Thursday, November 19, 2015

Prestasi SPRM Pada Tahap Memuaskan


LABUAN, 19 Nov (Bernama) -- Prestasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mencapai tahap memuaskan berikutan tidak ada kakitangannya terbabit dalam dakwaan jenayah serius.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM Tan Sri Amar Wilson Baya Dandot berkata walaupun terdapat kes salah laku membabitkan sebilangan kecil kakitangan, integriti kalangan kakitangannya amat menggalakkan.

"Terdapat enam kes kakitangan yang dibuang kerana salah laku pada 2014 serta empat pada tahun ini dan ia bukan merupakan kes jenayah tetapi lebih kepada masalah disiplin," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat Program Pengukuhan Integriti untuk Unit Penguatkuasaan di sini.

Beliau turut menggesa kakitangan SPRM berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan dan persekitaran kerja baharu bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas secara berkesan mengikut prosedur standard SPRM.

"Kami mahu kakitangan SPRM memahami tugas mereka dan evolusi di negara ini dan dasar kerajaan. Kita bercakap mengenai pembangunan negara yang pesat bersama kemajuan internet dan sebagainya," kata Wilson.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk memberi penekanan kepada pemikiran strategik sejajar dengan transformasi kerajaan dalam pelbagai aspek.

Menurutnya aduan orang ramai mengenai salah laku kakitangan SPRM telah memberi kesan positif kepada integriti dan prestasi suruhanjaya itu.

"Usaha membaiki profesionalisme dan ketelusan kalangan kakitangan SPRM telah dibuktikan berikutan tiada elemen ganas direkod dalam siasatan sejak Okt 2012," jelasnya.

Wilson berkata prinsip Toleransi Sifar dan Lebih Putih dari Putih yang diamalkan SPRM memberi kesan positif kepada prestasi dan imej kakitangan.

-- BERNAMA

Siasatan SRC International: SPRM Tidak Perlu Bantuan Interpol

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun mengambil keterangan daripada Nik Faisal Ariff Kamil berhuhung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.


Berkenaan dengan dua individu lain yang diperlukan oleh SPRM, pihak terbabit telah pun dihubungi dan usaha sedang diambil untuk bertemu dengan mereka bagi tujuan diambil keterangan. Justeru, SPRM tidak memerlukan bantuan PDRM dan Interpol untuk akses kepada mereka.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

19 NOVEMBER 2015

Wednesday, November 18, 2015

Seleweng punca utama 
dana kerajaan ‘tiris’

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Penyelewengan dalam aspek perolehan oleh agensi dan jabatan awam merupakan faktor tertinggi yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, kadar penyelewengan perolehan yang tinggi itu turut mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Contoh penyelewengan dalam perolehan adalah seperti mengemukakan dokumen tuntutan untuk bayaran walaupun kerja atau perkhidmatan yang sepatutnya tidak dilaksanakan atau pembekalan yang dibuat tidak mengikut spesifikasi serta kuantiti seperti yang dituntut.

“Perkara ini sukar untuk diperangi kerana bergantung kepada nilai integriti individu itu sendiri. Ketua-ketua jabatan terutamanya harus memainkan peranan menunjukkan contoh yang baik supaya boleh menjadi teladan kepada anak-anak buah,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas syarahan umum ‘Ketinggian Integriti dan Keluhuran Jati Diri Tonggak Kecemerlangan Organisasi’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan UKM, Prof. Madya Dr. Salleh Amat.
Tambah Ambrin, tahap kecemerlangan sesebuah negara ataupun institusi boleh diukur melalui tahap integriti.

Katanya, setakat ini tahap integriti di Malaysia masih dalam keadaan memuaskan tetapi masih boleh banyak diperbaiki.

“Setiap kali audit dibuat, saya berharap setiap jabatan melihat semula kekurangan dan memperbaiki kesalahan.

“Selain itu, kerajaan tidak perlu mengejar kedudukan negara termaju dan sebagainya, sebaliknya harus memfokuskan untuk merapatkan jurang ekonomi golongan kaya dan yang miskin,“ katanya.

Ditanya mengenai laporan penuh berhubung 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Ambrin berkata, pihaknya sedang menyiapkan laporan tersebut untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) secepat mungkin,“ katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/seleweng-punca-utama-8232-dana-kerajaan-8216-tiris-8217-1.160036#sthash.EvNIGgTg.dpuf

Bantu SPRM, FAM sediakan formula mujarab basmi rasuah bolasepak



Mungkin ramai yang masih ingat pada 1994 apabila ratusan pemain bola sepak di negara ini disoal siasat berhubung isu rasuah dan kesudahannya ada yang dibuang daerah di atas kesalahan tersebut.
Kelmarin, sekali lagi isu ‘lapuk’ ini dibangkitkan apabila Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin mendedahkan aktiviti mengatur perlawanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara.
Khairy berkata, perkara itu juga menyebabkan wujudnya pelbagai masalah berkaitan termasuk judi, peras ugut dan penawaran rasuah kepada pemain.
Mengulas kenyataan Khairy tersebut, Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar menegaskan bahawa gejala rasuah tidak akan berlaku sekiranya kebajikan pemain dan pegawai dijaga oleh pasukan atau kelab masing-masing terutama gaji.
Berdasarkan kenyataan Hairuddin itu, bermakna di sini, segala jenis kelompongan serta ruang yang dilihat berupaya mewujudkan gejala rasuah harus dihentikan supaya ia tidak membarah. 
Oleh sebab itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM harus mencari satu mekanisme paling mujarab bagi memerangi isu tersebut.
Mekanisme yang dikenal pasti itu tidak harus bersifat sementara dan pada masa yang sama mampu membasmi rasuah hingga ke peringkat akar umbinya.
Dalam pada itu, tidak kiralah apa jua jawapan atau alasan daripada pemain atau kelab, yang pasti pihak-pihak berkenaan perlu memainkan peranan memperbaiki kelemahan tersebut.
Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menutup lubang rasuah kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama.
Saya yakin SPRM akan terus memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat bagi membaiki mana-mana sistem yang lemah tersebut.
Bersama-samalah kita membasmi dan membebaskan gejala terkutuk ini daripada terus memusnahkan sukan bola sepak negara. 


