Monday, December 18, 2017

Bekas Timbalan Pengarah JANS didakwa ubah wang haram RM32 juta

KOTA KINABALU 13 Dis. - Selepas lebih setahun menjalankan siasatan terhadap skandal rasuah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), seorang lagi bekas timbalan pengarah jabatan itu diheret ke muka pengadilan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Teo Chee Keong, 52, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini merupakan suspek keempat yang didakwa selepas tiga lagi suspek turut menghadapi nasib yang sama sebelum ini.

Chee Keong yang ditahan SPRM semalam mengaku tidak bersalah terhadap 146 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM32 juta melalui penerimaan wang rasuah melibatkan projek JANS antara tahun 2005 dan 2016.

Sebanyak 78 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu ke­salahan memiliki 70 bidang ta­nah hasil aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.

Sejumlah 68 pertuduhan pula di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama iaitu melibatkan enam kesalahan memiliki wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM7,930,810 dan 62 kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil aktiviti haram di lapan institusi kewangan berjumlah RM12,287,240.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd. Hafiz Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng serta Hamis Ismail.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan dua penjamin tempatan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap hari Sabtu manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan serta menetapkan pe­ngurusan kes pada 16 Januari tahun depan.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Tengku Amir Zaki berkata, beliau akan memohon kepada mahkamah supaya pertuduhan ini dibicarakan se­rentak dengan kes yang turut membabitkan JANS yang sedang berjalan.

Pada 4 Oktober tahun lalu, Chee Kong ditahan pertama kali oleh SPRM bersama bekas pe­ngarah jabatan itu, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, di pejabat mereka dan hasil siasatan berjaya menemukan wang tunai sebanyak RM52 juta iaitu RM45 juta milik Awang Mohd. Tahir manakala RM7 juta lagi miliknya.

Selain penemuan ber­kenaan, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank yang mencecah nilai RM30 juta di luar negara, geran-geran tanah serta pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM10 juta.

Pada 29 Disember 2016, tiga suspek telah didakwa di mahkamah iaitu Awang Mohd. Tahir membabitkan tuduhan pecah amanah RM56.9 juta, isterinya, Fauziah Piut, 51, atas tuduhan pemilikan wang haram sebanyak RM2.2 juta serta seorang lagi bekas timbalan pe­ngarah JANS, Lim Lam Beng, 62, atas tuduhan memiliki kenderaan mewah serta wang tunai secara haram sebanyak RM2.38 juta.


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-bekas-timbalan-pengarah-jans-didakwa-ubah-wang-haram-rm32-juta-1.572507#ixzz51gtcgsL7 

Wanita dipenjara 6 tahun, denda RM1.075j

KUALA TERENGGANU 13 Dis. – Seorang pembantu tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dihukum penjara enam tahun dan denda RM1.075 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap tender pembekalan telur dan susu di HSNZ.
Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz memutuskan demikian selepas tertuduh, Noormazida Mukhtar, 28, ibu kepada dua orang anak mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Noormazida turut berdepan hukuman penjara tambahan enam tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh kedua, Mohd. Fikri Izani yang juga suami Noormazida pula dibebaskan daripada sebarang pertuduhan selepas re­presentasi yang dikemukakan oleh peguamnya telah dibenarkan oleh Pejabat Peguam Negara pada 16 November lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Noormazida didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembekalan telur berjumlah keseluruhan RM113,066 yang sebenarnya tidak wujud kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ antara 12 Februari dan 31 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntu­tan palsu pembekalan susu berjumlah RM98,580 yang sebenar­nya tidak pernah dibekalkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ pada 11 Jun dan 3 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, Noormazida yang mempunyai akses ke atas sistem kewangan HSNZ menyediakan pesanan kerajaan kepada syarikat KAB Adil Resources milik Mohd. Fikri yang menjalankan perniagaan dan pengedaran garam bukit bagi tujuan perubatan alternatif.

Tertuduh kemudian meluluskan sendiri pesanan kerajaan tersebut menggunakan akses masuk milik Pegawai Penye­diaan Makanan di unit berkenaan tanpa kebenaran selain menyediakan nota penghantaran, invois serta surat persetujuan menerima bekalan kepada bahagian kewa­ngan HSNZ bagi proses pembayaran.

