Saturday, March 26, 2016

Bekas Leftenan Muda ATM terima dua anugerah SPRM

Bekas Leftenan Muda ATM terima dua anugerah SPRM
Muhamad Sabri (tengah) menunjukkan anugerah yang diterimanya bersama keluarga.


PENDANG – Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai Leftenan Muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi minatnya untuk berkhidmat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengorbanan (Penolong Penguasa Gred P41) Muhamad Sabri Mohd Latif, 29, yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ternyata berbaloi apabila menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Khas (Pengurusan dan Profesionalisme) sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, di sini, hari ini.

Muhamad Sabri menyatakan rasa bertuah kerana dipilih untuk menyertai kadet SPRM, sedangkan masih ramai pemohon yang berebut peluang itu kurang bernasib baik.

“Insya-ALLAH, saya jadikan anugerah ini sebagai pembakar serta pencetus semangat untuk saya jadi Pegawai SPRM yang lebih komited dan berdedikasi.

“Rahsia kejayaan saya ialah patuh dengan segala arahan dan banyak bertanya untuk mendapatkan lebih ilmu dan pengetahuan,” katanya kepada media, semalam.

Sementara itu, (Penguasa Gred P29) Asbi Munip, 26, turut mempunyai pengalaman yang hampir sama seperti Muhamad Sabri kerana sanggup meninggalkan Kursus Asas Latihan Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi menyertai SPRM.

Dia yang berasal dari Sabah menerima Anugerah Khas (Pengurusan dan Profesionalisme) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Malaysia, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull.

“Saya ambil keputusan ini kerana melihat peluang kerjaya yang lebih besar jika menyertai SPRM. Ibu bapa juga selalu menyokong dan menggalakkan saya dalam hal ini,” katanya.

Friday, March 25, 2016

Program anak angkat tingkat keyakinan terhadap SPRM

Program anak angkat bagi tingkat keyakinan terhadap SRPM



PENDANG - Selaraskan dengan matlamat membudayakan integriti yang bermula di peringkat sekolah, sebuah pondok yang dinamakan sebagai Pondok Integriti telah disumbangkan kepada Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, Pendang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, Pondok Integriti ini disumbangkan sempena Program Keluarga Angkat disertai kadet Kursus Asas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

"Pondok Integriti ini adalah sumbangan peribadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri  Mohd Shukri Abdull yang juga bekas pelajar sekolah tersebut.

"Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah menyempurnakan majlis perasmian Pondok Integriti yang merupakan satu kelainan Program Anak Angkat," kata kenyataan itu.

Dalam program berkenaan, seramai 87 kadet Kursus Asas Pegawai SPRM menyertai Program Keluarga Angkat di Kampung Guar Kepayang, Pendang, yang dianjurkan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap SPRM menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

"Program bertemakan 'Rakyat Bersama SPRM' itu berlangsung selama empat hari bermula 21 Mac 2016 disertai oleh 86 kadet lelaki dan seorang perempuan.

"Kesemua mereka ini sedang mengikuti Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 18 1/2015 (Penguasa Gred P41) dan kadet Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 18 1/2015 (Penguasa Gred P29) kendalian MACA," katanya.

Program berkenaan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pada 21 Mac lalu dan majlis penutup disempurnakan Mohd. Jamidan, di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, semalam.

Turut terlibat dalam program ini ialah 44 keluarga di sekitar kawasan Guar Kepayang yang menerima dua orang kadet termasuk sembilan bukan Islam, bagi setiap keluarga.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program tersebut ialah ceramah integriti dan agama serta gotong-royong.

Program anak angkat ini merupakan yang keenam dilaksanakan selepas kejayaan program yang sama di Baling, Kedah.

Dalam pada itu, semasa ucapan majlis penutup, Mohd Jamidan berkata, aktiviti ini merupakan program 'serampang dua mata' iaitu memberi pendedahan kepada kadet-kadet terhadap nilai murni menerusi interaksi bersama masyarakat di samping meningkatkan kesedaran rakyat mengenai usaha pembanterasan rasuah.

Beliau berkata, selain itu, pendedahan mengenai kehidupan masyarakat kampung yang hidup serba kekurangan akan menjadikan kadet-kadet lebih rasional sekali gus memahami masalah rakyat apabila menjadi pegawai SPRM.

"Program seumpama ini merapatkan hubungan SPRM dan rakyat dalam usaha pencegahan rasuah dan berharap hubungan keluarga angkat pada kali ini akan diteruskan sampai bila-bila," katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz, wakil Pejabat Pelajaran Pendang dan kira-kira 100 penduduk kampung.
.

Saturday, March 19, 2016

Mewah hasil seleweng dana


PUTRAJAYA 19 Mac - Kemewahan melampau. Mempunyai kereta mewah, dua buah rumah, 40 beg tangan berjenama, barangan kemas, insurans, unit amanah bernilai jutaan ringgit dan kerap berkunjung ke luar negara bersama isteri serta dua anaknya dengan penerbangan kelas pertama yang kosnya kira-kira RM80,000 seorang.

Antara barangan paling mahal dimiliki ialah kereta jenama Lexus yang dianggarkan berharga RM468,000, cincin mutiara (RM600,000), beg tangan Hermes (RM400,000) dan set alas tidur (RM300,000).

