Monday, February 12, 2018

Bekas tentera tidak mengaku kemuka butiran palsu

KUALA LUMPUR - Seorang bekas tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM36,000.

Mahdzir Abdul Hamid, 58, didakwa mengemukakan invois dan dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung dokumen tuntutan kerja pembaikan tempatan empat unit senjata General Purpose Machine Gun (GPMG) 7.62MM bernilai RM36,440 kepada Mejar Majmi Mehat di ibu pejabat Kementerian Pertahanan pada 27 Mac 2008.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa lima kali denda nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, dan penjara tidak lebih daripada 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabila Kamarudin memohon mahkamah memberikan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahdzir yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan minimum kerana dia perlu menanggung keluarganya dan  merancang untuk melakukan umrah pada 25 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari untuk pengurusan kes.


http://www.sinarharian.com.my/semasa/bekas-tentera-tidak-mengaku-kemuka-butiran-palsu-1.797073

Sunday, February 11, 2018

Rasuah: Jangan takut lapor, beri maklumat kepada SPRM - Dzulkifli

SHAH ALAM 11 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pihak atau individu supaya tidak perlu bimbang membuat laporan atau menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku sama ada dalam syarikat, jabatan atau organisasi di mana mereka bekerja.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebaliknya memberi jaminan bahawa pihaknya akan melindungi serta merahsiakan identiti para pengadu yang tampil mendedahkan amalan tidak bermoral itu supaya siasatan dan tindakan tegas dapat diambil berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada.

"SPRM ini merupakan agensi yang mewakili rakyat Malaysia. Jika ada isu rasuah dan salah guna kuasa berlaku, maka SPRM lah tempat yang mereka boleh harapkan dan bergantung. 

"Kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau orang perseorangan tampil membuat sebarang laporan atau menyerahkan maklumat berkaitan dengan salah laku itu. Mereka tidak perlu takut kerana laporan dan maklumat yang disalurkan kepada SPRM adalah tertakluk kepada kepada kerahsiaan dan kita akan melindungi nama dan identiti setiap pemberi maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid mengadakan 'walkabout' atau lawatan sempena Program Jimat Belanja Dapur (JBD) di Tapak Pasar Tani Seksyen 13, di sini hari ini.

Program JBD merupakan inisiatif yang dilaksanakan FAMA bagi membantu pihak kerajaan mengurangkan maslaah kenaikan harga barang sekaligus meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi pengurangan harga bahan makanan pada kadar lima hingga 20 peratus.

Dalam pada itu,  Dzulkifli turut memaklumkan sehingga kini pihaknya mempunyai lebih 150,000 keahlian Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara menerusi kempen galakan masyarakat membanteras amalan salah laku itu.

Jumlah itu katanya dijangka akan terus meningkat pada masa depan menerusi kerjasama daripada pelbagai pihak meliputi agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-rasuah-jangan-takut-lapor-beri-maklumat-kepada-sprm-dzulkifli-1.606911#ixzz56mftglcV

Saturday, February 10, 2018

SPRM akan lebih agresif – Dzulkifli

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan, pendidikan serta aspek lain dalam memerangi rasuah di negara ini bagi mencapai visi dan misinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pe­nguatkuasaan secara tegas dan lebih proaktif juga bakal dilaksanakan terhadap individu yang terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa.

Menurut beliau, pihaknya juga akan terus bekerjasama de­ngan pelbagai agensi dan pen­jawat awam bagi menja­yakan agenda tersebut.

“Malah lebih banyak program secara berterusan bersama rakyat akan dilancarkan bagi memupuk kebencian terhadap rasuah termasuk dua program besar pada bulan ini.

“Selain itu, satu program baharu bakal dilancarkan minggu depan di seluruh negara sama seperti kempen Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle (3J). Bagaimanapun, kita tidak boleh dedahkan kempen itu. Tung­gulah nanti,” katanya da­lam sidang akhbar selepas Program Menembak Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pe­ngurusan & Profesionalisme) SPRM, Datuk Jaafar Mahad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Penolong Pengarang Utusan Malaysia (Pro­sesan), Rozaman Ismail dan Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, Mohd. Ridz­wan Md. Iman.