Hasil daripada tuntutan palsu berjumlah RM211,646 itu digunakan oleh tertuduh untuk membeli stok garam bukit, pembelian emas, pembinaan sebuah rumah atas tanah lot serta pembelian sebuah motosikal yang kemudiannya disita oleh SPRM selain turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,904.

Kes dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wanita-dipenjara-6-tahun-denda-rm1-075j-1.572335#ixzz51gsvrQS9 

Saturday, December 9, 2017

‘Sehati Sejiwa’ banteras gejala rasuah

HARI Anti Rasuah Antarabangsa 2017 yang disambut hari ini dimeriahkan dengan pelbagai program untuk mendekati dan mendidik masyarakat meme­rangi ge­jala rasuah.
Sambutan bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ yang berlangsung di tapak Fiesta Belon Udara Panas di Presint 2 Putrajaya itu adalah rentetan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang memilih tarikh 9 Di­sember sebagai Hari Anti Ra­suah Antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pendi­dikan Masyarakat Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah berkata, sinonim dengan hasrat untuk mendekati golongan muda, pada tahun ini pihaknya membuat kelainan untuk acara sambutan.

“Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2017 dimeriahkan dengan acara larian dan kayuhan. Pelbagai akti­viti lain turut diterapkan seperti zumba, food truck; gerai pameran; cabutan bertuah dan juga nyanyian artis jemputan.

“Aktiviti berkenaan sinonim dengan golongan muda. Di sam­ping mereka menyertai program-program yang dianjurkan, kita akan selitkan dengan ke­sedaran untuk me­merangi rasuah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Samat, acara utama sambutan yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 te­ngah hari itu adalah larian sejauh lima kilometer dan kayuhan sejauh 10 kilometer yang berjaya menarik kira-kira 1,000 penyertaan.

“Pada tahun ini, kita masih mengekalkan tema seperti tahun lepas iaitu ‘Sehati Sejiwa Meme­rangi Rasuah’. Tema ini sebenar­nya membawa erti besar kepada SPRM dalam memerangi rasuah kerana amat menyentuh sanubari masyarakat.

“Dengan kejayaan yang dicapai, kita kekalkan tema sambutan pada tahun ini kerana ia le­bih untuk mendidik masyarakat supaya bersatu memerangi rasuah. Penyatuan itu menyebabkan kita sepakat untuk menolak gejala rasuah daripada terus berlelua­sa,” katanya.

Ketika mengulas lanjut mengenai program pencegahan rasuah, Abdul Samat berkata, SPRM di bawah pentadbiran Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad telah me­laksanakan pelbagai pembaharuan termasuk mendidik golongan muda memerangi rasuah.

“Kita telah wujudkan pelbagai program dalam usaha memera­ngi rasuah, misalnya Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) yang disertai lebih 147,000 orang dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang ditandatangani 700 kementerian, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“SPRM juga membuat jalinan bersama penuntut universiti me­lalui program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) yang berjaya sebagai medium pendidikan,” katanya.

Menurutnya, sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2017 bukan bermakna gejala rasuah di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan, sebaliknya sam­­butan itu lebih kepada usa­ha untuk mendidik masyarakat memerangi gejala tersebut.

“SPRM mengambil langkah tepat dengan menyasarkan go­longan muda untuk sambutan kali ini kerana kita tahu golo­ngan ini akan menjadi tunjang pentadbiran negara pada masa depan sesuai dengan Tansformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita ingin mencorak masa depan negara mulai sekarang dan Malaysia juga berada di landasan tepat untuk bebas daripada gejala ra­suah. Sekarang kita dapat lihat pelbagai operasi dan penahanan dibuat, sekali gus membuktikan segala program pencegahan kita berjaya,” katanya.

Katanya, SPRM sedang berusaha memasukkan elemen pen­cegahan ra­suah dalam sistem pendidikan negara dan perkara itu telah dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, baru-baru ini untuk mendapat maklum balas daripada kementerian itu.