Tuesday, November 17, 2015

KJ: Atur perlawanan antara sebab bola sepak Malaysia teruk

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Aktiviti mengatur perlawanan adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan bola sepak negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata perkara itu juga menyebabkan wujudnya pelbagai masalah berkaitan termasuk judi, peras ugut dan penawaran rasuah kepada pemain.
Katanya mengatur perlawanan telah membelenggui bola sepak negara sejak beberapa tahun lepas tetapi kementerian sentiasa mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memerangi gejala mengatur perlawanan bola sepak.
"Walaupun tidak dapat sifarkan [bilangan kes], kita dapat kurangkan banyak kes daripada laporan berkaitan tawaran kepada pemain ini," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat hari ini.
Semasa menjawab soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) berhubung isu itu, Khairy berkata gejala mengatur perlawanan berlarutan kerana kebanyakan pemain tidak berani mengemukakan bukti kerana mendakwa diugut 'bookie' termasuk yang mengancam keselamatan diri dan keluarga.
Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata gejala itu juga sukar dikesan kerana aktiviti mengatur perlawanan berlaku tanpa melibatkan banyak pihak dan dalam keadaan kerahsiaan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya beberapa suspek dan sindiket telah dikenal pasti dan kini berada di bawah pemantauan SPRM dan PDRM.
Beliau berkata setiap persatuan bola sepak negeri juga diarah menubuhkan jawatankuasa khas integriti melibatkan SPRM dan PDRM.
"Ia (jawatankuasa) akan memberi peluang kepada pemain yang didatangi 'bookie' supaya membuat aduan secara rahsia agar keselamatan mereka terjaga.
"Kita telah mengambil tindakan serius untuk mengatasi gejala mengatur perlawanan walaupun tidak dapat membanteras [pelakunya] 100 peratus...ada perkembangan positif," katanya.
Semasa menjawab soalan Zainuddin mengenai penswastaan Liga Malaysia (Liga M), Khairy berkata ia merupakan amalan biasa  di kebanyakan negara yang mempunyai liga profesional bola sepak contohnya di England yang dikendalikan English Premier League (EPL).
"Pengendalian liga diswastakan diharap dapat menarik lebih banyak penajaan dan dapat diagihkan secara adil dan saksama untuk semua pasukan yang mengambil bahagian dalam liga," katanya. — Bernama
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/kj-atur-perlawanan-antara-sebab-bola-sepak-malaysia-teruk#sthash.VEltxDeC.dpuf

Lelaki Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM600,000

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menerima rasuah RM600,000, tahun lalu.


Chin Kee Leng, 62 didakwa menerima rasuah RM300,000 daripada Alester Law Chen Tze, 31 yang kononnya untuk diberikan kepada para pegawai Jabatan Tanah dan Ukur negeri sekali gus sebagai dorongan untuk mengurangkan nilai premium tanah di Lot CL.015372915 milik Kuala Medalam Sdn Bhd berjumlah RM2.75 juta kepada RM1.65 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Ukur daerah Kota Kinabalu pada 18 Ogos 2014.

Chin turut didakwa menerima rasuah RM300,000 daripada orang yang sama di tempat letak kenderaan hadapan Hotel Promenade pada jam 2.15 petang pada 2 Sept 2014 bagi tujuan yang sama.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ishak Bakri.

Chin didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari SPRM Penolong Pesuruhjaya Awang Samsul Baharam Bungso yang menawarkan jaminan bagi setiap pertuduhan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM10,000 oleh seorang pejamin.

Bagaimanapun, Chin yang diwakili peguam Chin Tek Ming dan Edward Paul memohon agar jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 memandangkan tertuduh seorang penduduk tempatan yang tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung seorang anak yang masih belajar.

Hakim Ishak menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 oleh seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 19 Jan 2016.



- BERNAMA

Penolong Pegawai Veterinar Didenda RM7,000 Terima Cek Bernilai RM12,500

JOHOR BAHARU, 16 Nov (Bernama) -- Seorang Penolong Pegawai Veterinar dijatuhi hukuman denda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap tuduhan menerima sekeping cek bernilai RM12,500 berhubung program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF), dua tahun lepas.


Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz turut mengarahkan tertuduh, Zablina Bilmas, 43, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Zablina didakwa menerima cek Bank Islam Berhad itu daripada Koperasi Kakitangan Veterinar Johor Berhad (KKVJB) yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasmi yang dijalankan koperasi terbabit dengan Pejabat Veterinar Daerah Segamat berkenaan kerja membekal dan menghantar 50 ekor ternakan lembu induk dalam negeri ini menerusi program PINTAF.

Tertuduh, yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Veterinar di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Segamat, didakwa melakukan kesalahan terbabit di Bank CIMB Cawangan Segamat, antara 9.30 pagi dan 4.30 petang, 30 Dis lepas.

Zablina yang kini bertugas di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Johor Baharu dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, KKVJB memperoleh kerja membekal dan menghantar 50 ekor lembu bernilai RM137,500 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor menerusi program PINTAF yang dilancar pada November 2013.

Zablina yang juga Setiausaha KKVJB, kemudian telah mengemukakan satu borang tuntutan kos membekal dan menghantar 50 ekor ternakan lembu induk kepada KKVJB berjumlah RM12,500, pada 28 Nov 2013.