Itu hidup mewah yang dikecapi seorang setiausaha bahagian yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian hasil `imbuhan’ disyaki diterimanya selepas mendalangi sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Kelicikan lelaki berusia 56 tahun yang mula memegang jawatan itu sejak 2008 bagaimanapun terbongkar apabila diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Tiris di sekitar Lembah Klang sejak Khamis lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, turut diberkas ialah lapan kontraktor syarikat berkaitan penganjuran acara termasuk seorang wanita yang bersekongkol dengannya yang menjalankan penipuan tersebut.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 itu ialah menggunakan suspek untuk mengarahkan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat yang 'dikendalikan' kontraktor terlibat bagi menjayakan program berkaitan acara sukan.

“Sebenarnya tiada tuntutan dikemukakan oleh syarikat kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan tersebut memainkan peranan memastikan bayaran dibuat kepada syarikat terbabit.

“Hasil `pakatan’ yang dibuat, pegawai kanan berkenaan menerima pelbagai imbuhan antaranya berbentuk insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit serta pemberian kad kredit bagi membolehkannya hidup mewah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan penahanan yang dibuat ujar Azam, SPRM telah menyita dua buah rumah yang didakwa milik pegawai kanan kerajaan itu iaitu sebuah banglo dan rumah teres selain merampas 12 buah kenderaan mewah.

“Kita juga merampas barang kemas yang ada di antaranya bernilai RM600,000, jam tangan mewah sehingga mencecah RM400,000, berpuluh beg tangan berjenama yang salah satunya bernilai RM400,000. Selain itu, set alas tidur bernilai lebih RM300,000 dan lukisan berjenama bernilai lebih RM60,000 serta pakaian berjenama.

“Jumlah keseluruhan habuan yang diterima suspek ialah RM20 juta termasuk RM8.33 juta baki wang di dalam akaun miliknya yang kini dibekukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azam memberitahu, buat masa ini siasatan menunjukkan pegawai kanan tersebut merupakan dalang utama sindiket berkenaan.

Tambahnya, kesemua suspek berusia 28 hingga 56 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mewah-hasil-seleweng-dana-1.202505#sthash.vCI2ezfh.dpuf

Friday, March 18, 2016

Tipu tender RM100j: Enam individu ditahan






KUALA LUMPUR 18 Mac - Seorang pegawai kanan sebuah kementerian antara enam individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam satu sindiket penipuan tender kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Lima lagi individu yang salah seorang daripadanya adalah wanita merupakan kontraktor beberapa syarikat yang didapati terbabit dalam penipuan itu.

Kesemua suspek yang berusia antara 20-an dan 50-an itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula tengah hari sehingga malam semalam.

Menurut sumber, pegawai kanan kementerian berjawatan setiausaha bahagian itu dipercayai telah menerima wang suapan RM50,000 hingga RM1 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan memperoleh kerja-kerja pembekalan melibatkan program-program sebuah kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Ujarnya, siasatan mendapati, tidak kurang RM20 juta telah dikutip oleh pegawai kanan terbabit dengan cara pelaksanaan projek kerajaan yang tidak dilaksanakan.

“Perintah reman selama tujuh hari telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap kesemua suspek bermula hari ini.

“Reman tersebut dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.


- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/tipu-tender-rm100j-enam-individu-ditahan-1.202181#sthash.hKgLzo31.dpuf

Wednesday, March 16, 2016

Sambut baik usaha SPRM

Kerajaan negeri menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan terhadap penyelewengan bantuan membaik pulih rumah mangsa banjir di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini perkara ini masih dalam siasatan SPRM dan sekiranya ia benar berlaku ia satu perkara yang amat memalukan.

"Kita bersyukur dengan tindakan SPRM itu kerana memang dasar kerajaan negeri tidak mahu sebarang penyelewangan. Sama ada berlaku atau tidak ia bergantung kepada siasatan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri melihat apabila ia membabitkan peruntukan khas untuk orang ditimpa kemalangan hilang, ia sesuatu amat memalukan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat EXCO di sini, tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro hari ini berhubung 50 individu termasuk seorang yang berpangkat Datuk dipanggil memberi keterangan oleh SPRM Kelantan mengenai penyelewengan bantuan membaik pulih rumah mangsa banjir yang berjumlah RM330,000.

Mantan Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abd Aziz Aban dipetik berkata, penyelewengan berkenaan membabitkan 411 rumah mangsa banjir di daerah Tanah Merah.

Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur didakwa hari ini



Seorang penolong pengarah wanita di Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan rasuah berkaitan satu kes tuntutan palsu yang dibongkar oleh pasukan Op Tiris.

Suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam. Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Satu tuntutan bernilai RM7,500 dibuat oleh suspek pada 2012 berkaitan kerja-kerja mengendalikan perkhidmatan menguruskan bengkel kerja pengurusan aktiviti kejurulatihan pusat kokurikulum oleh sebuah syarikat.


Namun, kerja-kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan oleh kontraktor terbabit.

SPRM: Perhebatkan lagi operasi


Abd Aziz Ambil Alih Jawatan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya


Datuk Abd Aziz Aban secara rasmi bertukar tempat dengan Datuk Moh Samsudin Yusoff sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Moh Samsudin mengambil alih jawatan Abd Aziz di Kelantan.

Pelantikan mereka berkuat kuasa 15 Mac, kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena majlis penyerahan tugas di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 15 di sini.