“Pada tahun depan juga, sebagai projek perintis, kursus pen­cegahan rasuah akan diperke­nalkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai elektif kepada penuntutnya. Saya berharap universiti-universiti lain akan mengikut jejak UKM untuk bersama-sama memerangi rasuah,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-sehati-sejiwa-8217-banteras-gejala-rasuah-1.569571#ixzz50ogJCBmv 

Friday, December 8, 2017

RM19.97 JUTA WANG SITAAN OPS JANS DILUCUTHAKAN, SERAH KEPADA KERAJAAN MALAYSIA

Pada 4 Oktober 2016 yang lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan satu operasi yang melibatkan penyelewengan dana oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Pada fasa pertama operasi yang dilancarkan itu, pasukan penyiasat telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Sementara itu, pada fasa kedua pada Januari 2017 lalu, SPRM turut menahan seramai 35 Ketua Bahagian dan Daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan tersebut.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM telah membuka 10 kertas siasatan dan telah menfailkan pelucuthakan wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta di bawah Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada Mahkamah Kota Kinabalu.

Semalam, pada 7 Disember 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Nurcahaya Arshad telah mengeluarkan keputusan untuk melucuthakan sejumlah RM19.97 juta wang tunai daripada jumlah keseluruhan wang dan akaun bank yang disita tersebut dan diserah kepada Kerajaan Malaysia.

Manakala keputusan untuk melucuthakan baki wang yang disita berjumlah RM1.8 juta telah ditetapkan perbicaraannya pada 13 Disember 2017.

Dalam prosiding tersebut, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, Mohd Farez Rahman dan Rozanna Abdul Hadi.

‘Ops JANS' ini telah berjaya membongkar satu kegiatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan hampir kesemua pegawai di jabatan tersebut dengan rampasan wang tunai terbesar di negara ini sejak penubuhan agensi pencegahan rasuah ini.

Kejadian ini perlu dijadikan satu iktibar oleh semua pihak untuk memastikan kejadian penyelewengan sebegini tidak berulang dan berlaku di mana-mana agensi lain.

SPRM memandang serius perkara sebegini yang boleh membantutkan pembangunan negara sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan serta menyebabkan rakyat sengsara akibat penyelewengan peruntukan yang disediakan tidak sampai kepada mereka.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

8 DISEMBER 2017

Monday, December 4, 2017

Keyakinan terhadap SPRM melonjak

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap agensi antirasuah itu semakin melonjak, hasil usaha­nya melaksanakan pelbagai inisiatif dan kempen membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sejak beliau dilantik mengetuai suruhanjaya itu, SPRM amat menekankan operasi secara agresif dalam menguatkuasakan undang-undang banteras rasuah, termasuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat atau darjat individu yang melakukan rasuah.

Katanya, boleh dikatakan se­tiap minggu akan ada individu yang ditahan atau didakwa atas perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri membiarkan SPRM berfungsi tanpa sebarang kongkongan dengan mengarah atau menghalang tindakan diambil terhadap mana-mana individu.

“Saya lihat keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada SPRM telah berubah dan me­ngalami lonjakan.

“SPRM mahu memberi jaminan, sekiranya terdapat sesiapa sahaja mengkhianati amanah-amanah rakyat, mereka tidak akan dibiarkan,” katanya ketika menjadi ahli panel sesi bertajuk Sesi Rasional Memerangi Rasuah dalam Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR) yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Pada masa sama, Dzulkifli optimis kedudukan Malaysia pada kedudukan ke-55 mengikut Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International mampu ditambah baik berdasarkan pelbagai inisia­tif yang dilancarkan oleh SPRM dalam tempoh setahun yang lalu.

“Hasil tindakan agresif setiap minggu dan ditambah pula dengan pelbagai kempen promosi untuk mendidik rakyat supaya menolak rasuah. Insya-Allah kedudukan Malaysia akan menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menekankan satu undang-undang perlu digubal supaya setiap ahli politik mengisytiharkan pembia­yaan politik yang diterima bagi memastikan ketelusan politik di negara ini dipertingkatkan.

“Ada parti politik yang bersetuju tetapi ada yang skeptikal mengenai cadangan tersebut tetapi bagi kami di SPRM, undang-undang itu amat diperlukan,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-keyakinan-terhadap-sprm-melonjak-1.566712#ixzz50L99Xvd9 

Perbezaan pendapat bukan halangan banteras rasuah

KUALA LUMPUR: Sokongan semua pihak tanpa mengira perbezaan pendapat, latar belakang dan fahaman politik perlu digembleng untuk membebaskan negara daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perjuangan menentang rasuah tidak mengenal masa dan tempat serta memerlukan kerjasama tidak berbelah bahagi daripada semua pihak termasuk golongan belia di negara ini.

"Jika kita ingin berjaya dalam usaha memerangi rasuah, kita perlu melaksanakan pembanterasan di semua peringkat dan platform.