KKVJB kemudian mengeluarkan sekeping cek Bank Islam atas nama Zablina pada 30 Dis 2013 bagi tujuan pembayaran tuntutan sedangkan Zablina tidak menjalankan kerja seperti mana yang dinyatakan di dalam borang tuntutan berjumlah RM12,500 berkenaan.

Wang berjumlah RM12,500 telah dikreditkan ke dalam akaun peribadi CIMB atas nama Zablina pada 2 Jan 2014 dan Zablina kemudian ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat pada 1 April lepas.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Noor Fazlin Hamdan manakala Zablina yang mempunyai tiga anak dan menanggung ibu bapa, tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan Zablina membayar kos pendakwaan berjumlah RM500 menerusi wang kiriman pos ke alamat SPRM Johor dan dia boleh dikenakan penjara sebulan sekiranya gagal berbuat demikian.

- BERNAMA

SPRM lancar buku rasuah menurut perspektif Islam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan buku "Islam and the Issue of Corruption" bagi mendidik dan memberi kefahaman mengenai rasuah menurut perspektif Islam.


Buku tulisan bersama Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Mohamad Ezam Mohd Nor dan penasihat kepada Kementerian Sosial Indonesia Sapto Waluyo itu dilancarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di sini.

Buku itu merungkai permasalahan rasuah menurut perspektif Islam dengan mengetengahkan tauladan dan kisah nabi dan para sahabat, selain menjelaskan transformasi SPRM sebagai sebuah agensi antirasuah di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali yang ditemui selepas pelancaran itu berkata SPRM menyambut baik penulisan buku ilmiah sedemikian, khususnya dalam memberi pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai isu rasuah.

"Penerbitan itu boleh dianggap satu daripada langkah pencegahan bagi memastikan masyarakat menyedari, memahami dan mengetahui implikasi rasuah sama ada dari aspek agama, masyarakat dan natijah rasuah kepada negara jika tidak ditangani," katanya.

Diterbitkan selaras dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP 2.0), ia akan diedarkan secara percuma oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Jabatan Perdana Menteri kepada pihak berkepentingan dalam usaha-usaha memerangi gejala rasuah seperti agensi kerajaan, perpustakaan pusat latihan kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang terpilih.

SPRM Sentiasa Teliti Aduan Sebelum Lakukan Siasatan

MELAKA, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa meneliti semua maklumat atau aduan isu rasuah sebelum tindakan penyiasatan dilakukan, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali.


Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Janda Baik, Mohd Fauzi Abd Latif yang mahu SPRM menyiasat dakwaan berlaku penebangan pokok yang mengakibatkan insiden banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Rabu lepas.

Mustafar berkata langkah mengikut prosedur perlu dilakukan kerana pihaknya tidak boleh menerima semua dakwaan rasuah dengan bulat-bulat tanpa penelitian kerana bukan semua aduan atau maklumat boleh terus dikaitkan dengan isu rasuah.

"Kita tidak boleh dakwa atau kata mesti ada rasuah apabila kita menerima aduan atau maklumat dari pihak tertentu. Sebaliknya penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu untuk mengetahui kebenarannya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira ditemui pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2015 di Seri Negeri di sini.

Sebanyak 445 penerima darjah kebesaran pada majlis yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena sambutan ulang tahun beliau ke-77.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Keqiang ke Melaka pada 22 Nov depan penting dalam usaha merealisasikan Melaka sebagai antara destinasi utama Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21.

Beliau berkata lawatan setengah hari disertai kira-kira 100 delegasi dari negara Tembok Besar itu juga akan menjadi permulaan untuk pelaksanaan pelbagai projek yang telah direncanakan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Guangdong dan Melaka baru-baru ini.

"Lawatan julung kali oleh Perdana Menteri China, Li Keqiang selepas hanya dua bulan MoU ditandantangi ini menandakan keseriusan hubungan dua hala yang ingin diteruskan oleh beliau.

"Saya yakin lawatan ini akan menjadi permulaan penting bukan sahaja dalam hubungan dua hala antara Melaka dan China tetapi juga untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata rakyat di negara ini perlu mengambil iktibar atas insiden serangan yang berlaku di Paris semalam yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 158 orang terbunuh.

"Kita seharusnya bersyukur dengan keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang diperolehi selama ini. Perjuangan dengan menggunakan kaedah terkerlaluan dan melampu hanya akan menjejaskan keselamatan dan membinasakan masa hadapan yang dicita-citanya selama ini," katanya.

- BERNAMA

RM2.6b: Siasatan SPRM ambil masa lama

KUALA LUMPUR - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dana politik RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa kerana ia melibatkan transaksi dan saksi di luar negara.


Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai kes itu kerana siasatan baru berjalan beberapa bulan sedangkan ada kes yang mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM bagi menentukan jika terdapat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, Najib akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan perdana menteri pun telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut, katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Razali berkata, walaupun siastan masih belum selesai, SPRM telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah derma dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, kebiasaannya SPRM tidak membuat sebarang pengumuman mengenai hasil siasatan kes yang belum selesai.

"Dalam kes ini (RM2.6 bilion) jangan kata boleh buat (pengumuman) pula, siasatan tidak boleh dikongsi kecuali dengan kebenaran AG (Peguam Negara) dan Pesuruhjaya SPRM. Pengumuman terpaksa dibuat kerana derma yang dimaksudkan bukan daripada 1MDB," katanya.  

Beliau berkata, pengumuman awal yang dibuat itu juga adalah berdasarkan dokumen yang diperoleh SPRM daripada pihak yang terlibat.

Katanya, selain itu SPRM juga berjaya mendapatkan pengakuan daripada pihak yang menyalurkan sumbangan dana politik berkenaan.