Moh Samsudin pada majlis itu meminta semua pegawai SPRM di Wilayah Persekutuan Putrajaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Abd Aziz dan melaksanakan tugas dengan baik.

"Kaedah penyiasatan di Putrajaya adalah berbeza berbanding tempat lain kerana ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi," katanya.

Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa semalam.


Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor Datuk Simi Abd Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Datuk Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Datuk Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

Tuesday, March 15, 2016

Didik penjawat awam utamakan integriti

Setiap jabatan kerajaan perlu memainkan pe­ranan penting dalam memastikan penjawat awam bebas daripada masalah membabitkan integriti, khususnya dalam soal penyelewengan.


Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa integriti di setiap jabatan, namun pelaksa­naannya perlu dijalankan dengan lebih kerap.

Katanya, beliau juga mencadangkan agar satu program khas bersama pakar daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaksanakan untuk menanamkan nilai integriti dalam jiwa setiap penjawat awam.

“Penjawat awam yang memegang ama­nah untuk menggalas tanggungjawab menguruskan dana kerajaan perlu diberikan insentif tinggi dan setimpal supaya tidak berlakunya sebarang penyelewengan.

“Namun, saya tidak menafikan masih ada individu tertentu yang bersifat tamak dan masalah ini harus dibincangkan dari semasa ke semasa dalam setiap jabatan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas berkenaan isu empat kakitangan kerajaan termasuk yang berpangkat Datuk ditahan oleh SPRM semalam ekoran daripada dana kebajikan yang sepatutnya disalurkan untuk merawat pesakit kronik dan miskin didakwa lesap kerana ada beberapa individu sanggup menyeleweng wang berjumlah lebih RM20 juta.

Sementara itu, Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, masalah integriti yang melibatkan penjawat awam tidak akan dapat dibendung selagi wujudnya individu kurang bertanggungjawab dan amanah.

“Macam mana ketatnya sistem tersebut dilaksanakan, penyelewengan tetap boleh berlaku jika individu itu sendiri masih lagi menjalankan kegiatan yang tidak bermoral itu.


“Namun, saya ingin menyeru kepada semua rakyat agar tidak memandang perspektif buruk terhadap semua penjawat awam kerana tidak kesemuanya bersikap demikian dan kes seperti itu sebenarnya jarang berlaku,” katanya.

Rasuah tender kedai runcit hospital, 4 ditahan SPRM


ANTARA individu yang ditahan SPRM hari ini selepas dipercayai bersubahat dalam pemilihan syarikat perniagaan kedai runcit dalam hospital tanpa melalui proses tender yang sah.


Empat individu termasuk seorang wanita berpangkat Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini selepas dipercayai bersubahat dalam pemilihan syarikat perniagaan kedai runcit dalam hospital tanpa melalui proses tender yang sah. Suspek yang berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

Sumber SPRM berkata, dalam operasi Ops Tiris, seorang pegawai kanan kerajaan ditahan di rumahnya dipercayai melakukan kesalahan dengan bersubahat dalam pemilihan syarikat tanpa perlu melalui proses tender yang sah untuk beroperasi di lebih 40 premis runcit di hospital seluruh negara.

"Lelaki berusia 60 tahun itu dipercayai terbabit dalam rasuah dianggarkan bernilai RM20 juta. Seorang lelaki berusia 59 tahun yang juga bekas pegawai kanan turut ditahan atas kesalahan sama.

"Mereka direman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, kerana kesalahan meminta dan menerima rasuah," katanya. Suspek juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Kemaruk duit bah

SPRM Kuala Lumpur perlu dicontohi

KUALA LUMPUR 15 Mac – Tindakan proaktif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur membongkar gejala pe­nye­lewengan dan rasuah harus dicontohi agensi-agensi lain.


Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, langkah tersebut harus diteruskan bagi memastikan kadar rasuah serta penyelewengan dalam negara dapat dikurangkan, seterusnya dihapuskan.


“Tindakan proaktif ini penting da­lam memantapkan pe­ngurusan per­olehan dan kewa­ngan serta me­ningkatkan aspek integriti negara.


“Selain itu, dapat memastikan ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses kerja, peraturan serta tatacara, proses perancangan, penyeliaan perolehan, tender serta kontrak yang dikeluarkan keraja­an,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.


Akhbar melaporkan SPRM Kuala Lumpur sedang menyiasat lima kes penyelewengan dalam pengurusan perolehan kerajaan melibatkan ke­rugian lebih RM20 juta yang dilaporkan dalam tempoh 80.


Kesemua kes tersebut melibatkan tuntutan palsu, rasuah serta salah guna kuasa yang dipercayai membabitkan pegawai tinggi ke­rajaan, swasta dan pertubuhan.


Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya telah melancarkan Op Tiris bermu­la 1 Mac lalu bagi memastikan sumber pendapatan kerajaan tidak terus diseleweng dan mereka yang terlibat dalam lima kes tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadil­an.


Mengulas lanjut, Akhbar berkata, pesalah harus dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman maksimum supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.


“Jumlah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan amat besar dan melibatkan wang rakyat.

“Pesalah terlibat perlu dijatuhi hukuman maksimum supaya dapat memberi pengajaran kepada mereka di lu­ar sana,” katanya.


Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, andaian bahawa SPRM sebenarnya tidak peka adalah tidak tepat kerana mereka sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan yang relevan di belakang tabir.