"Kita perlu menjadi negara yang paling lantang bersuara menentang dan bebas rasuah," katanya berucap merasmikan wacana Kemuncak Pengupayaan Generasi Muda (MES) anjuran Biro Pelajar Luar Negara (BPLN), hari ini.

Program sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, mulai esok hingga Sabtu ini, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti.

Reezal Merican yang juga Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara (BPLN) berkata, usaha membanteras gejala rasuah bukan saja dituntut atas dasar cintakan negara, malah amat digalakkan dalam Islam bagi membentuk jati diri yang menolak apa saja bentuk penerimaan dan suapan berkaitan rasuah.

Sementara itu, Presiden Kelab UMNO Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah berkata, persepsi rasuah tidak seharusnya dikaitkan dengan parti politik, sebaliknya siasatan perlu menyeluruh tanpa mengira fahaman politik.

"Dalam menangani rasuah,  fakta atau maklumat perlu sahih berbanding dengan  permainan persepsi," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/358609/perbezaan-pendapat-bukan-halangan-banteras-rasuah

Tangani korupsi libatkan golongan muda

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Sidang Kemuncak Pemer­kasaan Generasi Baharu yang memberikan tumpuan kepada isu rasuah diyakini mampu membentuk generasi muda yang bebas daripada sebarang bentuk korupsi.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, isu rasuah yang wujud sejak sekian lama diharap mampu ditangani pada masa hadapan sekiranya generasi muda menolaknya daripada peringkat awal.

“Rasuah bukan perkara baharu tetapi sudah ada sejak dahulu lagi, cuma bagaimana cara ia dijelmakan, pada masa kini lebih mudah kerana zaman semakin canggih.

“Tiada apa yang lebih bernilai daripada integriti dan tamadun negara akan terus diangkat sekiranya mempunyai integriti tinggi,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ke­tua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menjadi salah seorang panel dengan membawakan tajuk Sesi Rasional Memerangi Rasuah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Duta Transformasi Nasional 2050 (TN50), Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin pula membawa tajuk Dialog TN50x - Ke Arah Masyarakat Berintegriti dan Bebas Rasuah.

Reezal Merican yang juga Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO berkata, integriti merupakan elemen terpenting dalam mentadbir sesebuah negara dan ia merangkumi semua sektor sama ada awam atau swasta.

“Perjuangan memerangi ra­suah perlu dilakukan secara ber­terusan dan tidak berpenghujung, malah cabaran meme­ranginya juga sentiasa berubah mengikut perubahan zaman.

“Al-Quran juga ada menyebut manusia yang menjadi pemimpin bukan sahaja perlu mempunyai kelayakan tertentu, tetapi perlu ada akauntabiliti,” katanya.


http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-tangani-korupsi-libatkan-golongan-muda-1.566709#ixzz50L9NnnUA 

SPRM Janji Dakwa Pesalah Rasuah Tanpa Gentar

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi jaminan bahawa setiap individu yang terlibat dalam rasuah akan didakwa di mahkamah, setiap minggu.
"Saya akan memastikan seseorang akan didakwa di mahkamah dan mengenakan pendakwaan ke atas pesalah setiap minggu. SPRM begitu konsisten dalam hal ini.

"Saya tidak kisah siapa yang didakwa. Saya mahu menggetarkan mereka yang terlibat dalam rasuah," katanya pada sesi dialog bersama Biro Kelab Umno Luar Negara sempena Sidang Kemuncak Pemerkasaan Milenia (MES) 2017 pada Isnin.

Namun apa yang membimbangkan katanya, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan SPRM, 18 peratus daripada 1,000 pelajar universiti memberitahu, mereka akan menerima rasuah sekiranya ditawarkan.

"Trend ini akan berubah mengikut peredaran masa dengan program yang dianjurkan SPRM, dan kita akan memastikan persepsi sedemikian berubah dalam kalangan generasi supaya memberi amalan rasuah," kata Dzulkifli.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/12/04/sprm-jamin/#GDlBvAjf2sUAzTHr.99

SPRM siasat sektor swasta, korporat

KUALA LUMPUR: Kekurangan maklumat dan laporan salah guna kuasa serta rasuah daripada sektor swasta menyukarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan di sektor berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata pekerja sektor swasta perlu tampil memberi maklumat jika ada gejala berkenaan di tempat kerja mereka.

