Tuesday, August 23, 2016

SPRM perlu tunjuk taring sebenar


Pengarang Berita Kosmo!, Mir Azri Shaharudin berkata, Datuk Ketua Pesuruhjaya SPRM komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas beliau mengeluarkan kenyataan ‘SPRM perlu digeruni oleh mereka yang mengamalkan rasuah’.


Beliau berkata, SPRM kini menjadi harapan rakyat dan suruhanjaya itu perlu menunjukkan taring sebenarnya dengan mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan rasuah.

Agong berangkat ke istiadat angkat sumpah Ketua Pesuruhjaya

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengangkat sumpah pelantikan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos sehingga 31 Julai 2021 mengangkat sumpah pelantikan itu di Istana Negara di sini.

Beliau adalah bekas Pengarah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Datuk Razali Ibrahim. Dzulkifli, 48, yang berpengalaman luas dalam kes jenayah perdagangan dan penggubahan wang haram berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa.

Saturday, August 20, 2016

Dzulkifli kembali ke tempat mengenal erti kehidupan dan perjuangan

Selepas 19 hari memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad melakukan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Pulau Pinang yang merupakan negeri kelahiran beliau, semalam.

Lebih mengujakan, lawatan tersebut dianggap Datuk Dzulkifli sebagai tanda kembali ke tempat beliau mengenal erti kehidupan dan perjuangan iaitu di Masjid Jamiul Badawi di sini.

Dalam majlis Merakyatkan SPRM di masjid tersebut malam tadi, Datuk Dzulkifli menegaskan beliau ingin SPRM menjadi agensi yang mesra rakyat tetapi digeruni perasuah.

“Saya telah nyatakan kepada pegawai-pegawai saya bahawa isu rasuah adalah isu rakyat. SPRM perlu dirasai bersama. SPRM mesti mesra dengan rakyat tetapi perlu juga digeruni.

“Dengan rakyat kita mesra, kita bersama rakyat membela rakyat, tetapi dengan perasuah kita peranginya habis habisan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut yang dihadiri oleh kira-kira 200 penduduk kampung.

Turut hadir Pengarah SPRM Pulau Pinang yang baharu YBhg. Datuk Abdul Aziz Aban, Pengarah SPRM Kedah, Dato' Hj. Mohd Fauzi Hj. Mohamad, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Tuan Hj. Idris Zaharuddin dan Pengarah Perlis, Tuan Yaacop Angah.

Pada majlis itu, Dzulkifli turut mengimamkan solat Maghrib dan Isyak selain menyertai majlis tahlil.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, beliau mengharapkan doa semua pihak agar diberikan kekuatan dan hidayah bagi membuat keputusan yang betul dalam melaksanakan tugasnya.

“Saya mahu mengangkat SPRM ke tahap yang dapat melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh negara.

“Saya mohon sangat-sangat agar tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama saya mendoakan saya dan rakan-rakan saya, pegawai-pegawai saya dalam melaksanakan amanah ini,” katanya.

KP SPRM sasar tempoh tiga tahun bersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini menjelaskan sasaran beliau untuk memastikan perkhidmatan awam khususnya agensi penguat kuasa, badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersih daripada gejala rasuah dalam tempoh tiga tahun lagi.

Selain itu, Datuk Dzulkifli juga akan memastikan perolehan yang melibatkan agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat tanpa salah guna kuasa dan rasuah.

Tambah beliau, di sektor swasta pula, SPRM perlu memastikan institusi kewangan dan perbankan bersih dan bebas rasuah.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lawatan Kerja Ketua Pesuruhjaya dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Pulau Pinang di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini hari ini.

Lawatan rasmi tersebut merupakan lawatan sulung beliau ke SPRM Negeri.

Menurut Datuk Dzulkifli, bagi memastikan visi dan misi yang digariskan tercapai, beliau akan memberi penekanan kepada pendekatan menggunapakai segala kemampuan dan kuasa yang tersedia dalam ruang lingkup undang-undang secara sepenuhnya.

"Fokus kita akan terarah terhadap tindakan merampas semula harta dan hasil rasuah dan penyiasatan pula akan dibuat secara lebih tersusun," katanya.