“SPRM bukan hanya telah membuktikan dedikasi mereka menghalang sabotaj sedemikian tetapi juga mengetahui secara mendalam modus operandi yang sebelum ini menjadi rahsia mereka.
“Usaha yang dibuat oleh SPRM ini merupakan satu pesanan kepada lain-lain pihak yang berkira-kira mahu melakukan penyelewengan atau pembelotan kepada Kerajaan,” katanya.



- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/sprm-kuala-lumpur-perlu-dicontohi-1.200916#sthash.URPc5Ka6.dpuf

Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kelantan Baharu





DATUK Haji Abd. Aziz Aban secara rasminya menyerahkan tugasnya selaku Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kepada Dato’ Moh Samsudin Yusoff pada Majlis Penyerahan Tugas yang berlangsung di Pejabat SPRM Kelantan pagi ini.





Moh Samsudin sebelum ini merupakan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya dan jawatannya itu kini disandang oleh Abd. Aziz berkuat kuasa pada hari yang sama.




Abd. Aziz dalam ucapan perpisahannya berkata, pihak SPRM mengambil inisiatif dalam memastikan semua program dan aktiviti pencegahan rasuah dilakukan berdasarkan ‘low cost high impact’ bagi menyahut dasar pengurusan kewangan negara.

Jelasnya, antara program yang ditekankan oleh SPRM Kelantan ialah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP), pendidikan masyarakat, kerjasama bersama masyarakat selain fokus dalam strategi siasatan.

“Bahagian Pencegahan lebih fokus kepada jabatan-jabatan yang telah menandatangani CIP dan memorandum persefahaman (MoU) dengan SPRM Kelantan bagi memastikan mereka melaksanakan ikrar yang telah dibuat.

“Pada masa yang sama, kerjasama antara SPRM dan golongan opinion leaders turut ditekankan bagi memastikan ketirisan dapat diminimumkan dan memaksimumkan hasil untuk kepentingan bersama,” katanya.

Tambahnya, SPRM turut memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tanggungjawab mereka supaya melaporkan kegiatan rasuah menerusi aktiviti-aktiviti bersama masyarakat pada masa akan datang.

Dari segi siasatan pula, ujarnya, operasi siasatan memberi fokus kepada penguatkuasaan bagi kesalahan melibatkan sempadan, perolehan kerajaan, pembangunan dan pembinaan serta peranan orang tengah.

“Saya berharap setiap individu dan jabatan termasuk agensi tampil memberi maklumat berkaitan isu tersebut bagi mewujudkan masyarakat bebas rasuah,” jelasnya.

Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa hari ini.

Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Simi Abd. Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Dato’ Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Dato’ Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

Monday, March 14, 2016

5 kes seleweng disiasat





AHMAD KHUSAIRI YAHAYA

KUALA LUMPUR 13 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sedang menyiasat lima kes penyelewengan dalam pengurusan perolehan kerajaan melibatkan kerugian lebih RM20 juta yang dilaporkan dalam tempoh 80 hari tahun ini.

Kesemua kes tersebut melibatkan tuntutan palsu, rasuah serta salah guna kuasa yang dipercayai membabitkan pegawai tinggi kerajaan, swasta dan pertubuhan.

Nilai kerugian dalam tempoh tidak sampai tiga bulan itu dilihat meningkat berbanding 114 kes disiasat di Kuala Lumpur pada 2010 hingga 2015 yang mencatatkan nilai kerugian keseluruhan RM31 juta.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya telah melancarkan Op Tiris bermula 1 Mac lalu bagi memastikan sumber pendapatan kerajaan tidak terus diseleweng dan mereka yang terlibat dalam lima kes tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurut beliau, pasukan khas Op Tiris akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes-kes tersebut dalam tempoh terdekat.

“Op Tiris ini memberikan tumpuan kepada kes-kes tuntutan palsu dan penyelewengan dalam sistem perolehan kerajaan.

“Operasi ini selari dengan dasar semasa kerajaan yang berusaha untuk mengoptimumkan perbelanjaan serta memastikan kes tersebut tidak berulang kerana boleh menimbulkan kurang kepercayaan masyarakat kepada kerajaan dan agensi-agensinya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan kerajaan melibatkan pegawai-pegawai pelaksana urusan perolehan.

Antaranya ujar beliau, menerima komisen antara lima dan 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat berjaya dan membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu.

“Turut dikenal pasti ialah menciplak kertas cadangan sesebuah syarikat dan memberikan kepada syarikat berkepentingan serta sengaja meminta syarikat lain memasuki sebut harga yang tinggi selain berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebut harga syarikat lain,” katanya.

Ahmad Khusairi menjelaskan, pihaknya turut mengenal pasti lapan bentuk kesalahan yang dilakukan syarikat pembekal atau penender antaranya menyogok pegawai, menggunakan orang tengah, melantik broker untuk melobi dan mengurangkan kualiti barang untuk kaut keuntungan lebih.

Sehubungan itu, bagi mengelak berlakunya penyelewengan berterusan, ketua jabatan digesa lebih bertanggungjawab dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam agensi di bawah kawalannya.

“Ketua jabatan perlu melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek, menyenaraihitamkan pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga.

