Saturday, February 25, 2017

SPRM tahan enam individu terlibat rasuah hartanah negeri Johor


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap enam individu kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Negeri Johor.

Keenam-enam suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi pada 24 Februari 2017.

Mereka yang ditangkap merupakan anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Menerusi maklumat awal yang diperolehi, kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Negeri Johor.

Kegiatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil pendapatan kerajaan Negeri Johor.

Dalam operasi tersebut, SPRM juga telah merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500 ribu termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen yang dirampas berhubung penyelewengan hartanah di Negeri Johor.

Sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan.

SPRM akan memanggil beberapa orang lagi saksi bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini.

Penolong pendaftar Noor Hidayah Abdul Manaf membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Wednesday, February 22, 2017

SPRM tak pilih kasih


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semua agensi yang terbabit dalam rasuah tanpa memihak kepada mana-mana pihak termasuk agensi agama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, penangkapan empat pegawai Jabatan Agama Islam dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah di Johor menunjukkan agama bukanlah alasan untuk seseorang menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, jika ada mana-mana pihak berfikiran mereka boleh terlepas daripada siasatan SPRM, tindakan yang diambil kebelakangan ini terbukti tidak ada satu agensi pun yang tidak disiasat oleh suruhanjaya tersebut.

"Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pegawai dari jabatan agama yang akan disiasat kerana terbabit isu rasuah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Katanya, kedudukan dan kuasa yang diberikan bukan alasan untuk mereka terbabit dalam perbuatan rasuah malah dalam kes tangkapan Johor, sebagai pengamal agama mereka perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Monday, February 20, 2017

SPRM lancar Program #ZiarahKasihSPRM dekati dan mesra rakyat


Program pertama Ziarah Kasih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilancarkan di Kampung Sadek, Kupang, Sabtu lepas.

Selain menjadi platform untuk SPRM mendekati rakyat, program itu juga memberi peluang kepada badan itu menerangkan tugas dan fungsinya dalam membanteras gejala ra­suah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, program itu adalah tanda keprihatinan SPRM kepada rakyat dan beliau bersyukur serta teruja kerana dapat bersama-sama penduduk menjalankan pelbagai aktiviti.

“Program ini akan dijadikan program bersiri, yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya semasa berucap pada perasmian program itu di masjid kampung itu.

“Selepas ini SPRM akan turun ke beberapa lokasi lain bagi mendekati lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dzulkifli menegaskan, SPRM akan terus menjalankan tugas dan memastikan negara ditadbir mengikut proses undang-undang sebenar.

Beliau berkata, pihaknya akan pastikan tiada siapa yang menyalahgunakan kuasa dan tidak mengikut undang-undang.

Pada majlis sama, Dzulkifli turut melancarkan Tabung Yayasan Prihatin SPRM bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan.


Terdahulu, Dzulkifli menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada kira-kira 2,000 penduduk kampung terbabit.

Monday, February 13, 2017

Amanah perisai hindari amalan rasuah


Memberi dan menerima sogokan didorong sifat tamak yang boleh menghancurkan ummah hari ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah.

Ini satu contoh amalan 'mata pencarian' yang tidak halal dan daripada sumber haram. Malangnya, ia berlaku di mana-mana lantaran kurang keinsafan segelintir manusia mengenai akibat makan sesuatu yang tidak baik dan menjaga keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Disebabkan fitrah manusia yang pelupa, kita perlu diingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung, apatah lagi yang memerlukan wang di depan mata, baginya segala boleh saja.

Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti tidak bererti, yang tinggal hanya janji yang bakal dimungkiri. Suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya.

Amalan rasuah contohnya, adalah perbuatan memberi sogokan berbentuk 'hadiah' sama ada wang, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lain untuk membolehkan sesuatu dihajati diperoleh. Perbuatan itu dikeji Allah kerana mengambil harta orang dengan cara mengingkari perintahNya.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' sifat yang diwarisi daripada syaitan. Implikasinya juga besar iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar kerana mengharapkan sesuatu memihak kepada dirinya.

Pihak memberi rasuah tidak mengambil kira maksud hukum syarak dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Allah berfirman bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hadis Baginda diriwayatkan Al-Imam At-Tarmizi bermaksud: "Daripada Abdillah Amru ia berkata: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." Orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT juga mudah mengikut jejak langkah syaitan yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam.