Dalam pada itu, Razali berkata pengurangan peruntukan untuk SPRM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam Bajet 2016 tidak akan memberi kesan kepada prestasi kedua-dua suruhanjaya berkenaan.

"Kebanyakan kementerian alami pengurangan (peruntukan) tapi walaupun ada pengurangan kita tidak akan berkompromi sehingga menjejaskan operasi mereka," katanya. - Bernama

Thursday, November 12, 2015

TIMBALAN KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI DITUDUH


Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Nisra Nisran Angit @ Asra Ramlan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM74,000 berkaitan dengan tugas rasmi tertuduh.

Nisra Nisran Angit, 40, yang dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini, didakwa melakukan kesalahan itu lima tahun yang lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Nisra Nisran Angit dituduh menerima satu barang bernilai RM34,600 dengan tiada balasan daripada Hamzah Sia melalui akaun bank pihak ketiga milik Yusoff Othman, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah yang ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Julai 2010 di Malayan Banking Berhad, Cawangan Ampang Park, Lot 1.01 Ampang Park Shopping Centre, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Dalam pada itu, mengikut pertuduhan kedua, Nisra Nisran Angit dituduh telah mendapat untuk dirinya satu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM20,000 dengan tiada balasan daripada Hamzah melalui akaun bank Yusoff, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya. Nisra Nisran Angit dituduh melakukan kesalahan itu pada 6 Disember 2010 di Public Mutual Berhad, Blok B, Sri Damansara Business Park, Persiaran Industri, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau dituduh mendapat satu barang bernilai RM20,000 untuk dirinya dengan tiada balasan daripada Hamzah pada 17 Disember 2010 di Public Mutual Berhad, Blok B, Sri Damansara Business Park, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur melalui akaun bank pihak ketiga milik Yusoff, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan itu juga dikenakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Kes didengar oleh Hakim Allaudeen Ismail manakala pendakwaan bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Aida Adha Abu Bakar.

Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala passport ditahan oleh mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 8 Disember 2015.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
12 NOVEMBER 2015

Najib sedia bagi keterangan pada SPRM



Kuala Lumpur - Berikut ialah kenyataan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Peguam Negara YBhg Tan Sri Dato' Sri Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan bahawa saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut. Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin.

Sememangnya menjadi hasrat saya untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes ini memandangkan ia telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Dato' Sri Mohd Najib, 12 November 2015

Wednesday, November 11, 2015

SPRM AKAN AMBIL KETERANGAN PERDANA MENTERI DALAM WAKTU TERDEKAT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa SPRM telah dan sedang mengambil segala tindakan yang perlu bagi melengkapkan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion secepat yang mungkin.

Sebagaimana telah disebutkan oleh SPRM pada 13 Oktober 2015, SPRM menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat boleh akses kepada dua pengarah SRC International, saksi penting yang masih berada di luar negara, dan diambil keterangan daripada mereka.

Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diambil keterangan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed kepada pemberita di Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru hari ini.

Beliau terdahulu menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41). Seramai 109 kadet baru mengakhiri Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM selama setahun, hari ini.

Tan Sri Abu Kassim berkata, pihak SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk diambil keterangan. “SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Perdana Menteri) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan siasatan,” kata beliau.

Tan Sri Abu Kassim berkata, SPRM akan menjalankan siasatan merangkumi kesemua aspek.

“Pegawai-pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh yang disasarkan oleh SPRM,” kata beliau.

Dalam pada itu, menurut Tan Sri Abu Kassim, berkaitan dengan siasatan dana RM2.6 bilion, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara, di mana ia memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA).

Justeru, SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak dari luar negara, kata beliau.

Katanya, sementara SPRM berhasrat untuk menyelesaikan siasatan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan kadar yang segera, SPRM tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi yang penting.

Menurut beliau, SPRM dari semasa ke semasa memaklumkan status siasatan kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober 2015.

SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009.

109 PEGAWAI BAHARU SPRM TAMAT LATIHAN



SERAMAI 15 kadet yang mengikuti program khas iaitu Program MACC-CAT (Chartered Accountant Trainning) telah menamatkan Latihan Kursus Asas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama setahun, hari ini.

Mereka sebahagian daripada seramai 109 pegawai kadet yang diraikan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, MACC-CAT adalah program khas pelantikan pegawai baharu dari kalangan penuntut jurusan perakaunan yang mendapat CGPA cemerlang untuk mengikut Latihan Kursus Asas. Seramai 12 dari 15 pegawai terbabit adalah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masing-masing seorang dari Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Pengambilan khas ini juga selari dengan Program Transformasi SPRM yang sedang dilaksanakan. Pengambilan khas dan latihan selama asas selama setahun adalah antara pembaharuan diperkenalkan oleh SPRM bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme operasi

Suruhanjaya dalam jangka panjang. "Kadet yang terlibat di bawah program ini akan ditempatkan selama dua tahun di firma-firma audit terkemuka terpilih selepas ini," kata beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41) di Dataran Kawad Kompleks SPRM Johor, Johor Bharu hari ini.

Langkah proaktif SPRM ini dibuat dengan mengambil kira cabaran semasa di mana SPRM perlu membuat persediaan bagi menangani kes-kes melibatkan penyelewengan kewangan dan perakaunan.

Dalam tempoh dua tahun ditempatkan di Firma Audit, 15 pegawai ini wajib mengambil peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Seramai 109 orang kadet baru ini terdiri daripada 27 Kadet Penguasa Gred P41 dan 82 P Kadet Penolong Penguasa Gred P29 di mana mereka menjalani Latihan Kursus Asas Pegawai selama setahun sejak tahun 2014. Kursus asas ini wajib dilalui setiap pegawai SPRM lantikan baru selama setahun melalui dua fasa iaitu latihan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) selama enam bulan dan 'on-job-training' selama enam bulan di SPRM negeri dan bahagian.