“Mereka juga harus memantau senarai pembekal atau kontraktor yang berjaya mendapatkan projek agar tiada elemen monopoli wujud dalam proses perolehan syarikat,” katanya.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/5-kes-seleweng-disiasat-1.200416#sthash.44Xwu5bP.dpuf

Terap budaya benci rasuah






ANCAMAN akibat perlakuan rasuah bukanlah sesuatu yang baharu malah telah wujud sejak awal kewujudan tamadun manusia.

Akibat tamak haloba dalam memenuhi kehendak nafsu manusia yang senantiasa tidak pernah cukup maka rasuah dijadikan seolah-olah satu budaya, yang mana dianggap tidak berdosa jika diteruskan.

Hakikatnya rasuah merosakkan minda dan menjadikan masyarakat porak poranda kerana nilai jujur dan amanah dalam kehidupan sudah semakin menipis.

Untuk itu seperti kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) DATUK SERI MUSTAFAR ALI, usaha mengenai keburukan rasuah ini perlu dimulakan dari peringkat kecil dan sekolah lagi.

"Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini".

Kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau turut memberikan pesanan, "Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang perlu dibincangkan adalah bagaimana untuk menangani permasalahan ini".

MINGGUAN: Jumlah aduan salah laku berkaitan rasuah meningkat lebih lima kali ganda iaitu daripada 1,902 pada 2014 kepada 10,813 pada tahun lalu, hanya dalam tempoh setahun Unit Integriti (UI) ditubuhkan di setiap agensi berkaitan. Boleh Datuk Seri terangkan tentang kewujudan UI ini?

MUSTAFAR: Jumlah 10,813 aduan itu sebenarnya keseluruhan maklumat yang diterima. Ada yang berunsur rasuah, ada unsur pentadbiran dan ada juga tidak ada unsur apa-apa seperti mereka memberikan cadangan dan sebagainya. Hasil daripada pemerhatian kita, peningkatan ini disebabkan adanya mekanisme UI iaitu saluran dalaman yang dekat.

UI diwujudkan selepas kita melihat beberapa kejayaan di luar negara apabila wujud UI atau apa yang dipanggil internal affairs (unit urusan dalaman) di beberapa tempat atau organisasi, dengan wujudnya pegawai penguat kuasa undang-undang sendiri menerajui kapasiti begitu. Pada 2012, kita buat beberapa benchmarking (perbandingan) dan perancangan mengenai cadangan pewujudan UI. Dan lebih awal daripada itu, kita sudah membincangkan tentang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Bertauliah ini maknanya, pegawai-pegawai yang hendak dilantik nanti selepas kewujudan UI, disiap sediakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya tentang aspek-aspek termasuk tadbir urus, penyiasatan dan tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya terdapat perlakuan seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pemalsuan dan sebagainya yang berkaitan dengan isu rasuah dan lain-lain salah laku.

Berbangkit daripada itu, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan SPRM untuk menubuhkan UI di semua kementerian, jabatan dan juga syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) telah membangkitkan perkara ini dan menubuhkan UI masing-masing. Setakat ini, kita ada 887 institusi, agensi, jabatan atau kementerian yang mewujudkan UI. Daripada itu, ada tiga peringkat institusi iaitu yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Kita melihat dari segi jumlah maklumat diterima oleh SPRM, siasatan yang dijalankan, tangkapan, pertuduhan di mahkamah, sabitan dan kes tindakan disiplin. Penilaian itu dibuat untuk melihat tahap risiko termasuk bebanan kerja SPRM yang berkaitan dengan sesebuah institusi itu. Mana-mana jabatan yang berisiko tinggi ini, kita hantar pegawai SPRM ke jabatan berkenaan. Setakat ini, kita tempatkan 43 orang pegawai SPRM di situ, termasuk di GLC. Ada 10 GLC yang kita kenal pasti dan juga mereka minta. Ada 11 pegawai kita ditempatkan di GLC. Sebagai contoh Petronas, Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan sebagainya.

Dasar wujudkan UI dan penempatan pegawai itu juga memberikan satu peluang dari dalam, menyiasat dan membantu ketua-ketua jabatan. Sebab adanya, kerjasama yang lebih rapat antara pegawai SPRM dengan ketua jabatan termasuk di peringkat menteri, berbanding apabila ada kes baru kita pergi ke sana. 

Keduanya, mereka juga sumber punca maklumat dari dalam. Mereka juga dirundingi oleh ketua jabatan dan pegawai untuk mendapat nasihat berhubung dengan tindakan melibatkan siasatan, sama ada kes itu melibatkan rasuah atau tidak ada kaitan langsung. Kalau melibatkan elemen rasuah, maklumat-maklumat itu akan sampai kepada SPRM.
 
Dengan penubuhan UI ini, boleh disimpulkan bahawa kesedaran dalam kalangan kakitangan institusi kerajaan semakin meningkat. Bagaimana pula dengan sektor swasta?

MUSTAFAR: Sebenarnya apabila kita sebut UI, ia merupakan satu komitmen daripada jabatan, kementerian dan GLC dengan wujudkan satu unit berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013. Di dalam itu ada disebutkan enam terma rujukan termasuk tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan dan pematuhan tatatertib. Pegawai-pegawai SPRM di dalam melihat sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan kecepatan untuk ada maklumat-maklumat itu diperolehi atau disalurkan terus kepada mereka.

