Tulis Tun Faisal dalam blognya, “Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut. Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya,”.  Kenyataan ini banyak dipetik oleh media lain.

Pencerahan yang diberikan oleh pemikir Jasa ini membuatkan saya sedikit cemburu, kenapalah saya tidak menyertai politik awal-awal dulu di mana saya bebas  menerima dana politik  atau "budi politik" daripada pihak  yang sangat baik hati.
Saya selalu menganggap kerjaya politik memerlukan duit banyak untuk dilaburkan yang hasilnya belum tentu dikecapi. Saya tidak sanggup untuk mengeluarkan  simpanan yang nilainya  hanya sebesar emas saga untuk diperjudikan.
Rupa-rupanya perkara yang saya fikirkan bertentangan dengan moral dan integriti, sebenarnya bukanlah satu yang salah di sisi undang-undang.  Saya fikir  tidak salah mempercayai Tun Faisal kerana selain pemikir Jasa, dia juga bekas Exco Pemuda UMNO. Saya percaya telah  memetik dan memahami  dana politik  daripada individu yang berwibawa dalam UMNO.
Maka kalau hari ini saya seorang pemain politik dan ada pula  yang menghulurkan dana secara "sukarela", saya tidak  berfikir panjang untuk menerimanya. Ini termasuklah  daripada tauke judi dengan syarat dia mengusahakan pusat judi halal. Itulah apa yang saya faham dengan tulisan Tun Faisal, harap saya tidak  dipersalahkan,   kecualilah  dana itu  daripada sumber tidak halal, misalnya pusat judi yang tidak berlesen dan sebagainya. Selagi berlesen, halallah namanya.

Etika politik

Saya mengakui begitu jauh ketinggalan dalam hukum hakam dan etika politik masa kini. Maka sudut pandangan saya mengenai moral dan integriti sewajarnya tidak boleh dibawa bersama dalam kita melihat suasana politik semasa dalam semua parti termasuk UMNO. Ini sudah  tidak relevan dengan tuntutan politik. Maka saya berazam membuat anjakan pemikiran dan persepsi terhadap keperluan politik bagi seorang politikus. Saya percaya penjelasan Tun Faisal lahir daripada pengalaman berada dalam  fenomena politik semasa.
Daripada penjelasan ini kita boleh memahami bahawa parti juga boleh menerima dana politik daripada pihak luar negara untuk membiayai kegiatan demi kelangsungan parti tertentu. Malah difahamkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berusaha keras untuk mendapatkan persetujuan parti politik bagi mewujudkan prosedur yang lebih telus terhadap dana politik. 
Sekali lagi, ini menunjukkan dana politik tidak salah di sisi undang-undang. Dalam lain perkataan, bukan rasuah. Barangkali ini sama dengan politik wang, satu-satunya kes beli undi  yang diuruskan sendiri oleh parti iaitu Lembaga Tatatertib UMNO.  Jangan bimbang ini bukan rasuah.
Tetapi masalahnya dana politik bukan boleh dinikmati oleh semua orang. Kalau yang  berada dalam ranking yang sayup di bawah,  jangan mimpilah ada pihak yang berhati mulia untuk menaja. Yang memberi pun cerdik juga, buat apa memberi dana kalau macam mencampakkan duit dalam sungai, tidak ada pulangan.  Ada ubi ada batas, ada budi mesti kena balas.  
Tidak lama dahulu banyak pihak mempersoalkan dana politik kepada parti pembangkang yang didakwa disalurkan oleh pihak luar khususnya  Amerika Syarikat (AS). Persepsi terhadap dana politik ketika itu adalah satu perbuatan yang jijik. 
Boleh menggadaikan negara khabarnya. 
Saya tidak pasti sama ada Tun Faisal  ada memberikan reaksinya atau tidak dalam isu berkenaan. Tetapi saya pasti dia setuju dengan  pembangkang yang diberi  dana politik. Ini bersandarkan kenyataannya yang saya petik di atas. Tambahan pula dana itu sudah tentu digunakan untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang, cuma untuk membiayai tuntutan kerjaya politik peribadi.
Walaupun pada mulanya saya  terpengaruh dengan pemikiran  Tun Faisal,  tetapi syukur akhirnya saya sedar bahawa tidak semua perkara diukur dengan  undang-undang. Kita kena juga mengukur  dengan pembaris moral dan integriti. 
Inilah  yang  membezakan tinggi dan rendah nilai antara seorang  dengan yang lain. Ada pemimpin yang lulus saringan undang-undang tetapi orang tidak percaya kerana faktor integriti. Dia didapati tidak bersalah tetapi rakyat berkata, "Selamat jalan."
Suatu yang bermain di fikiran saya ialah setiap "budi politik" pasti akan menuntut balasan. Terlalu baik sangatkah pihak yang memberikan dana tanpa mengharapkan sesuatu?
Integriti bukan diukur dengan riuh rendah atau dan kuatnya  laungan. Integriti diukur daripada perbuatan  yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kenalah buat  dan bukan hanya beretorik. Maka terpulanglah kepada orang politik sama ada terus  mewajarkan  "niat boleh menghalalkan cara" atau sebaliknya. 

- SUMBER BERITA: http://www.utusan.com.my/rencana/budi-politik-dan-pembaris-integriti-1.119511#sthash.RzKzUqYd.dpuf