Bagi kedua-dua siri ini, kesemua kadet telah berjaya menghabiskan latihan dengan memperoleh keputusan cemerlang dengan memperoleh kelas pertama dan kedua. Tiada kadet yang memperoleh kelas ketiga, menunjukkan peningkatan pencapaian kadet.

Bagi Siri-16, tiga kadet memperoleh kelas pertama manakala 79 orang mendapat kelas kedua.

Bagi siri ke-17 pula, 13 orang memperoleh kelas pertama dan 14 kadet mendapat kelas kedua.

Selepas latihan asas selama setahun, pegawai-pegawai ini akan ditempatkan di Bahagian

Siasatan selama tiga tahun untuk melahirkan mereka sebagai Pegawai Penyiasat yang berkualiti
dan berkemahiran tinggi. Dalam ucapannya, Tan Sri Abu Kassim juga menekankan bahawa “pegawai-pegawai yang baru dilantik perlu segera melengkapkan diri dengan kemahiran, pemikiran yang kreatif, inovatif, serta sikap yang lebih positif dan reaktif agar kita terus kekal relevan, juga berdaya saing.”

"Ini bermakna bahawa selama tiga tahun itu mereka perlulah menjalankan tugas-tugas siasatan.

“Ia merupakan asas kemahiran untuk membentuk kompetensi seseorang pegawai dalam menggerakkan sesuatu tugasan agar dapat membentuk budaya perkhidmatan yang unggul," kata beliau.

Pada masa yang sama, Tan Sri Abu Kassim turut menyentuh mengenai bajet 2016 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini berhubung penambahan pegawai dan memantapkan lagi SPRM dengan program-program yang relevan.

“SPRM sentiasa bersedia menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan keupayaan pegawai dalam melaksanakan tugas dan berharap kerajaan dapat mempertuntukkan bajet seimbang kepada SPRM dengan mengambil kira komitmen kerajaan untuk menambah keanggotaan pegawai SPRM,” kata Tan Sri Abu Kassim.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
JOHOR BAHRU
12 NOVEMBER 2015

Cubaan rasuah tak menjadi

PENDANG - Cubaan tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan memberi wang sogokan RM10,000 kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah gagal apabila ditahan dalam satu operasi di tapak pembinaan ladang ayam di Lubuh Getah, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 6.20 petang itu, seorang pekerja warganegara Bangladesh menawarkan wang RM3,000 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Yusrazif Wan Yusoh.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, pekerja Bangladesh di tapak pembinaan ladang ayam menawarkan wang berkenaan supaya tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap 17 warga asing ditahan.

“Pekerja tapak pembinaan ini memaklumkan wang RM3,000 berkenaan ditawarkan seorang lelaki lain yang juga ketua warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan ladang ayam itu.

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut, Yusrazif yang mengetuai operasi telah meminta lelaki berkenaan hadir sendiri bagi menyerahkan wang sepertimana ditawarkan,” katanya.

Sebelum itu, 17 pekerja Bangladesh berusia antara 27 hingga 35 tahun ditahan kerana dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.

Berikutan itu, Yusrazif bertindak menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Beberapa pekerja Bangladesh kemudiannya berpura-pura hendak melarikan diri, namun cubaan mereka gagal dan ditahan semula pihak berkuasa.

Seorang lagi pekerja warga Bangladesh cuba menawarkan lagi wang bernilai RM8,000 bagi membolehkan pekerja warga asing dapat dilepaskan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki warga tempatan hadir menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 manakala seorang warga Bangladesh hadir memberi wang RM10,000 lebih kurang jam 9 malam.

Mohamad Yusri berkata, pihak SPRM bertindak menahan seorang lelaki yang didakwa diarahkan memberi wang sogokan selepas dia menyerahkan wang berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Seorang penduduk tempatan berusia 23 tahun bersama dua lelaki Bangladesh berusia 36 dan 37 tahun turut ditahan.

"Tindakan menawarkan wang sogokan sedemikian tidak boleh diterima. Kami tidak akan sesekali akan berkompromi bagi membasmi rasuah," katanya.

Siapa kata SPRM tak BEBAS?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan sebuah badan bebas namun SPRM namun masyarakat sentiasa mempertikaikan peranan dan fungsi SPRM secara total. Malah ketelusan SPRM   juga turut dipersoal kerana masih berada di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri. 


Sebelum menjadi SPRM, agensi ini tidak pernah melapor kepada mana-mana jabatan kerajaan berkaitan operasi yang dijalankan dan benar-benar bertindak secara bebas tanpa campur tangan asing yang mungkin boleh mengganggu perjalanan operasi SPRM.

SPRM akan mempertahankan kebebasan SPRM dalam menyiasat sesiapa saja tanpa mengira pangkat atau perbezaan politik. SPRM telah membuktikannya melalui kejayaan penyiasatan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan menteri-menteri antaranya bekas Menteri Besar Selangor iaitu Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa baru-baru ini.

SPRM juga dipantau oleh lima (5) badan bebas untuk memastikan check and balance dalam membuat keputusan. Lima badan bebas yang dimaksudkan ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),  Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang diwujudkan mengikut seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Tiada wujud campur tangan dan gangguan luar dalam penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM sebagaimana yang didakwa oleh sebilangan pihak. SPRM mampu bertindak tanpa rasa takut dan gentar selaras dengan kuasa yang diberikan dalam Akta SPRM 2009. SPRM juga tidak mengamalkan kekebalan dalam siasatan   di mana semua pihak yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM pihaknya tidak memberi sebarang kekebalan kepada mana-mana pihak daripada disiasat oleh badan anti rasuah itu, malah bersedia untuk berkorban dalam memperjuangkan kepentingan awam.