Sementara itu,  Datuk Dzulkifli mengucapkan terima kasih kepada Pengarah SPRM Pulau Pinang, YBhg. Dato' Samarajoo Manikam yang bersara wajib pada 21 Ogos ini kerana menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi sepanjang perkhidmatannya.

Datuk Dzulkifli juga berharap YBhg. Datuk Abd Aziz Aban yang menggantikan tempat Dato' Samarajoo akan menjalankan tugas dengan penuh iltizam.

Dalam pada itu, Datuk Dzulkifli turut menyeru seluruh warga kerja SPRM Pulau Pinang agar memberi sokongan dan komitmen kerja tinggi kepada pimpinan baharu kerana perjalanan tugas masih jauh serta penuh dengan cabaran.

Datuk Abdul Aziz Aban Pengarah SPRM Pulau Pinang Baharu


Ketua Penolong Kanan Ketua Pesuruhjaya (KPKPj) YBhg. Datuk Abdul Aziz Aban akan memulakan tugas sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang yang baharu berkuatkuasa 22 Ogos 2016.

Aziz yang merupakan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya sebelum ini menggantikan YBhg. Dato' Samarajoo Manikam yang bersara wajib pada 21 Ogos 2016.

Majlis Serah Terima Tugas tersebut berlangsung di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang serta disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika berucap dalam majlis itu berkata, beliau akan meneruskan kecemerlangan pencapaian SPRM Pulau Pinang dari segi pelaksanaan fungsi dengan memberi tumpuan kepada agensi penguat kuasa, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Jelas beliau, tumpuan tersebut adalah selaras dengan misi dan visi yang telah digariskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Tambah Abdul Aziz, beliau juga akan memastikan SPRM Pulau Pinang dan SPRM keseluruhannya terus mendapat keyakinan rakyat dengan memperbanyakkan inisiatif mendekati rakyat.

Majlis ini juga dilangsungkan bersempena lawatan pertama Dzulkifli ke SPRM negeri setelah memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos lalu.


Dalam lawatan tersebut, Dzulkifli diberi taklimat berkaitan tugasan dan aktiviti SPRM Pulau Pinang serta dibawa melawat kemudahan di ibu pejabat seperti Bilik Rakaman Bervideo (VIR), pangsapuri SPRM dan lokap.

Monday, August 15, 2016

20 Anggota Badan Bebas Sprm Dilantik Hari Ini



Pelantikan Seramai 20 anggota badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) telah berkuat kuasa bermula 15 Ogos 2016

Daripada 20 anggota tersebut, 13 merupakan anggota PPPR manakala selebihnya dilantik sebagai anggota PPO.

Pelantikan anggota bagi kedua-dua badan bebas itu terdiri daripada pemimpin-pemimpin badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan; golongan profesional; ahli-ahli akademik serta bekas pegawai tertinggi kerajaan dan mereka dilantik secara pentadbiran di bawah Akta SPRM 2009.

Tempoh pelantikan anggota bagi PPPR dan PPO adalah selama setahun berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Ogos tahun depan.

Berikut senarai penuh ahli-ahli yang menerima pelantikan:

Ahli-Ahli PPPR bagi sesi 15 Ogos 2016 - 14 Ogos 2017
YBhg. Tan Sri Ismail Adam (Pengerusi)
Mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam

YBhg. Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz,
Mantan Ketua Pengarah JAKIM




YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Sham bin Mohd Sani,
Mantan Naib Canselor,  Universiti Kebangsaan Malaysia

YBhg. Tan Sri Profesor Dato’ Dr. T. Marimuthu,
Profesor Adjung di Asia e University

YBhg. Tan Sri Tang Yeam Soon,
Pengarah Urusan, The Store Corporation Berhad

YBhg. Dato’ V. Danapalan,
Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI)

YBhg. Datuk Hasmi bin Hasnan,
Pengasas Naim Land Sdn. Bhd.

YBhg. Datin Dr. Amla binti Hj. Mohd Salleh,
Karyawan Tamu di Fakuliti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

YBhg. Datuk Baljit Singh Sidhu,
Peguambela & Peguamcara di Shukor Baljit & Partners

YBhg. Datuk Abdul Aziz Ishak,
Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

YBhg. Datuk Yusof bin Md. Haslam Khan,
Pengarah Urusan, Skop Productions Sdn. Bhd.

