidak bersalah terima suapan RM270,000


SHAH ALAM: Bekas pengurus sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM270,000 bagi kerja-kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), enam tahun lalu.

Tertuduh, Affendi Bahrom, 44, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd didakwa menerima suapan berjumlah RM270,000 melalui empat transaksi menerusi cek daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad, Kelana Jaya dan Maybank Berhad, TTDI Jaya, di sini, secara berperingkat-peringkat pada bulan Mei, Jun, Ogos dan Oktober 2012 lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 Akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman yang memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain pasport ditahan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam A.G. Kalidas yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

“Saya turut memohon agar pasport anak guam saya tidak ditahan kerana dia sering kali ke luar negara atas urusan perniagaan namun tidak pernah mengabaikan kes ini dan memberikan kerjasama setiap kali diminta hadir untuk memberi keterangan,” katanya.

Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 6 Disember ini.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh ditahan namun ia boleh dipohon semula sekiranya tertuduh memerlukannya bagi urusan kerja di luar negara.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/495772/bekas-pengurus-mengaku-tidak-bersalah-terima-suapan-rm270000#cxrecs_s

Tuesday, November 6, 2018

Musa mengaku tidak salah 35 pertuduhan terima rasuah RM263 juta

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 35 pertuduhan memperoleh rasuah konsesi balak membabitkan jumlah AS$ 63.3 juta (RM263 juta) 13 tahun lalu.
Musa, 67, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 35 Musa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah didakwa telah secara rasuah memperoleh AS$63.3 juta (RM263 juta) untuk dirinya daripada lapan individu yang merupakan pemilik konsesi iaitu Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Hen, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon melalui pelbagai akaun sebagai dorongan untuk memberi kontrak konsesi balak terhadap 16 buah syarikat.

Syarikat-syarikat itu ialah Syarikat Bountiful Returns Sdn. Bhd., Syarikat Segar Tepat Sdn., JV Lestari Sdn. Bhd., Tamabina Sdn. Bhd., Sabapiorneer Sdn. Bhd., Danagaya Sdn. Bhd., LR Enterprise Sdn. Bhd., Lembah Mayang Sdn. Bhd., Fast Progress Sdn. Bhd., Maju Sinar Network Sdn. Bhd., Syarikat Eden Region Sdn. Bhd., Gasing Selatan Sdn. Bhd., Tetap Simfoni Sdn. Bhd., Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di pelbagai bank di Hong Kong dan Singapura antaranya
HSBC Claymore Plaza Singapura, UBS AG Bank, Central Hong Kong, Credit Suisse, Singapura dan Fortis Private Banking Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Pertuduhan dikemukakan dibawah subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mama yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya bekas Hakim Mahkamah Perseketuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala pembelaan diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Amer Hamzah Arshad.

Dalam prosiding itu, Gopal mencadangkan jumlah jaminan RM5 juta terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Amer memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan sebab Musa telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Selepas tiba di Kuala Lumpur dari London kerana pada pada Ogos lalu, tertuduh telah memberi kerjasama yang baik terhadap SPRM," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta dengan RM1 juta dibayar pada hari ini manakala bakinya di bayar pada Rabu dengan syarat tertuduh mesti berada di Semenanjung Malaysia sehingga selesai pembayaran.

Terdahulu, Musa tiba di Kompleks Mahkamah pukul 1.25 petang selepas ditahan pegawai SPRM berhubung siasatan rasuah termasuk suapan untuk meluluskan konsesi balak.

Musa merupakan ketua menteri dari 2003 sehingga pilihan raya umum, 9 Mei lalu selepas kerajaan Barisan Nasional kalah di tangan parti Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 disember ini untuk sebutan semula kes - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/musa-mengaku-tidak-salah-35-pertuduhan-terima-rasuah-rm263-juta-1.781832

SPRM, KPK Indonesia jalin kerjasama banteras rasuah, jenayah rentas sempadan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia sebagai usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa rentas sempadan di Jakarta, Indonesia, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, kerjasama antara SPRM dan KPK selaras dengan Artikel 62, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) iaitu komitmen kerjasama dari sudut perkongsian maklumat serta penyiasatan mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa dihadapi kedua-dua negara.

“Inisiatif ini juga meliputi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, penyaluran maklumat, khidmat rundingan, pendidikan dan latihan dalam usaha meningkatkan integriti pegawai SPRM dan KPK dalam membanteras jenayah rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Pengerusi KPK, Agus Rahardjo mengenai kes rasuah serta langkah pencegahan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia bagi memastikan masalah yang boleh menjejaskan kemajuan ekonomi dan sosial kedua-dua negara itu dapat ditangani secara menyeluruh.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Bahagian Dasar Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Nor Azmi Karim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Datuk Junipah Wandi.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/495185/sprm-kpk-indonesia-jalin-kerjasama-banteras-rasuah-jenayah-rentas

Monday, November 5, 2018

SPRM KESAN DUA SAKSI BANTU SIASATAN

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua saksi bagi membantu siasatan kes SPRM.

Lelaki pertama yang dikesan ialah Md. Fuad Yasin, 53, yang mempunyai alamat di 61, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur dan 41, Suasana Permai, Jalan Darulaman Golf, 06000 Jitra, Kedah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Md. Fuad diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Rekhraj Singh di talian 019-555 8661 atau 03-8870 0446.

Manakala individu kedua yang dikesan ialah Yusoff Sulaiman, 63, yang mempunyai alamat di 48, Jalan 38/10 Taman Koperasi Polis, Fasa 2 Batu Caves, 68100, Batu Caves, Selangor.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Yusoff diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Rosni Mohd. Mokhtar di talian 016-773 4561 atau 03-8870 0451.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 
PUTRAJAYA 

5 NOVEMBER 2018

MUSA DITAHAN UNTUK PENDAKWAAN

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung siasatan kes rasuah setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Penahanan itu dibuat pada jam 10.05 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Susulan itu, Musa akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Musa akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 November 2018, jam 2.00 petang ini untuk pertuduhan tersebut.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

5 NOVEMBER 2018

Wednesday, October 24, 2018

SPRM DAPAT IZIN DAKWA NAJIB, IRWAN SERIGAR DAN HASANAH

KENYATAAN MEDIA SPRM



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah di mahkamah esok.

Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

Mohd. Najib dan Mohd. Irwan Serigar akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018, jam 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut.

Mereka juga telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 2 petang ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin mendakwa terhadap bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama.



SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

24 OKTOBER 2018