Perjuangan SPRM hanya diburukkan oleh agenda politik individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan pesimis dengan kemampuan dan keupayaan SPRM. Malah SPRM  tidak pernah mengamalkan pilih kasih dan menyiasat secara bebas, telus dan profesional.

SPRM perlu berpegang kepada prinsip telus, bebas dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Sememangnya bukan mudah untuk terus berkhidmat kepada negara tanpa sokongan masyarakat. Institusi ini juga perlu terus dipertahankan dari campurtangan pihak luar yang cuba menggugat ketenteraman institusi ini agar ia boleh terus berdiri secara bebas dan tegas dalam menegakkan kebenaran.

Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram Lima Pegawai TLDM Disebut Semula 9 Dis Ini


Empat pegawai kanan TLDM termasuk pasangan suami isteri ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada 30 Okt setelah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM2 juta, antara 2014 dan 2015 (Gambar Fail Bernama)IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan lima pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk sepasang suami isteri.

Dalam prosiding sebutan semula kes itu di dua Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Rushan Lutfi Mohamed dan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin masing-masing menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar untuk perbicaraan serentak bagi kedua-dua kes itu di Mahkamah Khas Rasuah Ipoh.

Sebelum ini, kesemua pegawai kanan TLDM termasuk pasangan suami isteri itu didakwa atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai lebih RM500,000 berkaitan urusan pembekalan barangan ke TLDM antara 2014 dan 2015.

Pasangan Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, dan suaminya Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, menghadapi enam pertuduhan menerima suapan membabitkan RM420,852.85 manakala Leftenan S.Kuvendran, 32, menghadapi empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM104,971.97.

Dua lagi pegawai iaitu Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, menghadapi tujuh pertuduhan menerima suapan barangan berharga bernilai RM1,052,120.60 manakala Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, menghadapi lima pertuduhan menerima wang suapan melibatkan nilai RM1,500,000.

Pasangan suami isteri itu juga menghadapai enam pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM604,207, Khairul Izwan menghadapi lima pertuduhan melibatkan RM1,425,500 manakala Kuvendran menghadapi lima pertuduhan membabitkan RM142,115.77.

Abdul Aziz didakwa atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan urusan pembekalan barangan ke TLDM berjumlah RM840,000 sejak tahun lepas.

Prosiding sebutan semula kes rasuah itu terhadap kesemua tertuduh didengar oleh Hakim Rushan Lutfi manakala kes pengubahan wang haram membabitkan Abdul Aziz didengar oleh Hakim Ikmal Hishan di Mahkamah Sesyen berasingan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tiga lagi pegawai TLDM iaitu pasangan suami isteri berkenaan serta Khairul Izwan dan Kuvendran yang dituduh atas kesalahan pengubahan wang haram, Wan Ahmad Nizam berkata kes itu akan disebut pada 3 Dis ini dan pihak pendakwaan akan memohon perbicaraan bersama.

Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam yang diketuai Norhasham Hasan.

Kembalikan 'fear factor' sempadan Padang Besar

PENDEDAHAN media mengenai kegiatan penyeludupan di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis, dipandang serius oleh pasukan kese­lamatan negara yang mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail sendiri turun padang meninjau lokasi itu serta kawasan sempadan lain selepas pendedahan dibuat. Tinjauan dilakukan selama dua hari dengan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Tujuannya bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang situasi pagar sempadan termasuk di lokasi-lokasi hutan yang tidak dapat dimasuki oleh kenderaan.

Hasilnya, pagar-pagar yang berlubang diperbaiki kontraktor dilantik pada petang sejurus pendedahan itu. Lampu-lampu pula dinyalakan bermula pukul 7 petang sehingga pukul 7 pagi bagi menerangi lokasi terbabit.

Jabatan Tanah dan Galian Perlis pula serta-merta mengelu­arkan status bahawa kawasan bersemak yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di stesen itu disahkan milik KTMB. Status kawasan itu menjadi tanda tanya sejak sekian lama sehingga sukar untuk mana-mana pihak mengambil tindakan membersihkannya.

Perkembangan ini sudah tentu melegakan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Bukit Kuan Chu (BKC) 7 di situ, yang kini lebih mudah untuk memantau kegiatan penyeludupan.

Menurut satu sumber keselamatan, jika perkara-perkara ini dapat diselesaikan, pihaknya yakin kawasan stesen itu yang diletakkan sebagai lokasi paling panas penyeludupan di sempadan Perlis dapat 'dibersihkan' daripada aktiviti itu.

"Namun apa yang penting, kesungguhan semua pihak untuk membantu sama dalam menyelesaikan perkara ini. Ini termasuklah memastikan setiap anggota pasukan keselamatan ditempatkan di situ mempunyai integriti yang tinggi.

"Perkara ini pernah disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan operasi khas membanteras penyeludupan petrol di kawasan sempadan Perlis, Mac lalu, yang menyaksikan lebih 20 orang penguat kuasa diberkas ketika pertukaran tugas di Kedah.

"SPRM percaya tiada elemen lain seperti pagar 'bocor' kecuali yang lebih utama adalah soal integriti. Oleh itu, kembalikan 'fear factor' (rasa takut) penyeludup terhadap penguat kuasa kita," katanya.

Jika soal pagar bocor atau semak hendak ditimbulkan, terdapat kawasan pagar sempadan lain dari Sintok, Kedah sehingga ke utara Perak yang jauh lebih daif serta tiada bekalan asas. Namun tidak pula terdengar pelbagai masalah tentang penyeludupan yang timbul.