YBrs. Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom,
Dekan Pengasas & Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan, Cyberjaya University College of Medical Sciences

YBrs. Tuan Nasharudin Mat Isa,
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF)


Ahli-Ahli PPO bagi sesi 15 Ogos 2016 - 14 Ogos 2017
YBhg. Tan Sri Zaleha binti Zahari (Pengerusi),
Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan

YBhg. Tan Sri Ismail bin Omar,
Mantan Ketua Polis Negara

YBhg. Datuk Azizan bin Abdul Rahman,
Pengerusi Malaysian Rating Corporation Berhad

YBhg. Dato’ Dr. Siti Mariam binti Che Ayub,
Mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri

YBhg. Dato’ Selva Mookiah,
Peguambela & Peguamcara di Selva Mookiah & Associates

YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohammad Agus bin Yusoff,
Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

YBrs. Profesor Dr. Yap Bee Wah,
Profesor Madya di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA

SPRM yang diwujudkan pada tahun 2009 mempunyai lima badan bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, PPO, Jawatankuasa Aduan dan PPPR.


SPRM satu-satunya agensi penguatkuasaan di Malaysia mempunyai badan bebas yang bertindak sebagai mekanisme check and balance.

Temu bual bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 2009 telah menampakkan perubahan ketara dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas dalam melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang, suruhanjaya itu terus komited untuk membasmi jenayah rasuah di negara ini, khususnya dalam kalangan penjawat awam bagi membendung isu ketirisan hasil kerajaan serta memastikan keadilan sentiasa ditegakkan.

Perkara itu antara penekanan yang diberi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama hari ini, yang merupakan penampilan sulungnya bersama media selepas pelantikannya pada 1 Ogos lepas.

Transkrip temu bual bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad :

Bagaimana Datuk melihat pelantikan Datuk sebagai 'bos' baharu SPRM daripada sebelum ini sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara?
DZULKIFLI: Pelantikan ini saya terima sebagai satu amanah kepada diri saya, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempercayai kebolehan saya serta memberi peluang untuk menerajui SPRM.

Walaupun amanah yang diberikan kepada saya adalah berat, namun saya berjanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh kerana saya bukan sahaja perlu menjawab kepada manusia tetapi saya perlu menjalankan amanah ALLAH.

Sewaktu menjadi Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, pihak kami telah pun bekerjasama dengan SPRM dalam perkara-perkara yang terarah kepada isu-isu rasuah dalam memastikan bahawa ketirisan hasil dan pendapatan negara ditangani.

Dalam pada itu, saya turut melihat pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah kesinambungan daripada hasil kerjasama positif yang telah dilaksanakan antara Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara dan SPRM.

Pengalaman yang saya jana ketika berfungsi sebagai Pengarah Pasukan Penguat kuasa Pemulihan Hasil Negara serta keterlibatan saya dalam pendakwaan beberapa kes rasuah, jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram berprofil tinggi akan saya kongsikan bersama pegawai-pegawai SPRM. Ini sudah tentu dapat melancarkan dan membantu memperluaskan lagi usaha-usaha pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah.

Hari pertama bertugas, Datuk berikrar untuk bertindak adil. Boleh Datuk huraikan maksud Datuk?
DZULKIFLI : Sebagaimana maksud adil yaani meletakkan sesuatu itu pada tempatnya mengikut haknya maka begitu jugalah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita.

Adil yang saya maksudkan ialah berteraskan prinsip undang-undang dan memelihara hak yang mengadu dan yang ditohmah.

Pengadu mempunyai hak untuk melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu. Begitulah, individu yang ditohmah juga ada hak untuk dipertahankan sehingga dia dibuktikan bersalah.

Oleh itu, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang berpegang kepada moto, (adil, amanah, dan tegas), SPRM akan terus memastikan keadilan sentiasa ditegakkan dan hak individu akan terus dipelihara sehingga dibuktikan bersalah.   

Setiap tindakan SPRM akan dipastikan diambil secara tegas tanpa rasa gentar berdasarkan undang-undang serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu.

Setiap aduan akan dinilai secara saksama tanpa memilih bulu. Kesemua yang dinyatakan di atas dimaksudkan sebagai konsep adil.