Kepada pihak luar atau swasta, sudah ada sahutan untuk mendapat tahu apa yang dibuat. Cuma di sektor swasta, tidak dinamakan UI tetapi wujudkan unit pematuhan, tetapi ada juga yang menubuhkan UI. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 2013 ini sebenarnya hanya untuk jabatan kerajaan. GLC pula disebabkan berkaitan dengan kerajaan, maka mereka tubuhkan. Berbalik tentang sektor swasta tadi, tanggunjawab sosial korporat adalah satu aspek, dan mereka juga ada penekanan tentang tadbir urus. Apabila sebut tadbir urus dalam GLC atau jabatan kerajaan, mereka juga laksanakan.

Contohnya kod etika dalam GLC dan sektor swasta, mereka mewujudkan apa yang dipanggil Whistleblower protection policy (polisi perlindungan penyalur maklumat). Akta Whistleblower ada, tetapi di peringkat swasta, mereka mewujudkan polisi. Selain itu, mereka wujudkan no gift policy (polisi enggan menerima hadiah). Ini antara inisiatif yang telah disebutkan dalam kewujudan UI dan pelaksanaannya dilaksanakan menghasilkan pelbagai bentuk maklumat. Kerana adanya saluran aduan yang dekat. Apabila pegawai kita ada di situ, mereka cepat melaporkan.

Apabila UI ditubuhkan, antara agenda utama ialah pemantauan dari segi pihak agensi kerajaan, GLC dan swasta. Mungkin boleh dikembangkan kepada parti-parti politik?

MUSTAFAR: Tentunya, kalau hendak kata idealis, kita alu-alukan. Dalam mana-mana parti politik, ada lembaga disiplin. Dalam lembaga disiplin ini ada terma-terma tertentu seperti siapa lembaga, apa dibincangkan dan apa bentuk salah laku yang ditentukan. Tetapi untuk meletakkan pegawai SPRM di pelbagai tempat, bunyinya bagus, tetapi lebih bagus kalau kita melatih pegawai-pegawai mereka untuk menjadi CeIO dari dalam.

Sekarang ini sudah ada 887 institusi sudah mewujudkan UI. Bayangkan kalau 887 orang pegawai SPRM diletakkan, berapa kerat yang tinggal. Kita ada 2,000 lebih pegawai SPRM tetapi 1,000 orang lebih yang melaksanakan operasi. Kalau letakkan 887 orang, separuh termasuk pegawai kanan terpaksa diletakkan di sana. Sekarang ini memang pun, ada GLC yang minta dan kementerian yang berisiko tinggi, kita hantar sampai peringkat JUSA sebab permintaan begitu. Ada yang gred 54 dan kita hantar ramai. Selepas itu gred 44 dan 48.

Kalau kita hantar pegawai kita untuk ditempatkan di dalam parti-parti politik, kita terpaksa menghantar ramai pegawai kita ke luar. Jadi, bagusnya kalau kita melatih pegawai dalaman sebagai CeIO dan balik ke institusi masing-masing melaksanakan apa yang terma-terma rujukan tentang aspek integriti. Itu yang kita buat untuk risiko rendah. Pegawai-pegawai dalaman sendiri yang mengendalikan UI.

Tidakkah lebih baik aspek integriti ini ditekankan dari peringkat kanak-kanak bermula dari sekolah rendah untuk kesedaran. Seperti kata peribahasa, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.

MUSTAFAR: Itu sangat mulia. Tetapi dalam pendekatan yang sama, kita melaksanakan dengan mewujudkan elemen kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan nilai murni dan pencegahan rasuah. Kalau di peringkat sekolah, di tahun enam contohnya kita ada buku teks yang mengandungi selain isu-isu sivik, ada isu melibatkan pencegahan rasuah di peringkat sekolah. Tahun ini telah dimulakan. Mulai tahun ini juga kita membincangkan untuk mewujudkan modul itu dalam buku teks untuk tingkatan satu dan ke atas. Itu untuk sekolah rendah dan menengah.

Untuk institusi pengajian tinggi (IPT) baik awam atau swasta, kita mewujudkan sekretariat pencegahan rasuah (SPR). Semua IPT khususnya awam telah tubuhkah SPR ini. Di dalamnya adalah program yang dilaksanakan dan kita ada sedikit sebanyak peruntukan untuk menjalankan program dengan mereka. Kita bantu dari segi melatih atau mendidik atau memberikan pendedahan bagaimana pencegahan rasuah boleh dilakukan. Sudah ada sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mewujudkan sekretariat ini.

Dalam kesempatan yang sama, saya sendiri telah mencadangkan dan mewujudkan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu majlis eksekutif sekretariat pencegahan rasuah, di mana kita kumpul ketua-ketua sekretariat ini untuk membincangkan program-program yang boleh dilaksanakan di peringkat IPT masing-masing. Itu pada peringkat IPT. Apabila ahli SPR ini habis belajar, mereka akan tubuhkan alumni sekretariat pencegahan rasuah yang dipanggil ASPIRA. Mereka mungkin menjadi profesional atau ketua pegawai eksekutif syarikat dan sebagainya, mereka masih bersama-sama dengan SPRM bagi menerajui di luar sana. Kalau mereka sebagai NGO, mereka akan terajui pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah yang telah mereka terdedah dan pelajari dalam SPR semasa di peringkat IPT. Jadi, ia berterusan dan kita akan kembangkan.