Nampak seolah-olah terdapat segelintir penguat kuasa yang 'tewas' apabila berhadapan tawaran lumayan daripada penyeludup ketum sehingga mencemar nama lebih ramai lagi yang tidak sanggup menggadai maruah sendiri.

Dalam pada itu, peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, diharap dapat digunakan untuk membaik pulih pagar-pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain mewujudkan Unit Berkuda bagi menunjukkan kehadiran polis di kawasan sempadan.

Mudah-mudahan penyeludup dan penjenayah merasa gerun dan ‘pagar’ kita tidak bolos lagi.


Monday, November 9, 2015

SPRM dahului negara lain

SPRM dahului negara lain


Idea penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah bagi penuntut di luar negara yang dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed baru-baru ini dilihat sebagai satu  ‘gerakan’ mendahului negara-negara lain dalam  usaha memerangi jenayah rasuah merentasi sempadan.

Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang bahawa bakal-bakal profesional yang sedang menuntut ilmu jauh beribu batu ini perlu dipersiapkan sepenuhnya dengan ilmu yang mungkin tidak diajar di universiti iaitu ilmu integriti bagi mengatakan tidak pada rasuah.

SPRM menyedari mahasiswa merupakan bakal peneraju masa depan negara. Jatuh bangun sesuatu negara adalah bergantung kepada generasi muda. Isu rasuah tidak boleh dipandang ringan dan perlu dicegah seawal boleh sebelum menular.

Oleh sebab itulah, idea penubuhan sekretariat ini perlu diambil perhatian khusus oleh semua pihak khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Di samping itu, generasi muda perlu menyedari bahawa masa depan negara ini terletak di bahu merekan serta perlu bersedia untuk berhadapan dengan realiti dunia yang sememangnya mudah terjebak dengan rasuah.

Ruang dan peluang untuk rasuah terbentang luas tetapi yang untuk membataskan mereka dari terjebak dengan rasuah adalah nilai dan pengetahuan yang mereka ada bahawa rasuah itu adalah sesuatu yang menjijikkan.

Menerusi sekretariat ini, maklumat dan pendedahan mengenai rasuah dan peranan SPRM dapat membantu generasi muda mengenali sepenuhnya mengenai rasuah.

Perkongsian pengalaman pelaku perasuah juga dapat dijadikan satu perkongsian yang dapat memberikan pengajaran kepada generasi baru ini. 

Generasi muda perlu memahami peranan dan impak mereka terhadap memerangi rasuah adalah sangat besar. Jenayah kolar putih yang melibatkan penjawat awam  berpendidikan tinggi juga mempunyai potensi terlibat  rasuah.

Oleh itu, di sinilah peranan sekretariat memberi informasi dan pendidikan kepada generasi muda dimana memerangi rasuah memerlukan sokongan daripada semua pihak. Memerangi rasuah bukanlah kerja perseorangan tetapi memerlukan kumpulan yang kuat.

Faktanya, Sekretariat Pencegahan Rasuah ini boleh bertindak sebagai pusat informasi dan menganjurkan aktiviti pencegahan rasuah membabitkan penuntut Malaysia di luar negara.

Pusat informasi ini sekaligus dapat  mendedahkan pelajar kepada program-program pencegahan rasuah dan menjadi penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat kampus dan luar kampus.

Perkara ini dilihat sebagai tindakan yang proaktif dalam mendidik dan mendedahkan pelajar luar negara dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan yang menekankan kepada penghayatan nilai-nilai murni.

Selain itu, sudah tentu sekretariat ini dapat meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap nilai integriti, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di kalangan pelajar IPT.

Pusat informasi ini juga satu kelebihan kepada penuntut luar negara bagi membuat rujukan mengenai kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan serta peranan SPRM dalam menangani jenayah ini.

Maka, sudah sampai masanya saranan SPRM ini disambut  oleh pelajar-pelajar Malaysia diluar negara bagi menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah bagi membantu meningkatkan kesedaran generasi muda untuk menjauhi gejala rasuah.

Syor ini juga jelas menunjukan komitmen SPRM bagi memerangi rasuah serta mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

Walaupun tugas  utama SPRM  sebagai  agensi penguatkuasa membawa pelaku perasuah ke muka pengadilan tetapi inisiatif pencegahan ini  juga tidak boleh di ketepikan dan ia perlu bermula dari  dalam diri individu sendiri.

Pencegahan rasuah perlu diterap di kalangan generasi muda serta bersama-sama mendokong perjuangan membanteras rasuah bagi mewarisi bumi Malaysia yang bersih daripada rasuah untuk anak cucu kita pada masa depan.

Perlu diingatkan, usaha yang berterusan ini bukan hanya perlu dipikul oleh SPRM tetapi perlu ditanggung bersama oleh  pemimpin dan rakyat. 


Percayalah dengan merealisasikan saranan SPRM ini, kita akan menghasilkan generasi yang berintegiriti tinggi.

Transformasi tingkat prestasi siasatan SPRM

Transformasi tingkat prestasi siasatan SPRM


Hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan menerusi Program Transformasi sejak 2010 telah membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan prestasi baik secara berterusan dalam pelbagai segi termasuk penyelesaian kes-kes rasuah yang disiasat pada tahun yang sama.

Selain peningkatan kadar sabitan sejak tahun 2009, satu lagi aspek yang mencatatkan perkembangan positif ialah bilangan kes yang disiasat yang dapat diselesaikan pada tahun yang sama pada tahun 2014 telah mencecah paras 85 peratus. Ia satu peningkatan yang membanggakan berbanding 81.6 peratus yang direkodkan pada tahun 2013 dan 75 peratus pada tahun 2012.