Dalam program itu, kumpulan dianggotai Rozaman merangkul juara dalam acara jatuhan piring VIP manakala kumpulan Mohd. Ridzwan memenangi tempat ketiga bagi acara sama.

Dzulkifli memberitahu, pihak­nya sedang merancang pelaksana­an program bersama golongan wanita dan pelajar sekolah.   

Ujarnya, program berkaitan wa­nita diadakan sempena tema tahun ini iaitu usaha memperkasakan wanita yang dijangka dilancarkan pada Mac depan.

“Saya juga berharap lebih ba­nyak lagi acara SPRM bersama media dianjurkan kerana kedua-dua agensi ini saling memerlukan. Pihak media memainkan peranan penting dalam me­nyampaikan mesej perangi rasuah kepada masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 100 pe­ngamal media daripada 20 agensi media menyertai pertandingan menembak yang julung kali dianjurkan SPRM di bawah kepimpinan Dzulkifli sejak mengambil alih jawatan tersebut pada 1 Ogos 2016.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-akan-lebih-agresif-dzulkifli-1.606731#ixzz56lBPe9NU 

Wednesday, February 7, 2018

Dua anggota polis didakwa rasuah RM10,000

SEREMBAN: Seorang anggota polis dan rakan setugasnya yang sudah diberhentikan kerja, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000 empat tahun lalu.

Koperal Norfazlizan Mat Zain, 34, dan Mohd Fairuz Abd Jalil, 37, yang sebelum ini berpangkat konstabel, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000; RM5,000 dan RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk melepaskan, seterusnya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa dan menjual rokok seludup di Taman Kiara, Sikamat, di sini.

Perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Sikamat, kedai serbaneka di Taman Sri Pulai dan Berek Balai Polis Sikamat di sini, antara 7 sehingga 13 Disember 2014.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi. Mohd Fairuz diwakili peguam Haijan Omar, manakala Norfazlizan tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan mengurangkan jumlah ikat jamin, Haijan memberitahu mahkamah, anak guamnya sudah diberhentikan kerja sejak setahun lalu, manakala Norfazlizan memberi alasan isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/386090/dua-anggota-polis-didakwa-rasuah-rm10000

Buat tuntutan palsu, 8 penolong pegawai perubatan didenda

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda kepada lapan penolong pegawai perubatan selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu kerja lebih masa pada tahun 2016.

Hakim Abu Bakar Manat mengenakan denda RM15,000 kepada Mohd Rosidih Mohd Saidi, manakala Jaduin Untop (RM18,000); Terence Linchos (RM17,000); Zulkifli Arun (RM14,000); Noor Salim Mohd Zin dan Mohd Akmal Hafiz Mohd Ariff masing-masing RM12,000 serta Juraineh Musalim (RM7,000).

Mereka boleh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Seorang lagi tertuduh, Naza Fadirul @ Mick Ab Satar dikenakan denda RM20,000 dan penjara empat bulan jika gagal menjelaskannya.

Semua tertuduh adalah pembantu perubatan di Klinik Mata Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini yang didakwa membuat tuntutan palsu kerja lebih masa di Jabatan Akauntan Sabah di Wisma Perindustrian antara 1 Februari dan 30 Jun 2016.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar menasihati semua pesalah menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.

"Sekiranya anda masih bekerja, sila pastikan integriti dan tidak mengambil kesempatan, berfikir sebelum bertindak kerana ia bukan saja memalukan diri sendiri, malah keluarga," katanya.

Semua tertuduh didakwa membuat tuntutan palsu kerja lebih masa bagi Januari hingga Mei 2016 di Pejabat Akauntan Negara, Sabah dan Pejabat Klinik Mata, QEH antara Februari hingga Jun 2016.