Masalah seperti penerokaan haram di Cameron Highlands, mesin judi, judi dalam talian dan juga pendatang asing tanpa izin sering dikaitkan dengan kelemahan agensi penguatkuasaan. Ini menyebabkan timbulnya persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa wujud elemen rasuah dalam agensi kerajaan, sekali gus memberikan imej buruk terhadap agensi kerajaan. Komen Datuk Seri?

MUSTAFAR: Persepsi memang sentiasa dilontarkan. Apabila dilontarkan persepsi negatif, adakah ia persepsi atau realiti? Apa yang selalu dibincangkan ialah bagaimana untuk menangani permasalahan ini. Apabila sebut penguatkuasa undang-undang, memang ada perkara ini kita bincangkan. Dalam aspek menangani persepsi itu, kita tekankan tiga strategi. Strategi pertama ialah penguatkuasaan undang-undang, baik kita kata ada pelanggaran undang-undang, tangkapan, siasatan, dakwaan di mahkamah dan sebagainya. Aspek kedua iaitu pencegahan, kita tengok balik di mana agaknya ruang dan peluang perlakuan rasuah ini berlaku.


Contoh isu Cameron Highlands, tangkapan dibuat terhadap beberapa peneroka tanah haram dan anggota agensi penguat kuasa undang-undang. Tetapi kita tengok elemen pencegahan, kenapa ini berlaku, termasuk kelemahan pengeluaran lesen, penerokaan tanah secara haram yang tidak dikuatkuasakan, atau adanya orang awam yang tidak bersama-sama untuk memastikan pematuhan undang-undang dan sebagainya. Apa sahaja insiden berlaku di sana, kita telah perbetulkan. Setelah kita buat pemeriksaan dan perundingan, kita telah keluarkan 12 cadangan. Saya telah keluarkan kenyataan media tahun lepas. Dua belas cadangan ini yang diperakukan, malah kita berjumpa dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri.

Saya sendiri bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama dengan Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), kita bentangkan apakah langkah-langkah terbaik untuk memastikan perkara yang berlaku tidak akan berlaku lagi, bagaimana mengekangnya memastikan pematuhan berlaku dan bagaimana kesepaduan antara masyarakat tempatan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, kerajaan negeri dan kementerian melaksanakan bersama-sama.

Apa saya sebut ini ialah tidak boleh bertindak seorang, sebaliknya semua pihak mesti bersama-sama menanganinya. Lebih-lebih lagi kalau agensi yang sepatutnya melihat secara lebih dekat. Jabatan Pengairan dan Saliran misalnya, yang mesti memastikan keadaan sama ada sungai, saliran dan pengairan tidak berlaku apa yang tidak diingini. Jabatan Alam Sekitar secara umumnya tentang pencemaran sampah sarap, bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai dan sebagainya. Pejabat tanah juga perlu melihat sama ada cerun-cerun yang tidak boleh ditarah itu ditarah dan apa tindakan tegas yang perlu diambil.

Langkah pencegahan ini kita tidak tamatkan di situ. Ada strategi ketika iaitu pendidikan masyarakat. Dalam Bahagian Pendidikan Masyarakat yang kita ringkaskan sebagai PenMas di SPRM ini, kita mendidik anggota penguatkuasaan undang-undang supaya berintegriti, jangan lakukan rasuah dan pastikan pematuhan dilaksanakan. Tetapi masyarakat yang hendakkan keuntungan atau apa sahaja dengan meneroka tanah, kita mendidik mereka bahawa bumi ini adalah bumi kita. Kalau hancurkan bumi ini sekarang, dalam tempoh 30 tahun akan datang langsung hancur, anak cucu hendak duduk mana. Jadi, pendidikan itu kita selarikan dan sepadukan sampai akhir nanti pencapaian-pencapaian itu dilaksanakan.

Apakah yang seharusnya dilakukan oleh agensi kerajaan supaya imej tidak terjejas?

MUSTAFAR: Biasanya pihak swasta, agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian, mungkin ada yang dipanggil sebagai “menyembunyikan di bawah karpet”. Mereka ambil tindakan sendiri sahaja. Tetapi menutup sesuatu kes supaya tidak terdedah dan memalukan, sebenarnya lebih teruk lagi apabila pendedahan-pendedahan kemudian yang dibuat selepas perkara lebih buruk berlaku. Kalau kita berlaku jujur dan amanah, kita nampak kelemahan berlaku, kita bersama-sama dengan jabatan-jabatan lain untuk menangani permasalahan tersebut. Jangan sampai nanti selepas tiga orang mati tertimbus dalam lumpur misalnya dan selepas itu berlaku lagi lima orang. Takkan kita hendak tunggu sampai 300 orang mati tertimbus sekali atau lebih ramai lagi. Pada masa itu, kemusnahan lebih besar lagi akan berlaku.