Pada tahun 2014, SPRM telah membuka sebanyak 919 kertas siasatan di mana telah dapat menyelesaikan 85 peratus atau 781 kes.

"Kejayaan ini merupakan hasil program transformasi sektor operasi melalui pelaksanaan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI)," kata Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

MTI adalah salah satu inisiatif yang diamalkan susulan program transformasi sektor operasi. Program transformasi SPRM memfokus sektor operasi, modal insan dan pencegahan, yang mana kesemuanya dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2010.

Melalui program transformasi ini, beberapa inisiatif baharu diperkenalkan dan penambahbaikan dibuat terhadap program atau aktiviti yang masih relevan. Antaranya, pengurusan aduan yang lebih sistematik melalui pengenalan Sistem Pengurusan Aduan (CMS), penggunaan bilik temu bual bervideo (VIR) yang berjaya mengekalkan aduan sifar berkaitan kekerasan pegawai SPRM semasa merakam percakapan saksi, suspek dan orang kena tangkap, pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI) dengan fasiliti Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS) berjaya memendekkan tempoh siasatan.

Inisiatif-inisiatif transformasi yang diguna pakai oleh SPRM juga mendapat pengiktirafan antarabangsa di mana Biro Mencegah Rasuah (BMR) mencontohi langkah SPRM dengan membina Bilik Gerakan Operasi Khas (BGOS) bagi melengkapkan pendekatan pengurusan siasatan berpasukan (MTI).

Sesungguhnya 2014 merupakan tahun yang amat mencabar tetapi penuh bermakna bagi SPRM. Pelbagai perkembangan dan pencapaian besar di peringkat domestik mahupun antarabangsa berjaya dikecapi hasil usaha gigih dan sokongan semua pihak.

"Di persada antarabangsa, SPRM berbangga apabila kaedah MTI  yang diilhamkan oleh transformasi ini diiktiraf dan menjadi ikutan agensi luar negara," kata beliau.

Tahun 2014 juga menyaksikan peningkatan membanggakan dalam aspek operasi di mana 552 orang ditangkap atas kesalahan rasuah berbanding 509 orang pada tahun 2013.

Daripada sebanyak 919 kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2014, 326 (35.5 peratus) membabitkan kesalahan menerima rasuah, 159 (17.3 peratus) kesalahan memberi rasuah, 283 (30.8 peratus) kesalahan tuntutan palsu, 69 (7.5 peratus) kesalahan salah guna kedudukan, 82 (8.9 peratus) lain-lain kesalahan.

Dalam pada itu, kata beliau, SPRM turut berbangga kerana jumlah pertuduhan yang dibawa ke mahkamah telah meningkat dari 289 pada tahun 2013 kepada 317 pada tahun 2014.

"Begitu juga jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah ke atas pesalah rasuah iaitu RM13 juta di mana ia meningkat daripada RM11.6 juta pada tahun 2013," katanya lagi.

Pencapaian dalam kadar sabitan masih berada di paras yang baik iaitu 78 peratus berbanding 54 peratus ketika SPRM dibentuk pada tahun 2009. Dalam pada itu, aset bernilai RM2.8 juta juga berjaya dilucuthakkan pada tahun 2014.

Dalam pada itu, SPRM juga telah membuka sebanyak 136 Kertas Pemeriksaan dan Perundingan di mana ia telah menghasilkan 231 cadangan penambahbaikan, yang telah dikemukakan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta. Salah satu cadangan membabitkan syor penambahbaikan sistem dan prosedur kerja berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands, isu yang mendapat perhatian banyak pihak pada tahun 2014.

Selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tumpuan pemeriksaan dibuat terhadap isu-isu nasional dan mempunyai kepentingan awam.

Malah, selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tahun 2014 memperlihatkan kejayaan SPRM membongkar penyelewengan kes-kes bersindiket yang melibatkan isu nasional, antaranya kes penyelewengan bantuan khas kepada nelayan di Terengganu dan pembalakan haram di Sarawak.

Hasil program transformasi, tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM terus meningkat ke paras 67.8 peratus berbanding 65.8 peratus peratus pada tahun 2013. Dengan usaha penambahbaikan berterusan, SPRM menyasarkan tahap keyakinan masyarakat akan meningkat kepada 70 peratus pada tahun 2015.

Gabungan antara komponen transformasi dan dasar Merakyatkan SPRM telah memberi nafas baharu kepada SPRM untuk merealisasikan visi dan misi yang direncanakan.

Peningkatan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 kepada 52 berbanding 50 pada tahun 2013 merupakan bukti kejayaan negara hasil inisiatif yang dilaksanakan. Pencapaian ini yang merupakan hasil kerjasama semua pihak, adalah yang terbaik sejak 2014 dan SPRM berharap skor CPI mampu melonjak ke paras yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

Masyarakat meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas SPRM. Bagi Pengurusan Tertinggi SPRM, harapan masyarakat ini adalah amanah yang wajib dilaksanakan sedaya upaya demi negara tercinta.

Mengenai pencapaian sepanjang tahun 2014, Tan Sri Abu Kassim juga berpandangan, "sesungguhnya 2014 merupakan tahun yang amat mencabar tetapi penuh bermakna bagi SPRM."

"Pelbagai perkembangan dan pencapaian besar di peringkat domestik mahupun antarabangsa berjaya dikecapi hasil usaha gigih dan sokongan semua pihak," kata beliau.

Gabungan antara komponen transformasi dan dasar Merakyatkan SPRM telah memberi nafas baharu kepada SPRM untuk merealisasikan visi dan misi yang direncanakan.


Tan Sri Abu Kassim berkata, masyarakat meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas SPRM. "Harapan masyarakat ini adalah amanah yang wajib dilaksanakan SPRM sedaya upaya demi negara tercinta," kata beliau.