Terdapat persepsi berhubung pelantikan Datuk memandangkan kebiasaannya ketua pesuruhjaya SPRM dilantik daripada kalangan 'orang dalam' SPRM, sedangkan Datuk dilihat sebagai 'orang luar'. Timbul pelbagai persepsi, apa pandangan Datuk?
DZULKIFLI: Melantik orang luar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bukanlah perkara yang luar biasa.

BPR/SPRM pernah diterajui oleh pegawai Polis, pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.   

Justeru saya bukan pegawai pertama dari Jabatan Peguam Negara yang diberi kepercayaan untuk menerajui SPRM.

Dalam masa sama, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kesemua anggota SPRM yang telah dan sedang terus memberi kerjasama baik kepada kepimpinan saya.

Saya percaya selagi kita berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas

serta melaksanakan setiap tanggungjawab tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, tindakan saya pasti diterima dengan baik oleh warga SPRM.

Apakah fokus utama Datuk dalam masa terdekat ini?
DZULKIFLI: Fokus utama saya dalam masa terdekat ini ialah untuk memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

Golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Penguat kuasa undang-undang seperti polis mahupun SPRM selalunya dilihat hanya berani menangkap 'ikan bilis' dan bukannya 'jerung'. Jadi di bawah kepimpinan Datuk, apa yang SPRM akan laksanakan terutamanya dalam menangkis persepsi umum ini.
DZULKIFLI : Ingin saya tegaskan di sini bahawa, isu ikan bilis mahupun jerung hanyalah berkaitan persepsi.   

SPRM pernah menyiasat banyak kes berprofil tinggi sebelum ini. Kebanyakan kes profil tinggi juga dibawa ke muka pengadilan dan hukuman dikenakan terhadap individu yang berprofil tinggi.

Justeru, kini tugas dan peranan saya bukan hanya tertumpu kepada meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan kepada kes-kes berkepentingan rakyat.

Ini tidak bermakna bahawa kita akan meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan. Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan.

Dalam masa yang sama, perancangan yang teliti akan terus dilakukan bagi mempertingkatkan keupayaan pegawai-pegawai SPRM selain dapat menangkis segala persepsi buruk.

Apakah cabaran utama yang Datuk jangka akan dihadapi oleh SPRM dalam masa terdekat ini dan bagaimana Datuk menghadapinya?   
DZULKIFLI: Sejak dari dahulu lagi usaha memerangi rasuah menjadi satu perkara yang sering dipolitikkan.

Segala tindakan yang diambil oleh SPRM dalam membendung gejala rasuah dalam negara sering menjadi isu dan polemik politik.

Inilah cabaran utama yang sering dihadapi oleh SPRM. Namun saya percaya, cabaran seumpama ini mampu diatasi oleh SPRM apabila ia terus bertindak dengan adil, amanah dan tegas serta melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang.

Apa yang ingin dicapai oleh Datuk sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam tempoh setahun?
DZULKIFLI: Saya berharap tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara punitif dan preventif akan dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Namun saya sedar perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM. Justeru rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

Namun demikian, usaha memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi adalah usaha secara kolektif dan tidak harus diletak atas bahu sesebuah agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, SPRM akan menggiatkan lagi kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara serta agensi penguatkuasaan yang lain agar usaha memerangi rasuah dapat dijalankan secara holistik sehingga membuahkan hasil yang berkesan.

Apakah penambahbaikan yang ingin dilakukan Datuk dalam SPRM?
DZULKIFLI: Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kasim Mohamed yang telah menerajui SPRM sebelum ini, serta membawa banyak perubahan kepada SPRM. Saya menghargai sumbangan beliau dan dalam masa yang sama, saya ingin mempertingkatkan lagi keupayaan dan kecekapan pegawai-pegawai dalam menjalankan siasatan kerana dengan perkembangan teknologi sekarang, transaksi rasuah menjadi semakin rumit.

Di samping itu, saya ingin melihat peranan SPRM dalam usaha meningkatkan integriti sama ada di sektor awam dan swasta diperkemaskan lagi agar ia memberi impak yang lebih tinggi.

Pada hemat saya, faktor utama yang mendorong gejala rasuah semakin berleluasa adalah kerana sikap tamak pada golongan yang mempunyai kuasa dan kedudukan sama ada di kalangan mereka yang berjawatan tinggi mahupun rendah.