"Walaupun penekanan kami kepada sektor awam, namun dasar SPRM turut menyiasat sektor swasta, korporat dan kerajaan negeri serta mana-mana laporan diterima akan diambil tindakan dan siasatan lanjut.

"Begitu juga pemberi rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan," katanya kepada media selepas menjadi penceramah program Kemuncak Pengupayaan Generasi Muda (MES)  2017 anjuran Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara (BPLN), di sini, hari ini.

Program sehari sempena Perhimpunan Agung UMNO, mulai esok hingga Sabtu ini dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

Seramai 500 peserta menghadiri wacana bertema 'Rasuah'  berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, meminta SPRM tidak hanya menumpukan pembanterasan rasuah dalam sektor awam, sebaliknya swasta dan korporat juga perlu diberi perhatian.

Terdahulu dalam sesi, soal jawab, Dzulkifli berkata beliau tidak pernah menerima tekanan dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyiasat sesuatu kes.

Sebaliknya, SPRM diberi kuasa penuh menyiasat siapa saja tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Mengenai siasatan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hanya dijalankan selepas menubuhkan parti baharu, beliau berkata ia dilakukan selepas menerima laporan mengenainya.

"Tiada isu lambat bertindak dalam kes ini. Bila ada laporan kita akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya, sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa atau sebaliknya.

"Siapa sangka siasatan kes rasuah membabitkan jutaan ringgit  berlaku dalam Jabatan Air di Sabah... ramai terkejut dengan kes berkenaan," katanya. 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/358643/sprm-siasat-sektor-swasta-korporat

Kedudukan ke - 55 sekadar persepsi

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Kedudukan Malaysia yang ke - 55 dalam indeks rasuah berbanding lebih 170 buah negara boleh dipersoalkan.
Luqman Sufyan Junaidi seorang mahasiswa dari Universiti Queen Mary, London melahirkan kembimbangannya terhadap kedudukan Malaysia pada tangga tersebut yang disifatkannya sebagai tinggi.


Lontaran soalan itu dijawab oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam sesi dialog berkaitan Rasional Memerangi Rasuah.


Beliau berkata, indeks tersebut merupakan rekod yang berakhir pada Ogos 2016 yang dilakukan oleh agensi luar negara dan bukannya persepsi rakyat Malaysia.


“Indeks tersebut tidak mencerminkan persepsi rakyat Malaysia kerana ia dilakukan oleh lapan agensi berasingan yang melakukan survey terhadap kumpulan individu yang tidak dinyatakan latar belakangnya.


“Malah tiada siapa dalam dewan ini sedar berapa ramai responden yang diambil untuk menjawab survey tersebut.


“Walau bagaimanapun, terdapat tiga peringkat tindakan dalam mencegah dan memerangi rasuah iaitu mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan setiap minggu, mendidik masyarakat umum tentang kesalahan rasuah termasuk Ikrar Banteras Rasuah (IBR) dan memastikan sistem dalam pentadbiran awam tiada unsur yang boleh mengundang rasuah,” katanya menjawab soalan mahasiswa.


Turut mencuri perhatian adalah mahasiswa dari Universiti Al-Azhar, Mesir, Muaz Abdullah yang melontarkan soalan ke mana duit hasil rampasan SPRM.


Mengambil contoh kes rasuah berlaku di Sabah baru-baru ini melibatkan rampasan wang tunai RM52 juta serta barang kemas yang lain, Muaz bertanya adakah duit tersebut boleh dibelanjakan.


Dzulkfli dalam dialog yang sama menjawab, segala rampasan yang dilakukan oleh SPRM merupakan bahan bukti dan disimpan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.


“Duit dan barangan lain yang dirampas tidak boleh digunakan sehingga urusan pendakwaan dan perbicaraan selesai.


“Sekiranya mahkamah menjatuhkan hukum kepada pesalah rasuah, duit tersebut akan dilucutkan haknya dan dikembalikan kepada kerajaan persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan negara yang sepatutnya” katanya.


Tambah Dzulkifli, beliau boleh mencadangkan kepada kerajaan persekutuan bagi tujuan duit itu digunakan sebagai contoh bagi di Sabah, wang tersebut boleh digunakan untuk pembangunan rakyat di sana.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kedudukan-ke-55-sekadar-persepsi-1.566353#ixzz50HOq3R8G