Mengikut kertas pertuduhan, Naza Fadirul, 33, didakwa atas 20 tuduhan membabitkan tuntutan palsu RM22,216.61 dan RM43,685.65, manakala Mohd Akmal, 26, dengan tuntutan RM12,842.26 dan RM10,661.89.

Lima lagi iaitu Mohd Rosidi, 38; Terence, 38; Jaduin, 30; Zulkifli,28, dan Noor Salim, 27, didakwa membuat tuntutan palsu antara RM13,466.89 hingga RM19,992.63.

Tertuduh wanita, Juraineh, 27, pula berdepan tiga tuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM8,647.40 iaitu bagi Mac hingga Mei 2016.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hadi dan Rustam Sanip mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala Noor Salim dan Mohd Akmal diwakili peguam Hairul Vyron serta yang lain diwakili peguam Ram Singh.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/386114/tuntutan-palsu-8-penolong-pegawai-perubatan-didenda

Tuesday, February 6, 2018

Rasuah: Operator tapak dijel dan denda

KUALA LUMPUR - Seorang operator tapak pelupusan sampah haram dipenjara sebulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM4,000 kepada pegawai penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap N Thinesh, 28, selain memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, K Jaikumaran itu dipenjara 20 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Thinesh didakwa memberi suapan wang tunai RM4,000 kepada Pegawai SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd Zaki Harry Susanto @ Mohd Zaki Mohamad sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menyita empat lori yang berada di tapak tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang Kompleks Komuniti Muhibbah, Jalan 4/155, Bukit OUG, di sini kira-kira jam 10.30 pagi, 19 September tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.


http://www.sinarharian.com.my/semasa/rasuah-operator-tapak-dijel-dan-denda-1.794691

Monday, February 5, 2018

Dituduh salah guna wang JMB

KUALA LUMPUR: Seorang bekas setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kondominium dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah lebih RM60,000 milik badan pengurusan itu, lima tahun lalu.

Francis Tan Hui Kiat, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan masing-masing dihadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan sembilan cek palsu berjumlah RM60,780 milik Megan Ambassy Management Corporation.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di RHB Bank Berhad Cawangan Plaza OSK, Jalan Ampang di sini antara 8 Februari 2013 dan 19 April 2016.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467, kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam K Ashok.

Terdahulu, Amer menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun Ashok memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac ini untuk serahan dokumen.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/384861/dituduh-salah-guna-wang-jmb

Sunday, February 4, 2018

Penjawat awam alami krisis integriti

ALOR SETAR: Kebanyakan penjawat awam menghadapi krisis integriti apabila sering kali dikaitkan dengan kes rasuah sehingga dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar, berkata situasi itu ternyata tidak sihat untuk institusi penjawat awam di Malaysia dan ia harus dibendung sebelum menjadi barah.
Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan saringan berhubung rekod integriti terhadap mana-mana penjawat awam yang dinaikkan pangkat oleh pihak pengurusan masing-masing.
"Sekarang ini, penjawat awam hadapi krisis integriti kerana mereka tak takut terbabit dengan rasuah. Atas sebab itu, sudah tiba masanya diwujudkan saringan integriti sebelum mana-mana penjawat awam itu dinaikkan pangkat, selain melakukan pemeriksaan latar belakang mereka," katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis bersama dua lagi individu pada 30 Januari lalu oleh SPRM kerana disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa.
Hasil siasatan SPRM mendapati, suspek dipercayai memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit membabitkan pelbagai aset mewah, termasuk memiliki sebuah kilang memproses air di Perlis.
Pada masa sama, Akhbar berkata, pegawai atasan harus memainkan peranan dengan peka terhadap tindakan kakitangan, termasuk gaya hidup mereka.
"Mengapa pegawai atasan tidak mengawasi kakitangan mereka? Takkan tak boleh nampak mereka ini mampu hidup mewah atau terlalu rapat dengan pelanggan.
"Individu yang mempunyai latar belakang integriti yang lemah tidak seharusnya dinaikkan pangkat meskipun mereka mempunyai kelayakan dan kehebatan dalam tugas masing-masing.
"Ini kerana kegagalan mereka menjaga integriti mampu mendatangkan kerugian buat kerajaan," katanya.
Beliau berkata, selain tindakan cekap SPRM dalam membanteras kes rasuah di negara ini, komitmen sama juga harus ditunjukkan oleh pihak lain, termasuk pendakwa raya dan sistem kehakiman negara.
"Mahkamah seharusnya menjatuhkan hukuman seberat-beratnya dalam memberi pengajaran selain memastikan mereka serik terbabit dalam jenayah ini, " katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/384149/penjawat-awam-alami-krisis-integriti