Justeru SPRM akan memberi fokus kepada usaha-usaha dan tindakan merampas semula harta-harta yang diperoleh hasil daripada gejala rasuah yang dijalankan dengan menggunakan kemampuan dan kuasa penguatkuasaan yang sedia ada seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat dan amaran kepada mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa agar menghentikannya dengan kadar serta merta sebelum SPRM mengambil tindakan.

SPRM sambut baik pembelajaran berniaga tanpa rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyambut baik cadangan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) untuk melaksanakan Aktiviti Pembelajaran Berniaga Melalui Internet Tanpa Rasuah sebagai usaha untuk mendidik masyarakat supaya membanteras rasuah.

Dalam kenyataan bersama SPRM dan YARM, SPRM berkata, ia akan memberi kerjasama dan sokongan penuh bagi memastikan aktiviti bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) tersebut mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai rasuah serta kewajipan setiap individu untuk menjauhi diri daripada perlakuan rasuah.

Selain menyediakan fasiliti dan kemudahan asas bagi keperluan latihan, SPRM juga akan bekerjasama dengan YARM dari segi penyediaan pembelajaran Berniaga Melalui Internet Tanpa Rasuah, sejajar dengan kempen Merakyatkan SPRM.

Aktiviti Pembelajaran Berniaga Melalui Internet Tanpa Rasuah dicadangkan susulan permintaan MDeC yang terdiri daripada ejen terlatih berdaftar di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memasukkan tajuk pembelajaran Berniaga Melalui Internet Tanpa Rasuah.

Pembelajaran kelas adalah terbuka kepada masyarakat Malaysia berusia 18 ke atas yang berminat untuk memulakan perniagaan atau sedang berniaga dan latihan tersebut akan diberikan secara percuma kepada peserta.

SPRM berharap dengan kerjasama yang terjalin tersebut, ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan peranan dan tanggungjawab mereka untuk memerangi rasuah bersama SPRM.


YARM merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang bertindak untuk membantu SPRM dalam menjalankan aktiviti kempen antirasuah termasuk menyediakan program kesedaran sivik secara positif bagi mendidik masyarakat supaya membenci perlakuan rasuah.

Sunday, August 14, 2016

'Serah diri atau tunggu kami' - KP SPRM


Hentikan rasuah dan salah guna kuasa sekarang atau bersedia berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Itu amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad, 48, yang sekali gus turut membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk tampil 'menyerah diri' secara sukarela bagi memungkinkan hukuman lebih ringan dipertimbangkan terhadap mereka.

"Datang sekarang, ini peluang yang saya buka, datang bila-bila masa sebelum diambil tindakan. Kalau sudah diambil tindakan baru nak jumpa kami, tak payahlah. Kalau dah rasa 'panas', datanglah.

"Kita akan kaji dan bincangkan dengan pihak Peguam Negara apa tindakan yang boleh diambil (untuk diringankan hukuman) kerana soal pendakwaan adalah di bawah tanggungjawab mereka," katanya.

Tawaran itu walau dilontarkan dalam nada penuh toleransi, namun ketegasan bos baharu agensi rasuah negara itu jelas kelihatan apabila menyifatkan tidak akan 'pilih bulu' dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam usaha mencegah jenayah rasuah di negara ini.

Dzulkifli yang mengambil alih jawatan itu menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed bermula 1 Ogos lepas berkata fokus utama beliau sebaik dilantik menerajui SPRM ialah untuk menekankan peranan suruhanjaya itu dalam usaha meningkatkan integriti sama ada di sektor awam atau swasta.

Katanya dalam melaksanakan peranan itu, tidak mustahil amaran yang diutarakan itu diterjemahkan dengan serbuan di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta yang berkaitan jika terdapat sebarang bukti pelakuan rasuah.

"Nantikan saja dalam masa terdekat ini, akan ada 'salam perkenalan' daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu," katanya.

Katanya tempoh dua minggu (sejak mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM) sudah cukup untuk beliau memahami mengenai suruhanjaya itu dan sudah sampai masanya untuk melihat hasil perlaksanaannya.