Sifat memberi dan menerima rasuah adalah tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah Al-Baqarah, ayat 172) Antara tonggak yang boleh menghalang daripada berlaku rasuah ialah sifat amanah.

Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi dan mengikuti akhlak Baginda. Dengan sikap amanah, era kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat paling mulia untuk diteladani.

Sifat pemimpin pada masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah dengan menonjolkan kepemimpinan amanah berjaya mendidik pihak yang dipimpin. Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat untuk mencontohi watak Baginda yang merendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmu, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil jajahan tetapi satu dunia sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang ini menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak. Realitinya kehidupan orang tidak amanah pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju dalam menuju masa depan yang cemerlang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Tuesday, February 7, 2017

Datuk didakwa buat tuntutan palsu

Seorang pengarah syarikat berpangkat Datuk mengaku tidak bersalah terhadap 28 pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan wang berjumlah RM789,360 di Mahkamah Sesyen Wilayah Persekutuan Labuan, semalam.

Kok Chung Fui, 43, didakwa sebagai Pengarah CK Oil & Gas Sdn Bhd, dia mengemukakan tuntutan palsu kepada Petronas Carigali Sdn Bhd berkaitan peralatan berjumlah keseluruhan RM789,360 sedangkan peralatan terbabit tidak dibekalkan.


Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Scomi Oiltools Sdn Bhd, Labuan Integrated Base, Labuan pada 18 September 2013.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Dalam kes sama, Pegawai Penyelaras sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), William Edmund Silla, 43, turut didakwa mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Perenggan 28(1)(b) Akta 694 atas pertuduhan bersubahat menandatangani dokumen berkaitan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain diarahkan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Labuan awal minggu pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Sanip.

Sunday, February 5, 2017

SPRM mulakan siasatan ke atas Kafa



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung isu tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) bagi musim 2016 hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh sumber dalaman Kafa ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa kakitangan persatuan itu telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa terhadap tajaan oleh kedua-dua agensi berkenaan ke atas TRW.


“Sebanyak tiga anggota SPRM yang terdiri daripada seorang timbalan pengarah dan dua pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya telah datang ke pejabat Kafa untuk mengambil keterangan,” katanya.

Katanya, SPRM telah mengambil beberapa bahan bukti antaranya invois, resit dan penyata akaun untuk membantu saisatan.

Kelmarin, bekas Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu bagi memberikan segala maklumat untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Annuar, yang disiasat selama empat jam oleh SPRM, kini sedang bercuti daripada jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi PMB untuk memastikan siasatan yang dijalankan oleh pihak audit dalaman agensi itu serta SPRM berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor ketika dihubungi menjelaskan dia tidak dimaklumkan berhubung siasatan tersebut.


Bagaimanapun, beliau berkata Kafa sentiasa bersikap terbuka dan akan memberikan kerjasama kepada siasatan berkenaan.

Saturday, February 4, 2017

Isu Mara: SPRM rakam percakapan sembilan individu


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan sembilan individu termasuk Tan Sri Annuar Musa setakat hari ini berhubung dakwaan penglibatan beliau dalam penyelewengan dan salah guna kuasa ketika menyandang jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Selain itu, difahamkan pasukan penyiasat juga dalam usaha untuk mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini.

Menurut sumber, SPRM kini dalam proses meneliti dan mengkaji dokumen-dokumen dan invois yang dirampas sebelum ini melibatkan siasatan kes ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung siasatan kes ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan menggulas lanjut.

Pada Jumaat, Annuar hadir di pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu tiba kira-kira jam 9 pagi, diiringi beberapa individu.
Annuar memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama empat jam yang berakhir jam 1 tengah hari.


Menurut Annuar, beliau telah memberikan semua maklumat dan kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan berkenaan.

SPRM tahan pegawai SPRM klon


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM yang kononnya boleh menutup kes berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.

Tangkapan tersebut dilakukan dalam dua operasi berasingan di Sepang dan Melaka pada hari ini dan semalam.

Menurut sumber, dalam tangkapan pertama di KLIA2,Sepang kira-kira jam 3 petang semalam, ia melibatkan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 61 tahun.

Suspek dipercayai cuba memperdaya seorang lelaki menerusi panggilan telefon yang kononnya mangsa disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen AMLA dan meminta bayaran sebanyak RM20,000 bagi menutup kes itu.

SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dan tiga telefon bimbit yang ditemui bersama-sama suspek.