Thursday, February 1, 2018

Direman, didakwa salah guna kuasa, rasuah

KES 1

Kes suapan Pengarah JPS Perlis, akaun RM4j dibeku,

ALOR SETAR 30 Jan. - Sebanyak 13 lagi akaun bank membabitkan wang sebanyak RM1.1 juta dipercayai hasil rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis serta dua pemilik syarikat dibekukan hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, angka terbaharu itu menjadikan wang milik pe­ngarah berusia 60 tahun tersebut, anak-anaknya serta pemilik syarikat yang telah dibekukan berjumlah kira-kira RM4 juta.

“Semalam kita menangkap suspek pertama di pejabatnya di Perlis manakala dua lagi yang berumur 50 dan 39 tahun ditahan di pejabat SPRM Kedah. Kita juga rampas wang tunai RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat dan bekukan empat akaun berjumlah RM2.9 juta.

“Hari ini, kita membekukan RM1.1 juta lagi daripada 13 akaun milik suspek pertama serta anak-anaknya dan pemilik syarikat. Selain itu, kita juga menyita sebuah motosikal milik pengarah berkenaan yang dianggar bernilai RM18,000,” katanya selepas meng­hadiri Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah di sini di sini.

Menurut Mohd. Fauzi, pihak­nya tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan baharu selepas siasatan lanjut dijalankan.

“Nilai suapan keseluruhan juga masih dalam siasatan dan kita percaya ia membabitkan jumlah yang besar kerana suspek didakwa mengambil 10 peratus daripada setiap projek JPS Perlis dari 2014 hingga 2017,” ujarnya.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Ak­ti­viti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Perintah reman sehingga Is­nin depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim di sini hari ini.



KES 2

Pegawai JPJ terima rasuah RM14,000



KLANG 30 Jan. – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM14,000 daripada tiga syarikat pembinaan, tiga tahun lalu.

Selain lelaki berusia 43 tahun itu, tiga pengurus syarikat ber­usia antara 30 hingga 45 tahun turut direman bagi tempoh yang sama, ketika kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Roslizi Sulaiman memerintahkan kesemua suspek itu direman sehingga Sabtu ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Sek­syen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, keempat-empat sus­pek yang tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10.15 pagi memakai baju lokap berwarna jingga sambil masing-masing diiringi pegawai SPRM.

Sumber berkata, pegawai kerajaan itu yang kini bertugas di Bahagian Pengujian Lesen Memandu JPJ Selangor dipercayai telah menyalahgunakan kuasa semasa berkhidmat di Stesen Timbang JPJ Kuala Selangor.

“Suspek disyaki memperoleh wang suapan sebanyak RM100 hingga RM1,800 sebulan daripada syarikat pembinaan sepanjang tahun tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang mengesahkan penahanan tersebut memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.



KES 3

Seleweng dana sains RM3 juta



PUTRAJAYA 30 Jan. – Seorang bekas pegawai di sebuah badan sains antarabangsa direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM3 juta sejak tahun 2012.

Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff mengeluarkan perintah reman sehingga 3 Februari ini terhadap suspek berusia 44 tahun itu yang merupakan Pegawai Tadbir Kanan International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pacific (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM).