"Saya seorang lelaki yang kurang berkata-kata. Saya tidak banyak bercakap, saya seorang yang gemar melakukan dan mengambil tindakan. Saya ingin beri nasihat dan amaran kepada yang terlibat rasuah agar berhenti serta-merta.

"Ini bukan amaran kosong. Kepada sesiapa yang selama ini mempunyai pendapatan yang lain daripada gaji yang sepatutnya diterima, iaitu rasuah, sila hentikan," katanya.

Dzulkifli mahu `bersihkan' perkhidmatan awam


Perkhidmatan awam yang bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Itu fokus utama Ketua Penguat Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam menerajui organisasi itu.

"Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah," katanya.

Beliau berkata penumpuan akan diberi kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Transformasi Kerajaan.

Katanya peranan pegawai integriti juga akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan.
"Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.

"Golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong," katanya.

Dzulkifli yang sebelum ini merupakan Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara turut melihat pelantikannya sebagai 'bos' baharu SPRM akan mengeratkan lagi kesinambungan hasil kerjasama positif yang telah dilaksanakan antara Pasukan itu dan SPRM yang telah terjalin sekian lama.

"Pengalaman yang saya jana ketika berfungsi sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara serta keterlibatan saya dalam pendakwaan beberapa kes rasuah, jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram berprofil tinggi akan saya kongsikan bersama pegawai-pegawai SPRM.

"Ini sudah tentu dapat melancarkan dan membantu memperluaskan lagi usaha-usaha pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah," katanya.

Pada sesi temu bual itu, Dzulkifli turut menegaskan bahawa tugas dan peranannya kini bukan hanya tertumpu kepada meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan kepada kes-kes berkepentingan rakyat.

"Ini tidak bermakna bahawa kita akan meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan. Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan," katanya.

"Isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat," katanya.

Dzulkifli berkata dalam menjamin usaha mencegah jenayah rasuah dilaksanakan secara holistik, SPRM kini akan memberi fokus kepada usaha-usaha dan tindakan merampas semula harta-harta yang diperoleh hasil gejala rasuah berdasar peruntukan undang-undang sedia ada.


Dalam temu bual sulung dengan media itu, Dzulkifli turut memberi nasihat dan amaran kepada mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa agar menghentikannya dengan kadar segera sebelum SPRM mengambil tindakan.

Monday, August 1, 2016

Dzulkifli Berpengalaman Luas Dalam Kes Jenayah Perdagangan, Pengubahan Wang Haram

Datuk Dzulkifli Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu mulai 1 Ogos ini, mempunyai pengalaman luas dalam kes jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram.

Dzulkifli, 48, memulakan kerjayanya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Jenayah Perdagangan, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sejak 7 Jun 1993 hingga Februari 2002.


Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa, kemudian dilantik sebagai TPR Unit Terkelas dari Mac 2002 hingga Februari 2003.

Datuk Dzulkifli Ahmad Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu

Kenali Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed mulai 1 Ogos ini, Datuk Dzulkifli, 48 tahun, mempunyai pengalaman luas dalam kes jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram.

Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Dzulkifli memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Jenayah Perdagangan, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sejak 7 Jun 1993 hingga Februari 2002.

Beliau kemudian dilantik sebagai TPR Unit Terkelas dari Mac 2002 hingga Februari 2003.

Datuk Dzulkifli yang berkahwin dengan Datin Bitizela Mohd Bidin dan mempunyai dua anak seterusnya dilantik sebagai Ketua Unit Jenayah Perdagangan, dari 1 Nov 2010 hingga 14 Jan 2015.

Pada 15 Jan 2015 sehingga 11 Ogos 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Kes-kes Jenayah, dan pada 12 Ogos 2015 sehingga kini, beliau memegang jawatan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang mempunyai Diploma Syariah dan Amalan Guaman dari universiti sama banyak mengendalikan kes-kes berprofil tinggi, antaranya kes tipu dan pecah amanah melibatkan Lembaga Tabung Haji berjumlah RM200 juta dan kes seorang doktor wanita didakwa terhadap lapan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram lebih RM41 juta.

Datuk Dzulkifli yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang juga terlibat dalam kes bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, serta kes tipu berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam kenyataan pada Jumaat mengumumkan pelantikan Datuk Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.

Datuk Dzulkifli, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tan Sri Ali berkata selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.