Bercakap tentang isu Cameron Highlands hari itu, saya panggil tujuh agensi penguatkuasaan undang-undang ke pejabat saya dan kita bincangkan. Kita bersepadu. Di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lahad Datu, ada juga elemen-elemen integriti penguatkuasa undang-undang yang kita bincangkan. Ketirisan yang berlaku yang dipanggil Op Licin apabila ketirisan penyeludupan PATI khususnya yang datang dari utara sempadan tanah air. Kita buat mesyuarat dan kesepaduan. Kita berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang menjaga integriti tadbir urus, kertas itu dibangkit dan dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Selepas itu, saya bentang dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri. Hasil daripada itu, ada inisiatif-inisiatif seperti Agensi Keselamatan Sempadan ditubuhkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menubuhkan satu agensi yang mensepadukan, yang namanya dulu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), termasuk bagaimana kastam, imigresen dan angkatan tentera yang menjaga sempadan. Semua ini dibuat supaya cara bersepadu melihat isu itu. Persepsi negatif yang dilemparkan mungkin menimbulkan kesedaran, cara-cara proaktif pun ada diambil sebelum kerosakan berlaku.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/terap-budaya-benci-rasuah-1.199904#sthash.V3gDgYKq.dpuf

Wednesday, March 9, 2016

SPRM tahan CEO bank

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank milik kerajaan di Sabah.
China Press melaporkan siasatan itu melibatkan pinjaman komersial bernilai lebih seratus juta dan CEO itu disyaki menerima suapan untuk meluluskan pinjaman itu.
Ini merupakan kali pertama SPRM melakukan siasatan terhadap CEO bank.
"Selepas menerima maklumat yang boleh dipercayai, SPRM telah menahan CEO ini pada petang 8 Mac. Turut ditahan ialah seorang orang tengah yang juga bekas pekerja bank," kata sumber.
Akaun bank kedua-dua suspek telah dibekukan dan suspek utama iaitu CEO dan isterinya menyimpan lebih RM6 juta dalam akaun mereka.
SPRM turut menyita sebuah kereta mewah dan seutas jam tangan mewah.
Lebih banyak individu yang terlibat dalam kes itu dijangka akan ditahan dalam masa terdekat.
Sumber : http://www.malaysiagazette.com/ms/akhbar-cina/sprm-tahan-ceo-bank

Lelaki Dijatuhi Hukuman Penjara Tujuh Hari Dan Denda RM10,000 Kerana Beri Rasuah


KUCHING, 9 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai penguatkuasa, tahun lepas.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu ke atas Lai Mo Jen, 41, selepas dia mengaku bersalah memberi rasuah RM1,500 tunai kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa Muhammad Fitri Anuar Zainal Abidin, sebagai imbuhan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002.

Lai didakwa melakukan kesalahan itu di New Vision Disc Centre, King's Centre Jalan Simpang Tiga, di sini pada 28 Nov tahun lepas, di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sementara dalam satu kes lain, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Abdul Malek Othman didakwa di hadapan hakim yang sama kerana membuat tuntutan palsu dengan niat memperdaya majikannya.

Tuntutan itu palsu adalah untuk "Bayaran Elaun Petugas Pelapor Peti Undi April 2012" and "Pengakuan Kehadiran Anggota RELA" untuk anggota RELA, yang bertugas sebagai "Pelapor Undi di Asajaya untuk Bulan April" berjumlah RM14,848 berserta baucar yang mengandungi butiran palsu bahawa 70 anggota RELA hadir.

Padahal, terdapat 58 anggota RELA yang tidak bertugas dalam acara itu.

Abdul Malek mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu dan mahkamah menetapkan 4 April ini untuk sebutan kes dan empat hari untuk perbicaraan bermula 11 April.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 itu, di Ibu pejabat RELA Sarawak, No 176, Lot 28, Blok 10 KCD, Jalan Rock, di sini pada 4 Julai, 2012.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Law Chin How.

Pembantu Veterinar didenda RM20,000 terima rasuah

JOHOR BAHRU: Seorang Pembantu Veterinar dijatuhkan hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen sebentar tadi, terhadap tuduhan menerima rasuah bernilai RM10,800 berhubung program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF), dua tahun lalu.


Tertuduh, Roslizan Hassan, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Roslizan yang bertugas di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kulai dituduh menerima RM10,800 menerusi akaun bank isterinya, Saadiatul Ramniza Mohd Saad pada 13 Januari 2014 antara jam 9.15 pagi hingga 4.30 petang di Maybank Jalan Intan 2/1, Taman Intan dekat Kluang di sini.

Dia dituduh menerima wang rasuah itu dari Ketua Pegawai Operasi, Syarikat Gembala Utama Sdn Bhd, Zaiton Ibrahim Mohd Zahir supaya membekalkan tiga lembu jantan baka Brahman kepada penternak tetapi tidak berbuat demikian.

Roslizan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Fazlen Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/132135

Dua dituduh terbabit rasuah isu kuota beras ST15

ALOR SETAR: Dua pemilik syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap tiga pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM135,00, dua tahun lalu.


Tertuduh, Nor Azamuddin Ahmad, 47, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 300 metrik tan untuk seorang pemilik syarikat pada Mei hingga Julai di Kulim, dua tahun lalu.

Seorang lagi tertuduh, Farid Idris Khan, 36, dituduh bersubahat dengan tertuduh pertama dalam ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa secara berasingan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Nor Azamuddin dituduh menerima suapan RM45,000 daripada Datuk Noridan Spee Yee selaku pemilik syarikat DCT Bakery Sdn Bhd, sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi pernigaan MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise bagi Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 69, Persiaran KCT 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada jam 10 malam, 4 Mei 2014.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Azamuddin dituduh mengulangi kesalahan sama dengan menerima suapan masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk kononnya mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan sama bagi bulan Jun dan Julai 2014.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu masing-masing pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi dan masa yang sama.

Farid pula dituduh bersubahat menerima rasuah secara keseluruhan berjumlah RM135,000 pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan.


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/132175