Dalam tangkapan kedua di Alor Gajah, Melaka kira-kira jam  1.30 pagi hari ini, SPRM telah menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menyamar sebagai pegawai SPRM bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan cuba memperdaya beberapa individu bagi tujuan meminta wang sogokan.

Sumber berkata, wanita yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak ini telah menghubungi beberapa orang individu dan mendakwa kononnya SPRM telah membuka kr tas siasatan atas nama mereka.

Dia mendakwa boleh membantu mangsa menyelesaikan kes-kes tersebut dengan membayar sejumlah wang antara RM5,000 ke RM20,000 untuk diberikan kepada beberapa orang pegawai tertinggi SPRM sebagai balasan bagi menutup kes-kes tersebut.

Namun berdasarkan beberapa tindakan yang diambil oleh mangsa menunjukkan bahawa wanita ini bukanlah pegawai SPRM dan fail-fail atau kertas siasatan yang kononnya dibuka atas individu-individu terbabit, adalah rekaan semata-mata dan tidak benar.

Malah dakwaan bahawa wang rasuah diminta oleh pihak pengurusan tertinggi SPRM bagi menutup kes dan kertas siasatan tersebut juga adalah tidak benar.

Sumber berkata, wanita tersebut menjadikan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan di seluruh negara sebagai mangsa dan mendapatkan maklumat berkaitan rasuah menerusi media termasuk media sosial.

SPRM juga kini sedang mengesan seorang lagi rakan jenayah suspek yang dipercayai telah melarikan diri.

Wanita yang bekerja sendiri ini juga mempunyai rekod jenayah lampau mengikut kesalahan dan masih dibicarakan serta disenarai hitamkan oleh polis.

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman dan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman telah membenarkan kedua-dua suspek lelaki direman selama lima hari manakala suspek wanita pula direman enam hari bermula hari ini.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sedemikian untuk menghubungi SPRM untuk membantu siasatan.

Beliau berkata perbuatan tidak beretika itu adalah satu kesalahan yang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka mengikut peruntukan undang-undang yang ada.


“Saya juga menyeru semua pihak untuk tidak mempercayai sesiapa yang mendakwa dirinya adalah pegawai SPRM malah mengesahkan dakwaan tersebut dengan menghubungi SPRM dahulu,” ujarnya.

Friday, February 3, 2017

Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri didakwa terlibat rasuah RM80,000


Seorang bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, Shah Alam hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang rasuah berjumlah RM80,000 untuk kepentingan diri sendiri tiga tahun lalu.


Tertuduh, Zailan Jauhari, 47, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pertuduhan dibacakan di depan Hakim Asmadi Hussin.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 dan sekeping cek bernilai RM80,000 daripada seorang individu sebagai upah bagi membantu Syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya mendapatkan tender kerja-kerja pembersihan sekolah Zon 2 dan Zon 4 di Kuala Selangor daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Mak Engku Steamboat & Grill di alamat No 2 Jalan Bendahara ½, Taman Bendahara, Kuala Selangor pada 8 Januari 2014.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Asmadi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Selangor pada hari Isnin minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 13 Februari 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohammed Heikal Ismail.

SPRM rakam percakapan Tan Sri Annuar Musa



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah merakam percakapan Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa beliau ketika menyandang jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau yang menghadirkan diri ke pejabat SPRM secara sukarela pada pagi ini telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat.

Setakat hari ini, SPRM telah merakam percakapan lebih lima individu yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan ke atas Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, SPRM meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut dan memberikan ruang kepada SPRM bagi menjalankan siasatan.



SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

3 FEBRUARI 2017

Wednesday, February 1, 2017

SPRM buka kertas siasatan terhadap Annuar Musa


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sr Annuar Musa.

Dalam satu kenyataan rasmi, SPRM mendakwa akan berkerjasama dengan bahagian audit dalaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menyiasat isu tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan bola sepak Kelantan.

“Selain itu, siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman Mara,” katanya di dalam kenyataan media.

Tan Sri Annuar Musa digantung dari jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuatkuasa serta merta hari ini.

Annuar digantung tugas daripada jawatan tersebut berikutan daripada isu tajaan bola sepak oleh PMB buat skuad Kelantan.

Sementara itu, SPRM turut meminta agar tiada sebarang spekulasi dibuat sebelum berhubung siasatan kes tersebut.


“Semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan berikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya lagi.