Mahkamah Majistret di sini hari ini turut mengeluarkan perintah reman bagi tempoh yang sama terhadap seorang rakan suspek berusia 57 tahun kerana disyaki bersubahat dalam penyelewengan itu dan telah menyamar menggunakan gelaran profesor lestari dari universiti tempatan.

Semalam, akhbar melaporkan dua individu termasuk seorang Pegawai Tadbir Kanan ICSU-ROAP telah diberkas Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur selepas disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM3 juta.



KES 4

Menyamar orang tengah polis



SEREMBAN 30 Jan. – Tin­da­kan dua peniaga menya­mar sebagai orang te­ngah polis dan meminta wang RM5,100 bagi melepaskan seorang suspek kes dadah membawa padah apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Port Dickson, semalam.

Suspek pertama berusia 44 tahun ditahan di sebuah restoran di Bandar Springhill, Port Dickson pada pukul 3 petang, manakala rakannya berumur 46 tahun diberkas di pejabat SPRM Port Dickson pada pukul 4.30 petang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan peniaga disyaki meminta wang tersebut daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk membantu melepaskan anaknya yang ditahan polis kerana kes penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, bagi meyakinkan lelaki terbabit, suspek mendakwa RM5,000 daripada wang itu akan diberikan kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi menyelesaikan kes itu.

“Suspek telah menerima sebanyak RM3,000 daripada jumlah wang itu pada Sabtu lalu manakala RM2,100 diserahkan kepada mereka semalam,” kata sumber itu di sini hari.

Kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.



Pecah amanah RM2.5 juta

MELAKA 30 Jan. – Seorang bekas pengurus projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai RM2.5 juta, dua tahun lalu.

Muhamad Nasir Razak, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Kilometer 24, Jalan Jasin-Merlimau antara 31 Januari dan 31 Disember 2016. 

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nasir sebagai pengurus projek SBPKP didakwa telah me­la­kukan pecah amanah terhadap Baja Sebatian, NPK Tambahan dan Urea sebanyak 56,700 beg bernilai RM2,544,650 yang dile­takkan di bawah seliaannya.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkannya melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan kes serta lantikan peguam.

Tertuduh bagaimanapun gagal menjelaskan wang jaminan.


 http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/direman-didakwa-salah-guna-kuasa-rasuah-1.600313#ixzz55v6x0GJq

Rasuah: Peniaga kain Pakistan dipenjara, denda

KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Seorang peniaga kain warga Pakistan dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba memberi suapan sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis pada 8 Januari lalu sebanyak RM200.

Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas Zeb Gulab, 24, mengaku bersalah atas tuduhan cuba memberi suapan kepada Lans Koperal Sebri Shukri sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan setelah kerana  gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, Nawab Amir yang juga  bapa saudara kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya pencegahan Rasuah malaysia (SPRM), Muhammad Zulfadli Mohd. Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh.

Zeb Gulab didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, Zeb Gulab yang menunggang motosikal ditahan oleh tiga anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Ladang Padang Kubu, Kemaman kira-kira pukul 8.30 malam pada 8 Januari lalu.

Ketika pemeriksaan, tertuduh hanya memberikan pasport namun gagal mengemukakan dokumen lesen memandu, dan kemudiannya menghulurkan sejumlah wang kepada anggota polis tersebut.


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/rasuah-peniaga-kain-pakistan-dipenjara-denda-1.600679#ixzz55v6FNHRo 

Inspektor mengaku tidak bersalah

KUALA TERENGGANU 1 Feb. - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan bagi meringankan kesalahan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah.

Lee Beng Oui, 37, yang bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa memperoleh wang suapan RM3,000 daripada orang tengah sebagai dorongan meringankan kesalahan Firdaus Asmadi yang ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah kepada hanya kesalahan air kencing mengandungi dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah beralamat No.1, Blok Ezora, Perumahan Polis Bukit Mentok, Kemaman pada pukul 11.45 malam, 29 Februari 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Putri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE